JUTAAN PURNAMA

0
1315

KARYA: Adeela Roslan
TAJUK: JUTAAN PURNAMA

========================

“Taruhkan jutaan purnama.. Kan setia diriku bersamanya.. Mencintanya.. Hingga ke akhirnya” lirih kedengaran lagu Jutaan Purnama dendangan Datin Alyah yang dinyanyikan susuk tubuh cengkung itu.

“Kau mungkiri apa yang pernah kau janjikan pada aku Nana..” perlahan tangan kurus yang kelihatan pucat tanpa darah mendekati wajah Nana.

“Jom Nana.. Ikut aku.. Kita akan sama-sama hingga akhirnya.. Aku rindukan kau..” Wajah pucat itu pula didekatkan ke wajah Nana.

“Tidak! Tidak! TIDAAAKKK!!!” Nana terjerit kecil lalu tersedar dari lena. Dahinya berbintik peluh. Manakala bajunya sudah basah lencun. Sejak akhir-akhir ini, mimpi itu sering hadir. Seolah-olah gadis itu benar-benar menginginkan Nana untuk bersamanya.
Sekeping gambar ceria di atas meja di tepi katil dicapai dan ditatap. Nana menangis sambil memeluk lututnya. Kelihatan dua orang gadis sedang berpeluk mesra sambil ketawa gembira di bawah sepohon pokok yang rendang. Itulah gambar kenangan terakhir Nana dan sahabat baiknya, Erni.

xxxxx
Sebulan sebelum….
Universiti K.

“Nah! Assignment bahagian korang” Haikal menghulurkan dua keping kertas A4 kepada Nana dan Erni. Masing-masing diberikan sehelai kertas tetapi dengan panduan tugasan yang berbeza.

“Thanks Haikal!” serentak Nana dan Erni berterima kasih kepada Haikal. Haikal hanya meleretkan senyuman manis.

“Weh Nana, kau tahu, aku suka la tengok Haikal. Senyum dia tadi, huh! Bergetar buah pinggang aku!”

“Aik, apasal bergetar buah pinggang? Nak mati ke?”

“Ada pulak kau ni Nana! Hisy!” Lengan Nana dicubit Erni geram. Suka sangat menyakat!

“Tapi kan Nana, kalau kau pun sukakan Haikal kan, aku rela undur diri tau. Sebab aku laaaagi sayang kau!” Erni memeluk Nana. Nana hanya tersenyum sumbing melihat tingkah sahabat baiknya itu.

‘Seandainya kau tahu isi hati aku, Erni..’

————————-
Perpustakaan.

“Awak.. Sori lambat..” Haikal membetulkan kaca matanya.
“Hai awak! Takpe.. Saya pun baru je sampai.” Kerusi ditarik. Mereka berdua memilih untuk duduk bertentangan di meja yang sedikit tersorok di belakang rak-rak buku.

“Awak, saya rasa bersalah sangat dengan Nana.” Luah Erni. Sememangnya dia tahu, Nana juga sukakan Haikal, tetapi apalah daya, Haikal telah meluahkan perasaan kepada Erni seorang.

“Tak perlu rasa bersalah awak. Saya hanya suka dan sayang awak seorang je.” Tangan Erni dicapai dan digenggam. Haikal Memang telah lama menyukai Erni. Disebabkan Nana selalu bersama Erni, dia hanya dapat meluahkan perasaan kepada Erni hanya setelah Nana pulang. Erni dan dia tinggal di hostel kampus sementara Nana berulang alik berikutan rumahnya yang terletak tidak jauh dari kampus. Jadi hanya masa itu yang ada untuk dia dan Erni bersama.

Setelah berbincang serba sedikit tentang tugasan kumpulan berdua, Haikal dan Erni pulang bersama ke hostel. Keputusan untuk merahsiakan hubungan mereka diambil oleh Erni kerana tahu bahawa Nana turut menyukai Haikal. Erni tidak mahu Nana terluka. Walaupun tidak pernah Nana memberitahunya, tetapi diari Nana menjelaskan segala isi hatinya. Itupun dibaca Erni secara curi-curi. Dia tahu Nana tidak suka hak privasinya diceroboh.

————————–—–
“Erni, esok Sabtu… Jom ikut aku pergi hiking dekat Bukit K nak?” Nana memainkan jarinya di atas bahu Erni sambil membuat muka comel. Dengan harapan Erni akan bersetuju.

“Boleh!”
“Yeayyy!”
“Tapi ada satu syarat!” Erni menaikkan jari telunjuk.
“Alaaaa….” Nana menjuihkan mulut. Erni hanya ketawa melihatnya.

Keesokannya.

Muka Nana masam mencuka. Disangkanya berdua. Rupanya tiga. Bukan madu tiga okey! Tapi bertiga dengan Haikal. Ya ampun. Itulah syarat yang dikenakan Erni. Syaratnya mestilah ada seorang atau lebih lelaki. Untuk tujuan keselamatan. Sengaja Erni mengajak Haikal ikut serta berikutan Haikal juga merupakan pengerusi untuk kelab alam sekitar di kampus.

Sesampainya di puncak barulah Nana bersuara. Lega hati Erni. Ingatkan sahabatnya marah benar dengan dia.

“Okey! Jom kita turun! Hari dah makin tinggi, kalau lambat nanti panas pulak.” Ujar Haikal. Sahabat berdua itu hanya menurut. Namun malang tidak berbau, ketika dalam perjalanan menuruni puncak bukit, kaki Erni terseliuh.

“Awak, awak ok ke?” pantas Haikal mendekati. Nana berganjak ke tepi. Dia tahu kudratnya tidak segagah seorang lelaki. Dibiarkan sahaja Haikal memikul Erni seorang diri. Sewaktu berdepan dengan jalan yang bercerun sedikit barulah Nana membantu. Tetapi Nana mula perasan sesuatu.

————————-
Sudah tiga hari Erni diberikan cuti. Tiga hari itu jugalah dia hanya berada di bilik hostel. Hanya kiriman makanan dari Haikal yang menemani. Tiada langsung lawatan dari Nana. Erni mula rasa sebal. Hatinya berasa tidak enak. Seketika, kedengaran nada dering Jutaan Purnama dendangan Datin Alyah menghiasi ruang biliknya. Di perhatikan skrin telefon. Nama Haikal tertera. Butang hijau ditekan.

“Hai awak. Dah makan ke belum?” Suara Haikal menyapanya di talian.

“Dah awak. Terima kasih untuk makanan tadi. Pandai awak beli nasi air. Kebetulan saya tak selera nak makan.” Lemah sahaja Erni menuturkan kata.

“Sama-sama. Takpelah awak, rehat ye. Biar cepat sembuh. Nanti kalau nak makan ke apa, telefon je saya okay.”

“Okay awak. Bai.” Talian ditutup. Erni mengeluh. Disangkanya Nana yang menelefon. Kedengaran pintu bilik dibuka. Cepat-cepat Erni memanjangkan leher. Terjengul wajah Nana.

“Hai beb! Rindu aku tak?” Nana membawa sebotol air mineral bersama satu plastik pizza.

“Beb! Kau pergi mana? Aku rindu kau!” Erni antas memeluk Nana sebelum teresak menangis secara tiba-tiba.

“Syyyy.. Aku mintak maaf. Aku tak sempat nak datang melawat kau. Aku ada hal. Kaki kau macam mana beb? Dah makin okay tak?” Pandangannya beralih kearah kaki Erni.

“Dah okay sikit. Sebab kawan sebilik aku, si Syima tu ada tolong urut jugak sikit-sikit.”

“Ohhh… Kalau macam tu, nak ikut aku shopping esok?”

“Nak!!!!!” Begitu teruja hati Erni setelah ‘dikuarantin’ selama tiga hari. Nana meleretkan senyuman.

xxxxx
Sebulan setelah.

“Nana…….” Wajah cengkung milik sahabat baiknya muncul lagi. Tapi kali ini di dalam sedarnya. Lirih suara itu memanggil Nana.

“Pergi! Jangan ganggu aku! Pergi!” Nana menekap kedua belah telinganya.

“Kenapa Nana? Kenapa buat aku macam tu?” Lirih dan sayu suara milik Erni. Bukan! Milik jelmaan Erni.

“Sebab aku tak suka! Kau tahu kan aku suka dia! Kenapa kau yang dapat dia? Kenapa???” Tengking Nana.

“Tapi… Aku dah bagitahu kau Nana…. Kalau kau terus terang dengan aku yang kau sukakan dia, aku… Rela undur diri..” Erni mengongoi. Matanya mengalirkan darah. Dada Nana berombak kencang. Matanya memandang pintu.

“Pergi kau syaitan! Jangan ganggu aku!!!!” Jerit Nana sebelum berlari kencang kearah pintu biliknya. Dibuka gopoh dan dia terus berlari keluar dari bilik itu. Kakinya menuju kearah tangga dan menuruninya dengan laju. Hampir sahaja terjatuh.

“Nana sayang, nak kemana tu anak ibu…” Puan Ina, ibu Nana yang sedia maklum anaknya mungkin tertekan setelah kematian sahabat baiknya Erni itu memandang gusar kearah Nana yang sedang meluru laju ke pintu utama.

“Nanaaaa….” bayangan Erni mendekati.

“Tidaaaakkkkkkk!!! Pergi kau syaitan!!!!!” Nana meronta melepaskan pegangan Puan Ina dan Encik Amsyar, bapanya.
Laju Nana meluru kearah pintu utama seperti yang dibimbangkan oleh ibunya.

“Nana!!! Nanaaaa!!!” keras panggilan Encik Amsyar. Namun, sudah terlewat. Nana sudahpun keluar dari rumah. Nana memegang kepalanya sambil melihat sekeliling. Bayangan Erni dimana-mana. Nana sudah hilang arah. Dia berlari kearah jalan raya. Tanpa dia sedari, sebuah kereta meluru laju kearahnya.

‘PIIIINNNNNN!!!”
“BAM!”

Bunyi hon diringi satu perlanggaran kedengaran.

“Ya Allah, Nana!” Encik Amsyar dan Puan Ina meluru kearah anak mereka. Kepala Nana dipangku. Darah keluar dari mulut dan telinga Nana.

“I…b..buu…” Mulut Nana membuakkan darah. Mata Nana terbelalak. Imbasan kejadian lepas seolah-seolah bermain semula di kotak fikirannya.

xxxxx

Keretanya di parkir di seberang jalan. Sengaja. Punat kunci ditekan setelah Erni keluar dari perut kereta.

“Yeayyy! Window shopping pun takpe dah!” Erni berkata girang.

“Jom!” Tangan Nana dihulurkan kepada Erni. Huluran itu disambut dengan senang hati oleh Erni.

Semasa melintas, Nana berjalan perlahan-lahan sambil memegang Erni. Selangkah, dua langkah. Sedang Nana melihat kereta Proton Saga meluncur laju, tangan Erni ditepis lalu Nana segera menyeberang seorang diri.

“Nana!” Erni kaget ditinggalkan sendirian di tengah jalan. Tanpa melihat ke kiri dan kanan, dengan langkah yang masih kurang seimbang, Erni melangkah dan….

‘SREEETTTT!!!!’
‘BAMM!!!’

Kedengaran bunyi tayar terseret dan dentuman. Erni menggelupur di tengah jalan sambil terbelalak kearah Nana.

Matanya melihat Nana meluru kearahnya. Tapi. Aneh kerana Nana mendekat dengan senyuman. Hanya senyuman Nana perkara terakhir yang dilihat sebelum pandangannya kabur dan beransur gelap.

Doktor mengesahkan kematian Erni pada jam 5.35petang.
“Erniiiiiii!!!!!”Air mata Nana berhamburan. Tetapi, bibirnya mengukir senyuman.

xxxxx

“Ak… Ak..ku… Mi.. Min… Tak… Ma.. Af…..” Dengan penuh kepayahan dan dengan nada tersekat-sekat, Nana menuturkan maaf.

“Syyyhhh… Kau tahu aku sayang kau sangat-sangat kan..” Di pangkuan ibunya, Erni sedang terapung sambil memeluk tubuh Nana.

“Sekarang, tiada apa yang dapat menghalang kita untuk bersama selamanya……” Erni menyeringai dengan gigi yang berdarah. Tangan pucat itu terus merangkul erat tubuh Nana yang semakin perlahan nafasnya.

“Bersamanya….. Mencintanya…. Hingga ke akhirnya… Akhirnya……” Erni hilang bagaikan asap begitu sahaja setelah Nana menghembuskan nafasnya yang terakhir ditempat kejadian.
Dari jauh, Haikal membetulkan kaca matanya.

“Kau tetap pilih dia walaupun aku yang sering menangisi pemergianmu Erni…..” Haikal melangkah perlahan menuju jauh dari situ.

xxxxx

Sayangku
Bangun oh sayangku
Sedarkan dari lena mimpimu
Aku masih perlukan dirimu

Sayangku
Bukalah matamu
Lihat diriku masih menunggu
Kesatkan air mataku

Maafkan kerna kutakut
Kehilangan dirimu

Taruhkan jutaan purnama
Kan setia diriku
Bersamanya
Mencintanya
Hingga ke akhirnya
Akhirnya

Bait-bait lagu Jutaan Purnama nyanyian Datin Alyah dinyanyikan dengan penuh khusyuk oleh dua sahabat. Erni dan Nana berpaling sesama sendiri sebelum bergelak ketawa di dalam kereta yang dipandu Nana. Keadaan jalan yang sesak membuatkan mereka mencari hiburan sendiri.

“Nana, jangan tinggal aku walau apapun yang terjadi tau! Janji?” jari kelingking Erni diangkat dan disuakan kepada Nana.

“Kan.. Setia diriku.. Bersamanya.. Mencintanya.. Hingga ke akhirnya…” Kelingking Nana diangkat dan jari mereka bertaut tanda perjanjian termeteri.

TAMAT.

Terima kasih sudi membaca. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri sebagai hamba-Nya.

SHARE
Previous articlePERMAINAN ROH
Next articleZANA SAHABATKU

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here