Banglo

0
2197

Tajuk : Banglo
Karya: Rey Qasha

=================

Suara halus bernyanyi diselangi tawa berjaya membuatkan mataku membulat. Lenaku terganggu.

“Siapa pula tu?” aku tertanya-tanya. Dadaku berdebar kencang. Perlahan-lahan aku bangun dari baringku lalu menuju ke pintu bilik. Aku mengeluh perlahan. Juga ketakutan. Suamiku tiada. Sudah beberapa hari dia bertugas di luar kawasan.

Anak-anakku pula, lazimnya pada waktu begini mereka bahagia diulit mimpi.

Aku mencapai raket tenis suamiku di belakang pintu. Dengan kaki menggeletar, perlahan-lahan aku keluar. Terjengket-jengket menuruni tangga. Berhati-hati. Peluh halus di dahi seiring debaran di hati. Ruang tamu terang-benderang.

Seingatku, lampu sudah dipadamkan sebelum kami semua naik ke tingkat atas. Aku nekad jika ada yang memecah masuk, akan ku lawan habis-habisan. Tiba-tiba saja keberanianku muncul.

“Mama.” anak sulungku yang berusia lapan tahun tersengih-sengih memandangku. Adiknya leka menulis sesuatu pada buku tulis di atas meja. Aku menarik nafas lega. Namun sedikit geram kerana anak-anakku masih tidak tidur. Malahan mereka berani berjaga di tengah malam. Berada di ruang tamu pula tu.

Kebiasaannya jika hendak ke mana-mana di dalam rumah ini pun perlu ditemani. Raket tenis aku letakkan di atas sofa.

“Kenapa abang dan adik tak tidur lagi? Berani pula duduk di bawah ni. Kenapa tak kejutkan mama?” soalku.

Si adik merapatiku.

“Abang ajak adik turun. Abang kata nak minum air.”

Aku hanya mampu menggelengkan kepala sambil tanganku menggosok kepala di bongsu.

“Abang dah minum air, kenapa tak ajak adik masuk bilik? Esok pun boleh sambung bermain. Waktu macam ni waktu untuk tidur.”

Anak-anakku tersengih. Mereka tahu aku cuma tegas di bibir. Kehendak mereka pasti aku turuti.

“Sekarang ni abang tak mengantuk, mama. Esok tak sekolah. Abang nak main dengan adik sekejap je. Lepas ni abang ajak adik tidur. Boleh ye, mama.”

Abang memeluk pinggangku. Aku membalas pelukannya. Kepalanya aku gosok. Anak sulungku ini lebih rapat dengan suamiku.

“Mama mengantuk ni. Awal pagi mama nak ke pasar, nak beli lauk. Mama nak masak makanan kegemaran papa. Jom tidur, sayang.”
Aku memujuk mereka. Si adik memuncungkan bibir. Si anak yang berusia lima tahun ini lebih rapat denganku. Sikapnya lebih lembut jika nak dibandingkan dengan abangnya. Bak kata orang, mudah bertolak-ansur.

“Alaa, mama tidur kat sini. Adik belum nak tidur lagi.” rayu si adik pula. Tangannya menunjukkan sofa di hadapannya, mahu aku tidur di situ. Tak sampai hati pula aku nak berkeras. Lagi pun esok tak sekolah. Sesekali apa salahnya mereka tidur lewat.

“Okey. Abang dengan adik main dulu. Mama nak ke dapur sekejap. Nanti mama datang, ye.” aku menggosok kepala anak-anakku. Melangkah saja ke dapur, mataku melihat pinggan mangkuk yang berlonggok di dalam sinki. Aku teringat aku masih belum mencuci cadar. Sudah seharian aku merendam cadar di dalam besen. Aku memutuskan untuk mencuci cadar dulu.

Pinggan-mangkuk kotor pula akan aku selesaikan sebelum aku ke pasar. Selesai mencuci cadar, aku ke ruang tamu. Anak-anakku tiada. Ruang tamu kelihatan kemas. Tiada lagi buku-buku dan juga permainan anak-anakku. Aku menuju ke bilik anak-anakku. Mereka sudah lena di atas katil masing-masing. Kelopak mataku mulai memberat. Aku mahu tidur.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Bunyi guruh yang kuat mengejutkan aku dari lena. Aku bangun dengan keadaan mamai. Terhuyung-hayang aku berjalan ke tingkap. Dahan pokok bergoyang kuat ditiup angin.

“Hmm. Nak hujan ni.” aku mengeluh perlahan. Aku ke bilik anak-anakku pula. Risau jika mereka tersedar akibat bunyi guruh tadi. Pintu bilik ku tolak perlahan. Anak-anakku tiada. Aku tergamam. Menggigil tubuhku menuruni tangga.

“Abang! Adik!” laungku. Tiada jawapan. Aku terkaku. Ruang tamu gelap. Aku berlari ke dapur. Juga sunyi. Aku memberanikan diri membuka pintu, melihat ke luar. Aku keluar ke halaman, terjerit-jerit memanggil nama mereka dalam deruan angin kencang.

Aku berlari masuk. Sekali lagi aku naik ke tingkat atas. Anak-anakku tiada. Aku terduduk lemah di muka pintu bilik mereka. Air mata mengalir laju. Aku menangis tanpa suara. Fikiranku serabut memikirkan kehilangan anak-anakku. Kemudian aku teringatkan suamiku.

“Kenapa aku tak terfikir nak hubungi dia.” aku bergegas ke bilik. Ku capai telefon bimbit di atas meja solek. Hampa. Aku terlupa untuk cas sebelum tidur tadi. Aku menjerit melepaskan geram.

Telefon bimbitku lempar ke lantai. Aku ke tingkat bawah, lalu ke dapur mengambil lampu suluh. Aku akan meminta pertolongan jiran terdekat. Ketika sampai di muka pintu, baru aku tersedar jiran terdekat kami hampir 500 meter jaraknya. Aku termangu-mangu seketika. Fikiranku berbelah bahagi. Mahu meredah kegelapan malam seorang diri, dalam ribut kencang, sungguh aku takut. Tapi mengenangkan anak-anak, terpaksa aku beranikan diri. Aku perlukan sesuatu yang boleh aku jadikan senjata. Risau jika aku terserempak dengan sesuatu yang mengancam keselamatanku.

Dalam gementar, aku berlari anak menuju ke rumah jiranku. Rasa kesal mulai timbul kerana menolak cadangan suamiku untuk menghantar kereta yang mengalami masalah enjin ke bengkel. Bagiku jika kereta itu lewat dibaiki pun tidak mengapa kerana aku jarang memandu. Sejak kami sekeluarga berpindah ke rumah baru kami, segala keperluan harian, suamiku yang belikan. Sambil berlari mataku liar memerhatikan kiri dan kanan jalan. Hanya padang golf yang luas di bahagian kananku, namun sunyi. Lampu suluhku halakan ke bawah saja. Angin yang kuat dan bunyi-bunyi aneh, sangat menakutkan.

Aku lega sebaik saja nampak sebuah banglo besar berwarna hijau tua. Bahagian luarnya dinyalakan lampu. Aku melajukan larian. Menghampiri pintu pagar. Aku menekan loceng berkali-kali. Namun tiada siapa yang membuka pintu. Aku memberi salam dalam tangisan. Hingga serak suaraku. Juga tiada jawapan. Apabila aku sedar tiada sebarang kenderaan yang diparkir di garaj, aku menjerit melepaskan perasaan geram dan sedih.

Aku berlari pulang ke rumah. Kali ini aku berlari sekuat hati. Angin yang kuat, tak kuhiraukan. Aku mesti segera sampai. Berada di luar, dengan keadaan gelap dan angin kencang serta tiada sesiapa yang boleh aku harapkan untuk membantu membuatkan aku rasa nak gila. Aku termengah-mengah di hadapan rumah. Pintu rumahku renggang.

“Eh, siapa pula yang buka pintu?” aku terkaku. Jantungku berdegup kencang. Pelbagai perasaan muncul. Aku mengesyaki ada orang lain telah masuk ke rumahku. Perlahan-lahan aku berundur dan menuju ke belakang rumah. Dalam kegelapan, aku meraba-raba sambil memegang dinding. Aku ingin mencari sesuatu. Gunting yang aku bawa tadi tak dapat membantu. Aku perlukan sesuatu yang besar dan berat. Aku masuk ke stor kecil kami, menyuluh di sana dan di sini, mencari alat yang sesuai.

Akhirnya aku ternampak besi sepanjang satu meter sebesar lengan anak bongsuku. Aku capai dan genggam erat. Lampu suluh aku matikan. Aku nekad melangkah ke pintu rumah walaupun jantungku berdegup kencang.

Perlahan-lahan aku menyelit masuk. Keadaan gelap menyukarkan pandanganku. Orang yang masuk ke rumahku juga telah memadamkan lampu di tingkat atas. Aku berpeluh. Cemas dan risau kerana aku akan berhadapan dengan orang yang jahat lagi zalim. Aku sedar dalam suasana yang gelap begitu, tak banyak yang dapat aku lakukan.

Apa yang penting, aku harus peka dengan bunyi dan sebarang pergerakan. Jika ada yang menghampiri, akan aku hentak sekuat hati menggunakan besi ini. Kakiku melangkah perlahan-lahan merapati dinding. Telingaku cuba mengesan sebarang bunyi. Beberapa saat berlalu. Masih sunyi.

Seseorang bergerak pantas di sebelah kiriku. Besi ku genggam erat. Nafas ku hela perlahan. Sekali lagi bunyi itu datang dari sebelah kiriku.

“Oh, kau main-main pula ye!” hatiku jadi geram. Ku angkat besi separas dada. Bayangan itu melintas lagi. Aku hayunkan besi dengan sekuat tenaga.

“ Zappp!” Pukulanku tepat mengenai sesuatu yang keras. Mungkin kepalanya. Bunyi sesuatu jatuh dengan kuat, diikuti dengusan nafas kasar. Aku tersenyum dalam debaran. Mataku berair dan pedih. Ada yang mendekatiku dari belakang. Aku memusingkan badan sambil menghayunkan besi sekuat tenaga.

“Aargghh!” jeritan yang kuat bergema sebelum mangsa pukulanku jatuh ke lantai. Bunyi hempasan badannya membuatkan aku rasa bersyukur. Aku berjaya menumpaskan mereka. Aku menunggu untuk beberapa saat. Jika ada lagi anggota kumpulan penjahat tersebut yang belum aku selesaikan.

Beberapa detik yang sunyi. Aku yakin tiada sesiapa lagi. Lega. Tanganku meraba-raba mencari suis lampu ruang tamu.

” Ah, ini dia!” tak sabar aku ingin lihat wajah penjahat-penjahat tersebut. Pasti mereka nyawa-nyawa ikan setelah dihentak dengan besi.

“Rasakan! Siapa suruh masuk ke rumah orang!” sempat lagi aku mengomel. Suis lampu aku tekan. Ruang tamu terang-benderang.

Mataku terbelalak. Besi terlepas dari tangan. Aku menekup mulut bersama air mata yang berjuraian.

Aku jadi tak tentu arah. Dadaku bagai nak pecah melihat anak sulungku tercungap-cungap dengan tangan terkapai-kapai. Dia terbaring lemah di atas lantai yang dibasahi darah. Dahinya terkoyak luas. Matanya memandangku dengan sayu. Suamiku pula sudah tertiarap berhampiran dinding. Darah membuak-buak keluar dari kepalanya. Anak mata kirinya tersembul. Terketar-ketar aku menghampiri anakku. Segera aku peluk tubuhnya. Bajuku dibasahi dengan darah.

“Maafkan mama. Mama tak sengaja. Mama tak tahu Abang nak bergurau dengan mama. Mama ingatkan ada orang jahat masuk rumah kita.” aku meraung hiba sambil mencium wajah anakku. Tak aku hiraukan pakaianku dipenuhi darah. Melihat dahinya yang terkoyak besar membuatkan hatiku pedih. Darah turut mengalir dari hidungnya. Perlahan-lahan aku mengangkat dan meletakkan anakku di atas sofa. Aku menghampiri suamiku dgn penuh debaran.

“Masih bernyawa lagi, kah?”Aku memusingkan tubuhnya. Jelas terbayang wajahnya terseksa menahan kesakitan. Aku meraung sekuat hati. Suamiku telah pergi. Menemui ajal di tangan isterinya sendiri. Aku memeluk erat tubuh suamiku.

Mencium jari-jemarinya memohon ampun. Aku menangis dan terus menangis. Fikiranku tak menentu. Aku berusaha mengawal kesedihan. Aku menghampiri anakku. Matanya terpejam. Tiada sebarang pergerakan. Aku memegang pergelangan tangannya. Tiada denyut nadi. Aku rebah di situ juga.

Ketika aku tersedar, suasana terasa sunyi. Kosong. Seperti hatiku. Perlahan-lahan aku bangun. Tanganku memegang sofa untuk menampung badanku. Langkah kakiku melayang-layang. Aku melihat sekeliling. Pelik. Jasad suami dan anakku tiada. Lantai dan dinding bersih. Tiada sebarang kesan darah.

“Apa sebenarnya yang berlaku?”Aku semakin keliru. Fikiranku gagal berfungsi.

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Zikri memeriksa jika terdapat sebarang kesilapan ejaan. Dia berpuas hati. Sebagai penulis kisah-kisah misteri, dia telah menyiasat tentang banglo tinggal tersebut. Termasuk berjumpa dengan jiran yang berhampiran, juga menemui waris salah seorang daripada pasangan itu untuk pengesahan. Hasilnya, dia berjaya mendapatkan cerita sebenar di sebalik banglo tinggal yang dikatakan berhantu itu.

Dia terpandang banglo cantik yang tidak berpenghuni selama tiga tahun itu sewaktu menemani rakannya bermain golf. Bagai ada sesuatu yang menggamitnya untuk menghampiri. Sudah dua kali dia datang namun hanya dapat meninjau dari luar saja. Waris pasangan tersebut tidak mengizinkan sesiapa pun masuk. Banglo tersebut dikunci dan ada orang yang diupah menjaganya pada siang hari.

Zikri teringat akan kisah sebenar yang disampaikan waris pasangan tersebut. Kata mereka, pada malam kejadian, si suami dalam perjalanan pulang namun keretanya menghadapi masalah enjin hampir dua kilometer dari rumah mereka.
Jadi si suami memarkir keretanya di tepi jalan lalu pulang berjalan kaki.

Sebaik tiba, si suami terus ke bilik anak-anaknya dahulu. Dia rindukan gelak ketawa anak-anaknya. Kelihatan mereka tidur dengan lena. Si isteri pula, kerana keletihan, tidur lena tanpa sedar kepulangan si suami. Si suami yang ingin menyakat si isteri telah mengejutkan anak-anaknya dari tidur dan membawa mereka bersembunyi di bilik tamu di tingkat bawah.

Si isteri pula dalam keadaan panik dan tertekan untuk mencari anak-anaknya, terus keluar dari rumah tanpa memeriksa bilik tamu. Si suami dan anak yang sulung kemudiannya menunggu di ruang tamu dalam keadaan gelap-gelita untuk memberi kejutan pada si isteri. Sangkaannya, si isteri cuma keluar ke halaman rumah. Manakala anak bongsu disuruh menunggu di bilik tamu. Sebaik saja si isteri masuk ke dalam rumah, tanpa disangka, si anak yang cuba mendekati ibunya dipukul dengan besi.

Si suami yang terkejut, pantas menghampiri si isteri namun turut dipukul dengan kuat lalu mati serta-merta. Bagaimana pula dengan si isteri dan anak bongsu mereka?Si isteri yang sedar dari pengsan tak lama kemudian, mula menjerit histeria kerana terpandang jasad suami dan anak sulungnya yang mengerikan dengan darah di serata tempat. Dia menjerit tanpa henti sambil berlari menaiki tangga. Tanpa sedar dia merempuh anak bongsunya. Kanak-kanak malang itu tergolek hingga ke tangga akhir. Darah berhamburan keluar dari mulut si anak. Si isteri kian bingung. Badannya menggeletar kuat. Fikirannya serabut. Perlahan-lahan diheret kakinya menuju ke bilik. Dan keluar ke balkoni. Tanpa sebarang perasaan, dia berdiri di atas tembok balkoni lalu terjun.

Tengahari itu, mekanik yang kebetulan datang ke rumah untuk berjumpa dengan si suami telah menemui mayat si isteri. Keadaannya sungguh mengerikan. Kepala pecah. Kaki patah. Sebiji mata terkeluar dari soket mata. Darah pekat kehitaman membasahi lantai.

Beberapa anggota polis yang memasuki banglo pasangan tersebut turut menemui mayat dua beranak yang bermandikan darah. Dalam waktu singkat, banglo tersebut menjadi tumpuan orang berhampiran. Ada juga yang datang dari luar. Pihak polis juga telah menutup kes ini setelah siasatan dijalankan selama beberapa minggu. Hanya anak bongsu yang masih hidup namun dia tak dapat menceritakan apa yang berlaku.

Zikri menggelengkan kepalanya.

“Kasihan budak tu.” keluhnya. Anak kecil itu cuma cedera di kepala, patah hidung dan pengsan setelah jatuh tangga. Namun mengalami trauma untuk beberapa bulan. Sebaik saja sedar, ibu dan bapa saudara mengambilnya tinggal bersama mereka. Jenazah ibu, bapa dan abangnya pula dikebumikan di dalam satu liang lahad.

Zikri berdiri di hadapan banglo cantik itu. Namun suasananya kelihatan suram. Dia sengaja memilih waktu senja kerana pada waktu itu penjaga sudah pulang. Tiada sesiapa yang berada di situ.

“Aku mesti masuk ke dalam banglo ni. Aku nak rasai pengalaman berada di tempat orang mati kena bunuh.” dia tersenyum lebar. Kakinya melangkah manakala matanya memerhati sekeliling.

“Oh, lupa pula. Banglo ni jauh dari banglo lain. Lagipun pada waktu begini, siapa je yang berani lalu.” dia ketawa kecil. Setelah berkali-kali, pintu diumpil.

“Nak seribu daya.” dia bersuara dengan nada riak lalu menolak pintu. Tiba-tiba saja wajahnya disapa angin sejuk.

“Wow. Boleh tahan sambutannya.” Lampu suluh dinyalakan. Bau seperti udara pengap menusuk hidung. Ruang tamu bersih. Begitu juga lantainya. Tidak banyak perabot. Hanya sofa dan meja kopi yang tinggal.

“Mungkin di sofa inilah anak sulung mereka menghembuskan nafas terakhir.” Teka Zikri lalu duduk di atas sofa tersebut dgn selamba. Dia memejamkan mata. Cuba merasai keseraman yang hangat diperkatakan.

Untuk beberapa ketika, tiada apa yang berlaku. Zikri menuju ke dapur. Disuluh merata-rata. Hanya ada kabinet kosong. Dia berpatah balik ke ruang tamu. Anak tangga dilangkah laju menuju ke atas. Perasaan takut tak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Pintu bilik utama terbuka luas. Cuma tinggal almari pakaian. Dia kemudian menuju ke bilik sebelah.

“Ini pasti bilik anak-anak mereka. Bersih. Kalau waris jual banglo ni, mesti ramai berminat nak beli.” Dia teringatkan sesuatu. Pantas dia berlari ke bilik utama. Balkoni dijengah. Dia memandang ke bawah. Dia sedang membayangkan saat si isteri terjun dari balkoni kemudian kepalanya tergeleng perlahan. Kesal dengan tindakan wanita itu. Dia keluar dari bilik utama, mahu meneroka ruangan yang lain. Ketika mahu menuruni tangga, dia terperasan kelibat seseorang berlari laju di tingkat bawah. Nafasnya bagaikan terhenti.

“Ada orang lain ke yang tinggal dalam banglo berhantu ni?”Dia berkejar ke tingkat bawah namun tiada sesiapa. Dia memicit dahi.

“Perasaan aku je.” Baru saja mahu ke bilik tamu, dia terdengar seakan bunyi besi diseret dengan perlahan. Dia mendiamkan diri.

“Sreeeeettt.” Bunyi itu bergema lagi. Zikri kaku. Peluh halus mula memenuhi dahinya.

“Masak aku kalau orang jahat yang tinggal dalam ni.” Zikri memusingkan tubuhnya perlahan-lahan. Lampu suluh yang menyala menyuluh sesuatu.

“Arghhh!!”Zikri terjerit kecil lalu jatuh terduduk.

Terkejut melihat seorang wanita yang berpakaian serabai sedang berdiri tegak di penjuru ruang tamu dengan menundukkn wajahnya.

Perlahan-lahan Zikri bangun. Dia menghampiri wanita itu. Tiba-tiba wanita itu mengangkat tangannya seolah-olah menyuruh Zikri berhenti. Zikri akur. Dia cuba mengintai wajah wanita itu. Cahaya lampu suluhnya mulai malap.

“Aiseh. Waktu macam ni pula kau nak malap.” Rungutnya. Lampu suluh tersebut diketuk perlahan pada dinding. Tak berjaya. Cahaya makin malap.

“Kak buat apa dalam banglo ni?Memang dah lama tinggal dalam ni ke?Saya bukan nak ganggu sesiapa, masuk sebab nak tengok-tengok je. Lagipun saya tak tahu ada orang lain dalam banglo ni.” Zikri tersengih-sengih sambil menggaru kepalanya.

Wanita itu membelakangkan Zikri. Zikri duduk di atas sofa.

“Kak, mari duduk sini. Boleh kita bertukar-tukar cerita. Kalau kak dah lama tinggal dalam banglo ni, mesti banyak cerita kak boleh kongsi dengan saya.”
Wanita itu tak mengendahkannya.

” Kak, marilah sini. Kita bertukar cerita.” Panggil Zikri tanpa putus asa. Dia menyeluk seluar, mengeluarkan telefon bimbitnya.

” Ah… Tak ada liputan rangkaian pula.” Telefon bimbitnya dihalakan ke sana dan ke mari. Zikri hampa.

“Berani kau ye!”Suara wanita itu meninggi.

Zikri terpinga-pinga.

“Berani sebab masuk ke sini, ke?” Soalnya.

“Kau terlalu berani. Kenapa kau sibuk nak tahu urusan orang lain! “Jerkah wanita itu lagi.

Zikri mulai faham.

“Salah ke, kak?Saya memang suka cari kisah misteri. Macam kisah banglo ni. Kisah-kisah misteri membuatkan saya rasa teruja dan mencabar diri. Seronok!” Balasnya sambil ketawa.

“Seronok?!” Wanita itu mundar-mandir perlahan-lahan di belakang sofa yang diduduki Zikri.

“Manusia memang menyusahkan!” Rungut wanita itu.

“Kak, kenapa merungut pula ni. Nama pun manusia. Ada yang baik. Ada juga sebaliknya. Jadi mesti ada sebab kenapa kak bersembunyi di sini. Kak taknak kongsikan sebabnya dengan saya ke?” Zikri memusingkan badannya. Dia benar-benar terkejut hingga terjatuh ke lantai.
Pucat lesi mukanya tatkala melihat wanita tadi terapung-apung di udara. Kepalanya hampir mencecah siling.

“Kenapa?Kau takut?” Wanita itu ketawa mengilai.

Zikri terkulat-kulat. Mukanya seperti mahu menangis. Hilaian yang mendayu-dayu bertukar kepada tangisan. Bergema seluruh banglo itu. Zikri menahan rasa. Ada pelbagai rasa yang berperang di dalam dirinya. Rasa takut, kesal, teruja. Tubuhnya berpeluh-peluh.

“Baru kali ni aku dapat tengok hantu sebenar depan mata. Sebelum ni cuba bayangan atau sekali imbas saja.” Bisik hatinya.

“Kau tak tahu apa-apa, budak. Kenapa kau sibuk nak masuk campur urusan aku!” Hantu wanita itu terbang laju menghampiri Zikri.

Mukanya sengaja dirapatkan dengan muka Zikri. Bulat mata lelaki itu melihat wajah mengerikan di hadapannya. Keseluruhan matanya hitam. Wajahnya pucat dan ada bahagian kulit muka yang terkopek. Tiada hidung, hanya ada dua lubang kecil dan juga mulut yang ternganga luas.

Zikri memejamkan mata. Jantungnya berdegup kencang.

“Aku kena keluar dari tempat ni.” Dia mengesot perlahan-lahan.

“Kau nak ke mana tu? Tak mahu dengar kisah aku?” Hantu wanita itu seakan merayu. Zikri memberanikan dirinya membuka mata. Hantu wanita itu kembali berdiri tegak berhampiran sofa.

“Baiklah. Aku nak dengar. Cerita cepat.” Suara Zikri tenggelam-timbul.

Mengilai hantu wanita itu mendengar jawapan Zikri.

“Apa yang kau dan orang di luar sana dengar, itu semua tak benar. Mereka bohong!!!” Pekiknya. Nyaring dan bergema. Zikri memekup telinga. Bingit.

“Aku tak bunuh sesiapa!” Tangisnya mendayu-dayu. Kedengaran seram pada Zikri. Dari tadi dia mengesat peluh di dahinya.

“Padan muka aku. Betul-betul dapat bercakap dengan hantu.” Gumamnya perlahan.

“Kalau kau tak bunuh suami dan anak kau, siapa pula yang bunuh mereka?” Soal Zikri berhati-hati namun penuh rasa ingin tahu.

“Aku dibunuh…” Perlahan saja suara hantu wanita itu.

“Dibunuh?!” Zikri seperti tidak percaya.

“Aku dah jumpa waris suami kau. Mereka kata kau bunuh anak dan suami tanpa sengaja lepas tu kau pula bunuh diri.” Tegas Zikri.

“Bukan kau yang kena bunuh!” Sekelip mata hantu wanita itu berada di depannya. Zikri pejamkan mata. Bau hanyir darah menusuk ke hidung. Zikri cuba menahan nafas namun dadanya terasa sesak. Terdengar hilaian wanita itu.

“Kau angkuh, budak! Kau cakap besar tanpa berfikir panjang. Kau fikir tempat ni tempat kau?” Hantu wanita itu kembali terapung-apung. Dia menuju ke dapur. Zikri teragak-agak untuk mengekori namun diatur langkahnya perlahan-lahan

.
Hantu wanita itu bertenggek di sinki. Zikri menelan liur. Aura seram semakin kuat. Dia berpura-pura tenang.

“Aku di sini pada malam kepulangan suamiku.”

Zikri bersandar pada dinding dapur. Sesekali matanya mencuri pandang pada hantu wanita itu.

“Aku terkejut melihat suamiku pulang bersama seorang wanita. Mereka kelihatan mesra.” Tiba-tiba hantu wanita itu ghaib. Zikri kembali ke ruang tamu. Dilihatnya hantu wanita itu duduk bersandar di sofa.

“Aku tahu kau tu hantu. Suka-suka je hilang. Aku dah nak terkucil sebab terkejut, tau tak.” Kutuk Zikri dalam hati.

“Kau dah dapat apa yang kau minta.” Suara hantu wanita itu seperti mengejek.

“Eh, aku tak minta apa-apa.” Zikri menafikan.
“Kau akan rasa apa yang aku rasa. Sekarang kau dengar apa yang aku nak sampaikan.” Mata hitam itu merenung Zikri. Laju Zikri menundukkan wajah. Ngeri ditenung sebegitu.

“Hati wanita mana yang tak hancur apabila suaminya mengatakan sudah bernikah lagi. Begitu juga aku. Hancur hati aku!Tak ku sangka mereka sudah setahun bernikah tanpa pengetahuanku. Aku hanya menangis dan menangis. Saat itu aku tak mampu untuk bersuara.”

Bergema tangisan diselangi hilaian. Zikri rasa sungguh seram walaupun kisah hantu wanita itu menyentuh hatinya.

“Jadi suami kau tergamak bunuh kau kerana isteri barunya?Tapi siapa pula yang bunuh suami dan anak kau tu? Ke mana isteri barunya menghilang? “Zikri bersuara dengan rasa tak sabar. Dia ingin tahu lebih banyak.

Dia ingin memberitahu kepada dunia luar sana akan pengalamannya bertemu roh orang mati dan juga rahsia sebenar di sebalik kejadian.

“Sabar, manusia. Satu-persatu aku akan ceritakan. Tak perlu gelojoh.” Mata hitamnya semakin membulat. Mulutnya menyeringai luas, menampakkan gigi taringnya. Zikri terdiam.

“Suamiku menjelaskan, dia mahu menukar beberapa aset di atas namaku kepada nama isteri barunya. Maka pertengkaran pun bermula. Aku tak puas hati kerana ada orang lain yang berani mengacau hak aku. Dia dah ambil suami aku! Banglo ini yang dihadiahkan suamiku pun mahu dirampasnya. Aku takkan benarkan!”Jerit hantu wanita itu lalu mengilai panjang sambil terbang ke sana-sini.

Zikri terduduk di sudut ruang tamu. Badannya menggeletar. Akalnya ligat memikirkn cara utk melepaskn diri dari hantu wanita itu.
Timbul rasa kesal kerana masuk ke banglo tinggal itu.

“ Kau nak lari ye.” Bisik hantu wanita itu ke telinga Zikri. Tiba-tiba saja dia mencangkung di sebelah Zikri sehingga Zikri terjerit kecil.

” Ma… Mana aa… ada… Sambung balik cerita kau tadi.”

Terketar-ketar Zikri menjawab. Tangan kurus hantu wanita itu mendarat di bahu Zikri . Kukunya yang panjang lagi tajam ditekan perlahan-lahan. Zikri menyeringai menahan pedih.

Kemudian tengkuk Zikri pula digosok. Zikri hanya mampu pejamkan mata dan berharap semua ini akan berakhir dengan cepat. Hantu wanita itu kembali mengilai. Perit telinga Zikri. Hatinya sebal.

“Aku sangat marah, sakit hati dan kecewa. Aku pukul wanita itu. Dia juga melawan dan menyerangku. Paling menyedihkan bila suamiku memukul aku kembali untuk mempertahankan isteri barunya.” Tangisnya tersedu-sedu. Air mata hitam mengalir membasahi pipi.

Zikri berdiri. “Kalau kau mati dibunuh, kenapa kau masih tunggu di sini?! Kenapa tak cari pembunuh kau?”

“Aku dipaksa untuk tandatangani dokumen yang disediakan. Aku tahu wanita itu licik. Dia ada muslihat. Sekali lagi aku hilang kawalan. Aku menampar wanita itu dan mencakar pipi kirinya.”

Terbit rasa simpati pada hantu wanita itu.

“Pasti rohnya tak tenteram.” Bisik hati Zikri.

” Aku rasa aku tahu siapa yang bunuh kau. Mesti wanita tu, kan.” Teka Zikri. Hantu wanita itu ketawa perlahan.

“Kau memang bijak. Jadi kau nak tahu bagaimana dia bunuh aku?”

Zikri mengangguk. Dia mahukan jawapan.

“Ye. Aku nak tahu.” Zikri bersuara bila menyedari anggukannya tidak disedari.

“Sebaik saja aku menampar dan mencakar pipinya, suamiku menolakku sekuat hati. Kepalaku terhantuk pada bucu meja. Aku pengsan.”

Perlahan-lahan Zikri merapati dinding. Dia merancang mahu ke pintu, lima meter saja darinya. Sebab itu dia berpura-pura mahu mengetahui kisah malang hantu wanita tersebut. Sedangkan dalam hatinya, tak sabar mahu meninggalkan banglo berpuaka itu.

“Bila aku sedar, aku sudah berada di bilikku dalam keadaan yang lemah. Aku tak berdaya mengangkat kepala. Seolah-olah aku diberi ubat khayal.” Hantu wanita itu mendekati pintu utama. Zikri ketap gigi menahan rasa kecewa namun dia cuba bertenang. Dia menuju ke tangga.

“Jadi, kau dibunuh dalam bilik kau sendiri, ye.” Zikri mendaki anak tangga dengan laju. Sekelip mata hantu wanita itu sudah berada di anak tangga paling atas. Zikri mulai gelisah.

“Hantu ni mcm tahu je aku nak lari.” Keluhnya perlahan.

“Kenapa budak? Kau takut?”Soal hantu wanita seperti mengejek. Dia ketawa lagi sambil berpusing mengelilingi Zikri.

“Aku tak takut!Cepat habiskan cerita kau.” Zikri melangkah masuk ke bilik utama. Bilik yang dikatakan menjadi tempat pembunuhan. Hantu wanita itu bertenggek di atas almari pakaian. Bertambah seram Zikri rasakan. Dia hanya memandang ke bawah.

“ Waktu itu aku hanya mampu bersuara. Aku menjerit memanggil suami dan anak-anakku. Hampa. Tak lama kemudian wanita itu masuk ke bilik ini. Menarikku dan mengheretku dengan kasar ke balkoni. Tangisan dan jeritanku tak diendahkan. Aku merayu supaya dilepaskn. Dia boleh ambil apa saja yang dia mahu. Aku cuma mahu dia lepaskan aku dan anak-anakku. Itu saja.” Tinggi rendah tangisan hantu wanita itu. Hati Zikri yang tersentuh, kembali dicuit perasaan gerun. Gerun melihat wajah hantu wanita dengan mata hitam dan mulut yang dipenuhi gigi tajam.

Zikri mencuri pandang ke arah balkoni.

“Agak-agak kalau aku ke balkoni tu dan terjun, sempat tak aku lari?” Dia memikirkan jalan keluar paling cepat dan selamat. Suasana sepi seketika. Zikri terbatuk kecil. Pura-pura sebenarnya.

“Jadi, apa yang wanita tu dah buat pada kau?Mana suami dan anak-anak kau masa tu?”

Hantu wanita itu melayang turun dari almari pakaian. Pintu balkoni terbuka dan tertutup dengan sendiri. Zikri melangkah ke balkoni, mendekati hantu wanita yang sudah berada di situ.

“Wanita jahat itu memberitahu, ketika aku tak sedarkan diri, mereka telah bertengkar. Kerana suamiku tetap mahu menungguku sedar untuk menandatangani dokumen itu. Manakala wanita itu berkeras mahu suamiku selesaikan segera. Dengan menggunakan cap jariku saja. Kerana tidak berpuas hati suamiku enggan menuruti kata-katanya, wanita itu telah menolak suamiku. Suamiku hilang imbangan lalu terjatuh. Kepalanya terhentak ke lantai dan pengsan seperti aku.”

Hantu wanita itu terbang ke udara lalu menghilang.
Zikri dapat rasakan inilah peluang untuk dirinya. Dia merapati tembok, memerhati ke bawah sekilas.

“ Nasib kau, Zikri. Tak ada fasal, kau cari nahas. Sekarang, baru kau tahu.” Zikri bercakap seorang diri bagi menghiburkan hati yang galau.

Hantu wanita itu muncul kembali. Terapung-apung berdekatan tembok sebaik saja Zikri mula memanjat. Kerana terkejut, spontan Zikri menjerit lalu terjatuh ke belakang.

“ Nasib baik aku tak jatuh terhempas ke bawah!”Pekiknya.

“Dah nak lari? Cerita aku belum tamat. Aku takkan lepaskan kau pergi.” Hantu wanita itu berdiri di sebelah Zikri. Zikri mengeluh kasar lalu menjarakkan diri. Dia berdiri di hujung tembok.

“Kau habiskan cerita kau. Aku nak balik. Ini bukan tempat aku.” Putus Zikri. Hantu wanita itu menyeringai mendengar kata-kata Zikri.

“Kau yang datang. Aku tak suruh.”

Zikri terdiam.

“Wanita itu mengugutku supaya menandatangani dokumen itu. Jika tidak, anak-anakku akan dibunuh. Tapi aku tak mampu nak bergerak kerana terlalu lemah. Dia menggunakan cap jari aku. Dengan itu, sebahagian aset yang suamiku pernah hadiahkan kepadaku, telah berjaya menjadi milik mutlaknya. Aku merayu untuk melihat anak-anakku. Aku diheret ke tangga. Aku lihat anak bongsuku tertiarap di hujung tangga. Tidak bergerak lagi. Kepalanya berdarah. Percikan darah yang banyak juga terdapat pada dinding dan lantai. Aku hanya dapat melihat sepasang kaki anak sulungku. Juga berlumuran darah. Aku meraung dan menjerit. Wanita jahat itu ketawa seperti orang gila. Dia mengaku dia yang membunuh insan-insan kesayanganku.” Hantu wanita itu kembali menangis. Sayup-sayup lolongan anjing bersahut-sahutan. Zikri semakin tak tentu arah. Dia perlu melompat ke bawah sekarang juga.

Bagai nak terkucil Zikri apabila tubuhnya dipeluk dari belakang. Kuku yang tajam menggosok dadanya. Semangatnya memudar. Kaki terasa lembik ibarat tak bertulang. Peluh mengalir laju.

“Takut ke sayang.” Bisik hantu wanita itu. Bau nafas busuknya mencucuk hidung Zikri.

“Okay. Kau habiskan cerita. Aku nak dengar.” Zikri mengalah. Hantu wanita itu melepaskan pelukan.

“ Wanita itu kemudiannya menghubungi seseorang. Aku ditinggalkan terbaring berhampiran tangga. Tak lama kemudian seorang lelaki berbadan besar tiba. Wanita itu membisikkan sesuatu pada lelaki itu. Aku diheret kembali ke balkoni ini. Aku maki mereka sepuas hati. Wanita jahat itu ketawakan aku. Katanya dengan kejadian yang dia sendiri tak jangka akan berlaku, serta perancangan saat akhir, semua bahan bukti tak akan berpihak kepadaku. Jadi aku yang akan dituduh sebagai pembunuh suami dan anak-anakku. Selesai saja dia berkata begitu, tubuhku diangkat dan dilemparkn ke bawah oleh lelaki berbadan besar itu. Aku terhempas dgn kuat. Kepalaku retak. Sakitnya hanya aku yang rasa. Kakiku patah. Biji mataku terkeluar. Aku menghembuskan nafas terakhir penuh seksa. Aku mati bersama dendam!”

Zikri sedikit lega. Kisah hantu wanita itu sudah tamat.

“ Sudahlah tu. Tak baik berdendam.” Pujuknya. Hantu wanita itu merenung Zikri. Marah mungkin. Bagi Zikri, dalam gelap sekali pun, wajah hantu itu kelihatan sangat menyeramkan.

“Kau nak tahu, apa dendamku?”Tanya hantu wanita itu. Zikri teragak-agak untuk menjawab.

“Aku tak perlu tahu apa dendam kau. Cuma aku nak tahu kenapa kau tak ajar wanita tamak dan rakan subahatnya tu?”

Hanya dengusan nafas kasar kedengaran. Bau hamis darah menyengat rongga pernafasan. Zikri hampir lemas. Dia menarik dan menghembus nafas perlahan-lahan.

“Lain macam je minah hantu ni. Aku dah tempah bala dah ni.” Tengkuknya digosok perlahan.

“Aku dah ajar orang yang sibuk ganggu ketenteraman aku. Aku tak suka orang lain kacau aku sekeluarga. Wanita tamak dan rakannya sudah lama mati!” Hantu wanita itu menjerit-jerit. Jeritannya bergema. Berulang-ulang. Zikri memejamkan mata sambil menekup telinganya. Dia tak pasti sama ada hantu itu ketawa atau menangis. Menyedari suasana kian sunyi, Zikri membuka mata.

Hantu wanita itu telah tiada.

Tanpa membuang masa, Zikri berlari ke tingkat bawah. Pantas tangannya mencapai tombol pintu.
Sebaik saja daun pintu terkuak, Zikri keluar dan berlari sekuat tenaganya.

Tanpa diduga, sebatang besi entah dari mana, melayang laju, menusuk belakang badan Zikri. Menembusi hingga ke tengah dadanya. Dia tersungkur di tengah halaman. Menggelupur kesakitan. Bisanya menjalar di seluruh tubuh. Dia cuba menjerit namun tersekat di kerongkong. Nafasnya terasa sesak dan berat. Darah seperti air mengalir keluar dari mulutnya.

Dia melihat hantu wanita tersebut. Sekejap melayang di udara. Sekejap pula terbang ke sekitar halaman. Ketawa dan tangis silih berganti.
Perlahan-lahan kelopak mata Zikri tertutup. Badannya menggeletar melepaskan sisa-sisa nafas terakhir. Sebelum itu, telinganya sempat mendengar,

“Aku benci orang luar ganggu urusan aku sekeluarga!”

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Mayat Zikri ditemui oleh seorang lelaki yang kebetulan melintasi banglo tinggal tersebut. Sangkaannya, orang pengsan.

Dalam masa sejam, banglo tersebut kembali dipenuhi orang ramai selain pihak polis dan wartawan. Masing-masing dengan perspektif sendiri.

Sepasang kekasih memerhatikan banglo tinggal tersebut dengan penuh minat.

“Bila keadaan dah tenang, kita datang ke sini semula. Ada misteri di sebalik kejadian. Aku pasti, dalam banglo tu ada jawapannya.” Teman wanitanya hanya tersenyum.

Tiada siapa yang sedar, hantu wanita itu berdiri di tingkap bilik. Memerhati orang ramai di bawah sana. Dia menyeringai lalu ketawa perlahan apabila merenung pasangan kekasih yang berdiri di bawah pokok di seberang jalan. Sama seperti dia melihat Zikri sebelum ini.

“Selamat datang.” Ucapnya.

Si lelaki tersentak. Dia melangkah meninggalkan teman wanitanya. Menuju ke banglo tersebut. Teman wanitanya berlari anak, mengekori dari belakang.

“Kenapa ni?” Soal si gadis.

“Aku nak lihat banglo tu dari dekat.” Si lelaki menarik tangan teman wanitanya.

“ Aku akan bongkar misteri banglo tinggal ni.” Tekadnya. Si gadis tersenyum. Dia sangat memahami hasrat pasangannya. Mereka berdua sama-sama suka mencabar diri, melakukan sesuatu yang jarang dilakukan orang lain.

TAMAT

SHARE
Previous articleDrive Through
Next articleKONFLIK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here