MIDUN (Bahagian 3)

0
748

MIDUN (Bahagian 3)
oleh Wan SC

=========================

Inspektor Farhan memakir keretanya di halaman rumah kampung yang ada di depannya. Ada sebuah kereta mewah lain di situ. Belum sempat dia hendak menapak keluar, dia dapat lihat ada seorang perempuan cantik berbadan solid dan mantap keluar dari pintu depan rumah. Rambut sedikit perang dan dia mengenakan kaca mata hitam untuk menutup wajahnya. Ada seorang lagi perempuan, gaya pakaiannya nampak lebih kasual dan biasa. Boleh jadi itu pembantu peribadi.

Apabila diamati betul-betul, Farhan rasa macam kenal perempuan itu. Belinda Isaac – penyanyi yang sedang meletup-letup ketika ini.

Ah, bukan itu tujuan dia ke mari. Dia datang nak berjumpa dengan Mak Som. Wanita tua itu ada menelefonnya dua hari lepas, minta berjumpa pada hari ini. Nak berbincang tentang kes kematian para penduduk Kampung Sungai Buaya.

Farhan memandang tepat ke arah wanita tua yang ada didepannya, yang baru sahaja meletakkan sebuah dulang berisi seteko teh o panas dan beberapa keping biskut kering bergula ke atas meja di ruang tamu. Pada kiraannya wanita itu berkemungkinan sudah mencecah 90 tahun. Kulit mukanya terlalu kerepot tetapi gaya dia nampak gagah dan bertenaga kuat. Nampak macam orang muda.

Sejak beberapa malam lepas, inilah satu-satunya saksi yang hendak memberikan keterangan tentang kes kematian Midun dan penduduk Kampung Sungai Buaya, datang dari kalangan manusia yang masih hidup.

“Tadi tu, artis kan?” soal Farhan memulakan buat bicara, taknak terus straight to the point. “Ha’ah. Datang nak tambah susuk.”

Farhan tersentak mendengar pengakuan jujur Mak Som. Mak Som tersengih sahaja sambil menyicah biskutnya ke dalam teh o panas. “Nak tambah? Bukannya baru nak buat?” soal Farhan kaget.

“Ah, tetek dia pun Mak Som tolong buatkan. Kau ingat Mak Som ni level ayam-ayam je ke?”

Farhan ketawa berdekah. Entah kenapa dia rasa hal itu melucukan hatinya. Namun, apabila dia teringatkan kembali tujuan dia ke mari, dia kembali serius.

“Tentang hal kematian penduduk Kampung Sungai Buaya ni, Mak Som pun orang Kampung Sungai Buaya juga ke?”

Wanita tua itu tersengih kecil sambil matanya tajam memandang ke arah Inspektor Farhan.

“Dulu lah. Mak Som pernah duduk dekat kampung tu. Lebih kurang 23 tahun lepas, Mak Som pindah.”

“Kenapa Mak Som pindah?” soal Farhan.

“Perjanjian.” Wanita itu merenung ke muka meja. “Kalau kamu nak tahu, Mak Som dulu bidan dekat Kampung Sungai Buaya tu.”

Air muka Farhan berubah.

***

MAK SOM

Seminggu sebelum itu, aku ada nampak Ramlah dengan Zahid datang ke kenduri kahwin anaknya si Leman Kerbau. Besar betul perut si Ramlah tu. Ramlah sekadar senyum je pandang aku tengah menjamu selera.

Masa Zahid tengah borak-borak dengan orang lain, aku yang dah siap makan masa tu, pergi lah mendekati Ramlah yang masih tak henti makan. Aku cakap, tak lama dah ni. Ramlah mengangguk. Tunggu masa je ni Mak Som – kata Ramlah. Aku minta nak pegang perut dia, Ramlah angguk je. Aku pun peganglah perut dia. Aku gosok-gosok. Serta-merta aku meremang.

Ramlah, kau betul nak bersalin dekat hospital? – soal aku. Ye lah, aku dengar Ramlah dah simpan duit banyak dah sebab nak bersalin dekat hospital swasta. Orang kampung ramai bercerita hal ini sebab orang-orang kampung ramai yang guna khidmat aku ketika nak bersalin. Tiba-tiba Ramlah kata nak bersalin dekat hospital. Hospital swasta pula tu. Memang lah menjadi buat mulut orang kampung. Kenapa Mak Som? – soal Ramlah balik.

Bidan mana kau jumpa sembilan bulan dulu? – bisik aku cemas ke telinganya. Serta-merta Ramlah berpaling ke arah aku. Terkejut. Aku tahu rahsianya.

Malam itu, Ramlah meraung-raung sakit. Sambil aku menolak-nolak perutnya ke bawah, aku seru Ramlah agar dia teran kuat sikit. Susah juga sebenarnya bila aku buat benda ini sorang-sorang malam itu. Hujan lebat sangat, tak ada orang nak datang tolong. Mona yang duduk sebelah rumah dia orang ni pun, baru sahaja bersalin bulan lepas. Tak sesuai aku nak minta dia tolong. Sebelum aku sampai ke situ pun, aku terpaksa meredah hujan lebat, membonceng motor si Zahid.

Aku tanya Zahid, kenapa tak hantar Ramlah ke hospital? Zahid kata, Ramlah yang beriya-iya minta aku datang sambut kelahiran bayi dia. Mujur. Memang patutpun Ramlah minta aku yang sambut. Kalau misi hospital yang sambut, memang bulan depan muka Ramlah masuk Mastika lah jawabnya.

Bunyi bayi menangis memenuhi ruang bilik. Bukan dari seorang tetapi dari dua orang. Comel. Dua-duanya menangis kuat macam berlumba-lumba. Namun, cerita belum habis. Ramlah masih meraung dan meneran. Aku tahu, memang sakit. Apabila kau bermain dengan benda bukan-bukan ni, memang sakit. Beberapa minit kemudian, aku nampak benda itu keluar dari celah kangkang Ramlah.

Aku cepat-cepat ambil. Bersihkan kemudian balut dengan kain bersih. Lepas tu, aku masukkan dalam beg besar yang aku dah bawa siap-siap bersama. Ramlah dah berhenti meraung. Dia menangis. Aku langsung tak tunjukkan benda yang keluar dari kangkang dia tadi. Aku ada tanya, kau nak tengok tak? Dia menggeleng. Dia cakap, pergilah buang. Dia tak sanggup nak tengok walaupun benda itu dikandungnya sembilan bulan 10 hari bersama-sama dua anak lelaki kembarnya itu. Aku hanya menurut.

Alhamdulillah Zahid, anak kembar – aku bawa kedua-dua bayi comel itu kepada Zahid yang ada diluar rumah. Tumpah air mata lelaki itu melihat kedua-dua zuriatnya itu lahir dengan selamat. Mana yang sulung, mana yang bongsu Mak Som? – soal Zahid. Ini yang ada tanda lahir dekat belakang peha ni, ini yang sulong – jawab aku. Zahid tersengih gembira. Selepas mengazankan, Zahid segera mendapatkan Ramlah.

Abang nak namakan yang sulung ni Hairi, yang adiknya ni Hamidun – ujar Zahid kepada Ramlah gembira. Ramlah tersenyum tanda dia juga bersetuju.

Sebelum aku beredar, Zahid sempat hulurkan aku sedikit duit. Aku tolak. Aku cakap, kau simpanlah. Buat belanja untuk anak-anak nanti. Zahid serba salah sebab dia rasa dia dah susahkan aku malam-malam macam itu. Aku masih menolak. Aku cakap, itu memang dah tanggungjawab aku. Cuma, sebelum aku nak melangkah pulang, aku berhenti dan menoleh ke belakang, memandang ke arah Zahid yang terus-menerus memandang aku dengan muka serba salah dia.

Mungkin dia rasa tak sedap, dia canang satu kampung dia nak isteri dia bersalin dekat hospital swasta dekat bandar sana. Tup tup, khidmat aku juga digunapakai. Aku tak ambil duit pula tu. Ah, sepatutnya Zahid tak perlu fikir lebih-lebih hal itu. Ada benda lebih penting untuk dia tahu. Aku berbolak-balik, nak ceritakan atau tidak. Selepas aku fikir masak-masak, baik aku cerita. Aku berpatah balik ke arah Zahid.

Zahid. Aku ada benda sebenarnya nak bagitahu kau. Kalau aku tak bagitahu sekarang, nanti bila budak tu dah besar, kau akan tahu juga – kata aku. Apa dia Mak Som? – soal Zahid. Aku tengok yang si adik tu nampak macam ada kekurangan sikit. Mungkin dia akan membesar tak berapa sihat macam abang dia – aku memberi pesan. Aku ni dah berapa puluh kali menyambut kelahiran. Mungkin sudah beratus kali. Aku kenal mana bayi yang akan membesar sihat dan mana yang tidak. Aku tepuk bahu Zahid minta dia bersabar dengan apa yang baru aku beritahu, sebelum aku beredar pergi. Ada hal lain yang belum diselesaikan.

Aku kemudiannya berhenti di tepi Sungai Buaya. Suasana sekeliling gelap. Aku dapat dengar bunyi air sungai mengalir sedikit deras dari kebiasaan. Baru lepas hujan lebat kan.

Aku capai benda yang aku bungkus dari rumah Ramlah tadi. Perlahan-lahan, aku celupkan benda itu ke gigi air.

Kau pun berhak untuk hidup. Kau tak salah. Yang salah mak engkau. Sanggup guna ilmu bukan-bukan demi mendapatkan zuriat. Tak percaya dengan kuasa Allah. Tak percaya dengan rezeki, qada’ dan qadar. Akibatnya, kau dikandungnya. Tak sama sifat macam abang-abang kau. Pergilah. Hiduplah kau dengan cara kau dekat sini – ujar aku sebelum benda itu berenang pergi.

***

“Benda apa?” soal Inspektor Farhan sedikit tergagap.

Wanita tua itu mengambil nafas tuanya. Dia kemudiannya tersenyum sinis. “Kau pun dah tahu jawapannya Farhan.” ujar Mak Som sinis sambil menyuap biskut berendam teh o panas ke mulutnya. Farhan menelan liur. “Aku ni bidan bukan sebarang bidan. Aku ada ilmu yang orang lain tak ada.”

“Jadi?” soal Farhan.

“Mak Som tahu rahsia kamu, Farhan. Mak Som yang sambut kamu lahir. Kalau bukan sebab Mak Som, entah kamu hidup atau tidak hari ini.” Jelas Mak Som. “Jadi Mak Som pula nak soal siasat kamu, kenapa kamu bunuh orang-orang kampung tu? Kenapa kamu bunuh Midun dan Hairi, abang-abang kembar kamu?”

Inspektor Farhan bangun dari duduknya. Dia betul-betul terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut Mak Som. “Midun dan Hairi bukan abang saya!” tegasnya. Dia berjalan menuju ke arah pintu. Nak lari? Bukan..dia keluarkan sekotak rokok Dunhill dari poket seluarnya lalu dihidupkan sebatang.

“Mak Som yang sambut kamu lahir. Mak Som sendiri yang lihat kau keluar dari kangkang Ramlah. Mak Som sendiri yang balut kau dengan kain taknak bagi kau sejuk.”

Farhan menjeling tajam ke arah Mak Som. Asap rokok dihembusnya laju. “Memang. Memang aku benci semua orang kampung tu!” teriak Farhan. Dia nampak macam tak senang duduk. Rokoknya dihisap berkali-kali ligat. Setelah habis sepuntung, dia kembali duduk di depan Mak Som.

“Masa umur saya 15 tahun, apabila saya terjaga dari tidur, saya lihat tubuh saya tersadai dekat tebing sungai.” Ceritanya perlahan dan sayu. “Saya ada tangan. Saya ada kaki. Bukan kaki dan tangan seperti sebelum ini. Pada hari itu, saya terkejut sebab saya dapat tangan manusia saya. Saya dapat kaki manusia saya..” Farhan semakin sebak “..saya dah berubah jadi manusia. Saya bukan lagi..” Farhan terhenti kata-kata. Tak sanggup dia nak sebut tentang apakah dirinya dahulu.

“Buaya.” Mak Som menyambung. Farhan memandang ke arah Mak Som. Anak matanya berubah hijau. Mata hitam membujur tajam, tidak lagi membulat. Tak ubah seperti mata seekor buaya.

-Bersambung-

=========================

MIDUN (Bahagian 3)
oleh Wan SC

SHARE
Previous articleANAK POKOK
Next articleDUGAAN SI TUKANG URUT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here