LELAKI BERMUKA HANCUR

0
1030

LELAKI BERMUKA HANCUR

Karya: Zulkarnain Zakaria (https://web.facebook.com/zulkarnain.zakaria.547)

=========================================

Malam ini saya tidak mahu cerita secara terperinci. Sebab, cerita ini amat pedih dan menyakitkan. Kalau anda tidak suka, berhentilah membaca. Jangan sudahkan apa yang saya tulis. Saya tidak memaksa. Sebab, cerita ini akan membuatkan anda terasa sakit dan pedih. Anda akan berasa marah. Kalau anda rasa begitu, berhentilah.

Ceritanya begini: Seorang kenalan saya memberitahu, lama dahulu berlaku satu kemalangan ngeri di tempat tinggalnya, melibatkan seorang pemuda. Ketika motosikal yang ditunggang pemuda itu mendaki sebuah bukit, tiba-tiba muncul sebuah treler yang dipandu agak laju menuruni bukit berkenaan, dan…

DAAMMM!!

Entah apa sebabnya, treler itu gagal dikawal, lalu berlakulah kemalangan yang menakutkan. Motosikal dan treler bertembung secara berdepan, pemuda itu terhumban ke atas jalan raya.

Pemuda itu tersepit bersama motosikalnya di bawah treler. Dia tidak dapat melepaskan diri. Oleh kerana ketika itu treler berkenaan sedang menuruni bukit, ia tidak dapat dihentikan serta-merta. Maka ia menyeret sama pemuda tadi.

Bunyi seretan kedengaran kuat. Dan bersama bunyi seretan itu, tubuh pemuda itu juga hancur tergeser di atas jalan. Hanya selepas kira-kira 50 meter barulah treler itu dapat dihentikan.

Di sepanjang tempat kemalangan itu terdapat cebisan daging yang hancur. Semakin lama semakin banyak, bagaikan dikisar. Bersama daging itu terdapat juga cairan merah darah. Cebisan daging hancur berserta darah itu menganjur sepanjang jalan, hinggalah ke tempat tubuh pemuda berkenaan yang masih lagi tersepit di bawah treler. Sebahagian tubuh pemuda itu hancur, lebih-lebih lagi mukanya.

Kemalangan itu disaksikan oleh pemandu dan penumpang yang kebetulan melalui jalan tersebut. Ada di antara mereka yang sempat melihat detik-detik terakhir pemuda berkenaan menemui ajalnya.

Khabarnya, mereka melihat sebelah tangan pemuda tersebut terketar-ketar menahan sakit. Sakit yang amat pedih. Sakit akibat kemalangan, serta sakit nyawa yang sedang ditarik keluar daripada jasad. Beberapa saat begitu, tangan pemuda berkenaan akhirnya terkulai layu dan jatuh ke tanah. Hayatnya berakhir. Darah dan cebisan daging berselerakan di situ.

Kenderaan semakin banyak berhenti di sisi jalan. Mereka melihat cebisan daging dan darah yang menganjur panjang dari tempat pertembungan hinggalah ke bawah lori, tempat mayat pemuda tadi masih lagi tersepit.

Cerita ini tidak berkahir di situ…

Beberapa hari kemudian, heboh cerita orang mendengar suara jeritan yang amat menakutkan di kawasan kemalangan. Jeritan itu cukup panjang dan kuat, seperti orang sedang kesakitan akibat diseksa berulang kali.

Ada juga yang terserempak lelaki bermuka hancur dengan pakaian dipenuhi darah. Lelaki itu berdiri di tepi jalan sambil mengangkat sebelah tangan, seolah-olah hendak menumpang kenderaan yang lalu di hadapannya.

Bunyi suara jeritan dan munculnya lelaki bermuka hancur berlaku lebih seminggu, membuatkan penduduk sekitar tidak berani melalui kawasan kemalangan pada waktu malam.

Kenapa ini berlaku?

Kata kenalan tadi, dia mendapat tahu ada budak-budak nakal telah menitiskan air limau nipis di atas tempat tubuh pemuda itu terseret, sehari dua selepas kemalangan. Tujuannya adalah untuk mencuba, benarkah orang yang mati kemalangan akan berasa sakit sama seperti kita yang hidup ini, kalau luka pada badan mereka dititiskan air limau.
Cubalah kita lakukannya ke atas diri sendiri. Jika badan kita terluka, cuba titiskan air limau. Kalau luka sedikit itu pun sakitnya tidak dapat ditanggung, inikan pula kalau dititikkan pada badan yang luka hancur.

Diceritakan juga pada waktu sama, ada seorang pemuda yang tinggal berdekatan tiba-tiba menjerit dan meraung pada lewat malam, hingga menjelang subuh. Ini kerana pemuda itu sering melihat lelaki dengan muka yang hancur mengekori ke mana saja dia pergi.

Ke mana saja dia memandang, di situ ada lelaki itu. Malam, lelaki dengan daging muka yang hancur muncul di dalam biliknya. Ia berdiri di tepi tingkap. Di depan pintu. Di tepi almari, dan paling menakutkan, berbaring di sebelahnya.

Pemuda itu berlari keluar, lelaki bermuka hancur menantinya di hadapan pintu. Ia berdiri dapur, di ruang tamu dan mengekori setiap langkah pemuda berkenaan, sambil menangis dan menjerit kesakitan.

Namun hanya pemuda ini sahaja yang dengar. Hanya dia saja yang dapat melihatnya. Keadaannya itu berlarutan selama lebih seminggu, dan hanya sembuh selepas dirawat oleh beberapa orang ustaz. Serentak dengan sembuhnya pemuda itu, suara jeritan dan jelmaan lelaki bermuka hancur di tempat kemalangan, juga berakhir.

Kata orang, dialah yang menitiskan air limau di atas tempat pemuda tadi maut dilanggar treler!

TAMAT

SHARE
Previous articlePENGASUH
Next articleFLAT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here