AKIBAT

0
1018

AKIBAT
KARYA: RCPlainJ

===============================

SAUL memijak brek, cuba memperlahankan Isuzu D-Max model 2005 itu untuk membelok tajam. Sudah sekian lama dia tidak pulang ke rumah, bersyukur kerana akhirnya terlepas dari seksaan si ayah tiri yang pemabuk, namun dia ingat betapa berbahayanya jalan-jalan tersebut. Hujan lebat memburukkan lagi keadaan, kegelisahannya kian menjadi-jadi selepas menerima panggilan telefon panik dari ibunya.

“Kita dalam bahaya, Saul,” bisik si ibu, menghubunginya pada jam dua pagi. “Zayd dah buat sesuatu yang dahsyat.”

Berbelah-bahagi di antara keinginan menghubungi pihak polis dan membiarkan mereka sahaja yang menangani situasi itu ataupun pergi membantu ibunya, Saul akhirnya memutuskan untuk memandu pulang selama dua jam. Dia telah meminjam lori pikap milik teman wanitanya setelah setengah jam meyakinkan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja dan bertolak ke Pekan Semalu dengan kepalanya dihujani dengan kenangan perit masa kecilnya yang zalim.

Pada usia muda enam tahun, Saul telah menjadi anak yatim lantaran ayahnya terbunuh dalam kemalangan kereta dalam perjalanan pulang dari kerja. Bahkan kini, tujuh belas tahun kemudian, Saul masih ingat dengan jelas riak wajah ibunya ketika mereka menerima berita tersebut, disampaikan oleh seorang pegawai polis yang tampak acuh tak acuh serta seorang pekerja kebajikan yang menawarkan simpati secara paksa.

Semangat ibunya turut mati hari itu, senyuman berseri-seri yang tidak pernah lekang di wajah si ibu telah hilang buat selamanya. Aduhai, Saul pernah melihat ibunya tersenyum sejak kemalangan tersebut, namun bukan senyuman tulus dan mesra yang sering kali disunggingkannya. Senyuman yang dahulunya menyerikan pagi hari Saul dan memberikan dia ketenteraman di malam hari. Tidak, itu merupakan senyuman palsu, sama palsunya seperti lelaki yang telah menggantikan tempat ayah mereka, diukirkan setiap kali diharapkan, tanpa emosi mahupun perasaan di sebaliknya.

Tamar muncul dalam hidup mereka hampir setahun kemudian. Lelaki pertama yang menunjukkan minat pada si janda anak dua dan ibunya berpaut hidup pada lelaki tersebut, terdesak untuk memiliki semula ketabahan dalam hidupnya yang telah hilang. Dalam tempoh tiga bulan sahaja, si ibu mengahwini Tamar. Lelaki itu kemudiannya menyatakan bahawa mereka akan berpindah balik ke pekan kelahirannya agar dia dapat mengambil alih perniagaan membaik pulih yang diwariskan oleh ayahnya.

Keadaan serta-merta menjadi jelas. Tamar, si pencari nafkah utama. Tamar, si kepala rumah. Tamar, si raja tatasusila. Tamar umpama Tuhan di dunia mereka, mengawal mereka dengan cara menakut-nakutkan serta melemparkan ugutan, menggunakan kekerasan fizikal bila serasanya perlu.

Tamar, bajingan yang membuatkan hidup mereka terjerumus ke jurang kesengsaraan, kebencian dan penganiayaan yang kian getir. Dia selalu berhati-hati untuk tidak keterlaluan memukul mereka, tidak ingin meninggalkan bekas luka yang kelihatan. Kemampuannya untuk melakukan kekerasan secara terus-menerus terpahat dalam diri budak-budak tersebut. Ancaman untuk membunuh ibu mereka telah membungkamkan segala suara di benak yang mungkin akan menimbulkan sebarang tuduhan.

Saul tidak pernah mengerti kenapa ibunya tetap setia bersama lelaki itu. Di antara keberangan akibat mabuk dan sepak terajang yang semahunya, lelaki tersebut telah membalun setiap ahli keluarga itu lebih daripada yang diingat Saul. Setelah tersedar di hospital dengan lengan serta dua tulang rusuk patah, Saul memutuskan bahawa dia sudah muak untuk bersabar.

Saul tetap mendiamkan tentang keseluruhan insiden tersebut saat ditemu bual di hospital, soalan-soalan prihatin daripada kakitangan hospital nyaris tidak seikhlas tatapan Tamar yang tampak mengancam. Tamar akan berbisik di telinga budak itu ketika bersendirian, mengatakan bagaimana dia akan membunuh ibu dan adik lelakinya jika Saul bahkan terfikir hendak memberikan sebarang petunjuk tentang perkara sebenar kepada sesiapa pun.

Malam pertamanya pulang ke rumah dari hospital, Saul mengemaskan beberapa barang miliknya dan lari untuk tinggal bersama teman-teman yang tidak dikenali oleh keluarganya. Dia telah cuba mengajak Zayd untuk lari bersamanya, tetapi budak lelaki kecil itu enggan meninggalkan ibu mereka. Zayd tidak peduli meskipun si ayah tiri nyaris membunuh abangnya, dia bertekad untuk memastikan bahawa salah seorang daripada mereka ada di sana untuk melindungi si ibu.

Sudah enam tahun sejak Saul meninggalkan kesemua mereka jauh di belakang, sesekali menghubungi ibunya untuk memaklumkan bahawa dia baik-baik sahaja dan di mana keberadaannya. Ada berapa kali dia terfikir untuk pulang. Cerita-cerita si ibu tentang obsesi adiknya terhadap benda-benda mistik kian menimbulkan kekalutan setiap kali mereka berbicara.

Berbuih mulut Saul cuba memujuk ibunya untuk meninggalkan lelaki itu, cuba untuk memberikan alasan yang munasabah berkenaan situasi tersebut, tetapi si ibu enggan mendengarkan nasihatnya. Ibunya telah berputus asa pada hari ayahnya meninggal, Tamar menggantikan kekosongan dalam hidupnya dengan cara yang dahsyat. Saul waswas bahawa bahkan dengan campur tangan, mustahil ibunya akan dapat membebaskan diri daripada kekangan lelaki itu. Tamar telah berkali-kali membalun si ibu sebelum mula memukul anak-anaknya dan dalam tempoh enam tahun Saul melarikan diri, dia yakin cengkaman lelaki tersebut terhadap keluarganya hanya kian mengencang.

Saul yakin bahawa Pekan Semalu turut mempunyai banyak kaitannya dengan itu juga. Pekan kecil tersebut tidak pernah tampak hidup, suasananya tidak sedamai seperti mana-mana pekan-pekan kecil di kawasan pedalaman. Budak-budak itu gembira dengan penduduknya yang agak ramah, tetapi semua orang lebih cenderung menjaga tepi kain sendiri, tidak mengambil peduli tentang perihal orang lain. Tiada pertemuan sosial, tiada temasya biasa sepertimana pekan-pekan lain yang seumpama Pekan Semalu.

Hujan akhirnya mula mereda dan Saul sedikit santai. Jalan di Puncak Semalu tidak terlalu teruk pada waktu siang, tetapi menggandingkan jalan raya dengan kegelapan dan ditambah lagi dengan cuaca buruk, pasti akan mencetuskan kemalangan. Lebih mudah untuk memandu dalam gerimis ringan, tompok-tompok pekat cahaya putih sesekali muncul melalui celahan awan.

Meskipun ketika itu bulan purnama, perasaan gemuruh Saul sedikit pun tidak reda.

Panggilan terakhir ini membuatkan dia dengan lebih mudah mengambil keputusan untuk pulang. Ibunya menyatakan bagaimana Zayd telah mengorbankan anjing jiran di atas selonggokan labu yang terbakar. Tamar mengamuk, membelasah budak itu dengan sangat parah hingga sekujur tubuhnya babak belur, menolak untuk membiarkan ibu mereka menghubungi ambulans. Si ibu telah berjaya membuat panggilan telefon curi-curi kepada Saul, merayu kepadanya untuk datang melakukan sesuatu.

“Kau kena datang tolong kami, Saul,” pinta ibunya. “Tamar… lama sangat Tamar pukul dia, Saul. Mak rasa, Tamar dah cederakan dia dengan teruk.”

Segala pemikiran tentang situasi ini diasak keluar dari benak Saul saat kediaman lamanya muncul dalam pandangan. Kediaman tiga tingkat itu benar-benar gelap, tingkapnya nyaris tidak memantulkan tompokan cahaya dari lampu jalan. Saul memperlahankan kenderaan di jalan masuk menuju ke bahagian belakang rumah, lampu hadapan lori pikapnya menyuluhi longgokan labu yang hancur terbakar dengan bangkai anjing di atasnya.

“Ya Tuhan,” bisik Saul, terkejut bahawa adik lelakinya benar-benar telah melakukan perkara seumpama demikian.

Saul menelan liur yang rasanya sepahit hempedu di tekak lantas keluar dari perut kereta, tidak lagi melirik pada pemandangan yang memualkan itu. Saul berlari menaiki tangga, mendapati pintu belakang tidak dikunci dan masuk ke dalam rumah. Kekhuatiran yang dirasakan untuk bersemuka dengan ayah tirinya bertambah sengit apabila dia memetik suis lampu dan mendapati ianya tidak berfungsi.

“Mak?” serunya, masuk lebih jauh ke dalam rumah tersebut. Tubuhnya menggigil hebat. Detik demi detik, rasa gentarnya kian bermaharajalela dan dia menarik nafas dalam-dalam untuk menenangkan diri.

Dalam benak, dia terbayang-bayangkan Tamar yang memukulnya berulang-kali menggunakan tali kulit tebal kesayangannya. Visi-visi itu merupakan kenangan yang bercampur baur. Bayangan ibu, adik lelakinya ataupun dia dikasari, ataupun dipukul berulang-kali dengan tali kulit. Saat Tamar menolaknya sehingga tersungkur di tangga ruang bawah tanah, menguncinya di sana selama dua hari. Keringat dingin bertompok di dahinya, nafasnya termengah-mengah sehinggalah dia akhirnya berhasil memperolehi kembali ketenangannya, mengusir bayangan ulang semula dahsyat itu dari benaknya.

“Dia tak boleh nak pukul saya lagi,” kata Saul pada diri sendiri, mencekalkan kegugupannya sambil menapak langkah melewati muka pintu dan masuk ke ruang makan.

Ketakutannya untuk bersemuka dengan ayah tirinya digantikan dengan ketakutan akan apa yang terjadi pada keluarganya. Pancaran tipis sinaran bulan yang menerobos masuk melalui tingkap lebar ruang makan menampakkan percikan darah pada dinding dan meja. Kesan tapak tangan berdarah ada di sekitar bingkai pintu yang menghala ke ruang tamu, seolah-olah siapa sahaja yang telah meninggalkan kesan itu telah diseret dari ruang makan tersebut.

“Tamar!” teriaknya.

Apa jadahnya yang telah dilakukan oleh sosiopat itu? Adakah Tamar naik berang setelah mendapat tahu bahawa ibunya menghubungi dia? Adakah Tamar akhirnya membunuh mereka seperti yang selalu diancam hendak dilakukannya?

Saul meluru masuk ke ruang tamu, kakinya tiba-tiba tergelincir pada sesuatu yang basah di lantai kayu keras. Dia tumbang dengan bunyi gedebak keras, udara memaksa keluar dari paru-parunya saat rasa sakit menusuk bahunya. Saul berguling termengah-mengah, nafasnya tersekat di tekak saat mendapati bahawa dia tergelincir dalam genangan darah yang meruah. Cecair merah gelap itu berhamburan di lantai sehinggakan Saul yakin bahawa siapa pun si empunya darah tersebut pastinya sudah mati.

Hampir termuntah, Saul berdiri, darah separuh melekit melumuri belakang dan sisi tubuhnya dalam tompokan yang membuatkan dia mual. Rasa panik mula menjalar, matanya semakin lebar sambil dia dengan terdesak mencari-cari sebarang petanda akan apa yang telah terjadi. Pandangannya jatuh pada kaki telanjang yang terjulur dari sebalik sofa, yang diperhatikannya sedikit menyerong.

Berhati-hati untuk tidak tergelincirkan darah lagi, Saul meluru ke sofa dan membongkok, takut bahawa dia akan melihat jasad tidak bernyawa ibunya tergeletak di situ. Rasa sepahit hempedu yang ditahannya meruap saat dia termuntah di belakang sofa. Fikirannya mencerna bahawa apa yang dilihatnya itu cuma kaki dan betis. Kaki tersebut berakhir dengan daging yang diselaputi darah, mengingatkan Saul pada masa dia melihat seekor anjing menggigit seekor tupai.

“Ya Tuhan,” dia menarik nafas terkejut, rasa kejang akhirnya mereda apabila dengan berat dia menghenyakkan punggung di sofa. Dia yakin bahawa itu adalah kaki seorang lelaki. Benaknya berputar memikirkan apakah maksudnya. Itu pastinya Tamar. Pasti.

Tetapi, bagaimana kalau bukan? Bagaimana jika ada seseorang yang datang cuba untuk membantu ibunya, kawan atau jiran tetangga? Bagaimana jika Tamar benar-benar tidak siuman, membunuh semua orang yang cuba menghalangnya? Bagaimana jika bajingan itu masih berada di dalam rumah, di suatu tempat di tingkat atas sedang hendak membunuh keluarganya?

Saul bangkit dan mengorak langkah menuju ke tangga, bertekad untuk mencari tahu apa yang terjadi. Tangga itu juga mempunyai kesan darah, lebih banyak kesan tapak tangan menandakan bahawa seseorang telah diseret naik ke atas dan terdapat genangan kecil darah memekat di beberapa anak tangga.

Rasa genting mendorongnya, dia harus menemukan ibu dan adiknya, harus. Mereka tidak akan mampu mempertahankan diri dari Tamar, terus-menerus menderita terpaksa menanggung penderaan. Sama seperti dirinya. Dia juga tidak pernah berani melawan lelaki itu, mendapatkan bantuan daripada sumber luar kalau-kalau Tamar melampiaskan amarahnya sebelum adanya campur tangan.

Tidak sekarang.

Tidak kali ini.

Tidak lagi.

Jeritan singkat kedengaran dari tingkat atas, mendadak berakhir dengan bunyi gedebuk di permukaan yang basah. Dia tahu bahawa itu adalah ibunya, bahawa si ibu telah dibungkamkan oleh salah satu pukulan kencang Tamar dan Saul bergegas menaiki tangga untuk menghentikan penderaan itu daripada berlanjutan. Dia teragak-agak ketika tiba di tingkat dua, tidak pasti dari mana datangnya jeritan tersebut dan melingas ke sana sini dengan tidak pasti.

Dari hujung koridor, di sebalik pintu bilik adiknya, bunyi sesuatu yang dibentur kian kedengaran. Bunyi gedebuk yang kedengaran basah itu penuh dengan kekerasan dan didorong oleh amarah sengit. Saul berlari menyusuri koridor pendek, tanpa menyedari bunyi kasutnya yang berdecit di atas permaidani yang lencun dengan darah lantas menguak pintu bilik adiknya.

Selama bertahun-tahun, Saul banyak bermimpi buruk. Bayangan perit ayah tirinya memukul salah seorang daripada mereka sehingga mati dengan tangan kosong atau lebih teruk lagi, dengan tali kulit. Dia turut bermimpi indah di mana ayah tirinya menerima padah yang selayaknya, dipukul balas oleh sebuah keluarga yang akhirnya melawan. Darah dan kekerasan menjadi kuasa yang kuat dalam setiap fantasi ini, tetapi tidak sesengit adegan yang ditemukan Saul berlangsung di hadapan matanya dalam bilik Zayd.

“Hai, abang,” sapa Zayd dengan mulut yang merah, bengkak dan berlumuran darah.

Saul terpaku kaget, fikirannya nyaris kewalahan dengan apa yang dilihatnya.

Budak itu bersila, menatap abangnya dengan sepasang mata yang biru menghitam dan sama bengkak seperti keseluruhan wajahnya. Kemejanya sedikit koyak, lengannya yang tidak berlengan baju menunjukkan kesan-kesan lecet gelap berulang-kali disebat dengan tali kulit jahanam itu. Dia tersenyum pada abangnya, menampakkan beberapa batang gigi yang kini hilang dari senyumannya yang dahulu mesra, gigi yang tersisa berlumuran darah.

Imej adiknya, meskipun memilukan hati, tidak setanding dengan pemandangan lain di dalam bilik tersebut. Ibu mereka, ibu mereka yang manis, dikelabui serta penakut, tergantung terbalik. Bahagian tengah tubuhnya koyak menganga, memburaikan isi perutnya di lantai, dipegang di situ oleh jelmaan menggerunkan setinggi lapan kaki.

Mata hitam makhluk itu membulat, kepalanya bujur, mulut lebarnya dipenuhi dengan puluhan gigi runcing. Susuk tubuhnya yang kurus kering bagaikan kerangka, berurat serta memancarkan kekuatan luar biasa. Lengan panjang makhluk tersebut berakhir dengan kuku besar runcing yang telah memburaikan isi perut si ibu. Kakinya terbalik, melengkung ke belakang seperti belalang raksasa yang dahsyat.

“Mulai dari sekarang… dia yang akan lindung saya, bang,” kata Zayd. Riak matanya yang kosong membuatkan Saul berasa seram sejuk. “Dia yang bunuh Tamar,” lanjut Zayd. “Ratah mayatnya sampai nak habis!”

“Mak,” desah Saul, kengerian itu mematikan akal sihatnya.

“Dia terpaksa bunuh mak juga, bang,” kata Zayd, masih mengukirkan senyuman puas hati psikotik yang menjengkelkan. “Selama ni, mak biarkan aje Tamar sakiti saya.”

“Zayd… apa yang awak dah buat?”

“Saya yang seru dia, bang,” Zayd kedengaran seperti orang dewasa yang bercakap kepada seorang anak. “Saya perlukan seseorang yang boleh lindungi saya.”

“Ya Tuhan, Zayd. Sampai hati… sampai hati awak buat macam ni? Awak biarkan benda ni bunuh mak!”

“Dia dah jelaskan semuanya pada saya, bang,” ucap Zayd sambil perlahan-lahan berdiri. “Abang tak sepatutnya tinggalkan kami di sini. Katanya, abang tinggalkan kami. Katanya, abang patut mati sekarang juga.”

“Zayd, tidak, dengar cakap abang!” teriak Saul.

Makhluk itu melepaskan jasad ibu mereka ke lantai.

“Lepas ni giliran semua orang yang buli saya.”

Makhluk itu mara, tersenyum lebar mempamerkan kesemua giginya yang runcing. Kukunya dilengkungkan, semakin dekat kepada Saul yang lumpuh ketakutan, air liur bercampur darah menitis dari rahangnya yang lebar.

“Zayd!” seru Saul, akhirnya mundur selangkah. “Zayd, abang datang nak tolong awak!”

“Maaf, bang,” jawab Zayd. “Abang tak sepatutnya tinggalkan kami.”

Saul berpaling untuk cabut lari, namun sudah terlambat. Dia tersungkur ke lantai apabila makhluk tersebut melompat ke belakangnya, bunyi berderak tulang patah menyapa deria pendengarannya. Rasa sakit menusuknya, bergemuruh di kepala dan Saul menyedari bahawa dia tidak dapat merasakan kakinya, hentaman makhluk itu telah mematahkan tulang belakangnya.

Makhluk tersebut menggulingkan Saul, tubuhnya sama sekali tidak mampu melawan dan dia mendapati dirinya menatap mata hitam itu dengan gerun. Air liur menitis ke wajah Saul. Iblis tersebut menyeringai ketika menyentuhkan kukunya ke dada Saul dan menekan cukup untuk menyiat.

Jeritan Saul berlanjutan buat masa yang lebih lama ketika iblis tersebut perlahan-lahan membelah Saul kepada beberapa bahagian cukup kecil untuk tidak terus membunuhnya. Sepanjang detik itu, sayup-sayup di suatu ceruk dalam benaknya, Saul mendengar suara adiknya, berkali-kali memohon maaf kepadanya.

–TAMAT–

SHARE
Previous articleTOYOL
Next articleSUAMI DIRAMPAS ISTERI KERASUKAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here