MONGINGIYON

0
983

MONGINGIYON

NUKILAN: SUZIE aka CHA ( FB : Kupa Kerdil )

=========================================

“Kau pulas, aku pulas! Bagaimana kamu mengambil barang kepunyaanku, begitulah juga aku akan membalas perbuatanmu!”

=========================================

MONGINGIYON membawa maksud PENUNGGU.

Di setiap pelosok tempat, pasti mempercayai kewujudan ‘penunggu’. Bermacam cerita dan kisah ‘penunggu’ telah dikongsikan oleh individu yang pernah mengalami gangguan ‘nya’ ataupun melihat ‘nya’ secara langsung.

Jikalau kita melakukan sesuatu perkara yang tidak disenangi oleh ‘mereka’, apatah lagi mengambil sesuatu daripada ‘mereka’ tanpa meminta izin, kita akan jatuh sakit dengan tiba-tiba ataupun akan berlaku suatu perkara yang tidak diingini.

PADA pagi itu, aku dikejutkan oleh deringan telefon pintarku yang berbunyi dengan lantang. Aku bergegas menggapai telefonku yang tersimpan di atas kabinet television.

‘Auntie Dorris? Apa hal, Auntie Dorris telefon aku awal pagi ni,’ bisik hatiku. Aku melongsorkan simbol hijau pada skrin telefon pintarku.

“Hello? Selamat pagi, Auntie Dorris.”

“Selamat pagi juga, Luna. Tengah buat apa tu?”

“Nih ha… tengah siapkan sarapan untuk budak-budak nih.”

“Oh… yaka. Maaflah mengganggu. Auntie nak bagitahu nih, esok pagi auntie dan mak mertua kamu nak jalan ke sana. Boleh kan, Luna?”

“Eh, dah kenapa pula tak boleh? Baguslah tu, nanti bolehlah kita pergi jalan-jalan kat jeti. Lagipun dah lama tak jumpa, Auntie Dorris, rindu tau.”

“Ya, baiklah. Kalau macam tu… esok kami datang ya, masak sedap-sedap tau!” kedengaran suara tawa kecil, Auntie Dorris di hujung talian.

“Okey, auntie.”

Kami mengakhiri perbualan telefon. Selesai sahaja menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak, aku segera membersihkan rumah. Segan pula kalau, Auntie Dorris dengan mak mertua aku, nampak rumah tak teratur.

Biasalah kalau dah ada anak, memang susah sikit nak kemas. Kalau pun setiap hari dikemaskan, tapi tak sampai sejam dah bersepah balik dengan mainan anak-anak. Sabar sajalah kalau dah jadi seorang ibu.

***

SEPERTI yang telah dimaklumkan oleh Auntie Dorris kelmarin, awal pagi lagi mereka datang menjenguk kami anak-beranak.

“Budak-budak tu dah jalan pergi sekolah ke, Luna?” tanya mak mertuaku.

Dah sebulan mak mertua tak berjumpa dengan dua cucu lelaki kesayangannya. Masa cuti sekolah sajalah, mereka dapat berjumpa.

“Sudah mak, mereka baru aje bertolak tadi,” jawabku sambil membawa masuk ke dalam barangan yang dibawa oleh mak mertuaku dan Auntie Dorris.

“Kamu sendiri je ke, Luna? Danny, kerja?” tanya Auntie Dorris. Dia meninjau keadaan di kawasan belakang rumah. Itulah kali pertama, Auntie Dorris datang melawat ke tempat tinggal kami.

“Ya, Auntie. Tapi, kejap lagi dia baliklah tu,” jawabku. Aku menghidangkan kopi panas kepada mereka berdua, sementara menunggu suamiku pulang.

Kami berborak-borak sambil menikmati kopi yang masih panas.

“Berapa hari kamu bermalam kat sini mak?” tanyaku kepada mak mertuaku.

“Satu malam je, Luna. Esok auntie kamu ni ada temujanji kat hospital,” jawab mak mertuaku.

Aku menghela nafas pendek, ingatkan mereka berdua nak tinggal lama sikit. Hilang juga rasa bosan duduk kat rumah kalau ada yang temankan.

“Luna, sayur genjer dekat jeti tu ada lagi tak?” Mak mertuaku menghirup kopinya perlahan-lahan.

“Entahlah mak, aku pun dah lama tak jalan ke sana. Kalau mak nak… petang nanti kita ke jeti, sambil tengok-tengok kalau masih ada sayur genjer tu ya.”

“Boleh juga, kita petik banyak-banyak. Nanti separuhnya mak nak bawa balik, susah nak cari sayur tu kat bandar,” ujar mertuaku.

Sayur genjer adalah sejenis tumbuhan liar yang tumbuh di kawasan yang berair. Sayur genjer sedap dimasak dengan belacan, dan ada juga yang membuatnya sebagai ulam.

Petang itu juga, aku membawa mereka berdua ke jeti. Kami sempat mengabadikan beberapa keping gambar ke dalam memori telefon, untuk dijadikan kenang-kenangan. Setelah puas menikmati pemandangan di jeti. Kami meninjau sekitar kawasan itu, kalau-kalau ada sayur genjer yang tumbuh di situ.

Kami bernasib baik, kerana memang banyak sayur genjer yang tumbuh tidak jauh daripada kawasan jeti. Genjer itu tumbuh meliar dan sangat subur, kerana beberapa hari yang lalu hujan kerap turun. Tanpa berlengah, kami pun mulai memetik genjer itu, kami berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang banyak ditumbuhi sayur genjer.

“Luna! Kita ke hujung sana, auntie nampak kat sana lagi banyak,” kata Auntie Dorris.

“Kamu pergilah dulu, kejap lagi aku menyusul,” balasku.

Aku baru sahaja melihat satu kelompok genjer yang sangat segar di satu tempat yang agak semak sedikit. Aku segera menuju ke tempat itu, dan membiarkan mereka berdua pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh Auntie Dorris sebentar tadi.

“Wah… Segarnya genjer ni,” bisikku.

Geram pula bila nampak sayur segar seperti itu. Tanpa berlengah, aku cepat-cepat memulas pangkal genjer itu satu persatu, dan memasukannya ke dalam beg plastik yang sudah hampir penuh. Setelah habis memetik, aku segera menyusuli Auntie Dorris dan mak mertuaku.

“Mak… rasanya dah cukup ni, beg plastik pun dah penuh,” kataku. Aku menunjukkan beg plastik di tanganku yang penuh dengan genjer segar.

“Yala, marilah kita balik. Hari pun macam nak hujan ni,” ujar mak mertuaku.

Kami bertiga bergegas balik ke rumah. Sesampainya di rumah, kami terus membersihkan sayur genjer itu. Separuh dimasak untuk hidangan makan malam kami, dan separuh lagi disimpan di dalam peti sejuk untuk mereka bawa pulang ke bandar esok pagi.

***

Malam itu, kami berbual panjang sebelum kami masuk tidur. Aku dan suamiku tidur di dalam bilik, manakala Auntie Dorris dan mak mertuaku tidur di ruang tamu bersama dua orang anakku.

Mereka lebih selesa tidur di ruang tamu kerana memang agak panas apabila bekalan elektrik dimatikan pada jam 12 tengah malam. Tinggal di kawasan estate bekalan elektriknya sangat terhad, kerana pihak syarikat menggunakan enjin lampu sendiri.

Entah kenapa, malam itu aku sukar untuk melelapkan mata. Sesekali, aku melihat ke ruang tamu dari pintu bilik yang terbuka luas. Aku melihat samar-samar, Auntie Dorris memusingkan tubuhnya. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Dia juga seperti sukar melelapkan matanya.

‘Mungkin… Auntie Dorris tak selesa sebab kepanasan kot?’ fikirku.

Aku memaksa mataku untuk lelap, akhirnya aku pun benar-benar terlelap. Tidur lenaku diulit mimpi. Aku telah bermimpi satu tempat yang pernah aku datangi. Tempat itu adalah, tempatku memetik genjer pada petang tadi.

Tempat itu kelihatan suram, genjer yang telah telah aku petik petang tadi, kelihatan masih segar dan belum terusik. Aku melihat diriku di dalam mimpiku, ketika itu aku sedang duduk merenung serumpun genjer yang sangat rimbun.

Tiba-tiba, aku merasa perutku dipulas dengan kuat! Ia sungguh menyakitkan.

“Arghh!!” aku menjerit.

Aku tersedar dari mimpiku. Tanganku berada di atas perutku, aku bangun dan duduk memeluk perutku. Aku benar-benar merasakan kesakitan itu. Ia hanya sekadar mimpi, tetapi kenapa aku benar-benar dapat merasakannya.

“Hei, mumy kenapa?” tanya suamiku, hairan.

Suamiku terbangun, mungkin kerana terdengar bunyi jeritanku. Namun, aku tidak pasti kalau bunyi jeritanku pada masa itu kuat ataupun perlahan. Mungkin ia hanya berbunyi perlahan, kerana aku melihat mak mertuaku dan yang lainnya sedang tidur dengan nyenyak.

“Takde apa-apa,” jawabku.

Aku tidak menceritakan mimpi itu kepada suamiku. Lalu suamiku menyambung semula tidurnya.

Aku berbaring di sebelah suamiku, tanganku masih memegang perut. Aku masih dapat merasakan kesakitan itu. Aku cuba untuk melelapkan mataku semula, mataku tertutup rapat namun telingaku masih boleh mendengar bunyi-bunyi cicak di dinding.

Sedang aku memaksa mataku untuk tidur semula, aku terdengar suatu bunyi yang agak pelik di luar tingkap bilik. Ia seperti bunyi seekor burung, tetapi bunyinya sungguh pelik! Aku belum pernah mendengar bunyi itu seumur hidupku.

Sukar untuk aku menggambarkan bagaimana suara bunyi itu, bunyinya sangat menyeramkan. Bulu romaku menegak, aku mencari fon telinga dan memasangkan lagu pada telefon pintarku agar aku tidak lagi mendengar bunyi itu. Aku menutup mataku rapat-rapat, akhirnya aku tertidur kembali.

***

KEESOKAN harinya, mak mertuaku dan Auntie Dorris pulang ke bandar. Tinggallah kami empat beranak di rumah syarikat. Selepas mengalami mimpi itu, aku berasa tidak tenteram. Perutku yang masih merasakan kesakitan, membuatkan aku tidak enak badan. Perutku berkeroncong lapar, keinginanku menjadi-jadi.

Aku ingin makan apa sahaja makanan yang ada di dalam rumah ketika itu, namun perutku menolak semua makanan yang terhidang di depan mataku. Apabila aku mengisi perutku dengan makanan, bahkan hanya meminum segelas air, aku berasa loya. Apa sahaja makanan yang masuk ke dalam perutku, aku muntahkan kembali.

‘Tidak mungkin aku hamil, aku baru sahaja melepasi haid beberapa hari yang lalu,’ gumamku.

Aku mulai tidak sedap hati. Aku asyik memikirkan mimpiku, apakah maksud mimpi itu? Aku memutuskan untuk menceritakan perihal mimpi itu kepada suamiku.

“Mungkin… Mummy ‘keteguran’ dengan makhluk halus kot, cuba whatsapp Diana dulu, minta tolong tengokkan dengan Makcik Tina,” kata suamiku.

“Mungkin… betul juga kata, suamiku,” bisikku.

Aku terus menceritakan pula mimpi itu kepada kakak iparku melalui aplikasi WhatsApp. Setelah Diana membaca mesej yang aku hantarkan kepadanya, dia menyuruh aku menunggu sebentar.

Diana dan mak mertuaku ke rumah, Makcik Tina yang bersebelahan dengan rumah mak mertuaku. Makcik Tina, boleh dikatakan seorang bomoh. Banyak yang telah datang berubat kepadanya, dan hampir semua yang datang berubat dapat disembuhkan oleh Makcik Tina.

Tidak lama kemudian, aku menerima panggilan daripada Diana.

“Luna, kami dah tanyakan pada, Makcik Tina. Memang betul, kau dah keteguran dengan penunggu yang tinggal kat kawasan tempat kamu memetik genjer kelmarin. Esok pagi kau kena datang kat sini, sebab hal macam ni tak boleh dibiarkan lama,” kata Diana di hujung talian.

Aku mengiyakan kata-kata, Diana. Kalau diikutkan, hari itu juga aku mahu datang ke sana tetapi hari sudah pun malam. Lagi pula kami tidak mempunyai kenderaan sendiri, terpaksalah aku menunggu sehingga esok pagi.

Malam itu, aku semakin sukar melelapkan mata, ditambah pula dengan perutku yang masih terasa sakitnya. Aku melihat suamiku dan dua anakku, mereka sudahpun tidur nyenyak. Mataku yang masih segar memandang ruang bilik yang samar-samar diterangi oleh cahaya lampu kecil yang semakin malap.

Sekali lagi, aku mendengar bunyi aneh di luar tingkap. Aku bingkas bangun dan memberanikan diriku untuk menyuluh ke arah tingkap bilik. Aku tergamam, ada satu lembaga hitam sedang berdiri membelakang di luar tingkap, ‘ia’ seperti sosok tubuh seorang lelaki. Bulu romaku meremang! Aku cepat-cepat mengejutkan suamiku.

“Daddy bangun! Tengok kat belakang tu, ada lembaga hitam,” bisikku perlahan. Aku tidak mahu mengejutkan dua anakku.

Suamiku bangun perlahan-lahan dan menjenguk ke luar tingkap.

“Takde pun?” kata suamiku.

Aku melihat semula ke luar tingkap, lembaga hitam itu sudah lesap.

“Tadi memang ada! Jelas-jelas aku nampak lembaga hitam tu berdiri kat situ,” ujarku.

“Mungkin kau terlalu memikirkannya,” balas suamiku. Dia kembali berbaring dan menutup matanya.

Walaupun dalam ketakutan, aku cuba bertenang dan berdoa. Syukurlah, dapat juga aku tidur sekejap setelah bersengkang mata sehingga jam 4 subuh.

Sebaik sahaja selesai melakukan tugasan seharianku, aku segera menghubungi Pakcik Mail untuk menghantarku ke rumah mak mertuaku di bandar. Mereka sudah pun bersedia menungguku pada pagi itu.

Diana, memberi aku satu beg plastik hitam yang berisi daun sireh, kapur sireh, gambir, pinang tua bersama sebiji telur ayam kampung.

“Nak buat apa dengan benda ni?” tanyaku.

“Itu barangan yang dipesan oleh Makcik Tina kelmarin. Kau bawa pergi kat rumah dia sekarang nanti, Makcik Tina terangkan,” jawab Diana.

Tanpa berlengah, aku dan mak mertuaku bergegas ke rumah Makcik Tina. Ketika Makcik Tina menawarku, dia sempat menceritakan tentang mimpi yang dialaminya malam tadi.

Makcik Tina, telah bermimpi tempat yang sama seperti di dalam mimpiku. Di tempat itu, ada seorang lelaki yang tinggi dan berkulit hitam, ‘Dia’ sudah lama mendiami tempat itu dan ‘Dia’ juga memberitahu kepada Makcik Tina bahawa, ‘Dia’ sangat marah kepadaku kerana memetik genjer di kawasannya tanpa meminta kebenaran. Oleh kerana itu, ‘Dia’ telah mengikuti aku pulang ke rumah, lalu membalas perbuatanku. Bagaimana aku memulas batang genjer itu, seperti itulah, ‘Dia’ memulas isi perutku.

Aku dan mak mertuaku hanya berdiam diri mendengar cerita, Makcik Tina. Memang benar, sewaktu aku memetik genjer itu, aku tidak meminta kebenaran. Kata orang tua dulu-dulu, kalau mahu ambil sesuatu haruslah meminta izin terlebih dahulu. Walaupun ia bukan milik sesiapa namun, ada makhluk lain yang dikenali sebagai ‘penunggu’ mendiami tempat itu.

“Nanti, kau bawa barang nih ke tempat yang kamu mimpikan. Kemudian minta maaf seikhlas hati,” kata Makcik Tina. Dia menghulurkan beg plastik hitam berisi set sireh, dan telur ayam kampung yang sudah dibaca dengan jampi.

Setelah selesai dengan Makcik Tina, kami bergegas pulang ke rumah. Nasib baiklah waktu itu, Diana sedang bercuti. Diana dan mak mertuaku, terus menghantarku pulang ke Estate. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai.

Sesampainya kami di Estate, kami segera menghantar barangan yang disuruh oleh Makcik Tina ke tempat kawasan genjer tersebut. Setelah meminta maaf, dan meminum air yang telah ditawar oleh Makcik Tina, perutku sudah tidak berasa sakit lagi. Aku juga sudah tidak loya dan muntah apabila mengisi perutku dengan makanan.

TAMAT

SHARE
Previous articleRASUKAN DI HUTAN
Next articleNukilan Terakhir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here