KAMPUNG KEDUK NYIUR

0
2373

KAMPUNG KEDUK NYIUR.

Nukilan : Cikedot ( Dee Edot )

===================================

Kampus UNIMAP, Perlis Indera Kayangan.

“Ediey, jadi ke kau ikut aku balik kampung malam esok?”

“Ehh, jadilah. Kan kita dah bincang last week.”

“Yelah. Saja aku nak confirmkan balik dengan kau. Manalah tahu kau tukar fikiran last minute.”

Aku senyum sambil menggelengkan kepala.

“Syah, kan aku dah janji dengan kau. Kalau aku tak ikut kau balik kampung, bosanlah aku kat sini. Kau nak aku jadi tunggul ke, 2 minggu ni?”

“Heheh. Rilekslah oii. Aku tanya je. Kau dah siap packing barang ke? Esok lepas maghrib kita gerak.”

Aku mengangguk.

“Okay cun. Tapi rumah kau jauh ke? Agak-agak berapa jam ya dari Uni kita ni?”

“Alah. Takdalah jauh mana pun. Pejam celik sampailah kita.”

Aku sedekahkan jelingan.

“Kat mana ya kampung kau? Perak belah mana? Aku dah lupalah kau cakap hari tu.”

“Kampung Keduk Nyiur, Ipoh.”

Aku senyum. Nama kampungnya pun… alahai.

******

Keesokan harinya.

Kampung Keduk Nyiur.

Setelah lebih kurang 4 jam lebih perjalanan, akhirnya aku dan Syah tiba di rumahnya. Tengah malam juga kami sampai. Siapa sangka dengan kancil 660 cc, warna merah metalic kepunyaan Syah – walaupun terkedek-kedek, kami tiba ke destinasi dengan jayanya.

Dari awal perjalanan, aku rasa yakin tak yakin je nak naik kereta tu. Apa tidaknya, ekzosnya letup-letup. Asap pula berkepul-kepul. Bunyi enjin bukan main berdesup, perginya macam siput. Risau je aku kalau kancil tu semput tengah-tengah jalan. Nasib. Syukurselamat!

Aku disambut mesra oleh ahli keluarga Syah. Tidaklah ramai ahli keluarganya. Mak, ayah, seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Ehemmm, boleh tahan manis adik perempuannya. Sampai hati kau Syah, main sorok adik. Mentanglah aku ni kacak. Takut adik dia terpikatlah tu.

“Woii. Jangan tenung adik aku lama sangat. Aku korek biji mata tu kang. Baru ada akal.” Bisik Syah beserta amaran.

Aku menyimpul senyum, seraya membuang pandang dari terus melirik adik perempuannya. Astaghfirullah. Teguhkan iman kau Ediey.

“Ediey ni asal dari mana?”

“Ohh, saya asal dari Selangor pakcik. Tapi keluarga saya sekarang menetap di Tawau, Sabah atas urusan bisnes keluarga.”

“Ohhh. Jauh tu. Mak ayah tahu kamu ke mari?”

“Tahu pakcik. Kebetulan, mereka ada urusan di Kuala Lumpur minggu lepas. Dan mereka ada juga singgah ke perlis bertemu saya. Jadi, cuti ni saya tak cadanglah pulang ke sana. Saya berhasrat ikut si Syah balik ke sini. Saja nak jalan-jalan tengok kampung orang.”

Pak Sudin mengangguk faham.

“Pakcik harap kamu selesalah di sini ya. Buat macam rumah sendiri.”

“Baik pakcik. Terima kasih.”

“Topek, lepas makan ni nanti ajaklah kawan kamu ni berehat. Udah tengah malam ni. Nak menyantak ke pagi dah. Badan pun letih ya dak.” Ujar Mak siah sambil menutup mulut menahan nguap. Kesian, mengantuk betul dah nampak gayanya.

“Baiklah mak.”

Aku pandang wajah Syah di sebelah. Dahiku berkerut. Seriuslah, Topek?

“Nama aku kan Taufiq Hamsyah. Topek tu panggilan manja. Kau diam, jangan pecah lubang kat kampus!”

“Ai ai chip!” Mengekek aku gelak.

Syah tarik muka. Ada aku kisah?

****

Usai solat subuh.

“Oii. Boleh tahan sejuk kampung kau ni ya. Kalau tak pakai selimut, gigil teruk aku. Dah tu, bilik air kau pulak pakai kolah. Bbrrrrrr.. Syok tu memang syok. Tapi air serupa air batu!”

“Hahahah. Best kan? Inilah kampung namanya, samdol! Wei, kejap lagi aku nak ajak kau mengopi kat warung Pak Rais. Lempeng kelapa dia cenggini. Dah lama aku tak pekena.”

“Fuhhh. Cantik gak tu!”

***

Warung Pak Rais, Kampung Keduk Nyiur.

Aku dan Syah tiba di warung. Boleh tahan ramai juga pelanggan yang ada di situ. Meriah. Kesemuanya lelaki. Masing-masing mengenakan kopiah di kepala. Geng surau barangkali.

Aku membontoti Syah dan bersalaman dengan semua orang yang ada di situ. Dah serupa YB pula lagaknya. Adat masuk kampung orang, kenalah peramah. Sombong-sombong nak pergi mana?

Syah memperkenalkan aku kepada mereka. Ayah Syah pun turut ada sekali dalam kelompok tersebut. Boleh tahan juga ukhwah mereka ni. Air minuman juga serupa je. Kopi gelap! Lempeng kelapa setiap seorang. Lenteng berbau cengkih tersemat di jari masing-masing. Sehati sejiwa!

Aku dan Syah diajak duduk semeja dengan mereka. Kami pun ikut sajalah. Campur kami, adalah lebih kurang sebelas orang. Boleh buat satu pasukan bola dah ni.

Usai pesanan diambil, aku dan Syah mengambil pendekatan untuk memasang telinga sahaja mendengarkan perbualan mereka. Nak ikut menyampuk, terasa segan pula bila dikelilingi para otai. Al maklumlah, kami ni kelapa muda. Depa kelapa ganyut, dah boleh buat santan.

“Seman, kau ada dengar pasal Samad tak?” – Pak Jageh.

“Samad mana pulak ni Jageh oi?”

“Alah kau ni. Samad anak Wan Jambul pun tak kenal.” Balas Pak Jageh.

“La.. Kabo ler anak si Wan Jambul. Kan senang. Kenapa dengan dia?”

“Haah, kenapa pulak dengan dia?” Soal Leman Timun.

“Si Samad tu kan baru kahwin minggu lepas. Aku dengar, haru juga malam pertama dia.”

“Dah kenapa pulak?” Tanya Din Tinju.

“Haah. Kenapa dengan dia? Ce citer.” Ujar Pak Lah Tongkol.

“La…kome semua tak tahu ke? Macam ni citer dia….” Pak Jageh.

******

PENGANTIN BARU
================

(Aku dalam ni adalah Samad.)

Alhamdulillah. Selesai juga majlis perkahwinan aku dan isteriku, Suraya. Memandangkan aku ni duda terang tang-tang, maka aku sebulat suara untuk mengadakan majlis di sebelah perempuan sahaja.

Lagi pula, aku dan Suraya ni sekampung. Yang datang ke majlis kami ni pun orang-orang kampung ini juga. Jadi lebih baik buat kenduri setempat. Ekonomi. Nampak bijakkan? Ehh, bukan kedekut. Tapi jimattt..

Aku ni punyalah rasa bersyukur, bila pinangan aku Suraya terima. Bukan apa, aku dengar si Suraya ni dah tolak 10 pinangan sebelum ni. Semuanya lelaki bujang pula tu. Jadi, aku syak memang taste Suraya ni duda agaknya. Ini namanya rezeki.

Kami ni tak pernah bercinta, bersua muka – berdating apatah lagi. Kami kahwin atas dasar pilihan keluarga. Salah satu sebab aku yakin bapa mertua aku, Pak Jamrut terima pinangan aku ni pun sebab dia bersahabat baik dengan bapa aku. Geng kaki pancing! Semangat Brotherhood ni bukan boleh buat main.

****

8.00 malam.

“Arghhhh….” Aku menggeliat.

Boleh tahan letih juga badan ni. Mahu tidak, habis pulun aku basuh periuk belanga siang tadi sorang-sorang. Sengaja aku biarkan Suraya tidak ikut serta. Siapa tak sayang bini oii. Takkanlah aku nak biarkan tangan Suraya digigit berus dawai? Tak budiman aku kalau buat begitu.

“Abang.Jom makan.” Sapa Suraya.

Aku yang sedang melepek di beranda rumah, mengangguk seraya tersenyum.

Sejuk hati aku dipanggil ‘abang’. Eeeii… bertahun-tahun aku menduda. Gelaran ‘abang’ ni buat jiwa aku rasa aman- damai-sentosa aje. Senyum sampai ke telinga.

***

9.30 malam.

Makan malam sudah pun berlalu sejam yang lalu. Datang pula Suraya membawa hidangan kopi dan biskut lutut sira gula ke beranda. Kemudian, dia menghilang ke dalam rumah. Tinggallah aku dan bapa mertuaku berborak santai.

Barangkali bapa mertua aku perasan akan tingkah aku yang sekejap-sekejap mencuri pandang ke dalam rumah, akhirnya dia menyuruh aku masuk ke dalam.

Aku, bagai disorongkan bantal – pucuk dicita ulam mendatang, laju sahaja meninggalkan bapa mertuaku terkapai-kapai keseorangan di beranda.

Biarlah dia menatap bulan penuh di dada langit malam ni. Aku faham, dia pun dah lama menduda. Bukan aku tak tahu dia tengah mengurat Cik Senah Janda hujung kampung tu. Harap-harap ada rezekilah orang tua ni nak berbini.

Tapi sekarang ni, buat apa aku nak fikirkan perihal bapa mertua aku. Aku ni kan pengantin. Kasi chance lah!

Senyum.

***

‘Krikkkkk..’

Aku tolak daun pintu bilik kami. Wangi bau haruman bunga rampai menusuk ke rongga hidung. Suraya yang sedang membaca buku seram, perasan akan kehadiranku – melirik ke arahku sambil tersenyum. Buku seram? Gila berani isteri aku ni.

“Suraya tak tidur lagi?”

“Belum bang. Saya tunggu abang, sambil-sambil baca buku Rona Sanguis ni.”

“Apa uis? Eeii.. Pelik benar nama bukunya pun. Ermm… Su, badan abang rasa letihlah. Kalau ada yang tolong picitkan, memang syorgaaa betul ni…”

Suraya mengangguk – senyum. Ehemm, cantik! Aku angkat kening. Lantas dia meletakkan buku bacaannya di atas meja sisi. Aku dengan pantas memetik suis lampu sebelum berkira-kira untuk melompat ke atas katil. Gelap.

Dan…..

“Arghhhhhhhhh!!!!”

“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!”

“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh”

Bagai nak gugur jantung aku! Suis aku petik semula untuk menghidupkan lampu. Berkedip-kedip lampu kalimantang sebelum ruangan bilik disimbahi cahaya secara total.

“Suraya…kenapa ni? Kenapa menjerit?”

Pertanyaanku tidak dijawab. Malah, Suraya kelihatan menggigil. Wajahnya pucat lesi. Renek-renek peluh mula membanjiri pelipisnya. Aku meluru dan memegang tangannya yang sudah dibasahi dengan peluh.

“Suraya, awak kenapa? Bagitahu abang. Awak nampak hantu?”

Suraya menggeleng pantas.

“Dah tu kenapa?”

Dia geleng lagi. Arghh sudah! Kenapa pula dia ni. Kena sampuk ke apa?

‘Tuk! Tuk! Tuk!’

Pintu bilik diketuk dari luar.

“Samad…”

“Samad. Buka pintu ni.”

Suara bapa mertuaku di luar. Aku kaget. Tiba-tiba aku jadi gelabah. Aku pandang Suraya. Aku tengok dia masih berkeadaan begitu. Menggigil!

Alamak. Apa aku nak jawab dengan bapa mertua aku ni. Jangan dia bawa parang nak tetak aku sudahlah. Naya!

Aku bangkit perlahan-lahan menghampiri pintu.

‘Ketak!’

‘Krikkkkkk’

Selak ditarik. Pintu dibuka luas. Wajah bapa mertuaku terjengul di hadapan pintu. Tanpa berlengah….

“Bapak. Sumpah pak, saya tak buat apa-apa pun dengan Suraya. Cuit pun tak sempat pak.”

Aku menunduk sambil kedua tanganku dibawa ke dada. Cuak betul aku gayanya.

“Samad. Kau bagi air ni pada Suraya. Suruh dia minum.”

Tanpa banyak soal, aku ikut arahan bapa mertuaku. Yang penting, dia tak bawa parang. Aku suakan gelas berisi air suam itu kepada Suraya. Dengan bacaan basmallah dan selawat, dia minum perlahan-lahan.

Usai beberapa minit berlalu, wajah Suraya nampak tenang. Dia senyum memandangku. Erkkk, senyum? Tadi bukan main gigil. Dengan aku-aku sekali cuak. Cettt!

“Suraya, kamu rehat dulu ya. Bapak nak bercakap dengan Samad di luar sekejap.”

“Baik pak.”

Dengan itu, maka aku faham bahawa bapa mertuaku mahu aku mengikutnya ke ruang tamu. Aku ikut membontotinya tanpa banyak soal.

Kami melabuhkan punggung di atas sofa, serentak.

“Samad, kau okay ke?”

“Saya? Saya okay pak.”

“Hurghhhhsss..” Terdengar keluhan halus dari bibir bapa mertuaku.

“Ermmm bapak, kenapa dengan Suraya tu? Dia kena sampuk ke? Saya tengok tadi dia ada baca cerita hantu. Pembawakanlah tu agaknya.”

Bapa mertuaku menggeleng kepalanya.

“Bukan Samad. Takda kena mengena dengan buku yang dibaca. Tapi, diri Suraya tu sendiri jadi puncanya.”

“Maksud bapak? Suraya ada saka? Pedamping?”

“Ya Tuhan budak ni. Karang aku katuk kepala tu kang. Ke situ pula perginya.”

“Erkkk.. Maaf pak. Tak sengaja. Saya sekadar beragak-agak aje. Tak sangka pula tak mengena. Hehhe.”

“Tadi kamu padam lampu bilikkan?”

“Haah pak. Lepas saya padam lampu, Suraya terus menjerit-jerit. Takut betul saya Pak.”

“Haaa…itulah puncanya.”

“Punca? Maksud bapak?”

“Sebenarnya, isteri kamu tu takutkan gelap. Dia dah sampai tahap fobia.”

“Fobia gelap? Ehh, kenapa pula macam tu?”

“Semuanya bermula masa usianya 10 tahun. Kalau kau masih ingat, kampung kita pernah terputus bekalan elektrik selama beberapa hari. Masa tu, aku dan arwah maknya ke surau. Tinggal Suraya seorang di rumah. Masa kami tiba, kami tengok Suraya menggigil ketakutan sambil menangis. Menangis yang bukan biasa-biasa. Menjerit dan meracau. Habis basah badan dia berpeluh. Kami jumpa dia menyorok dalam gobok. Bapak sampai ingat dia kena sampuk dek hantu masa tu. Sama macam telahan kau tadi. Tapi sangkaan bapak meleset. Dia jadi macam tu sebab takut dengan gelap. Dia macam trauma. Nak-nak masa kejadian tu dia keseorangan di rumah. Sejak dari itu, rumah ni memang tak pernah padam lampu bila waktu malam. Terang benderang.”

“Ohh… Macam tu rupanya. Tak tahu pula saya Suraya takutkan gelap sampai macam ni sekali gayanya.”

“Bapak minta maaf Samad sebab lupa nak beritahu kamu awal-awal. Bapak harap sangat takutnya Suraya pada gelap akan hilang selepas ni. Kamu jagalah dia ya. Bantu dia apa yang patut. Bapak tak pandai.”

“Ehh, tak apa pak. Bukan salah bapak pun. Patutnya saya yang kena ambil tahu pasal isteri saya sendiri. Saya janji dengan bapak akan jaga Suraya. Saya terima dia apa adanya. Lagipun, saya ni tak kisah kalau terang benderang ni pak. Saya okay je.”

“Ehemmm. Dah. Pergilah masuk tidur. Bapak dah mengantuk ni.” Pak Jamrut bangkit dari duduknya.

“Baik pak. Selamat malam.”

**********

Warung Pak Rais, Kampung Keduk Nyiur.

“Haaaa…. Macam tulah citernya.” Terang Pak Jageh.

“Ehh, pelik benar takutnya sampai fofia.” Sampuk Seman.

“Oii. Bukan fofia lah, fobia!” Ujar Din Tinju.

“Fobia gelap. Kalau ikut nama saintifiknya, Nyctophobia atau Achluophobia.” Sampuk aku.

“Oohhhhhh…..” Balas mereka bersembilan, serentak.

Syah senyum. Aku ikut senyum.

“Ehh, aku nak minta diri dululah.” Ujar Pak Lah Tongkol.

“Lahh. Dah kenapa awal sangat kamu nak balik ni. Nak kemana?” Soal Pak Sudin, ayah Syah.

“Aku nak ke pasar. Nak cari ikan tongkol. Nak suruh bini aku buat gulai. Teringin bebeno aku.”

“Tongkol lagiii…..hahhahaha.” Mereka berlapan mengajuk Pak Lah Tongkol sambil berseloroh, serentak.

Kali ini, aku dan Syah tak mampu menahan tawa. Tersembur air kopi dari mulut Syah. Hampir sahaja mengena aku. Nasib sempat elak. Takda sivik punya budak!

Usai Pak Lah Tongkol beredar, aku, Syah dan kelompok otai masih lagi di situ. Kami pesan lagi lempeng kelapa dari Pak Rais. Betul kata Syah, lempeng kelapanya memang sedap. Cicah pula dengan sambal bilis, aduhh. Kecur air liur.

Sedang rancak perbualan sesama mereka, tiba-tiba ada sebuah kereta berlambang H berhenti dan parkir di tepi warung. Semua mata terarah kepada keluarga yang turun dari kereta itu. Aku agak mereka adalah sepasang suami isteri beserta dua orang kanak-kanak yang dalam jangkauan aku berusia 8 dan 10 tahun.

“Ehh siapa pulak tu?” Tanya Husin Lempoyang.

“Entah. Nampak macam bukan orang sini. Agaknya nak ke kampung sebelah barangkali.” Ujar Kassim Posto.

Aku dan Syah juga tak terlepas dari memandang ke arah mereka. Dalam hati, cantik kereta! Mungkin betul kata Pak Kassim Posto, mereka mahu ke kampung sebelah agaknya. Tak pun ke tempat lain. Yalah, warung Pak Rais ni letaknya di tepi jalan. Boleh jadi sesiapa sahaja akan berhenti untuk bersarapan.

Kelihatan Pak Rais datang menghampiri keluarga itu, mengambil pesanan minuman dan makanan. Usai pesanan dicatit di kepala otak, Pak Rais pun berlalu pergi ke belakang warung.

Beberapa minit berlalu. Keluarga itu tidak lagi kami hiraukan. Pokok perbualan disambung pula ke topik perlawanan bola. Tidak semena-mena..

“Arghhhhhh!!!”

“Papa, kucing! Arghhhhh!”

Terdengar jeritan dari anak gadis mereka. Mungkin anak sulong barangkali berdasarkan saiz dan rupa yang sedikit matang dari anak lelakinya. Kami semua terperanjat mendengar jeritan itu. Sempat Leman Timun mengurut dadanya.

“Celaka punya kucing!!” Jerit lelaki itu.

Lelaki itu bingkas bangun, lalu dengan pantas menyepak kucing bunting itu dengan hayunan kaki yang tampak keras. Tubuh kucing bertompok hitam putih itu terbang – melambung lalu menghentam kaki meja, seraya terhenyak di atas lantai simen.

“Meowwwwww…” Ngiauan si tompok – lemah.

Sekalian pelanggan yang ada termengkelan. Pak Leman Timun mengurut dadanya lebih laju. Yang lain – melopong. Tentu sahaja terperanjat dengan tingkah lelaki itu. Aku mengetap gigi. Rengkungan terasa kesat untuk menelan liur. Geram. Syah menepuk bahuku, meminta aku sabar. Syah lebih kenal aku. Cukup kenal.

Pak Rais terkocoh-kocoh ke depan. Dia terpinga-pinga, sebelum mendapatkan si tompok, kucing kesayangannya yang terjelopok di atas lantai. Ada cairan darah yang mengalir di kaki meja. Aku yakin benar bahawa darah itu milik si tompok. Mengalir dari alat kelaminnya. Kesian.

“Pak cik, kalau nak berniaga boleh tak jangan bela binatang dalam kedai. Bukan saja kotor, busuk tapi mengganggu anak saya tau tak!” Ujar lelaki itu dengan nada suara yang tinggi.

Eeeiii…geramnya aku! Sabar Ediey!

“Maaflah encik kalau kucing pakcik ni mengganggu anak encik. Tapi, si tompok ni tak ganas. Dia kucing manja. Tak menggigit.” Balas Pak Rais lembut.

“Manja atau tidak, bukan soalnya. Anak saya ni takut kucing. Takkan disebabkan kucing pakcik ni, saya nak biarkan anak saya menggigil ketakutan!”
Suaranya makin meninggi.

Eeiii..tak boleh jadi ni! Sabar Ediey.

“Takpelah encik. Pakcik bawa kucing ni ke belakang. Pakcik minta maaf ya.” Ujar Pak Rais sambil mengusap lembut kepala si tompok.

“Hurmmm.”

Jawabnya penuh sombong tanpa memandang sedikitpun ke wajah Pak Rais. Jatuh meluat pula aku dengan lelaki ni.

“Itulah abang, saya dah kata tak payah singgah warung buruk ni. Abang nak juga. Tak pasal-pasal Adira menggigil macam ni. Abangkan tau anak kita ni fobia dengan kucing.” Bebel si isteri.

Rambut kembang macam periuk nasi terlangkup! Keji aku dalam hati.

“Manalah saya nak tahu warung ni ada kucing. Kalau tak disebabkan adik awak yang beriya syorkan suruh kita singgah sebab katanya lempeng kelapa dekat sini sedap, saya pun tak hadaplah nak singgah tau tak! Alih-alih, kita pula yang disalahkan.” Balas lelaki itu.

Kelihatan isterinya cemberut. Mulut panjang sedepa, boleh buat sangkut hanger.

Hurghh. Masing-masing tak nak kalah. Makin menyirap je aku tengok gaya mereka berdua ni.

“Adira, anak papa okay tak ni?”

Anak gadis itu mengangguk.

“Lain kali, kalau nampak kucing datang dekat, Dira buat macam yang papa buat tadi tau.”

Eiikkk. Ini tak boleh jadi ni! Aku tak boleh sabar dah ni. Panas telinga. Aku bangkit dan menghampiri lelaki itu seraya memberi salam. Masih berhemah.

“Assalammualaikum bang.”

“Ermmm. Waalaikumussalam. Ada apa ya?”

“Maaf kalau saya mencelah. Ada dua perkara saya nak tegur abang ni. Harap abang berlapang dadalah menerima.”

“Hah, apa dia kau nak cakap. Cakaplah.” Amboi, dia punya jeling kat aku.

“Okay. Pertama sekali, saya nak tegur abang pasal abang sepak kucing tadi. Zalim bang. Islam tak ajar macam ni. Yang kedua, dah kenapa pula abang ajar anak gadis abang suruh buat benda yang sama. Abang tahu tak cara abang ni salah?”

“Hei budak. Kau siapa nak ajar-ajar aku ni? Kenal kau pun tidak.”

“Entah. Menyibuk je!” Sampuk si isteri.

“Memang kita tak kenal bang. Tapi saya dan abang ni saudara sesama islam. Saya menegur sebab perbuatan abang tadi tak betul.”

“Apa yang tak betulnya? Tak payah nak berlagak baiklah. Kau tegur aku depan orang ni, tak salah? Tak memalukan aku ke?”

“Ohh, kalau macam tu abang bagi no abang. Saya tegur abang dalam wassup. Sekarang ya bang. Berapa nombor telefon abang?”

Aku curi-curi pandang Syah. Dia membuat isyarat kedua tapak tangannya dihayunkan ke bawah berulang kali. Ya aku tahu, dia suruh aku sabar. Leman Timun masih mengurut dada. Pak Kassim Posto dan Din Tinju mengangkat ibu jari masing-masing, tanda jempol. Memberi sokongan sepenuhnya pada aku. Okay, sambung perang – berhemah!

“Kau tak payah nak perli-perli aku ya budak nak berwassup bagai. Adira ni anak aku, ikut suka akulah nak ajar dia macam mana pun. Anak aku ni takutkan kucing. Dia ni bukan takut biasa-biasa, tapi tahap fobia. Kau apa tahu, bukan kau yang hadap!”

“Ketakutan pada kucing, Ailurophobia. Atas alasan apapun, haiwan bukan untuk dizalimi bang. Yang takutkan kucing tu anak abang, kenapa pula abang nak bertindak macam tadi. Tak wajar bang. Kan lebih baik, kalau kucing tadi tu abang usap lembut. Panggil dengan perlahan. Bermanja dengannya, bukan berkasar. Tunjuk contoh yang baik pada anak abang. Yakinkan dia bahawa kucing tidak perlu ditakuti. Ini tidak, abang sepak pula kucing tu depan dia sampai terpelanting. Cara abang tadi buat diri anak abang bertambah yakin bahawa kucing itu jahat, ganas dan perlu dizalimi. Salah cara abang ni.”

“Arghhh. Kau tak payah nak tunjuk pandai sangatlah. Kau tu dah kahwin ke belum? Kau sebagai bapa akan buat apa sahaja untuk anak kau, tau tak?”

Eeiii…keras betul hati brother ni. Sabar Ediey!

“Bang dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim – Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjaran didalamnya. Imam al-Nawawi sendiri mengatakan bahawa walaupun hadis ini umum, tetapi maksudnya juga khusus merujuk kepada haiwan yang perlu dihargai nyawanya. Iaitu haiwan yang tidak diperintahkan agar kita membunuhnya. Saya minta maaf bang dan akak kalau teguran saya ini menyinggung perasaan kalian. Tapi saya berniat baik bang.”

“Arghhh. Sudah! Aku tak nak dengar apa-apa lagi dari kau. Nak bagi ceramah bagai. Sampah! Rosnah, bawa anak-anak masuk dalam kereta! Makin panas pulak aku nak duduk sini.”

Aku hanya diam melihatkan mereka sekeluarga bangun dan beredar dari Warung Pak Rais. Sekelip mata, kereta mewah itu hilang dari pandangan. Sedikit keluhan halus terhela dari bibirku. Aku kembali duduk di meja.

“Bagus Ediey..Cenggini.” Ujar Pak Seman sambil mengangkat ibu jarinya.

“Orang gitu tak payah dilayan. Sombong berdaah. Esok mati, gulinglah sendiri masuk dalam lubang kubur.” Bebel Pak Din Tinju.

“Entahnya. Nyombong beno. Meluat aku. Disepaknya kucing tu macam bola je. Eeiii geram betul aku nengok.” Sampuk Leman Timun.

Syah tepuk bahu aku. Aku senyum.

Beberapa ketika…

Pak Rais, keluar dari belakang warung sambil membawa dulang berisi air minuman dan makanan yang dipesan keluarga tadi. Sedar bahawa keluarga itu sudah tidak ada lagi di situ, Pak Rais melencong arah ke meja kami.

“Nah, aku belanja kau orang dari membazir. Haaa… Si tompok dah selamat beranak dekat belakang tu. Aku yang membidankannya tadi. Ada 6 ekor cucu baru aku. Macam-macam kaler!”

“Wahhh.. Tahniah Rais.” Seperti biasa, mereka berlapan – tanpa Pak Lah Tongkol, serentak mengucapkan tahniah. Pak Rais tersenyum ceria.

“Ediey, aku nak tanya boleh?”

“Apa dia?”

“Macam mana kau boleh hilangkan fobia kau terhadap kegelapan dan pada kucing?”

Diam. Beberapa saat juga aku diamkan pertanyaan Syah itu tentang kedua-dua fobia yang pernah aku alami ini sebelum aku memberi jawapannya.

“Aku patut ucap terima kasih pada mak ayah aku untuk semua ini. Kesungguhan mereka bantu aku untuk aku hilangkan fobia-fobia ni sehingga pulih.”

“Apa yang mak ayah kau buat?”

“Pertama sekali kata-kata semangat dari mereka. Kedua, mereka sentiasa beri dan tunjuk contoh yang baik pada aku. Ketiga, mereka bawa aku jumpa doktor pakar psikiatri untuk dapatkan khidmat nasihat. Keempat, aku aplikasikan setiap apa yang telah dinasihatkan oleh doktor dan mak ayah pada aku.”

“Contohnya?”

“Ya. Macam gelap. Aku belajar untuk tidur tutup lampu untuk masa-masa tertentu sehingga aku yakin aku mampu untuk meneruskannya. Bermula dengan setengah jam setiap malam. Disamping itu, aku tanam dalam minda untuk memikirkan perkara-perkara yang positif sahaja. Kau tahu tak, zikir itu ubat yang paling tenang untuk aku lalui malam-malam gelap aku.”

“Dengan kucing macam mana pula?”

“Selepas beberapa sesi kaunseling, aku diberi semangat oleh mak ayah aku untuk memberi makanan pada kucing jalanan. Kemudian, mereka bawa pula aku ke rumah-rumah perlindungan kucing terbiar. Aku cuba kenali kucing dari situ. Sampailah satu masa, aku dah mampu menyentuh kucing dan decide untuk pelihara mereka.”

“Alhamdulillah, aku tabik spring dengan kesungguhan kau Ediey! ”

“Aku sendiri tak pernah sangka Syah yang aku mampu lalui semua ni. Pokok pangkal, kita mesti ada keinginan untuk melawan semua ketakutan tu. Apapun, aku bersyukur.”

“Ehh, tapi kan, kenapa kau boleh jadi fobia ya?”

“Arghhh. Jangan ditanya Syah. Itu kau tak perlu tahu. Lagipun, dah lama aku lupakan dua peristiwa hitam tu. Jangan kau nak ingatkan balik. Bukan mudah. Sumpah, bukan mudah aku nak lupakan. Kalau kau tanya lagi lepas ni, aku cepuk mulut kau!”

– TAMAT-

SHARE
Previous articleBukan Sebuah Kematian
Next articlePenghujung Fobia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here