Harapan Dan Korban

0
1239

Tajuk : Harapan Dan Korban
Nukilan : Naomi Sakura

=============================

“Aku berjanji akan sehidup semati dengan sahabatku, Kiki.”

“Walau apapun yang jadi, aku akan sentiasa ada untuk dia,” kata mereka serentak lalu mencucuk jarum peniti di jari.

Jari kelingking yang berdarah ditautkan tanda mengakhiri upacara ikrar persahabatan mereka. Janji agung yang akan dikesali jika dilanggar. Begitulah kisah dua sahabat yatim piatu, Koko dan Kiki.

Perkenalan pertama mereka ketika Koko baru tiba ke rumah perlindungan yang menempatkan anak-anak terbiar dan kematian ibubapa. Kiki mengikut langkah Koko dan warden menuju ke bilik Koko. Dia masih belum bersedia untuk menegur sapa dengan Koko. Malu dan risau jika Koko tidak mahu menerimanya sebagai sahabat. Dari jauh, Kiki mengharapkan Koko yang sedang mengemas barang menoleh ke arahnya.

‘Tolonglah..’

Koko terasa sejuk tiba-tiba. Dia menapak ke tingkap dan menutupnya. Sungguh, dia tidak tahan dengan kesejukan. Badannya agak lemah dari kanak-kanak biasa. Jadi, bajunya tebal-tebal belaka. Mandi pun tidak boleh sejuk airnya. Akan timbul bintik-bintik yang gatal di seluruh badan jika terkena. Sekarang pula musim sejuk bakal tiba. Koko mengeluh.

Koko menyambung punggahan barang-barangnya untuk dimasukkan ke dalam almari. Sesekali, dia mengesat matanya. Keluarganya semua sudah tiada. Seorang demi seorang pergi meninggalkannya hingga dia betul-betul keseorangan. Sebab itulah dia di sini hari ini. Ayahnya adalah orang terakhir yang menjaganya sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam.

Pedih hati Koko bila mengenangkannya. Dia merasakan dirinya yang bersalah, membawa bencana kepada orang sekeliling. Semua yang dia sayang akan pergi meninggalkannya. Dia disumpah dengan sumpahan yang maha berat bagi budak berumur 7 tahun. Koko duduk di tepi katil, menangisi nasibnya.

Kiki yang masih setia memerhati di luar bilik merasa hairan. Kenapa Koko menangis? Mahu sahaja dia pergi kepada Koko tetapi dia segan. Dalam masa yang sama, dia mahu mendakap Koko dan menenangkannya. Apa yang perlu dia buat?

“Koko. Kamu ok?”

Koko mendongak, melihat warden, Cik Lily sedang berjalan ke arahnya. Cepat-cepat Koko mengesat matanya dengan lengan baju. Dia memberikan senyuman buat Cik Lily yang melayannya baik sejak dia sampai tadi. Cik Lily menghampiri Koko dan memeluknya.

“Shhh.. Jangan menangis lagi. Apa sahaja yang kamu perlukan, beritahu saya,” kata Lily.

Koko melepaskan pelukan lalu berkata, “Saya ok, Cik Lily.”

“Baiklah kalau kamu berkata begitu. Ni, saya bawa jadual untuk kamu. Kamu baca dulu dan kalau tak faham, tanya saya.”

“Baik, Cik Lily,” balas Koko sambil mencapai sehelai kertas bertulis dari tangan Lily.

“Sekarang, kamu rehat dahulu. Turun untuk minum petang pukul 4 nanti, ya.”

Koko mengangguk. Lily bangun dan berjalan keluar dari bilik. Koko membelek kertas di tangannya. Disebutnya satu-satu perkataan yang tertulis di situ. Koko merasa teruja mahu menjalani kehidupannya di tempat baru. Segera dia mencari gam dalam bekas alat tulisnya dan menampal jadual itu di pintu almarinya. Kemudian, dia menyudahkan kerja mengemas yang tergendala tadi. Dia bersiap untuk minum petang. Perut pun sudah berkeroncong.

Sudah seminggu Koko di situ. Dia baik dengan semua tetapi ramai yang tidak mahu berkawan dengannya setelah mengetahui kisah sebenar kehidupan Koko sebelum ke sini. Dipanggilnya Koko dengan gelaran “sesumpah” kerana kononnya dia disumpah dan akan dipulaukan. Beberapa orang yang mahu berkawan dengannya juga dipulaukan oleh yang lain. Koko merasa bersalah. Disebabkan dirinya, yang lain menjadi mangsa.

Jadi, Koko menjauhkan diri dari semua orang. Dia tahu nasib dirinya yang malang akan menyusahkan orang lain. Dia suka menyendiri dan akan berlambat-lambat bila tiba waktu makan. Hinggakan guru-guru juga mula mengabaikannya. Semua takut untuk mendekati Koko kecuali Cik Lily. Hanya Cik Lily seorang yang masih melayannya dengan baik. Koko sayangkan Cik Lily.

Kiki merenung wajah sedih Koko. Dia masih belum ada keberanian untuk mendekati Koko. Hatinya pedih, kasihankan Koko. Dia nekad, malam ini dia akan ke bilik Koko sebelum tidur. Dia ikhlas mahu berkawan dan mendampingi Koko. Dia faham perasaan dipinggirkan dan menyendiri. Dia tidak mahu Koko merasa sunyi dan sedih sepertimana yang dia rasa selama ini.

Selepas makan malam, Koko berjalan laju menuju ke biliknya. Dia mahu cepat sampai sebelum yang lain perasan dan sebelum lampu dipadamkan. Tiba-tiba, kakinya tersadung sesuatu. Dia jatuh tersembam ke lantai. Hidungnya terhantuk dengan kuat.

“Uhh.. Sakitnya.”

Koko mendudukkan dirinya dan melihat ke belakang. Tiada apa-apa yang berada di lantai. Tiada kelibat sesiapa juga di kawasan sekitar. Pelik sungguh. Dia merasakan mulutnya basah dengan cecair hangat. Koko mengesat dengan tangan. Darah! Hidungnya berdarah. Dia merasa cemas. Segera dia bangun dan berlari ke biliknya.

Di sebalik dinding, beberapa orang budak sedang mentertawakan Koko. Puas hati mereka dapat menyakiti budak pembawa malang itu. Semakin lama semakin kuat hilai tawa mereka.

“Kamu buat apa kepada Koko?!” jerit Kiki.

Budak-budak itu menoleh ke arah suara tidak berjasad itu. Diperhatikan sekeliling namun tiada sesiapa di situ. Pucat muka mereka lalu bertempiaran mereka lari ke bilik masing-masing. Kiki yang menyorok merasa geram dan menyepak salah seorang dari mereka di kaki. Budak itu terjatuh tetapi bangun semula untuk sambung berlari.

Suasana tiba-tiba gelap menandakan sudah masuk waktu tidur. Kiki segera ke bilik Koko untuk melihat keadaannya. Bilik Koko diterangi cahaya bulan dari tingkap. Dapatlah Kiki melihat Koko yang sedang mengelap hidungnya dengan tuala kecil. Bajunya penuh dengan kesan darah. Kasihan Koko, fikirnya. Kiki mendekati Koko yang duduk di hadapan almarinya.

“Awak ok?” tanya Kiki.

Serta-merta Koko memusingkan badannya menghadap Kiki. Ketakutan jelas kelihatan di matanya. Koko mengesot badannya ke belakang hingga rapat dengan almari. Jantungnya berdegup laju. Masih trauma akibat kejadian tadi dan risau jika dia diapa-apakan lagi. Bunyi nafasnya kuat kedengaran.

“Usah bimbang, aku tidak berniat mahu mengganggu kau, Koko. Aku risaukan kau, sebab tu aku di sini. Aku nampak kejadian tadi dan aku sudah menghalau mereka.”

Koko yang masih ragu-ragu menutup mukanya dengan tuala kecil itu. Airmatanya mula membasahi pipi, sedu-sedannya mulai kedengaran. Kiki terus memeluk Koko. Pada mulanya, Koko meronta mahu dilepaskan kerana terkejut tetapi setelah merasa selamat, dia merelakannya. Koko menangis sepuas hatinya. Kiki mengeratkan lagi pelukannya sambil menepuk perlahan belakang Koko.

“Menangislah, kawan. Usah khuatir lagi. Aku akan sentiasa berada bersama kau.”

Setelah keadaan reda, Kiki melepaskan pelukan. Koko mengesat mukanya yang basah dan menatap wajah Kiki yang pucat. Kiki mengambil tuala kecil di tangan Koko lalu mengelap baki darah di hidung Koko yang mulai kering. Koko membiarkan sahaja perbuatan Kiki. Dia masih tidak melepaskan pandangan ke raut wajah Kiki yang pucat dan sedih itu.

Dia tidak pernah melihat Kiki sebelum ini. Kiki benar-benar wujudkah? Kenapa dia tidak pernah nampak budak perempuan bertocang ini? Hatinya menimbulkan seribu persoalan tentang Kiki. Kiki yang perasan, tersenyum lalu berkata,

“Namaku, Kiki. Aku sudah lama di sini. Semua orang tidak mengendahkan aku sehingga tiada sesiapa perasan akan kehadiranku. Termasuk kau. Dari kejauhan, aku melihat semua perilaku dan kejadian yang menimpa semua orang.”

“Kiki..” Koko tersenyum memanggil nama itu. Hampir sama dengan namanya.

“Koko, mulai hari ini kita kawan, ya. Kau tidak keseorangan lagi. Hihihi.”

Kata-kata yang keluar dari mulut Kiki menenangkan Koko. Dia gembira kerana sudah punya kawan untuk berkongsi suka dan duka. Hatinya tenang dan senang dengan kehadiran Kiki. Kiki membalas senyuman Koko yang manis itu lalu memeluknya sekali lagi.

“Sekarang, kau kena salin baju. Kotor dengan darah. Nanti aku cucikan, ya.”

Mereka berdua bangun. Kiki mengambil baju tidur Koko dalam almari dan menyuruh Koko memakainya. Koko mengangguk riang dan pergi ke tirai persalinan. Selepas beberapa ketika, Koko menapak ke katil. Baju yang dipakai tadi dimasukkan ke dalam bakul di tepi almari. Koko menyikat rambut dan berbaring di atas katil di sebelah Kiki yang sudah berbaringan.

“Kiki..”

Kiki memandang Koko yang terus lena. Nampak ketenangan di wajah sahabatnya itu. ‘Jangan risau, Koko. Aku takkan biar kau diapa-apakan. Aku berjanji akan menyayangi kau seperti nyawaku.’ Kiki berbisik lalu terlelap.

Masa berlalu. Tanpa disedari, Koko sudah berusia 10 tahun. Tidak pernah sekalipun dia merasa sunyi sejak ada Kiki. Ada sahaja gelagat Kiki yang mencuit hatinya. Baginya, tiada apa yang perlu dirisaukan atau dikisahkan asalkan Kiki berada di sisi.

Suatu hari, semasa waktu makan tengah hari. Seperti biasa, Koko akan ke ruang makan lambat dari orang lain tetapi hari ini kelibat Kiki langsung tidak kelihatan. Perut yang berkeroncong hebat memaksa Koko pergi sendirian. Selepas makan bolehlah dia mencari Kiki. Semasa dalam perjalanan, Koko terdengar suara beberapa orang sedang bercakap di bilik bacaan. Dia mengintai di sebalik pintu yang sedikit terbuka dan memasang telinga untuk mengetahui topik perbincangan.

“Aku rasa sudah sampai masanya. Dia pun sudah cukup besar untuk dijadikan korban. Sudah lama aku tak dapat darah baru.”

“Sabar, belum sampai masanya. Walaupun dia keseorangan, tetap perlu tunggu masa yang sesuai. Aku tak mahu kita disyaki.”

“Jangan lama sangat. Kau tahu kan berapa lama aku tunggu saat ini?”

“Aku faham. Jangan risau, akan tiba juga waktunya.”

Koko segera beredar dari situ sebelum diketahui. Dia kepelikan, salah satu suara itu seperti suara Cik Lily. Siapa yang dimaksudkan oleh mereka? Apa yang dirancang? Koko tertanya-tanya.

Selepas makan, Koko meluru ke biliknya. Dalam perjalanan, Koko terserempak dengan Cik Lily. Hampir dia menjerit terperanjat. Matanya jelas menunjukkan kerisauannya.

“Kenapa ni, Koko? Kamu ok?” kata Cik Lily.

“Ah, ok. Saya ok..” Koko mengangkat sebelah tangan ke arah Cik Lily lantas pergi dari situ.

Sampai sahaja di biliknya, Koko menutup pintu dan menguncinya. Dadanya berdebar-debar. Kenapa dia begitu takut sedangkan semua yang dia dengar itu masih tidak jelas motifnya. Mungkin bukan tentang dirinya tetapi siapa pula yang ingin dijadikan mangsa? Hanya dia dan Kiki sahaja yang keseorangan di sini. Kiki! Baru dia teringat tentang sahabatnya itu. Dia perlu mencari Kiki dengan cepat.

Koko membuka sedikit pintu bilik. Setelah dia pasti tiada sesiapa di koridor, dia berlari keluar dari rumah ke taman di belakang. Dia memanggil-manggil Kiki namun tiada jawapan. Ke mana pula Kiki? Puas dia mencari, masih tidak dijumpai. Dengan rasa hampa, Koko pulang ke biliknya semula. Airmata menjadi peneman Koko di waktu tidur.

“Koko.. Koko..”

Koko membuka mata setelah terdengar namanya dipanggil. Kiki! Koko bangun lalu memeluk Kiki. Rindunya dia tidak terhingga.

“Shh.. Jangan bersuara. Mari ikut aku,” kata Kiki.

Koko hanya mengangguk dan melangkah sesenyap mungkin mengikut Kiki. Tangannya dipegang erat. Walaupun banyak persoalan. Koko tidak bersuara walau sekali. Dia sangat mempercayai Kiki dengan nyawanya. Sejak ikrar yang mereka lafazkan, mereka telah berjanji sehidup semati. Begitu dalamnya kepercayaan dan sayangnya Koko terhadap Kiki.

Mereka tiba di sebuah pondok kecil di taman belakang rumah perlindungan. Koko ingin menyatakan sesuatu tetapi dihalang oleh Kiki dengan isyarat jari di mulut. Perlahan-lahan, Kiki membawa Koko masuk ke pondok itu. Pintu dihempas kuat di belakang Koko. Terjungkit bahu Koko ketika itu. Debaran di dadanya semakin laju tatkala dia melihat banyak peralatan pemujaan di situ. Ada lili, pentagram dan gambar.

Kiki? Adakah itu gambar Kiki dan Cik Lily? Apa yang sedang terjadi? Koko yang kekeliruan diketuk kepalanya dari arah belakang. Koko pengsan. Dia tersedar semula apabila mukanya disimbah air sejuk. Koko terkejut apabila dia tidak dapat menggerakkan badannya. Dia diikat di sebuah kerusi di tengah-tengah pentagram. Mulutnya juga diikat dengan kain merah. Koko cuba menjerit tetapi tidak berjaya.

“Sedar pun kau. Selamat datang ke gerbang kehidupan baru,” kata Cik Lily.

Koko mengerut kening, dia tidak mengerti apa yang dicakapkan Cik Lily. Tiba-tiba Kiki keluar dari belakang Cik Lily dengan sengihan nakal. Bertambah keliru, Koko menggoncang kerusi. Kini, tahulah dia perbualan yang didengarinya tempoh hari adalah berkenaan dirinya. Tetapi, apa yang mereka rancangkan?

“Jangan risau, Koko. Kau tidak akan merasa sakit walau sedikit pun. Oh ya, pasti kau tertanya-tanya apa yang sedang berlaku, kan?”

Koko mengangguk. Cik Lily menerangkan yang tubuh badan Koko sangat diperlukan untuk menghidupkan kembali adiknya, Kiki. Kiki mati semasa musim sejuk sepuluh tahun yang lalu. Sejak itu, Cik Lily mencuba pelbagai cara untuk menghidupkan kembali adiknya namun, hasilnya tidak menjadi seperti yang diinginkan. Hanya roh Kiki yang menjelma semula, bukan badan. Dia sangat hampa tetapi setelah Koko tiba ke situ, harapannya menggunung kembali.

Kemudian, Cik Lily membuka sebuah buku besar lalu membaca sesuatu yang tidak dapat Koko fahami. Dia menoleh ke arah Kiki yang duduk di kanannya. Airmata mula membasahi kain ikatan mulutnya. Dia sangat takut dan keliru. Kiki yang dia anggap sebahagian dari dirinya, rupa-rupanya bukan manusia. Dan kini, Kiki dan Cik Lily mahukan tubuhnya!

“Kiki..”

“Kakak..”

Mereka berpelukan dalam airmata. Akhirnya, masa yang dinantikan telah tiba. Tidak sia-sia pengorbanan Cik Lily selama ini. Dapat juga dia hidup dengan adiknya semula.

TAMAT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here