CLINGY

0
3142

CLINGY
Karya: Mohd Shahiri Abd Ghapar

===================

Aiman terkocoh-kocoh keluar daripada kereta. Langsung tidak sempat dia membetulkan cara dia meletakkan keretanya. Herot bengot. Namun, itu semua tidak dihiraukan. Ada perkara jauh lagi mustahak yang menuntut perhatiannya. Soal hidup dan mati! Hidup dan mati seseorang yang penting baginya.

Dia berlari menuju lif. Dua tiga orang penghuni apartmen yang jalan berselisih hampir sahaja dilanggarnya. Itu pun tidak diendahkan. Yang dia pentingkan sekarang adalah untuk berada di rumah nombor 518 di tingkat 15 apartmen itu. Apabila lif tiba di aras G,Aiman meluru masuk. Punat 15 ditekan dan dia menunggu dalam cungapan.

Sebaik sahaja tiba di depan rumah, loceng rumah dibunyikan berkali-kali. Belum sempat penghuni rumah membuka pintu, Aiman mengetuk pula pada pintunya. Bertalu-talu. Aiman makin cemas. Dia risau. Semakin lama dia di luar, semakin genting keadaannya. Aiman tidak dapat memaafkan dirinya jika orang di dalam rumah itu benar-benar maksudkan ugutannya tadi.

“Julia! Ju! Buka pintu ni! I dah sampai. I dah ada depan rumah you ni!” Pekik Aiman sambil terus menekan punat loceng.

Dan entah bagaimana, tiba-tiba tombol pintu terpulas sendiri. Daun pintu jadi sedikit renggang seolah-olah membenarkan Aiman masuk. Suasana dalam rumah sunyi, lampu hiasan pada dinding sahaja yang bernyala. Kusyen dan beberapa barang lagi berselerak di atas lantai.

“Julia! Julia! Mana you? I dah datang ni. You jangan buat benda yang bukan-bukan!” jerit Aiman memanggil seseorang yang bernama Julia. Namun tiada jawapan balas. Aiman jadi panik.
“Julia! Ju! You dekat mana, hah?” Aiman berlari ke bilik paling depan. Pintu berkunci rapat. Diketuknya beberapa kali. Tiada jawapan. Aiman laju ke bilik sebelah, pintunya juga tertutup. Aiman laung nama Julia lagi beberapa kali dari luar bilik itu. Sahutannya tidak berjawab.

Di bilik ketiga itulah sahaja harapannya masih bersisa. Aiman berharap sangat bahawa Julia hanya ingin menakut-nakutkannya, hanya mahu menuntut perhatiannya selaku kekasih hati. Pintu bilik ketiga pun bertutup. Tapi kali ini dengan sekali pusingan, tombol pintunya ikut bergerak memberi laluan untuk Aiman masuk.

“Juliaaaaa….” ketat kerongkong Aiman melepaskan suara. Air matanya automatik mengalir. Kaki yang dari tadi gagah berlari tiba-tiba jadi longlai. Aiman terduduk apabila melihat Julia terbaring di atas lantai. Tubuhnya basah dengan darah likat miliknya sendiri.

Aiman mengengsot mendekati tubuh Julia yang jelas tidak lagi bernyawa. Hanyir darah Julia yang turut membasahkan seluar ditubuhnya langsung tidak Aiman pedulikan. Kepala Julia diletakkan di atas ribanya. Darah masih lagi mengalir dari luka di lengan kiri Julia. Luka akibat dikelar. Aiman sangka itu hanya ugutan pura-pura. Namun, ternyata sekali Aiman salah.

“Ju… kenapa you buat macam ni? I dah cakap, I sayangkan you. Bukannya I saja-saja tak balas mesej, tak jawab call you. I ada kerja,” bebel Aiman dalam sedu-sedan. Dia kesal dengan apa yang telah terjadi.

“Aimann…” suara itu terdengar seperti datang daripada Julia. Dan tiba-tiba mata Julia terbeliak besar memandang ke atas, tepat ke muka Aiman.

Aiman tersentak. Kepala Julia yang sebenarnya sudah mulai keras kaku ditolaknya jauh-jauh. Sedihnya berganti rasa takut. Takut itu menjadi-jadi apabila kepala Julia yang memandang ke atas bergerak perlahan-lahan dan berpaling memandang ke arah Aiman. Mata putih yang sudah mulai kelam kelihatan merenung kepada Aiman.

Aiman takut. Dia mahu lari dari situ. Dan sebaik sahaja Aiman ingin bangun, tubuh Julia ikut turut bangun. Julia semacam mayat yang hidup semula. Cuma kewujudannya yang ini sungguh menakutkan Aiman. Cepat-cepat Aiman bangun dan lari keluar dari bilik itu.

Bamm! Pintu bilik tertutup.

“Aimannn…,” suara seakan-akan Julia kedengaran berbisik di telinga Aiman.

Dan pada waktu itulah Aiman terjaga daripada tidur. Dia bermimpi ngeri malam itu. Sekali lagi. Peluh di dahi diusap dengan belakang tapak tangan. Bajunya lencun dengan peluh. Dia mengeluh hampa. Hampir sebulan kebelakangan ini Aiman dihantui mimpi yang sama. Mimpi tentang Julia mati membunuh diri.

Julia ialah kekasih Aiman. Walaupun baru tiga bulan mereka berpacaran namun sebenarnya Aiman sudah lama menaruh perasaan terhadap Julia. Sejak tahun pertama kuliah lagi. Julia memang menjadi kegilaan ramai pelajar lelaki namun tiada seorang pun yang berjaya memikat Julia. Hinggalah Aiman menjadi lelaki pertama berjaya membuka pintu hati Julia.

Hubungan mereka baik. Aiman seorang yang romantis manakala Julia seorang perempuan yang manja. Atau boleh dikatakan terlalu manja. Sepanjang berkasihan dengan Aiman, sudah beberapa kali mereka bertengkar dek perkara yang remeh-temeh. Mujurlah Aiman seorang yang penyabar dan mampu bertahan dengan sikap manja Julia.

Pernah sekali mereka bergaduh apabila Aiman terlalu memuji pelakon wanita di televisyen. Kata Julia, jika betul pelakon itu cantik di mata Aiman, mengapa Aiman tidak berpasangan sahaja dengannya? Kenapa pula Julia yang dipilih? Puaslah Aiman memujuk, walaupun pujuk-memujuk sebenarnya bukan kepakaran Aiman. Begitulah sikap Julia yang terkadang membuatkan Aiman terasa hati dan terdetik niat untuk memutuskan hubungan.

Aiman keluar dari bilik. Kuat berpeluh membuatkan tekaknya jadi kering. Air dari penapis jenama Korea diteguk. Lega. Hilang hausnya. Diteguknya lagi.

Ting Tong… Tanpa diduga, loceng rumah berbunyi. Tanda ada orang di luar. Aiman terkejut hinggakan cawan terlepas dari tangan. Nasib baiklah cawan plastik.

“Ish… Saiful ni tak bawa kunci ke? Dah tahu nak balik lambat, bawalah kunci sendiri. Bukannya tak ada,” rungut Aiman, walaupun dia akur dan menapak ke pintu.

Sebelum membuka pintu, satu tabiat Aiman ialah mengintai orang di luar dari lubang intai pada pintu. Tujuan keselamatan!

” Ya Allah!” Terlompat Aiman ke belakang. Dadanya terus berdegup laju. Terketar-ketar dia cuba menenangkan diri dan memahami adakah benar apa yang dilihatnya itu.

Bam! Bam! Bam!

“Allah!” Sekali lagi Aiman tersentak apabila pintu rumah diketuk berkali-kali. Kuat pula ketukannya. Aiman semakin takut. Benarkah ada orang di luar? Kalau benar, adakah itu memang dia? Julia?

Aiman rindukan Julia. Benar. Sebab itu walaupun dalam ketakutan, Aiman masih berani mendekati pintu yang masih bertalu-talu diketuk dari luar. Aiman ingin membuka pintu itu.

“Man? Kau buat apa dekat pintu tu?” Aiman terperanjat sekali lagi. Tangan yang hampir memegang tombol pintu laju disembuyikan ke belakang. Masih terasa gegar gigilnya.

“Aku… ermm… aku dengar ada bunyi loceng tadi,” jawabnya dengan teragak-agak kepada Saiful, rakan serumahnya.

” Kau biar betul Man, dah pukul dua lebih ni, siapa pula yang nak datang?” Soalan Saiful kedengaran logik.

“Aku tak dengar pula ada bunyi loceng. Kau salah dengar ni Man,” sambungnya lagi.

Aiman diam. Bunyi ketukan pada pintu tadi terus hilang sebaik Saiful muncul.

“Yelah, agaknya,” lemah Aiman menjawab, selemah langkah longlainya berjalan melewati Saiful untuk ke bilik.

“Kau mimpi yang sama lagi?” Langkah Aiman terhenti apabila Saiful menepuk bahunya seraya bertanya. Aiman angguk.

Saiful terpanggil untuk membantu rakannya itu. Dia tarik tangan Aiman, mengajak duduk di meja makan. “Kau tak boleh terus salahkan diri kau, Man. Dia pergi bukan sebab kau,” ucap Saiful yang tahu tentang kematian Julia.

Aiman diam. Dia hanya merenung meja. Dalam hati, Aiman menafikan kata-kata Saiful.

“Kau tahu, kan? Apa yang buatkan Julia bunuh diri?” Tanya Aiman pula.

“Takkanlah kau percaya sebab dia merajuk dengan kau, dia bunuh diri pula? Julia tu yang terlampau ikutkan perasaan dia. Memanglah dia tu awek kau, tapi kau dengan dia masing-masing ada komitmen lain juga. Dia tu tak bolehlah nak clingy sangat,” panjang Saiful berhujah balas.

“Tapi kalau aku ambil serius apa yang dia cakap pada aku masa dia call menangis-nangis tu, aku rasa semua benda ni takkan berlaku, Pul,” balas Aiman masih menyalahkan diri.

“Kau tak boleh cakap macam tu, Man. Dahlah Man, benda semua dah jadi. Dah ditakdirkan Julia pergi malam tu, kalau bukan sebab dia bunuh diri, mungkin atas sebab lain. Ajal maut semua ni kan Allah dah tentukan.”

“Tak Pul, tak. Kau tak tahu apa yang sebenarnya!” bentak Aiman sedikit berang dengan jawapan Saiful yang dianggapnya terlalu mudah. Aiman pergi meninggalkan Saiful yang termangu. Saiful sendiri pening memikirkan cara untuk membantu Aiman melupakan kejadian hitam yang mengganggu jiwanya itu.

***

3 bulan kemudian.

Keadaan Aiman semakin teruk. Makan minumnya jadi tidak terurus. Dia sudah berhenti belajar kerana dia tidak mampu memberi tumpuan kepada perkara yang lebih utama. Dia lebih banyak memikirkan tentang Julia dan salahnya terhadap wanita itu.

Jika dulu Julia hanya hadir dalam mimpi Aiman. Kini situasi semakin teruk. Aiman boleh melihat Julia pada bila-bila masa. Siang atau malam. Pagi atau petang. Ketika Aiman berjaga atau lelap. Di dalam bilik tidur, di dapur, di bilik mandi, di beranda, di dalam kereta. Pendek kata, di mana-mana sahaja.

Sampaikan satu hari, Aiman hampir maut dalam kemalangan akibat terbabas ke bahu jalan. Puncanya ialah ketika dia sedang laju memecut tiba-tiba dia terpandang Julia yang berlumuran darah dalam cermin pandang belakang.

Saiful tiba di depan rumah. Dia hairan apabila pintu terkuak luas. “Man… Man… aku balik ni. Ada nasi, jom makan sekali.”

Sunyi seperti tiada sesiapa di rumah. Saiful menjenguk ke dalam bilik Aiman. Kosong. Yang ada cuma bau kepam cadar dan selimut Aiman, serta keadaan bilik yang umpama tongkang pecah. “Mana pula si Aiman ni pergi? Dibiarkannya pula pintu terbuka,” ngomel Saiful.

Telefonnya berdering. “Helo, ya saya. Betul ke ni encik?” Suara Saiful ternaik. Dia kaget mendengar berita yang disampaikan dalam panggilan telefon itu.

“Ya… Ya… saya naik. Saya naik. Encik call bomba ke polis ke. Tolong, encik.”

Saiful bergegas menuju lif. Dia perlu naik ke tingkat paling atas, ke roof top secepat yang mungkin. Aiman ada di atas. Dia ingin terjun ke bawah!

“I minta maaf Ju. I tahu I salah. Kalaulah I dengar cakap you, you mesti hidup lagi, Ju,” rintih Aiman seorang diri.

“Bro, bahaya tu duduk tepi tu. Come on, all problem can be settled,” pujuk seorang lelaki, penghuni di apartmen yang sama.

Aiman tidak menghiraukan kata-kata orang di sekeliling. Dia hanya nampak Julia sahaja waktu itu. Julia dalam keadaan yang paling cantik dan tidak menakutkan seperti selalu. Julia tersenyum dan bercakap-cakap kepadanya.

“Aiman, you janganlah sedih. I tak marahkan you pun. I tahu you sayangkan I. I pun sayang sangat-sangat pada you. I tak nak berpisah dengan you,” ucap Julia sehingga Aiman tersengih-sengih.

“I memang sayangkan you, Julia. Dari dulu lagi, hanya you seorang saja.”

“Aiman! Apa kau buat ni, Man?” Pekik Saiful yang baru tiba. Penat dia memanjat tangga untuk dia sampai ke situ. Sesekali dia menyedut nafas dalam-dalam, menghilangkan mengah.

Kali ini Aiman berpaling kepada Saiful. Dalam ramai orang yang cuba bercakap dengannya tadi, Aiman mendengar pula teriakan Saiful. “Pul, kau tengok ni. Julia datang sembang dengan aku. Dia tak marah pun dengan aku, Pul,” jawab Aiman sambil menuding jari ke satu arah yang kosong pada penglihatan Saiful.

Saiful mengeluh. Keadaan Saiful semakin serius. Delusinya kali ini mampu mengancam nyawanya. Silap hatta sedikit pun, Aiman mungkin terkorban. Saiful berharap sangat bantuan segera tiba.

“Baguslah tu Man. Kau ajaklah dia duduk dekat aku sini,”ujar Saiful, mengajak Aiman beralih ke tempat yang lebih selamat.

“Ju, Saiful ajak pergi sana. You nak tak?”

Julia menggelengkan kepala. “I nak tengok pemandangan yang cantik ni. Kalau pergi sana, macam mana nak nampak,” jawab Julia.

“Sorry Pul, Julia tak nak. Kau jangan risau, aku okey.”

“Man, kau cakaplah pada Julia, aku dah lama tak jumpa dia. Aku nak juga sembang, tanya khabar dengan dia, cuba Saiful lagi.

Kelihatan Aiman bercakap seorang diri tanpa butir yang jelas. “Julia tak naklah. Dia kata lain kali, hari ni dia nak lepak dengan aku seorang je,” balas Aiman.

“Tapi tempat yang kau duduk tu bahaya. Kau pujuklah Julia duduk dekat sini. Aku janji lepas tu aku balik, tak kacau kau orang lepak.”

“Ju, you dengar tak apa kawan I cakap tu?”

“Dia tu penyibuklah. I nak lepak dengan you pun tak senang. You, kalau kita pergi tempat lain, nak tak?” Julia bertanya dengan nada menggoda.

“Eh, nak. Nak. Mestilah nak kalau dengan you. I rindu nak habiskan masa dengan you,” jawab Aiman.

“Aiman… kau dengar tak? Turunlah dari situ Man,” ajak Saiful sekali lagi.

“Betul ni you nak ikut I? Ke mana-mana pun?” Uji Julia. Aiman terangguk-angguk.

“Tapi sebelum tu, you beritahu pada kawan you, ceritakan semua yang dah berlaku. Boleh?” Aiman angguk lagi lalu memandang ke arah Saiful.

“Pul, aku nak ikut Julia pergi tempat lain ni. Nanti aku balik. Tapi aku nak cakap…”

“Eh, kau nak pergi mana Man?” Laju Saiful memintas ayat Aiman. Dia makin cemas.

“Adalah, kau mana boleh tahu. Tapi kau dengarlah ni, Julia suruh aku cerita…” Aiman tidak menghabiskan ayatnya. Kepalanya memandang ke bawah.

“Ju… Tunggulah I, Ju. Ju….” jerit Aiman dan terus menghumban dirinya ke bawah, untuk menurut Julia yang dilihatnya sudah melompat dari tempat duduknya.

“Aimaannnnn…!!” Jerit Saiful. Perkara yang ditakuti telah pun terjadi. Aiman terjun ke bawah dari tingkat paling tinggi di bangunan itu. Rasa kecewa dan terkilan kerana tidak dapat membantu menguasai diri Saiful.

***

Sebulan sebelum kematian Julia.

“Aku tak sangka ayat pengasih ni menjadi, sampai Julia suka pada aku. Lepas ni aku nak buat dia tergila-gilakan pula aku, sampai tak nak berenggang dari aku,” tekad Aiman dalam hati.

Dia memejamkan mata. Mantera yang dipelajari daripada Mas Kusuma sejak dua bulan lalu dibacanya sebaris demi sebaris.

“Sinduka sunkalantaka, klingkang klingking guluku, sada iking wetengku, saciplukan woyaj wayih godong iras, niat ingsun pam ngirim banyu kencana, sukma sejatine si Julia, ti ilur kepasir.”

Sambil itu dia membayangkan wajah Julia. Cukup tiga kali mantera dibaca, dia membuka matanya. Dia meniup perlahan ke arah bantal tidurnya lalu ditepuk lembut tiga kali. Kemudian dia tersengih.

Mantera itu perlu diamalnya setiap hari. Semakin kerap dia membacanya, semakin kuat rasa sayang Julia kepada dirinya. Dia yakin selepas ini, dialah satu-satunya lelaki yang sentiasa ada dalam hati dan fikiran Julia.

Namun, Aiman lupa bahawa cinta juga ada harganya…

-TAMAT-

====================

Karya: Mohd Shahiri bin Abd Ghapar
Suntingan Gambar (sumber internet) : DeeFen DF

SHARE
Previous articleREPTILIA Bahagian Akhir
Next articleVOLKSWAGEN BEETLE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here