Bukan Alter Ego

0
251

Bukan Alter Ego
Oleh: Gongpal Topek

Alter ego. Didefinisikan sebagai diri kedua, dipercayai memiliki sifat yang jauh berbeza dengan personaliti asal seseorang. Terma ini mula digunakan meleluasa sejak awal abad ke-19 dan dikatakan berkait rapat dengan abnormaliti pesakit dissociative identity disorder (DID), merujuk kepada ahli psikiatrik.

Aku seorang penulis online. Bermula dengan kisah benar pengalaman sendiri, aku mula berjinak-jinak dengan kisah fiksyen, fantasi mistik. Menggunakan nama sendiri sebagai identiti untuk dikenali oleh pembaca. Bermula dengan Dendam Suri, penerimaan pembaca sangat baik. Aku suka dengan situasi ketika itu.

Sehinggalah siri itu mencecah trilogi, Tiga Penjuru, aku mula merasakan maklumbalas dan reaksi positif mula berkurang. Seperti meleret, dan tiada ‘kick’ dalam penulisan aku. Aku juga mengakuinya. Sedikit buntu bagaimana untuk mengatasi masalah ini. Masalah ini bukanlah writer’s block. Lebih kepada kegagalan untuk mengekalkan kualiti penulisan aku.

Aku mengambil keputusan untuk membuat rebrand kepada nama baru. Mencipta watak alter ego bernama Gongpal, untuk membuka ruang untuk aku bermula semula, dari awal. Ekspresi diri melalui perwatakan baru di media sosial dan penulisan. Respon kepada pembaca dengan lebih santai, dan gila-gila. Juga diselitkan sedikit humor, sebagai perwatakan ‘ciptaanku’ ini. Berbeza dengan diriku yang sebenar. Lelaki serius.

********

“Kamu, penulis?” Lamunanku dipintas dengan persoalan daripada seseorang yang tidak dikenali. Aku yang sedari tadi masih sedang mencari idea untuk memulakan kisah baru, mengambil sedikit masa untuk menjawab pertanyaan itu. Cuba kembali ke dunia realiti secara tiba-tiba.

“Oh, ya. Saya penulis sambilan. Cuma… di media sosial.” Aku membetulkan dudukku di kerusi luar McDonalds itu. Selesa begitu untuk berkarya. Pak cik yang menegurku, duduk di sebelahku tanpa meminta izin terlebih dahulu untuk turut serta di meja. Terus membaca karya separuh siap yang terpampang di komputer riba.

“Kamu bimbang karya kamu tidak mendapat sambutan, ya?” Bagaikan tahu apa yang terpendam di isi hatiku, pak cik tersebut menduga dengan tepat. Aku mengangguk, sebagai jawapan kepada lelaki yang aku jangka mencecah separuh abad itu.

“Macam ni lah, nak. Apa kata, kita buat perjanjian? Tiap malam, setiap kali sebelum kamu mahu menulis, letak sebiji ayam kampung di pagar rumah. ‘Bayaran’ untuk bantuan kepada kamu. Nanti ada ‘tetamu’ yang akan menolong mencantikkan seni tulisan kamu. Setuju?” Aku masih belum dapat menghadam apa yang sedang berlaku. Perjanjian? Tetamu? Bantu menulis? Pak cik itu masih tersenyum menunggu jawapan daripadaku.

“Itu sahaja syaratnya?” Giliran pak cik itu pula mengangguk.

“Tetapi dengan syarat. Telur mesti diletakkan dahulu. Nanti ‘dia’ marah.” Aku bersetuju. Apalah sangat sebiji telur ayam jika benar dapat membantu aku di kemudian hari. Aku tidak menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku. Hanya, keanehan tetap ada. Sehinggalah pak cik itu beredar, barulah aku teringat untuk bertanyakan nama dan bagaimana untuk menghubunginya. Sudah terlambat. Dia sudah hilang daripada pandangan.

********

Prolog untuk Kasanova Bermandi Darah mendapat sambutan yang menggalakkan. Aku puas. Idea baru yang dapat menjadi katalis kepada kebangkitan aku. Hashtag Gongpal tidak lekang di setiap karya dan kemaskini status aku di Facebook.

Bantuan yang dijanjikan itu? Aku tidak percaya pada awalnya. Aku sudah meletakkan telur ayam kampung seperti yang dijanjikan. Kemudian, aku menulis prolog itu sehingga tamat. Aku terus masuk tidur selepas itu, dengan harapan akan ada suntingan pada penulisanku sebelum aku siarkan pada keesokan harinya. Komputer riba dibiarkan terbuka. Fail juga aku save, tetapi tidak ditutup. Tiada apa-apa kelainan pada prolog karya itu. Tetap sama.

Malam kedua, aku masih biarkan sahaja telur ayam kampung itu di luar. Tiada niat untuk bereksperimen. Biarlah di situ dahulu. Malas untuk aku mengambil kembali. Usai solat isyak dan makan malam, aku membuka komputer riba untuk mula menulis. Mataku mula memberat. Kesan daripada kerja harianku agaknya. Aku tulis amaran keras (disclaimer rutin dalam Kasanova Bermandi Darah), lalu cuba menulis siri pertama itu. Akibat terlalu mengantuk, aku tertidur begitu sahaja tanpa sempat menamatkannya.

Aku terkejut tatkala bangun pada pagi itu. Siri itu sudah tamat dikarang sepenuhnya. Hanya tunggu untuk aku tekan post pada Facebook. Aku bergegas buka pintu dan grill utama rumah, meninjau keberadaan telur ayam kampung yang tidak aku angkat semalam. Sudah tiada. Kini, aku mula yakin, bantuan itu benar-benar ada. Siri itu aku siarkan tanpa ragu-ragu.

Perkara itu berlanjutan sehinggalah siri keempat kisah itu. Aku ulangi rutin malam seperti biasa untuk tiga hari berturut-turut. Buka komputer riba, tulis tajuk dan siri. Kemudian aku tinggalkan sahaja. Menonton televisyen, bermain telefon bimbit atau sebagainya. Aku yakin sekali akan ada karya siap esok harinya. Aku mula berasa senang. Tambahan pula, pembaca semakin ‘menggilai’ kisah pemuda kacukan yang obses dengan vampirisme itu.

Masuk siri kelima, aku mula perasan sesuatu yang tidak aku sukai. Idea asal telah berubah. Kisah yang sepatutnya tidak berkaitan dengan kisah lama aku, Dendam Suri, kini sudah bersangkut paut. ‘Dia’ menggabungkan siri itu dengan kisah lamaku yang pada telahanku, sudah lapuk dan suam suku. Walaupun sambutan masih menggalakkan, aku tidak suka. Posting Facebook juga sudah dikemaskini dengan sendirinya. Aku seperti tidak perlu berbuat apa lagi. Sekadar menjadi pemerhati, seperti juga pembaca-pembaca yang lain.

Aku mengambil keputusan untuk berhenti meletakkan telur ayam kampung di luar. Aku juga bercadang untuk ‘merehatkan’ siri itu buat sementara waktu. Aku mula mengarang kisah baru, Tiga Cincin, sebagai kesinambungan kepada kisah fiksyen lama aku. Tidak aku mengganggu karya Kasanova Bermandi Darah.

Jam 12 tengah malam. Pintu utama rumahku diketuk orang. Perlahan, berkali-kali. Aku yang sedari tadi masih menulis, mula berfikir. Aku seorang introvert, tiada kawan rapat di perumahan ini. Siapa pula yang datang malam-malam buta, untuk berjumpa denganku. Aku sekadar menjenguk di sebalik tingkap. Menyingkap sedikit langsir. Tiada sesiapa di luar. Ketukan di pintu juga sudah tiada. Aku kembali ke meja tulis. Tidak mengendahkan lagi ketukan itu, memandang tiada lagi bunyi ketukan pintu. Aku siarkan kisah Tiga Cincin pada malam itu juga. Respon pembaca aku akan baca esok hari sahaja. Masa untuk tidur.

********

Aku bingung. Pagi itu kisah Tiga Cincin tenggelam. Ada posting baru, pada tengah hari. Siri baru Kasanova Bermandi Darah disiarkan di Facebook. Like dan komen lebih tertumpu di situ. Aku sudah tidak meletakkan telur ayam kampung itu. Kenapa masih ada bantuan? Mesej baru masuk di telefon bimbitku. Nombor private.

“Hutang satu telur.”

Aku pasti, pak cik itu cuba mempermain-mainkan perasaan aku. Aku cuba menyedapkan hati, dengan menyakinkan diri bahawa pak cik itu sempat melihat maklumat telefonku ketika kali pertama berjumpa, sebelum dia menegur lamunanku di McDonalds tempoh hari. Aku mengambil keputusan untuk terus tidak memberi apa yang dijanjikan.

********

Hari ketiga. Mesej yang sama aku terima seperti hari sebelumnya. Mesej hutang dua biji telur semalam aku terima. Hari ini, mesej yang lebih ekstrim.

“Hutang darah!”

Meremang bulu romaku tatkala aku diberitahu ada tetamu di tempat kerja sebentar tadi. Rakan sekerjaku mengatakan bahawa ada seseorang telah datang meminta pesan disampaikan kepadaku. Seorang nenek tua, bertongkat, dengan rambut ditutup separuh dengan kain batik lusuh. Berpesan bahawa hutang darah dibayar darah.

Dalam perjalanan pulang ke rumah selepas kerja, aku telah membuat keputusan di dalam hati. Aku mahu menamatkan kisah Kasanova Bermandi Darah tanpa penamat. Cukup sekadar siri terkini sahaja. Tidak perlu lagi bantuan daripada sesuatu yang tidak dikenali. Biar aku berdiri dengan sendiri.

Ketika membuka pintu pagar rumah sesampainya di rumah, aku dapat lihat dari jauh di sebalik semak akan kelibat sesuatu. Jauh di hujung jalan rumahku. Kelibat seperti nenek kebayan sedang memerhatikanku. Aku cepat-cepat memandu masuk kereta ke perkarangan rumah, lalu memarkir kereta di garaj. Tidak mempedulikan kehadiran kelibat itu lagi. Telur juga tidak aku letakkan sebagai ‘ganjaran’. Aku tidak mempedulikan amaran mesej tentang hutang darah sebentar tadi.

Malam Jumaat. Aku nekad untuk menamatkan siri kesukaan ramai. Memulakan posting dengan ucapan bismillah, aku cuba memberi alasan kenapa perlu aku tamatkan kisah tersebut. Perlu aku tamatkan untuk lebih fokus kepada kisah lain dan projek-projek yang bakal menanti. Lebih-lebih lagi aku masih ada idea untuk mengolah Dendam Suri lebih panjang, dengan tujuan untuk menyertai pertandingan menulis novel.

Tiba-tiba, pintu rumahku diketuk dengan kuat. Seperti dihentak kuat dengan sesuatu. Seraya itu, jariku kaku. Tidak dapat meneruskan penulisan pada posting Facebook itu. Aku…ak…

********

Rantau, 27 Oktober – Seorang Jurutera dijumpai mati tergantung di rumahnya di Kuala Sawah, dipercayai membunuh diri. Lelaki berusia 29 tahun yang dikenali sebagai Ahmad Tawfiq, dilaporkan tidak hadir ke tempat kerja pada pagi ini. Mangsa dijumpai oleh rakan sekerja yang diminta oleh pengurus syarikat untuk ke rumah mangsa apabila panggilan telefon tidak dijawab. Mangsa ditemui dalam keadaan tergantung, dipercayai telah membunuh diri pada tengah malam tadi.

********

Aku, Gongpal. ‘Alter Ego’ ciptaan tuanku. Itulah yang dia harapkan. Aku bukan alter ego. Aku penuntut janjinya. Penulisan yang dibalas dengan telur ayam. Hanya telur ayam. Masih tidak dapat dia tunaikan.

Aku menghalangnya daripada menamatkan karya ‘kami’. Aku ambil tali di dapur, aku gantungnya di kipas. Dijerut kuat, lalu kipas dibuka. Mudah. Lemah. Mati terkulai layu. Aku tutup suis kipas. Hutang telur berganti nyawa, darah sudah berhenti. HIHIHIHIHI~

********

28 Oktober, 12 tengah malam. Posting daripada Facebook personal Gongpal Topek. Gambar darah, bertajuk Kasanova Bermandi Darah – Siri X. Pembaca yang mengetahui kejadian menimpa diri Ahmad Tawfiq, mula bingung. Siapa pula yang mengambil alih ‘tugas’ berkarya. Adakah gimik semata-mata?

Di penamat kisah itu, seperti biasa, Gongpal akan berinteraksi dengan pembacanya. Kali ini, tulisannya sedikit lain.

“Tidur lena, selama-lamanya. Jangan difikir rintangan yang ada. Buka dada, serah minda. Karya khas untuk anda.

Yang tidak benar,

#GongpalTopek

Suka Artikel Dari Kami?Jangan Lupa KLIK SHARE & Tinggalkan KOMEN Di Page Kami

Jangan Lupa Untuk Baca Artikel Artikel Lain DI SINI

SHARE
Previous articleBEBOLA DAGING
Next articleSINASI-HALUS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here