BADUT TUA

0
1245

BADUT TUA
Karya: Kupa kerdil
Suntingan: Dee Edot

========================================

POMM!

“Argghhhh! Mata aku. Sakit! Sakit!”

Zarul menggelupur di atas tanah. Tangannya menggeletar cuba menyentuh bahagian matanya yang baru sahaja terkena cecair beracun.

“Astaghfirullahalazim… Zarul! Apa kena dengan kau ni?” Cik Gayah kelam kabut mendapatkan anaknya itu. Sempat lagi dia melingas ke kiri dan ke kanan, cuba mencari siapa yang telah menyakiti anak kesayangannya itu.

“Mata Zarul mak… sakit, pedih!” Jerit Zarul. Cik Gayah mulai panik. Dia memapah Zarul masuk ke dalam rumah.

Cik Gayah membaringkan Zarul di atas sofa dan berlari ke dapur mengambil semangkuk air bersih. Zarul mencuci matanya dibantu oleh ibunya. Namun, rasa sakit dan pedih yang dialami oleh Zarul sedikit pun tidak berkurang. Malah ia semakin parah! Mata Zarul mulai berdarah.

Cik Gayah tidak mempunyai pilihan lain, dia menggapai telefon bimbitnya dan segera menghubungi ambulan.

***

“MAAFKAN kami, puan. Kami sudah berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan nyawa anak puan. Racun itu sudah merebak ke otak anak puan dan kami gagal menyelamatkannya.”

Penjelasan doktor yang mengambil kes Zarul membuatkan lutut Cik Gayah menjadi lembik. Hatinya luluh dan dia terduduk di lantai hospital. Sungguh, dia tidak menyangka anak kesayangannya hilang sekelip mata.

“Innalillahiwainnailaihirojiun.” Hasnah, jiran Cik Gayah mengucap panjang sebaik menerima panggilan daripada ibu Zarul.

Sebelum solat asar, Zarul telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan orang lslam Kampung Tamalang.

“Banyak-banyak bersabar ya, Cik Gayah. Harap-harap pelakunya dapat ditangkap dengan segera.” Hasnah mengelus belakang sahabat baiknya itu. Bahu Cik Gayah terhinjut-hinjut, dia asyik menangis sejak kembali dari hospital.

****

Baling belakang

Dua minggu yang lalu…

“HOI! Lutak anak badut! Sini kau kejap.” Zarul melambai tangannya ke arah Lutak yang dalam perjalanan pulang ke rumah. Lutak tidak mengendahkan panggilan Zarul, dia terus melangkah pergi.

Zarul bengang tidak diendahkan. Dia menghidupkan enjin motorsikalnya dan memecut laju mengejar Lutak.

Bam!

Lutak terpelanting ke dalam lopak di tepi jalan. Habis baju putih sekolahnya dipenuhi lumpur. Mujurlah Zarul memperlahankan motornya sebelum merempuh Lutak.

“Ambik kau! Aku panggil elok-elok kau tak nak dengar.” Zarul menyeringai dan berlalu meninggalkan Lutak di tepi jalan.

Lutak bangun perlahan-lahan. Siku kirinya berdarah akibat rempuhan itu tadi. Sudah berulangkali Zarul menyakitinya, namun Lutak tetap bersabar dan kali ini kelakuan Zarul agak melampau. Lutak sudah tidak tahan lagi, dia menangis dan marah kerana sering dibuli oleh Zarul. Kakinya menghayun langkah, pulang ke rumah dengan penuh amarah di dada.

Sampai sahaja di rumah, Lutak meluru masuk ke dalam bilik ayahnya. Pak Tuya yang sedang mengenakan mekap badut pada wajahnya tersentak melihat Lutak yang tiba-tiba masuk ke dalam biliknya.

“Apa kena dengan baju kamu tu, Lutak. Kamu pergi berkubang ke?” Sempat lagi Pak Tuya bergurau dengan anak lelakinya itu.

“Ni semua ayah punya pasallah! Kalau ayah tak jadi badut, tak adalah Lutak kena buli sampai macam ni!”

“Kena buli? Siapa buli kamu?” Pak Tuya meletakkan berus soleknya di atas meja. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Lutak yang sedang marah. Dada Lutak turun naik mendengus kencang.

“Siapa lagi kalau bukan anak Cik Gayah, Zarul! Lutak dah tak tahan ayah, selama ini Lutak diamkan aje. Zarul kata Lutak ni anak badut tua dan macam-macam lagi yang dia kata kat Lutak.”

“Alahai… budak Zarul tu tak habis-habis nak kacau orang. Hina sangatkah pekerjaan ayah ni, Lutak? Ayah buat kerja halal, hiburkan anak-anak kat pasar malam tu je pun. Bukannya ayah kacau orang.”

Pak Tuya yang sudah dimamah usia itu, sudah terbiasa dengan pekerjaannya sebagai seorang badut di malam hari. Memandangkan dia sudah tidak boleh melakukan kerja berat akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya, dia terpaksa melakukan pekerjaan itu untuk menanggung kos sara hidup mereka berdua. Isterinya sudah meninggal empat tahun yang lalu akibat mengalami kanser payu dara tahap akhir.

“Lutak cuma dah tak tahan dibuli, itu aje.” Air mata Lutak mengalir di pipi. Dia sebenarnya tidak mahu pun merungut tentang pekerjaan ayahnya itu.

“Dah… biarkan aje Zarul tu. Ayah tahu, Lutak anak yang baik. Biarlah orang nak kata apapun kat kita berdua, yang penting kita tak kacau orang.” Pak Tuya berdiri menghampiri anaknya.

“Lutak pergi mandi dulu ya. Bau kerbau dah anak ayah ni, lepas mandi pergi makan. Ayah dah sediakan makanan untuk kamu, nanti ikut ayah ke pasar malam. Ayah ada sulap baru nak ditunjukkan,” sambung Pak Tuya memujuk, Lutak.

Lutak menghela nafas pendek. Dia mengangguk dan pergi membersihkan dirinya. Usai mengisi perut, Lutak menemani ayahnya ke pasar malam untuk melakukan rutin harian ayahnya.

Sulap baru yang ditunjukkan oleh ayahnya memberikan hasil yang sangat lumayan. Dua beranak itu kelihatan gembira melihat pendapatan mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sehinggalah pasar malam ditutup pada jam 11 malam, mereka berdua pun pulang dengan berpuas hati.

***

“WEH! Kau nak buat apa dengan kerengga ni, Zarul. Kau nak kenakan anak badut tua tu lagi ke?” Pejul menggaru-garu tangannya yang gatal digigit kerengga.

“Ha’ah. Mesti seronok tengok budak tu kena gigit ngan kerengga ni. Dah, cepat! Tangkap kerengga tu sebelum anak badut tu balik sekolah,” arah Zarul. Kelam kabut Pejul memasukkan kerengga itu ke dalam plastik.

Seperti kebiasaannya, Lutak melalui jalan pintas pulang ke rumah. Jalan yang jarang dilalui oleh penduduk kampung, lagi pula jalan pintas itu memendekkan waktu perjalanannya ke sekolah mahu pun pulang ke rumah. Dia tidak menyedari Zarul dan Pejul sedang menunggunya di balik semak samun jalan tersebut.

“Dia datang!” Desis Pejul. Dari jauh kelihatan Lutak sedang berjalan menghampiri tempat persembunyian mereka berdua.

Sebaik sahaja Lutak lalu di depan mata, Zarul melompat keluar dari semak samun dan menyergah Lutak. Terkejut Lutak dibuatnya.

Zarul menekup mulut Lutak dan membawanya ke dalam semak. Dia diikat di bawah pokok, mulutnya disumbat dengan sehelai kain busuk. Zarul tidak mahu Lutak menjerit dan membuatkan mereka ditangkap.

“Lutak… Lutak… dah lama aku nak buat benda ni kat kau. Kau tau tak, ayah kau tu sebenarnya seorang pembunuh! Dia bunuh ayah aku! Gara-gara terserempak dengan badut tua tu tengah malam kat tepi jalan dengan muka badut dia tu, ayah aku terkena serangan jantung dan kereta ayah aku terbabas. Kalau ikutkan hati nak je aku penggal kepala kau kat sini, biar badut tua tu rasa macam mana rasa kehilangan orang yang dia sayang. Tapi… aku tak nak jadi pembunuh! Jadi, aku lebih suka menyiksa kau dengan cara aku sendiri.” Zarul menyepak kepala Lutak. Pejul hanya memerhati dari tepi, meskipun terbit rasa kasihan di hati Pejul namun dia tidak boleh berbuat apa-apa. Nanti tak pasal-pasal dia pula yang kena belasah dengan Zarul.

“Pejul! Bak sini plastik tu.”

Pejul segera memberikan plastik berisi kerengga itu pada, Zarul.

“Kau pasti ke nak buat benda ni kat dia. Kesian dia Zarul,” Pejul cuba menghentikan perbuatan Zarul.

“Kau diamlah bodoh! Duduk je kat situ,” jerkah Zarul. Pejul mengeluh berat, dia khuatir Lutak tidak dapat bertahan dengan gigitan kerengga tersebut.

“Aku bawakan hadiah untuk kau.” Zarul tersenyum sinis. Dia membuka ikatan plastik itu. Lutak menggeleng berulangkali, dia juga cuba menjerit namun, gagal kerana kain busuk itu disumbat padat ke dalam mulutnya.

Sebaik ikatan plastik dibuka, berduyun-duyun kerengga berebut-rebut keluar. Kerengga itu dituang ke atas kepala Lutak. Zarul ketawa terbahak-bahak melihat Lutak menggelupur dan menangis akibat digigit kerengga. Sedikit pun Zarul tidak berasa kasihan, malahan dia mengajuk Lutak yang sedang menggelupur kesakitan itu.

***

Selama satu jam, Lutak dibiarkan tersiksa digigit kerengga. Dia sudah tidak mampu bergerak dan hanya membiarkan sahaja kerengga itu terus menyerangnya dengan gigitan yang cukup menyakitkan. Seluruh tubuhnya kemerah-merahan dan bengkak-bengkak.

“Pejul, pergi buka ikatan budak tu,” arah Zarul. Pejul yang berdiri tidak jauh dari situ segera menuruti arahan Zarul.

“Jom balik! Biarkan aje dia kat situ. Nanti pandailah dia balik sendiri,” ujar Zarul.

Sebelum mereka beredar, Zarul sempat berpesan pada Lutak. Dia menyuruh Lutak merahsiakan perkara itu, kalau tidak Zarul akan membelasahnya nanti.

***

“ZARUL tu benar-benar dah melampau! Sanggup dia buat macam ni pada kamu. Ya, memang ayah yang menyebabkan kematian ayah dia, tapi ayah bukan sengaja nak menakutkan ayah dia. Ayah Zarul yang terkejut melihat ayah, bukannya ayah pergi takutkan orang tengah malam kat tepi jalan.” Pak Tuya menceritakan hal sebenar kepada Lutak.

Sebenarnya, waktu itu Pak Tuya dalam perjalanan pulang ke rumah setelah selesai menghiburkan orang di pasar malam. Encik Galik, ayah Zarul pada ketika itu dalam perjalanan pulang dari kota.

Dia yang sedang memandu terkejut melihat wajah Pak Tuya yang lengkap berpakaian badut terkena serangan jantung lalu terbabas melanggar pohon di tepi jalan. Encik Galik serta merta meninggal di tempat kejadian.

Perkara itu telah membuatkan, Zarul membenci Pak Tuya dan keluarganya. Sebab itulah, Zarul sering menyakiti Lutak.

“Ayah tak boleh biarkan Zarul terus menyakiti kamu. Dia harus diajar!” Bentak Pak Tuya.

“Ayah… Lutak tahu ayah tidak sengaja mengakibatkan kematian ayah Zarul, dan Lutak faham kenapa Zarul sering membuli Lutak. Biar ajelah Zarul tu ayah, tak usah kita besarkan perkara ini. Lutak tak mahu mengeruhkan lagi keadaan, biarlah dia menyakiti Lutak daripada dia menyakiti ayah.” Lutak menggenggam jari jemari tua Pak Tuya dengan erat.

Luluh hati Pak Tuya mendengar ungkapan Lutak. Walaupun Lutak baru mulai meningkat remaja, namun dia sudah berfikiran matang. Dia tidak sanggup melihat ayahnya disakiti oleh orang lain, biarlah dia sahaja yang dihina dan disakiti. Asalkan bukan ayahnya.

SUDAH seminggu Lutak terlantar di atas katil. Keadaannya juga semakin parah, Lutak mengalami demam panas yang berpanjangan sejak terkena gigitan kerengga. Zarul tidak mengetahui, sebenarnya kerengga tersebut adalah kerengga berbisa. Tubuh Lutak dipenuhi kudis yang disertai nanah akibat bisa kerengga.

Pak Tuya sudah berkali-kali memujuk Lutak untuk membawanya membuat rawatan di hospital, namun Lutak berkeras tidak mahu membuat rawatan. Dia tidak mahu membebankan ayahnya dengan bil perubatan hospital, memandangkan hasil kerja ayahnya kurang mendapat sambutan sejak akhir-akhir ini.

Penderitaan Lutak berakhir setelah seminggu lebih bertarung dengan penyakit yang dialaminya. Lutak menghembuskan nafas terakhir ketika ayahnya sedang menghiburkan anak-anak kecil di pasar malam.

Badut tua yang sedang gigih melakukan sulap di hadapan anak-anak kecil itu, tiba-tiba rasa tidak sedap hati. Dia hilang fokus dan sulapnya tidak menjadi. Ia mengakibatkan penonton mulai meninggalkan persembahannya.

“Boooo…. pergi baliklah badut tua!” Zarul bertempik tidak jauh dari tempat Pak Tuya melakukan persembahan sulap. Badut tua itu mencerlung tajam ke arah Zarul yang sedang mentertawakannya.

Mahu saja Pak Tuya menghempuk kepala Zarul ketika itu, namun fikirannya segera melayang ke tempat lain. Dia teringatkan Lutak yang ditinggalkan sendirian di rumah. Kalau ikutkan hati, Pak Tuya tidak mahu meninggalkan Lutak bersendirian.

Tapi, Lutak memujuk ayahnya pergi ke pasar malam pada malam itu kerana bimbang mereka tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan harian. Tanpa menunggu lama, Pak Tuya segera berkemas lalu bergegas pulang ke rumah kerana hatinya semakin tidak senang memikirkan Lutak.

“Innalillahiwainnailaihirojiun.”

Air mata jantan Pak Tuya meluncur laju saat melihat jasad anaknya terbaring kaku. Dia menangis meratapi pemergian anaknya, tubuh sejuk itu dipeluk seerat-eratnya bersama linangan air mata yang tidak henti-henti mengalir.

“Setan kau, Zarul! Kau bunuh anak aku. Kau akan mendapat balasan!” Pak Tuya menjerit seperti orang gila. Dia bersumpah akan membalas dendam pada Zarul.

Lutak disemadikan di sebelah kuburan arwah ibunya. Penduduk kampung juga terkejut mendengar berita menyedihkan itu, namun mereka tidak tahu apa sebenarnya yang telah terjadi kepada Lutak. Mereka menyangka Lutak terkena penyakit kusta. Hanya Zarul, Pejul dan Pak Tuya yang tahu akan penyebab kematian Lutak.

***

PAGI itu, Pak Tuya sengaja menajamkan sebilah pisau belati yang sudah lama tersimpan di dalam peti. Tajam dan berkilat pisau lama itu setelah diasah. Pisau itu disisipkan di celah pinggangnya, dia hanya menanti masa yang sesuai untuk melunaskan dendamnya.

“Eh, Pejul. Aku balik dululah, nanti membebel pula mak aku tu.” Zarul menepuk bahu Pejul yang sedang mengemaskan barang jualannya di pasar malam.

“Ha’ah, yelah. Aku pun nak tutup gerai jap lagi,” balas Pejul. Zarul tersenyum dan beredar pulang.

Pak Tuya sudah siap mengemaskan barangannya lebih awal. Dia duduk memerhatikan Pejul dari jauh tanpa disedari Pejul. Kau tunggu Pejul! Sanggup kau berdiam diri melihat Zarul menyiksa anakku. Getus Pak Tuya dalam hati. Pak Tuya meninggalkan pasar malam yang semakin lenggang.

Selang beberapa minit, Pejul pula menutup gerainya dan pulang ke rumah. Sedang asyik Pejul bersiul sambil menunggang laju motornya, tiba-tiba siulannya terhenti.

Tubuh Pejul yang tidak berkepala terpacak di atas motor meluncur laju sebelum terbabas ke bahu jalan. Kepala Pejul yang terputus dari badan bergolek di atas jalan akibat tersangkut pada dawai halus yang dipasang di atas jalan yang dia lalui.

Badut tua yang sedang berdiri di balik semak terkekeh puas. Dawai halus yang dipasangnya segera ditanggalkan agar tidak ada sesiapa yang mencurigai kematian Pejul. Sempat lagi dia memotong lidah Pejul menggunakan pisau belati yang diasahnya pagi tadi. Dia marah pada Pejul kerana turut bersubahat dengan Zarul.

AWAL pagi itu, penduduk Kampung Tamalang digemparkan dengan penemuan mayat Pejul yang terputus kepala. Tidak ada sesiapapun yang mencurigai kejadian itu kerana Pejul memang terkenal dengan motor rempitnya. Mereka mengandaikan Pejul mati kemalangan dan kepalanya terputus akibat terlanggar penghadang di tepi jalan.

Pengebumian Pejul berjalan lancar. Zarul juga turut berada di situ. Sebaik semuanya selesai, Zarul beransur pulang ke rumah. Jelas terpampang kesedihan pada wajahnya kerana telah kehilangan sahabat baiknya itu.

“Abang! Tunggu kejap.” Seorang budak perempuan yang tidak dikenali oleh Zarul berlari anak menuju ke arahnya.

“Hmm… kau nak apa?” Tanya Zarul.

“Nah… belon penghilang kesedihan. Ambillah.” Budak perempuan itu menghulurkan tali benang yang diikat pada belon tersebut kepada, Zarul. Belon itu bertukar tangan.

“Belon penghilang kesedihan? Merepeklah kau ni,” kata Zarul. Budak perempuan itu tersenyum kecil lalu pergi dari situ. Zarul menggeleng dan meneruskan langkah pulang ke rumah.

Langkah kaki Zarul terhenti di halaman rumahnya. Belon merah itu diturunkan dan diamati. Bila masa pula belon boleh menghilangkan kesedihan? Buat malu aku je bawa belon ni, aku bukannya budak-budak lagi. Zarul memicit belon itu sekuat hati.

POMM!

Belon yang pecah itu merembeskan cecair jernih lalu terkena pada matanya.

****

“Nah, ini upah kau. Malam nanti jangan lupa datang tengok sulap badut tua kat pasar malam ya.” Pak Tuya menghulurkan duit RM10 kepada budak perempuan yang memberikan belon merah itu kepada, Zarul.

Pak Tuya sangat berpuas hati kerana berjaya melunaskan dendam ke atas kematian anaknya, Lutak. Badut tua itu berjaya menghapuskan Zarul dan Pejul, tanpa diketahui oleh sesiapa sepertimana Zarul dan Pejul menyebabkan kematian, Lutak.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleFLAT
Next articleLIVE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here