JOVIPOLIS

0
675

JOVIPOLIS
oleh: Xander Xavier

=========================

Tahun 2340.Jovipolis.

Peradaban maju.Itulah yang boleh dikatakan tentang Malaysia hari ini.Banyak perkara yang telah berubah.Kalau pada tahun 2012, manusia selalu membayangkan kereta boleh terbang pada tahun 2020.Kini, bukan sahaja kereta malah, orang juga boleh terbang.

Jovipolis, bandar tersibuk di dalam Malaysia.Infrastruktur canggih memenuhi bandar ini.Bangunan tinggi berteknologi terkini menjadi nadi utama. Antara bangunan dengan bangunan yang lain akan dihubungkan dengan satu jalur elektromagnetik. Ia memudahkan manusia untuk bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain tanpa menggunakan kenderaan. Bagaimana ia berfungsi? Cip khas yang ditanam di tangan setiap rakyat Jovipolis membolehkan mereka berteleportasi dengan hanya menghalakan tangan ke arah bangunan yang ingin dituju.

Kenderaan?Kami tidak menggunakan kenderaan.Peradaban ini terlalu maju sehinggakan kanak-kanak tidak perlu ke sekolah lagi. Mereka hanya perlu menekan beberapa butang pada ‘cermin pintar’ mereka dan guru hologram akan keluar di hadapan mata. Ibu bapa akan bekerja dari pukul 8 pagi hingga 6 petang. Tidak lebih dan tidak kurang.Itu adalah protokol masa yang ditetapkan. Sesiapa yang melanggarnya akan dikenakan hukuman. Setiap malam akan ada aktiviti kekeluargaan atau hiburan. Remaja akan bermain dengan sepatu terbang mereka dan yang dewasa akan berada di dalam panggung teater klasik.

Tapi ada satu kawasan yang tidak pernah tutup. Tempat itu dikawal oleh manusia pada siang hari dan robot akan mengambil alih setelah tamat waktu bekerja. Stesen Imigresen Angkasa. Ya… Kalau dulu untuk melihat makhluk asing sangat susah namun kini, ‘alien’ bebas datang ke bumi bagaikan pelancong asing yang sentiasa dialu-alukan. Di sinilah tempat mereka mendarat dan melapor diri.Disebabkan stesen ini jugalah Jovipolis berkembang pesat.Industri perhotelan antaraplanet adalah antara yang termaju di Jovipolis.Sumbangan para makhluk asing ini tidak dapat disangkal lagi kepentingannya kepada bumi.Malah, sudah ada antara mereka yang membina empayar perniagaan dan berkeluarga di sini.Termasuklah ayahku.

Aku Carlisa. 12 tahun.Anak kepada Ikon Dua Dunia. Ayahku berasal daripada angkasa lepas. Ya… Dia makhluk asing yang berrasal daripada galaksi lain. Dia sudah lama tinggal di bumi dan ini menyebabkan kulit makhluk asingnya mengelupas hingga akhirnya membentuk manusia lelaki.Namun, kuasanya masih boleh diguna pakai.Ibu bapaku adalah pasangan antara dunia pertama yang melangsungkan perkahwinan di bumi.Ayah diangkat menjadi ikon dan bekerja di kedutaan luar angkasa ke bumi. Malaysia menjadi lokasi strategik pendaratan makhluk asing disebabkan lautannya.Pejabat kedutaan dan Stesen Imigresen Angkasa juga terletak di tepi lauatan. Manusia selalu membayangkan makhluk asing akan mendarat di atas tanah, tapi sebenarnya mereka lebih suka di dalam air. Itu lebih selamat.Kapal mereka tidak diganggu manusia.

Ibuku sepenuh masa di rumah.Pendek kata, kami keluarga yang bahagia. Aku pula dilayan seperti manusia oleh rakan-rakan manusia yang lain. Sebenarnya aku memang berwajah manusia. Semuanya sama persis manusia kecuali mata… Mataku hitam.Tiada putih.Ramai yang kata itu membuatku terlihat comel.Aku suka dipuji begitu. Waktu pagi, aku akan fokus belajar dan waktu petang akan aku gunakan untuk bermain dengan rakan-rakan yang lain. Setiap malam, ayah dan ibu akan membawaku ke teater atau berhibur di tempat rakan makhluk asing ayah yang lain. Mereka lucu.Tidak semuanya boleh bertukar kulit seperti ayah. Pak Cik Jax. Kepalanya persis obor-obor namun berbulu.Dia sering memberiku makanan percuma.Dia baik.Penduduk di sini boleh dikatakan hidup harmonis.

Tidak! Penduduk di sini tidak harmonis! Semuanya bermula pada satu hari…

“Buka TV cepat!”Ayah tergesa-gesa masuk ke rumah.Dia baru pulang kerja.Pakaian kerjanya yang berwarna jingga dengan garisan di bahu masih belum dibuka. Dia duduk di sebelahku yang sedang bermain dengan puzzle klasik dan mencapai alat kawalan jauh pelbagai guna untuk menghidupkan TV hologram. Ibu keluar daripada dapur mendengar ayah sudah pulang.

“Awal abang balik hari ni?” Ibu duduk di sebelah ayah.

“Shhh…,” Ayah menunjukkan jarinya pada siaran berita yang ditayangkan. Ibu juga fokus. Aku yang ingin tahu kenapa ayah pulang awal ini juga cuba untuk fokus pada siaran TV.

“Seorang warga Marikh di temui mati setelah dibelasah oleh sekumpulan manusia. Dorio, berumur 2 abad, ditemui di sebuah lorong bangunan kedai Joviopolis sekitar jam 2 petang tadi. Mangsa mengalami pendarahan yang berat di bahagian kepala.Terdapat beberapa kesan hentakan keras pada belakang kepala mangsa.Rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan lelaki manusia telah mengheret Dorio masuk ke kawasan itu lalu membelasahnya sehingga mati.Kes masih dalam siasatan pihak polis.Beralih ke berita selanjutnya…,” wajah ibu dan bapaku kelihatan resah.

Aku tahu apa yang mereka resahkan. Mereka takut kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini antara dua kerajaan. Ini akan membawa banyak masalah bagi kedua-dua belah pihak yang saling bergantung antara satu sama lain ini. Makhluk asing datang mencari rezeki, manakala pembangunan ekonomi Jovipolis pula sebahagiannya digerakkan oleh mereka.Ada lagi yang ayah risaukan.

Pagi, Pejabat Kedutaan Angkasa ke Malaysia.

Tubuhku kembali lengkap selepas berteleportasi dari rumah tadi.Baru kaki diangkat, langkah terpaksa aku matikan.Di hadapan pagar pejabat kedutaan terlihat ramai makhluk asing daripada pelbagai planet dan galaksi sedang mengangkat sepanduk.Rupa dan bentuk mereka yang sedikit aneh tidak menghalang mereka untuk berdemostrasi.Kejadian semalam telah menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat.Pihak makhluk asing dengan pendirian mereka dan pihak manusia dengan pendirian mereka. Tidak kurang juga yang neutral dan tidak ambil kisah akan kejadian yang berlaku.

“Zairi!Sini!”Pengawal keselamatan yang mengenali aku memekik dari jauh. Dua orang lagi cuba menghalang makhluk asing marhean yang cuba memasuki laluan khas para pekerja kedutaan. Aku berlari mendapatkan pengawal itu.

“Zairi, bos nak jumpa kau.Cepat.Angin dia tengah tak baik tu,” pesan pengawal itu.Mana mungkin angin duta itu baik setelah mendengar berita kelmarin.Seseorang di bawahnya mati tanpa pembelaan.Polis Jovipolis tidak mahu bersuara mengenai kes ini.

Aku segera menghalakan tanganku ke tingkat tiga bangunan kedutaan dan muncul semula di hadapan bilik Duta Besar Ziok.Pintu diketuk beberapa kali dan aku dibenarkan masuk melepasi pintu kaca berlaser itu.Memang benar kata pengawal keselamatan, angin bos sedang tidak baik. Jauh tidak baik daripada cuba menyelesaikan masalah tukaran mata wang angkasa satu ketika dulu.

“Zairi. Kita akan ke mesyuarat tergempar dengan Menteri Hal Ehwal Luar Angkasa sebentar nanti. Saya nak awak ikut saya.Kalau ada apa-apa yang berlaku nanti, ‘siapkan’ diri kamu,” itu adalah kata-kata yang paling tidak mahu aku dengari.‘Siapkan’ diri kamu.

“Tuan, apa sebenarnya yang berlaku?” aku tidak dapat membendung diriku daripada bertanya.

“Dorio itu… Penguasa teknologi dan perniagaan luar angkasa.Makhluk sepertinya berumur panjang dan tidak mempunyai keturunan.Dia baru tiba di Jovipolis tiga hari yang lalu untuk bermesyuarat mengenai projek pembangunan bandar antara dunia terbesar cakerawala. Tapi projek itu akan menyebabkan ekonomi serta pembangunan Jovipolis mundur kerana tiada lagi makhluk asing yang akan singgah di sini nanti. Saya rasa mesti ada komplot untuk mengagalkan projek itu,” spekulasi yang dikeluarkan oleh Duta Ziok mungkin ada benarnya.

“Menurut Tuan, siapa pelakunya?” Sekali lagi aku tidak dapat membendung diriku.

“Mungkin… Kerajaan Jovipolis,” Duta Ziok masih berspekulasi.

“Tidak baik bersangka-sangka, Tuan,” itu sahaja yang mampu aku katakana.Tuduhan melulu seperti ini tidak boleh diterima begitu sahaja.

“Siapa lagi, Zairi?Mengapa polis Jovipolis berdiam diri saat penguasa teknologi luar angkasa dibunuh?Kau tak rasa ada sesuatu yang cuba disembunyikan dari kita?”Kata-kata Duta Ziok membuatkan aku terdiam.

Petang itu kami ke pejabat Menteri Hal Ehwal Luar Angkasa (HELA).Satu-satunya perkara yang aku boleh katakan adalah GAGAL TOTAL.Perbincangan yang pada awalnya bermula dengan senyuman dan pelukan, berakhir dengan baling kerusi serta mikrofon.Semuanya mula tegang apabila Duta Ziok menerangkan kronologi kedatangan Dorio ke Jovipolis dan masalah-masalah yang dialami oleh Jovipolis.Dia juga menunjukkan rakaman CCTV yang jelas menggambarkan bahawa manusia yang membunuh Dorio.Manusia itu berpakaian persis pegawai HELA.Duta Ziok lantas mengaitkan semua itu dengan Jovipolis.

Wakil Jovipolis tidak boleh terima tuduhan melulu seperti itu. Walaupun bukti pakaian itu jelas, namun boleh jadi saja orang lain yang menyarung pakaian pegawai HELA untuk memburuk-burukkan mereka. Masalah-masalah Jovipolis juga disangkal sama sekali. Malah Duta Ziok dituduh pula campur tangan dalam urusan kerajaan dan membocorkan rahsia siasatan polis.

Akhirnya aku di sini, di pejabat kedutaan, duduk berhadapan dengan Duta Ziok.

“Siapkan diri kamu, Zairi,” wajah masam itu berkata serius.

Aku dapat merasakan ketidakstabilan aliran cecair hijau dan oksigen di dalam badan ini.Kepalaku terasa berpusing.Aku mahu pengsan.

Malam, Menara Perumahan Korer.

“Carlisa… Carlisa ke mari, nak,” panggil ayah lembut dari luar bilik.

Aku sedang belajar. Ayah jarang memanggilku ketika aku sedang pelajar. Tapi aku suka dipanggil ayah. Kata ibu, sifat kami sangat sama. Cuma aku sedikit lebih lembut berbanding ayah yang keras.Aku tidak pernah melihat kerasnya ayah.Aku bangun dan ke ruang tamu.Ibu tiada di rumah dia ke pasar tadi.

Aku berdiri di hadapan ayah yang juga berdiri di tengah ruangan itu.Perlahan dia melutut. Ayah tidak memakai pakaian oren seperti selalu. Hari ini dia berpakaian hitam berkilat yang diperbuat daripada besi. Ayah memandangku sayu… Mata hitam ayah seakan berkaca.Ada air yang mengalir lembut daripada mata itu.Aku peluk ayah erat.Aku tak mahu ayah sedih. Aku tak mahu ayah menangis walaupun aku tidak tahu apa yang ayah tangisi.

“Chup… Chup… Chup… Ayah jangan nangis. Carlisa ada dengan ayah,” aku buat perkara yang sama ketika ayah memujukku menangis.

Tapi, tangisan ayah tidak berhenti.Dia malah makin kuat menangis hingga tersedu-sedu.Bajuku dibasahi air mata ayah.Dia masih memelukku erat.

“Maafkan ayah Carlisa.Maafkan ayah,” ayah melepaskan pelukanku.Dia mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacunya di kepalaku.Aku tidak bergerak.Aku tahu ayah hanya bercanda.Kami selalu main tembak-tembak begini menggunakan pistol air. Ayah sayang padaku. Aku senyum dan mengeluarkan dua jariku berbentuk pistol. Ayah masih menangis.

“Ayah… BANG!”Aku ketawa.Tangisan ayah semakin kuat.

“Abang! Abang buat apa ni?” Ibu baru pulang.Dia menarikku ke belakang badannya.Dia melindungi pandanganku daripada melihat ayah.Pistol ayah jatuh ke lantai. Ayah masih melutut.

“Abang nak bunuh anak kita macam Jax bunuh anak dia. Ana dapat telefon dari Idah. Idah cakap Jax bunuh anak dia, lepastu dia cuba untuk hilangkan ingatan Idah. Apa ni bang?” Ibu menangis.Aku di bawa mendekati dinding.Ibu kelihatan takut dengan ayah.

“Semua ni salah abang.Abang sayangkan keluarga abang.Abang tak nak bila projek orang tua Dorio tu siap, abang dipisahkan dari Ana dengan Carlisa.Abang boleh hidup dekat planet luar.Ana dengan Lisa.Makhluk asing takkan ada dekat bumi lagi masa tu, Ana.Jadi abang dengan kawan-kawan abang yang berwajah manusia, bunuh Dorio lepas kami balik dari Jabatan HELA. Dorio juga baru pulang dari mesyuarat yang sama sebenarnya. Kami masih pakai pakaian mereka waktu itu.Kami juga ugut manusia-manusia polis untuk tidak melakukan siasatan. Siapa yang berani melakukan siasatan, kami akan tarik kerongkong mereka keluar dari jasad. Tak sangka, Duta Ziok boleh salah faham… Dia sangka, Jabatan HELA yang buat semua ni. Semua ni salah abang. Sekarang dia panggil semua makhluk asing untuk pulang ke planet masing-masing dan hilangkan ingatan semua manusia bumi. Benih-benih kami harus dihapuskan… Semua ni salah abang! Semua ni salah abang! Maafkan ayah,” Ayah menangis semahunya.

“Abang… Kenapa abang buat macam tu?Apa semua ni bang? Kita boleh betulkan balik, bang.Kita boleh betulkan, bang,” ibu duduk di sebelah ayah yang masih berlutut.

“Tak… Kita tak boleh betulkan. Mereka akan isytiharkan perang antara dunia dalam masa beberapa jam saja lagi. Sebab tu Duta Ziok sibuk memindahkan makhluk luar angkasa dan ingin hilangkan ingatan manusia sebelum keadaan menjadi bertambah parah,” ayah memegang bahu ibu.

“Ana… Ana bawa Lisa sembunyi dekat kapal, abang.Kapal tu boleh lindungi Ana dan Lisa. Kapal tu dekat pantai hujung ni. Rantai ni untuk aktifkan kapal tu. Diorang akan buru Lisa, Ana. Kami dilarang meninggalkan benih kami di bumi, Ana. Sembunyikan Lisa. Pergi sekarang!” Ayah menolak ibu.

Ibu menarik tanganku dalam tangisan.Kami keluar daripada rumah. Aku melihat ayah tersenyum manis dan melambaikan tangannya sebelum pintu tertutup rapat. Baru beberapa langkah ke depan…

‘BANG!’

Kedengaran bunyi tembakan dari arah rumah.Ibu menangis.Tangisan yang mendalam dan sakit.Ibu berhenti.Dia menyarungkan rantai ayah di leherku.Dalam tangisan, ibu mengarahkan aku untuk pergi ke kapal ayah.Aku pernah ke situ dulu.Aku tahu tempatnya.Ibu berpatah balik, masuk ke dalam rumah. Aku tidak melangkah ke depan. Sebaliknya aku mengekori ibu.Aku lihat ibu mengangkat pistol ayah.Aku lihat ayah terbaring di sebelah ibu.Aku tahu apa yang ibu lakukan. Perkara itu salah. Tuhan larang!

“ Ayah!!! Ibu!!!”

Tiba-tiba duniaku gelap.Semuanya seakan berputar.Melayang dan terbang.Aku jatuh terjelepok.Kakiku sakit. Sebentar… Ini bukan lantai rumah.Aku mengangkat wajahku.Aku di dalam kapal ayah.Di mana ibu?Bagaimana aku ke sini?Apa yang berlaku sebentar tadi? Aku ke pintu utama dan menekan butang untuk membuka pintu.

Apa yang aku lihat ini mengejutkan… Aku terduduk lagi. Aku tidak tahu apa yang telah aku lakukan sebentar tadi. Jovipolis hancur.Segala bangunan tinggi dengan teknologi canggih rata di atas tanah. Ibu di mana ?Aku takut sendiri.Tiada siapa-siapa di sini.

Hanya satu yang aku pasti, aku mewarisi kuasa ayah.Aku mewarisi suara kehancuran milik ayah. Aku akan tinggal di kapal ini sendiri. Aku harap aku tidak perlukan makanan juga seperti ayah. Aku takut… Dengan kuasa ini… Adakah aku membunuh ibuku?Adakah aku membunuh seluruh rakyat Jovipolis?Atau mungkin bumi? Tiada yang tahu… Aku perlu ayah… Aku perlu ibu… Di mana mereka?

Seseorang tolong aku…

=========================

JOVIPOLIS
oleh: Xander Xavier
untuk PROJEK ALIEN ARKIB ANGKER NEGARA

Editor Gambar: Wan SC

SHARE
Previous articleKEMUNCULAN PENYAIR DARI LANGIT
Next articleAURORA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here