MIDUN (Bahagian 2)

0
563

MIDUN (Bahagian 2)
oleh Wan SC

====================

HAIRI

Semua orang percaya dekat dalam sungai yang ada dekat kampung tu, ada buaya tinggal di dalamnya padahal tak ada seorang pun yang pernah nampak kelibat sang muncung tu timbul di mana-mana. Kalau ada barang jatuh dekat dalam sungai tu, memang tak ada orang akan berani masuk ambil semula. Tengoklah, bot dan sampan pun tak ada. Tak ada orang berani nak gunakan sungai tu.

Ada juga yang percaya selain buaya, sungai tu juga ada puaka.

Pernah satu ketika dulu, bekalan air paip terputus hampir 3 hari tapi tak ada seorang pun orang kampung berani guna air sungai tu. Kononnya, sesiapa yang pakai, akan terkena sumpahan. Dinding rumah kena simbah lumpur hitam lah, dengar bunyi benda merangkak bawah rumah lah. Bodoh kan?

Pernah juga satu ketika dulu, hujan lebat tak henti-henti sampai air sungai tu naik tinggi. Mujurlah tak melimpah banjirkan kampung. Tapi air mengalir deras sampaikan jambatan ranap dikerjakannya. Nak dijadikan cerita, sehari sebelum itu Abah, aku dan Midun pergi memancing dekat jambatan hujung kampung sana. Dapatlah dua ekor ikan patin sungai. Orang kampung cakap, sebab kami memancinglah menyebabkan puaka sungai tu marah.

Apa kaitannya semua ini dengan kisah Midun? Hahahahahaha..kau kata kau inspektor. Takkan lah tak boleh tangkap lagi?

***

Inspektor Farhan memandang tepat ke mata Hairi. Kulit lelaki itu nampak pucat tidak berdarah. Dia tersengih. Menyeringai. Seolah-olah minta ditampar oleh tangan kasar Farhan. Farhan langsung tidak senyum. Dia memutar-mutarkan pen yang ada bermain di celah jari. Sabar. Sabar dengan kerenah entiti tidak berjisim yang ada di depan.

“Maksud kamu?” soal Inspektor Farhan.

Makin lebar dia tersenyum dari belahan bibirnya yang panjang sampai ke telinga. Terkoyak barangkali.

“Kalau aku nak bunuh seseorang dekat kampung tu, kat mana aku nak campak mayat dia? Mestilah dekat tempat yang orang taknak dekati..kan?”

Menyeringai dengan bangga pula kali ini.

***

Malam itu aku dikejutkan dengan kehadiran Midun di muka pintu. Aku baru pulang dari menonton wayang tengah malam. Aku nampak Midun tengah duduk memeluk lutut dekat depan pagar. Hanya Tuhan yang tahu macam mana aku terkejut ketika itu. Ya lah, mana ada orang tahu dekat mana aku tinggal termasuklah Midun. Aku dah lama tak balik kampung pun selepas apa yang berlaku antara aku dan Mak.

Ah, aku benci panggil dia dengan gelaran tu. Biarlah aku pakai nama Mastura je.

Masa aku berumur 12 tahun, ayah dan ibu bergaduh pada suatu malam. Aku dan Midun berkurung dalam bilik. Aku buat kerja sekolah, Midun pula dah tidur. Disebabkan pertengkaran ayah dan ibu terlalu kuat, aku jadi geram nak dengar. Aku tinggalkan buku di atas meja lalu menguping telinga di lubang pintu.

Mastura – nama ini terpacul beberapa kali dari mulut mereka. Ayah membela nama itu, ibu memaki hamun nama itu.

Selang beberapa bulan, si empunya nama dibawa masuk ke rumah. Ibu sakit ketika itu. Terlantar di atas katil. Abah pesan, mulai hari ini panggil Mastura dengan panggilan mak. Ayah dah berkahwin dengan dia.

Ibu meninggal tidak lama kemudian tapi ayah langsung tak menangis. Aku menangis tetapi Mastura sentiasa memujuk. Masa itu, kau akan nampak Mastura seperti peganti ibu yang paling cocok buat ayah. Dia layan aku dan Midun cukup baik. Jaga makan pakai kami.

Sampailah suatu hari hal itu berlaku depan mata aku. Ketika itu umat Islam sedang menyambut hari raya yang kedua. Aku dan Midun berjalan keliling kampung tengah kutip duit raya. Bila aku sampai dekat jambatan lama dekat hujung kampung, aku nampak Mastura tolak ayah jatuh dalam sungai. Aku nampak ayah terkapai-kapai minta nyawa. Tak lama selepas itu, aku nampak sang muncung sambar ayah.

Terlalu pantas sampai aku terkedu. Aku tutup mata Midun supaya dia tak nampak tubuh ayah dibaham sang muncung. Mastura? Dah lama berlari pergi.

***

“Jadi, kamu nak cakap Mastura bunuh Midun cara yang sama Mastura bunuh ayah kamu?” soal Inspektor Farhan yang sudahpun berdiri mendapatkan fail yang mengandungi butiran tentang Mastura.

“Siapa cakap Mastura bunuh Midun?” soal Hairi. Laju sahaja pandangan mata Inspektor Farhan terkalih dari meratah isi fail terus kepada Hairi yang duduk di depan sana, masih setia memandang ke arah muka meja yang terbentang.

“Jadi bukan Mastura yang bunuh Midun?” soal Inspektor Hairi lagi tanpa menjawab persoalan dari lelaki itu.

Hairi menyeringai lagi seolah-olah dia tertunggu-tunggu soalan itu dari mulut Inspektor Farhan.

“Semua orang ada sebab tersendiri kenapa mereka nak bunuh Midun..termasuklah aku.” Jelas Hairi sebelum dia hilang perlahan-lahan bak debu yang memecah ke atmosfera. Beberapa detik selepas itu, azan subuh berkumandang dari masjid berdekatan.

Inpektor Farhan melihat ke arah jam di pergelangan tangan, 5.50 pagi. Dia bingung. Rasanya baru sebentar tadi dia bercakap dengan Detektif Rosli, iaitu pada jam 10 malam. Macam mana dia boleh tak sedar masa berlalu pantas.

Dia memandang ke arah kerusi di depan yang kosong. Malam esok (lebih tepat malam ini) dia akan menyoal siasat seorang perempuan. Gambar seorang gadis berpakaian sekolah menengah tersemat di dalam fail ditangannya.

***

MISYA

Aku memang dah berdendam lama dengan budak Midun terencat tu. Kadang-kadang aku rasa dia tu bukannya terencat sangat pun. Macam buat-buat pun ada.

Aku berbaring memandang ke siling bilik. Termenung memikirkan apa yang aku perlu buat. Ketika itu, Midun belum lagi menjadi subjek utama aku. Lisa dan Farhana, rakan sekelas aku, sedang berborak pasal parti hari jadi Lisa yang ke 15 yang akan dibuat di rumahnya lusa nanti. Sesambil itu, mereka membelek-belek majalah hiburan yang terbungkam depan mata, memuji-muji artis lelaki kacak separa telanjang yang ada di dalam.

Farhana menyentuh tangan aku menyoal sesuatu tetapi aku langsung tak dengar. Aku tengah pening kepala sebenarnya. Aku pelawa mereka datang ke rumah di hujung minggu macam ini kot-kot lah boleh kurangkan sedikit pening kepala aku ini, ada teman berbual. Tapi, aku pula yang tak melayan mereka.

Perut rasa mual tiba-tiba. Segera aku bangun dari katil lalu berlari menuju ke bilik air yang dibina khas oleh kontraktor yang diupah oleh Daddy. Aku luahkan isi perut yang meronta-ronta mahu keluar dari tekak. Kau ok tak tu Misya? – soal Farhana risau.

Setelah kereta daddy meluncur laju meninggalkan aku di deretan kedai, tempat aku mengambil kelas tambahan pada waktu malam, aku langsung tak masuk ke pintu masuk pusat tuisyen itu. Aku melangkah laju ke sebuah kedai serbaneka Watsons beberapa blok dari sini. Aku menuju ke satu rak. Barang yang aku nak beli tu, ada banyak kotak dan jenama yang berbeza-beza. Aku tak tahu nak pilih. Aku tak ada pengalaman. Aku capai satu setelah meninjau ke kiri kanan lalu terus ke kaunter.

Muka pekerja kaunter kedai itu berubah tatkala melihat item yang aku letak di depan. Tiga puluh ringgit dik – ujarnya. Aku letak sekeping note RM50 yang aku curi dari dalam dompet daddy yang sentiasa terlepek di atas meja lampu di dalam biliknya. Daddy banyak duit. Mungkin dia sendiri tak terkesan dengan kehilangan wang sejumlah itu.

Barang itu aku bawa ke sekolah. Aku seludup bawa masuk ke tandas sebelum kelas bermula. Positif. Itulah yang tertulis. Aku menangis. Cuba untuk tidak meraung. Aku taknak sesiapa dengar aku sedang meratap. Aku baru 15 tahun.

Aku dengar pintu utama tandas terkuak. Cepat-cepat aku simpan barang itu di dalam beg lalu aku bergerak pantas ke kelas. Aku tak dapat nak berikan tumpuan sepanjang kelas. Tak henti-henti aku menggosok perut. Ketika rehat di kantin pun, sedikit pun aku tak menjamah. Hanya menyedut beberapa kali air sirap tawar yang Farhana belikan. Kau kenapa ni beb? – soal Farhana dan masih aku berdiam tidak berkongsi cerita.

Aku ingatkan, aku boleh berahsia lama. Siapa sangka ketika aku pulang dari sekolah, ketika menunggu daddy di pondok bas, aku terserempak dengan Midun sedang menyanyi-nyanyi dekat situ menyebut “YB Borhan nak datang kampung. YB Borhan nak datang kampung. Orang tua gatal nak datang kampung!”

Aku hanya tergelak melihat gelagat dia. Aku duduk tidak jauh dari dia di pondok itu. Aku tak takut pun dengan Midun ni sebab dia ni tak pernah kacau aku pun. Tapi, ketika aku sedang memintal tali kasut yang entah sejak bila terbuka simpulannya, aku terasa seperti beg aku disentuh dari belakang. Aku bangun lalu nampak Midun sedang membelek-belek barang yang aku sudah simpan elok di dalam beg. DIA SELONGKAR BEG AKU!

Benda apa ni Misya? – soalnya.

Kau buat apa ni MIDUN! – bentak aku sambil cuba merampas pregnancy test yang dipegang Midun namun tertepis dan jatuh ke lantai pondok bas. Para pelajar lain berkerumun melihat barang itu setelah dikutip oleh Farhana.

***

“Midun sial.” Gumam Misya sambil memandang ke muka meja. Ada raut dendam pada matanya. Dia langsung tidak senyum. Ah, kalau senyum pun belum tentu manis dengan kulit muka yang pucat dan berkedut tu.

“Jadi, inilah motif awak bunuh dia?” Inspektor Farhan cuba provok.

“Saya tak bunuh dia.”

“Habis tu?”

“Saya memang nak bunuh dia tapi..” Misya memandang tepat ke mata Farhan. Pandangan yang tajam. Pandangan yang sama dia berikan kepada Midun ketika mereka berdua terserempak di tanah perkuburan tempoh hari. Hari di mana Midun mengadu nasib di kuburan ayahnya setelah dirotan bertubi-tubi oleh Mastura. Hari yang sama Misya mengadu nasib di kuburan ibunya setelah dia berjaya menggugurkan kandungannya. “..saya terlebih dahulu dibunuh.”

Inspektor Farhan menunjukkan tanda minatnya. Lirik matanya seolah-olah menyebut ‘siapa yang bunuh?’.

“Buaya.” Jawab Misya kemudian menangis. Air mata merah pekat mengalir di pipinya.

Bahagian 3 KLIK SINI

SHARE
Previous articleNAGA (BAHAGIAN 2)
Next articleSEAT 22

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here