LINTAS

0
1290

LINTAS

Penulis: Gongpal Topek

Kopi diletakkan di atas meja tulis. Beberapa helaian artikel usang berbaris, berderet di tepi meja komputer riba Lenovo itu. Setelah beberapa ketika, tubuh itu masih berdiri; memandang ke luar jendela. Kopi yang diletakkan itu, dihirup kembali. Aroma yang indah itu dinikmati secukup rasa. Angin sepoi-sepoi bahasa menerjah masuk tatkala tingkap dibuka.

“Takkan hilang Melayu di dunia…”

Ungkapan terkenal Hang Tuah itu diungkapkan dalam bibit suara kecilnya, cukup untuk didengari di telinga sendiri. Tubuh tanpa baju, hanya berseluar; lagak pemakaian lelaki zaman dahulu. Aura klasik dirasakan. Lelaki itu duduk di atas kerusi yang sedari tadi setia bersama meja tulis. Mengambil cebisan-cebisan artikel yang ada di atas meja itu. Ada yang ditulis dalam tulisan jawi.

‘Kita tidak boleh berbalik pada tahun 1941- Ishak Haji Muhammad’

‘Erti kemerdekaan seratus peratus- Tan Melaka’

‘Kedudukan politik sejagat- Ahmad Boestamam’

‘Gambar Melayu Bulan ini….. Hartal’

Artikel-artikel itu diletakkan pada tempatnya semula. Bukanlah keratan cetak yang diambil di mana-mana ruangan internet. Keratan usang itu, keratan asal pada tahun kejadian. Tahun cetakan itu dikeluarkan. Usia keratan-keratan itu sebaya atau lebih dengan kemerdekaan Tanah Melayu, dan pembentukan Malaysia.

Lelaki itu tersenyum satu ketika; sekilas masa berkerut pula. Kemerdekaan sebeginikah yang didamba? Bebas melata di tanah air, tetapi disangkar dengan ideologi dan gaya hidup yang sangat dikongkong?

Biar bebas fizikal kurang-kurang, walau hamba kepada wang.
Biar bebas di tanah sendiri, walau nafsu meliar seperti himar.
Biar bebas di tanah sendiri, kurang-kurang masih aman.

Begitu?

Lamunan lelaki itu dihapuskan dengan bingitan bunyi runut suara lagu tradisional, telefon bimbit sendiri. Berdiri, menuju keluar ke ruang legar tingkat dua, lalu mengambil malas telefon bimbitnya.

“Waalaikumussalam… Ya. Kenapa, Imam Mastor?”

“Anak siapa hilang?”

“Baiklah, saya ke sana petang ni. Maghrib, insyaAllah, jumpa di surau kampung.”

Hilang, di ‘jalan’ itu. ‘Jalan’ yang membawa ke suatu perkara yang tidak dapat dijelaskan secara saintifik. Seperti satu litar masa yang sama untuk setiap dunia, tetapi dipintas di suatu poin. Titik yang hanya lelaki itu tahu bagaimana untuk ‘menarik’ mangsa pulang.

Lelaki yang bernama Ishak Dali, atau lebih dikenali sebagai Wak Dali oleh orang ‘di sana’.

********

Surau uzur di kampung itu dikunjungi seseorang yang tidak kenali. Anak muda, belasan tahun, sedang tidur di satu sudut. Mansor memberanikan diri, mengejutkan budak itu daripada tidurnya. Mengharapkan si tua Megat rakannya itu, memang sampai Maghriblah gamaknya budak itu tidur. Surau yang semakin jarang dikunjungi secara umum, semenjak pengunjungnya sering ditangkap kerana disyaki menjadi tali barut untuk komunis. Tentera Jepun tidak akan duduk senang dengan penyebaran artikel dan propaganda-propaganda yang memburukkan penjajah itu.

“Adik, adik. bangun. Adik tinggal di mana? Bahaya duduk seorang di sini.”

“Sudah pukul brapa ya, abang? Dah buka puasa belum ni?” Bangung kanak-kanak itu, malas. Mansor dan Megat memandang antara satu sama lain. Puasa? Puasa sunatkah budak ini?

“Puasa apanya, nak. Sekarang bukan Ramadhan. Sudah, bangun. Di mana kamu tinggal? Mari abang bawa kamu pulang.” Budak itu menggelengkan kepala.

“Apa nama kamu? Dari mana kamu datang?” Soal Megat pula.

“Nama saya, Ishak Dali. Saya sesat. Saya datang dari sana,” telunjuk Ishak ke arah semak samun dari belakang surau seraya berbicara. Megat menggaru kepala lagi. Min Yuen? Masakan budak ini dari kalangan ahli keluarga Min Yuen. Gerakan itu pelopornya adalah kaum Cina.

“Bunda ayahanda kamu, tahu kamu di sini?” Geleng lagi kepalanya, si Ishak. Mansor menarik nafas panjang. Susah begini. Apa yang perlu mereka buat?

“Ya, sudah. Mari ke rumah pak chik saja. Pak chik bawa kamu phulang dahulu,” ajak Megat. Mereka berjalan seiring perlahan-lahan. Waspada, kalau-kalau dilihat oleh tentera yang tidak sepatutnya.

********

Maka membesarlah Ishak Dali di perkampungan Melayu itu sehinggalah mencapai usia pertengahan 20-an. Tentera Jepun juga sudah diusir, dengan bantuan British. Kini, isunya adalah untuk mendapatkan kemerdekaan. Darurat khabarnya akan diumukan tidak lama lagi, berikutan kematian beberapa pedagang British di estet-estet. Siapakah dalangnya?

Ada yang dilakukan oleh komunis. Namun, ada satu lagi perancangan bawah tanah yang bakal dilaksanakan. Ishak Dali turut bersiap sedia untuk menjadi salah seorang yang terlibat dalam perancangan itu. Mereka bukanlah komunis. Mereka lebih menyuarakan suara anak muda Melayu yang sudah tidak tahan lagi dengan campur tangan British, atau kuasa-kuasa lain di tanah air tercinta.

Sepucuk surat terselit di beranda kecil di hadapan rumah Tok Mali. Mujur Maya perasan akan lipatan surat itu, yang tertulis dalam tulisan jawi.

‘Abang akan menanti di tempat biasa, petang ini.’

Maya tersenyum gembira. Pertemuan yang ditunggu-tunggu saban hari.

********

“Sudah lama Maya tunggu abang?” Ishak datang melabuhkan punggung di tepi Maya secara mengejut, memeranjatkan Maya yang sedari tadi asyik melihat alunan ombak di tepi pantai.

“Astaga, bikin Maya terperanjat saja.” Satu tepukan kecil hinggap di bahu Ishak. Ishak tersenyum manja. Maya tersipu-sipu malu di sebalik kain batik yang menutupi sebahagian kepalanya.

“Ini, mungkin kali terakhir, mungkin juga bukan, untuk kita Maya. Abang tidak tahu kita boleh berjumpa lagi atau tidak.”

“Kenapa?”

“Esok, ada perkara besar akan berlaku. Kita sudah nekad. Perlu dihapuskan penjajah keparat!”

“Abang juga turut pergi?”

“Ya. Ini, untuk Maya,” ujar Ishak. Seutas rantai buatan sendiri, diperbuat daripada hasil hutan. Kecil harganya, tinggi nilainya buat Maya.

“Pakaikan untuk Maya, bang.” Ishak menurut sahaja. Lalu, mereka saling tersenyum. Senyuman di sebalik kegalauan hati, untuk berpisah kelak. Ishak, sayangkan negara, meskipun anak dara sunti di hadapannya itu turut dicintainya. Ishak, tempatnya bukan di sini. Dia orang asing.

Semenjak kehilangannya, dia terus tinggal sahaja bersama keluarga Megat. Tiada sebarang memori besar kerinduan pada keluarga asalnya. Berbeza dengan seminggu awal kehilangannya. Dia asyik menangis sahaja. Teringatkan ibu bapanya di rumah. Kini, dia sedar. Dia sudah ‘sesat’. Dia juga sudah tahu apa puncanya.

Ishak Dali berdiri di tengah-tengah jalan tanah merah itu. Di sinilah. Dia yakin, inilah tempatnya. Kali terakhir dia jejakkan kaki di dunia ‘asal’, sebaik sahaja dia melintasi jalan di titik ini. Jika dahulu tiada jalan di semak samun belakang surau, kini sudah ditebas semuanya. Atas usaha dirinya sendiri untuk mencari ‘jalan pulang’.

“Aku, manusia dari masa hadapan. Aku perlu pulang,” bisik kecil pada diri sendiri.

Tidak semena-mena, ada satu bisikan di telinga kirinya.

“Boleh. Kamu boleh pulang. Aku izinkan. Dengan syarat.”

Serta merta, Ishak cuba melihat siapa gerangannya pembisik itu. Gagal. Kepalanya gagal dipusingkan. Bagai ada satu kuasa yang enggan membenarkannya. Ishak menutup matanya, seraya berkata lagi.

“Siapa kamu? Apa yang aku perlu lakukan untuk pergi dari sini?”

“Aku, tidak perlu kamu tahu siapa aku. Aku akan benarkan kamu, dan sesiapa sahaja yang meminta daripada kamu, untuk melintasi kawasan ini secara percuma, tujuh kali. Dan lalui pulang kamu nanti, adalah yang pertama. Abaikan perjalanan pergi tanpa rela. Hanya perkiraan melalui permintaan sahaja yang aku akan tunaikan.” Jari jemari kasar mula dirasakan pada kedua-dua belah pipi Ishak. Dia takut, dia gusar. Namun, pantang Melayu untuk menyerah kalah tanpa berperang!

“Baiklah, aku setuju. Esok malam, aku akan datang ke sini. Sediakan ‘laluan’ untuk aku pulang. Aku tahu, kamu tahu. Di mana tempat asalku,” ujar Ishak Dali, dalam kebimbangan itu.

“Hee, hee, HEE! Sudah pasti boleh! Ini adalah perjanjian kita! Jangan kau ingkar, Ishak Dali! Korban nyawa , tujuh keturunan, jika kamu ingkar dengan ‘pemberianku’ ini!”

Hilang. Tiada lagi gangguan asing itu. Ishak Dali cuba untuk menoleh, dan berjaya. Namun, waktu senja itu tidak menunjukkan sebarang apa-apa petanda pelik lagi. Kosong. Perjanjian sudah termeterai. Perjanjian berdarah.

********

Lamunan Ishak Dali terhenti di situ. Pedagang British yang dicari, berjaya dibunuh. Darurat diumumkan oleh kerajaan British, sehari selepas Ishak Dali pulang ke tempat asalnya. Zaman sekarang, tempat asalnya. Dia pernah menjadi perbualan besar di Malaysia. Kepulangan anak muda, dan telah dewasa, setelah hampir sepuluh tahun hilang.

Ishak Dali turun daripada keretanya, lalu menyalakan rokok yang sudah tersisip di celah bibir. Ditarik panjang. Masih ada masa sebelum menjalankan tugasnya. Dia memandang sepi ke arah surau itu. Surau yang menjadi singgahan pertamanya pada suatu masa dahulu. Surau yang sama, cuma sudah jauh lebih baik daripada dahulu. Dialah salah seorang penderma dan pengusaha utama memastikan surau ini terjaga dengan baiknya. Tempat berkumpulnya semangat Melayu lama di tanah air.

Ishak Dali tidak terus ke surau. Dia sekadar berjalan menuju ke arah belakang surau. Tidak lain dan tidak bukan, jalan itu. Kini sudah berturap. Terdapat satu bonggol jalan besar, pada titik itu. Permintaan khas Ishak Dali, dengan alasan supaya kereta tidak dipandu pantas di situ. Hakikatnya?

Itulah petanda aras untuknya. Garisan lintang yang menjadi tanda dan bukti, perjanjian masih berjalan. Dia mengeluh berat. Ini adalah yang terakhir. Mahu sahaja dia untuk tidak meneruskan usaha menyelamat ini. Dia mahu menggunakannya untuk saat akhir hayatnya. Apakan daya, kuasa bukan di tangannya.

Bayangan mula menjelma pada senja itu. Kalau dahulu, hanya satu. Dia sudah lali melihat makhluk itu. Sekarang, di hadapannya, makhluk itu sudah berani menonjolkan diri. Grim Reaper! Kini sudah bercambah menjadi enam.

Jari yang tajam, dengan sabit yang panjang dipegang oleh ketuanya. Hanya si ketua yang bersuara.

“Jadi, yang terakhir! HAHAHAHAHA!” Ishak Dali mengeluh berat lagi. Rokok dihisap kuat, lalu dihembuskan ke arah makhluk itu. Puntung dibaling, melintasi bonggol. Tidak turun ke tanah di hadapannya. Lesap!

“Lintaslah, lintas! HAHAHAHAHA!” Semakin ligat menari keenam-enam makhluk itu di hadapannya. Seperti lentuknya api lilin, membesar. Ishak Dali tersenyum.

“Nyatakan dahulu apa yang perlu aku lakukan, makhluk hina. Aku perlu tahu apa maksud sebenar perjanjian ini. Biarkan ‘pintu’ ini terbuka. Aku akan datang lagi selepas Maghrib.”

“Selesai ketujuh, baru aku khabarkan perjanjian ini! Aku tidak bodoh seperti manusia yang rakus! Jika tidak, kau tidak akan datang buat kali terakhir nanti!” Gelak tawa berenam semakin galak di situ.

Ishak Dali melangkah pergi. Beberapa perkara perlu diselesaikan, sebelum dia masuk ke ‘pintu’ itu.

********

” Macam mana, Dali. Bolehkah? ” Soal Imam Mastor. Satu-satunya pewaris Mansor, generasi ketiga. Cucu Mansor itu tidak mengerti, mengapa perlu diminta bantuan kepada lelaki ini, seperti pesan datuknya. Ada rahsia yang dia tidak tahu.

“Anak saya kena sorok ke, tuan?”Soal Hafiz. Dia dan isterinya, Maisarah, tampak gusar.

” Mungkin. Lebih tepat lagi, dia ‘sesat’. Jika disoro oleh makhluk halus, tidak perlu bantuan saya. Ustaz lain yang lebih arif akan tahu. Ini, lebih kepada dia berada di tempat yang salah, pada masa yang salah.”

Ishak Dali bangun daripada duduknya. Mereka yang lain turut serta bangun. Isyarat tanga diberikan kepada mereka semua.

” Duduk saja di sini. Saya akan kembali. Jangan diikut, walau seorang pun, jika mahu selamat, ” amar si Ishak. Mereka patuh. Masing-masing diam di situ.

Ishak sudah bersedia.Tiada kelibat makhluk aneh yang menunggu. Seketul batu di tepi jalan diambil, lalu dibalin ke arah itu. Lesap. Masih terbuka.
Langkah bermula.

********

Asar. Sepertimana waktu dia tiba suatu ketika dahulu. Dunia sudah aman pada ketika itu. Namun, ekonomi masih pada tampuk yang sama. Melayu masih lemah di persada tanah air sendiri. Ishak Dali tiba di tepi pantai itu.

“Assalamualaikum,” satu suara menyapa dari belakang. Suara yang dia kenal. Senyuman terukir.

“Waalaikumussalam. Silakan,” jemput Ishak Dali kepada pendatang itu. Wanita. Pertengahan 40an. Mereka saling tersenyum.

“Bagaimana Maya tahu, abang akan di sini hari ini?”

“Tidak pernah, walau sehari, Maya gagal untuk mampir ke sini. Menanti abang untuk pulang.” Ada nada sebak di situ. Seperti tahu akan sesuatu.

“Jadi, ini kali yang terakhir? Tiada lagi singgahan sebentar?”Soal Maya lagi.

” Maafkan abang, Maya. Abang berhajat untuk mati di sini, di saat akhir nanti. Tapi… ”

” Tapi apa? ”

” Tapi, masih ada yang perlu ditunaikan di ‘sana’. ”

Maya mengangguk lemah. Takdirnya, untuk berpisah lagi. Kali ini, untuk selama-lamanya.

“Kalung ini, jadi bukti cinta kita, abang.”

Ishak Dali tersenyum kelat, melarikan pandangan ke arah laut. Menyanyi-nyanyi kecil, senandung untuk sang wanita di sebelahnya.

“Anak kita?”

“Ada. Bersama seorang perempuan kecil, Mina namanya. Siapa Mina?”

“Macam biasa. Sesat. Macam abang juga. Dia perlu dibawa pulang. Dia jadi sebab abang tak boleh kembali lagi.”

Maya akur. Diletakkan kepalanya di bahu Ishak Dali. Tanpa sedar, mengalir air mata membasahi baju lelaki itu.

********
Mina berpimpin tangan dengan Ishak Dali. Tiba ke perkarangan surau, lewat malam. Pelukan hangat sang ibu yang segera mendapatkan anaknya.

“Terima kasih, tuan. Berapa bayarannya, tuan?” Ishak Dali tidak menjawab. Sesuatu telah menarik perhatiannya.
Sang isteri ditenung lama, menimbulkan syak wasangka Maisarah dan Hafiz. Juga hadirin yang lain. Maisarah kini tidak bertudung, menampakkan sesuatu di lehernya.

” Siapa nama ibumu, Puan Maisarah?”

“Kenapa, tuan?” Soal Hafiz pula.

“Siapa. Sekadar mahu bertanya.”

“Maimunah.”

“Nenek kamu, jika tahu? Namanya?”

“Maya.” Ishak Dali tersenyum. Memandang kepada Hafiz.

“Jika Maimunah masih hidup, katakan kepadanya. Ayahnya memohon maaf kerana tidak pernah berada di sampingnya sepanjang hayat. Ini pesan ayahnya. Jaga anak kamu baik-baik, Hafiz dan Maisarah. Saya ikhlas membantu.” Mereka berdua bersalaman, lalu Ishak Dali melangkah pergi.

Maisarah memegang kalung di lehernya. Merasakan sesuatu yang aneh, pada si tua itu. Seperti, rasa sayang yang terhijab. Seperti, kalung itu merindui seseorang yang berada di hadapannya tadi.

Ishak Dali lega. Masih ada tinggalan keluarganya. Tidak merasakan pengorbanan terakhir ini sia-sia.

********

Ishak Dali berada di suatu kawasan luas. Tanpa sempadan. Semuanya putih. Dia kekok di situ. Sebentar tadi, dia sedang tidur. Di manakah dia?

“Selamat datang, pelintasku. Aku memanggil dengan hajat besar.” Baru Ishak Dali sedari, terdapat lelaki di hadapannya. Seiras dengannya. Bagaikan cermin. Tidak berbaju, berseluar lusuh lagak pendekar.

“Siapa kamu?”

“Aku adalah kamu, kamu bukanlah aku! Hahaha!”

“Apa yang kamu mahukan?”

“Janji tujuh lintasan, kini sudah di kemuncaknya. Jadi, aku mahukan sesuatu untuk kamu tunaikan.”

“Apa dia?”

“Madura. Dapatkan aku Madura.”

“Madura?”

-Tamat-

SHARE
Previous articleVOLKSWAGEN BEETLE
Next articlePENGHUNI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here