NAFSU TAK PERNAH TUA

0
3643

NAFSU TAK PERNAH TUA.

OLEH: HAKIMI MOHD

Pagi yang hening. Kamal tidak dapat melelapkan mata. Hampir sepanjang malam dia berjaga kerana terkenangkan ayah dan ibu. Dia beralih ke kerusi malas di beranda rumah setelah puas berbaring di atas katil. Rumah kayu yang usang itu sudah berdiri puluhan tahun lamanya. Itu sajalah harta yang ditinggalkan oleh orang tua Kamal sebelum mereka pergi bertemu Sang Pencipta.

Kamal kini sebatang kara, hidup sendiri tanpa sesiapa. Usianya masih muda bahkan belum pun mencecah 30 tahun.

Hidup di kampung sangat menenangkan bagi Kamal. Jauh dari hiruk-pikuk kota. Walaupon begitu, sebenarnya dia lebih memilih untuk hidup di bandar. Sebelum kematian orang tuanya, Kamal menetap di bandar kerana di situlah mata pencariannya, iaitu menjadi pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah. Tapi kini, dia pulang ke kampung halaman meninggalkan sementara pekerjaannya di kota kerana ayah dan ibunya baru sahaja meninggal dunia. Terkilan juga dia kerana tidak sempat meluangkan saat-saat akhir bersama orang tuanya di penghujung nafas mereka.

Kamal bercadang untuk menjual tanah dan rumahnya yang usang ini tidak berapa lama lagi. Dia bercadang untuk terus hidup di bandar. Setidaknya-tidaknya memerhatikan murid-murid di sekolah sewaktu bertugas sebagai pengawal keselamatan mengisi kekosongan di jiwa. Melihat gelagat anak kecil yang bermacam ragam selalu sahaja dapat menghiburkan hatinya.

“Krek…krek..”

Bunyi daun pintu yang terbuka menghentikan lamunan Kamal. Seminggu keberadaannya di kampung, macam-macam bunyi yang aneh didengarnya. Namun, tidak ada yang menimbulkan rasa gerun dihati Kamal. Rasa kesedihan dan kerinduan kepada orang tuanya telah jauh membenam perasaan gerun terhadap bunyi-bunyi itu.

“Assalamualaikum!”
Kedengaran satu suara memberi salam. Kamal menoleh kearah suara itu.

“Waalaikummussalam, ohh Pak Daud rupanya”.
Kamal tersenyum sambil mempelawa Pak Daud naik ke beranda rumah. Lengkap dengan jubah, kopiah serta rida’ di bahu, tahulah Kamal bahawa Pak Daud baru sahaja pulang dari surau setelah solat subuh.

“Apa khabar kamu Kamal? Maaflah awal pagi pula pakcik datang ziarah kamu”. Lembut suara Pak Daud menyapa Kamal. Sudah seperti melayan anaknya sendiri.

“Alhamdulillah, baik-baik je pakcik”. Sahut Kamal.
* * * *
Perbualan dengan Pak Daud pada sebelah pagi benar-benar mengganggu fikiran Kamal. Setahunya, sejak ayah dan ibu meninggal memang dia tinggal sebatang kara sahaja di rumah ini. Tiada sesiapa pun yang menemani. Mahu dikatakan adik-beradik juga mustahil kerana Kamal anak tunggal. Namun Pak Daud punya ceritanya yang tersendiri.

“titt!!”

Jam tangan Kamal berbunyi. Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Selalu dia terlupa menutup fungsi bunyi pada jamnya itu. Bunyi yang pada setiap satu jam itu kadang-kadang membuatnya rimas.

Malam ini tidak seperti malam-malam sebelumnya. Kamal mula mengamati bunyi-bunyi aneh yang sering memecah kesunyian malam di rumah kayu itu. Perasaan takut mula menerjah dirinya. Kalau sebelum ini dia hanya tidur dengan tidak mengendahkan bunyi-bunyi itu, cerita Pak Daud menghidupkan perasaan takut dalam dirinya.
“ignorance is a bliss” , betullah kata orang kulit putih”. Bisik Kamal dalam hati. Kalau tak kerana cerita Pak Daud, sudah pasti malamnya seperti biasa saja. Tidak ada rasa takut yang harus dilayan dan difikirkan.

Dia baring di atas katil. Biliknya cerah diterangi lampu kalimantang. Peluh bercucuran di dahinya. Bunyi derapan kaki, bunyi orang berdehem dan bunyi pintu diketuk bergilir-gilr singgah di cuping telinga Kamal. Dia hairan bagaimana dia begitu tenang pada hari-hari sebelumnya walaupun dia mendengar bunyi yang sama.

Kamal gagahkan diri untuk bangun dari katil.
“ekkkk”. Sesuatu berbunyi seiring dengan pergerakan Kamal bangun dari katilnya itu.
“Allah!!” jerit Kamal sambil melompat dari katilnya.
“Haish katil ni, aku ingatkan apa lah tadi”. Gumam Kamal. Katilnya itu sudah usang, kalau Kamal bergolek ke kiri dan ke kanan, pasti berbunyi.
Kamal kembali mengamati bunyi-bunyi itu. Dia mendekati pintunya yang tertutup rapat. Didekatkan telinganya ke daun pintu. Pintu biliknya itu menyambungkan biliknya dan ruang tamu.
“Bunyinya makin menjauh”. Bisik hati Kamal.
Kamal cuba untuk mengintai melalui lubang pintunya. Ada tebukan lubang yang sama paras dengan bahu Kamal pada pintu itu. Namun, membayangkan kebarangkalian matanya bertentang dengan mata “sesuatu” dibalik pintu, dia menangguhkan seketika hajatnya.
Dia mengumpul sedikit kekuatan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang terlintas di fikirannya. Dikuaknya pintu sedikit demi sedikit untuk melihat ruang tamu rumahnya itu.

Gelap dan sunyi. Tiba-tiba…

“BANGG!!”
Pintu bilik yang bertentangan dengan Kamal dihempas. Pintu bilik orang tuanya. Terketar-ketar lutut Kamal menahan dirinya daripada rebah kerana terkejut. Hampir sahaja luruh jantungnya. Kalau ikutkan mahu saja dia terjun melalui tingkat dan berlari ke rumah jiran tetapi memikirkan ini adalah rumahnya, untuk apa dia lari? Digagahkan juga kaki untuk berdiri. Kamal membuka pintu bilik seluas-luasnya. Dengan pantas dia berlari ke arah suis lampu dan menghidupkan segala lampu yang ada. Dengan serta-merta cahaya menerangi ruangan utama rumah.

“Arghhh!!!” Kamal menjerit sekuat hati. Dilihatnya lembaga dihadapannya turut sama terkejut.

“Astaga cermin rupanya”.

Lembaga yang terkejut itu hanyalah dirinya di dalam cermin. Kamal terasa bodoh kerana begitu mudah berasa terkejut. Terkejut dengan kebodohan dirinya sendiri.

Kamal menarik nafas lega. Tidak ada apa-apa yang mencurigakan kelihatan. Hempasan pintu sebentar tadi barangkali angkara angin yang bertiup sahaja fikirnya. Baru sahaja dia mahu melangkah ke biliknya, semua lampu yang baru dihidupkan berkelip-kelip. Cerah dan gelap bersilih ganti menyelubungi ruang tamu.

“Krek…krek.. krek”

Pintu bilik orang tuanya terbuka perlahan-lahan. Belum pun habis dibuka, pintu itu berhenti bergerak.
“BANGG!!”

Sekali lagi pintu dihempas.
“Haish main-main pulak benda ni”. Getus Kamal. Hampir saja pundi kencingnya menyerah kalah dengan kejutan itu tapi ia masih tetap bertahan.
Muka Kamal pucat kebiruan. Lampu-lampu yang berkelip membataskan kadar penglihatannya. Tapi dia masih mampu melihat sesuatu yang bergerak di muka pintu bilik itu apabila ia kembali dibuka. Sesuatu seperti kepala menjengah keluar dari dalam bilik. Wajah lembaga itu dilindungi oleh rambutnya yang panjang. Suaranya perlahan menyebut sesuatu. Lama kelamaan suaranya bertambah nyaring sehingga jelas apa yang disebut.

“Hasan!!!”. Seru lembaga itu. Suara nyaringnya membingitkan telinga Kamal.

Setiap kali lampu berkelip, makhluk itu muncul semakin hampir dengan Kamal sehinggalah dia hilang daripada pandangan. Kamal dapat merasakan angin dingin menghembus tengkuknya. Bulu romanya tegak berdiri. Ditolehkan perlahan-lahan ke belakang….
* * * *

“Allahuakbar, Allahuakbar”.
Azan subuh bergema. Kamal tersedar daripada pengsan. Kepalanya sakit seperti terhentak sesuatu. Lampu yang terang menyala menyilaukan mata. Dia duduk dan cuba mengingati apa yang berlaku.

“Wooshh”
Sepantas kilat Kamal berlari keluar dari rumahnya tatkala ingatannya kembali pulih. Beranda yang setinggi beberapa meter itu sudah tidak diendahkan lagi. Terus dilompatnya tanpa menuruni tangga. Sudah seperti atlet sukan olimpik gayanya. Lintang pukang dia berlari menuju ke surau kampungnya.
“huh..huh..huh..” Kamal tercungap-cungap.
Sesampainya di surau, dia duduk sebentar berhampiran kolah tempat orang berwuduk. Lega hatinya melihat ramai orang di situ. Setelah dia menenangkan diri, dibasuhnya anggota wuduk lantas melangkah ke saf solat yang masih kosong. Didirikannya solat sekhusyuk mungkin. Peristiwa yang berlaku malam tadi serba sedikit mendekatkan jiwa hamba kepada Tuhan.

Selesai solat, mata Kamal melilau mencari kelibat Pak Daud. Pak Daud merupakan imam kampung. Ilmunya yang luas di samping perwatakannya yang warak menimbulkan rasa hormat penduduk kampung terhadapnya. Orang tua yang sebaya ayahnya itu pasti dapat membantunya. Kelihatan Pak Daud sedang tenggelam di dalam zikirnya di penjuru surau. Kamal menghampiri Pak Daud. Dilihatnya Pak Daud sedang bersila dengan khusyuk sambil memejamkan mata. Disapanya penuh hormat sebagaimana layaknya orang tua itu dihormati namun tiada respon daripada Pak Daud. Kamal memberi salam berkali-kali sambil tangannya lembut menggerakkan badan Pak Daud. Pak Daud kemudian rebah sebelum bergerak seolah-olah meregangkan ototnya.

“Astagaa, tidur rupanya orang tua ni”. Dengus Kamal di dalam hati.

“erm..erm.. pakcik, saya ada benda nak bagitahu ni” kata Kamal memulakan cerita setelah Pak Daud kembali duduk.

“Pasal rumah kamu tu ke?” tanya Pak Daud tenang.
“ehhh mana pakcik tahu?”. Nada Kamal sedikit meninggi kerana terkejut.

Dia terlupa bahawa Pak Daud ada berkongsi tentang penampakan sesuatu yang pelik di rumah itu semenjak kematian arwah ayah dan ibu Kamal. Seperti ada sesuatu yang menghuni rumah itu selain Kamal. Jadi sudah tentulah Pak Daud dapat menebak apa yang terjadi. Bahkan, ziarahnya ke rumah Kamal tempoh hari juga sebenarnya memberitahukan hal yang sama agar Kamal berhati-hati dan melazimkan dirinya untuk berzikir dan mengaji sebagai pendinding buat dirinya.

“Jadi macam mana ni pakcik?” keluh Kamal meminta solusi.

Pak Daud termenung seketika. Otaknya ligat mencari penyelesaian. Dia tenggelam dalam fikirannya sendiri.

“ Kamu balik dulu. Malam ni pakcik datang dengan beberapa orang kampung ke rumah kamu”. Cadang Pak Daud.

“Haish pakcik ni, nak aku balik rumah pulak? Kalau makhluk tu kokak aku nanti macam mana? ”. Bantah Kamal di dalam hati. Tidak dia suarakan kerana takut kurang pula adabnya kepada Pak Daud. Kamal mengangguk lemah.

Kamal mengheret kakinya perlahan-lahan pulang ke rumah. Langkahnya terasa berat. Mujurlah matahari sudah mula memancarkan sinarnya. Seperti adiwira yang mendapat kekuatan apabila disimbah cahaya matahari, begitulah juga keberanian meresap masuk ke dalam diri. Berlalunya kegelapan malam turut membawa pergi sebahagian daripada perasaan takutnya.

“Takkan benda tu nak muncul siang-siang macam ni”. Pujuk hati Kamal sendiri.

Tiba-tiba Kamal teringatkan sesuatu. Hasan, iaitu nama yang disebut oleh lembaga itu. Bukankah itu nama ayahnya? Apakah pula kaitan ayahnya dengan makhluk itu?

Dia berdiri lama di hadapan rumahnya. Setelah dibaca ayat Kursi dan beberapa surah yang dihafal, dia berjalan masuk ke rumahnya. Dibukanya segala pintu dan tingkap yang ada supaya cahaya matahari dapat menembus masuk. Dihidupkan juga lampu supaya lebih tenang hatinya.

Senja menjelma. Kamal sudah siap siaga menunggu Pak Daud di hadapan rumah. Untuk berada di dalam rumah pada waktu yang hampir malam itu tidak sekali-kali terlintas di fikirannya. Pak Daud tiba bersama beberapa penduduk kampung. Dibawanya bersama bahan untuk upacara memagar rumah daripada gangguan makhlus halus itu andai ia berjaya diusir. Setidaknya itulah yang dirasakan oleh Kamal sewaktu melihat bungkusan plastik ditangan Pak Daud.

Pak Daud tegap berdiri menghadap rumah usang itu. Angin dingin bertiup mengibar-ngibar selendang di bahunya yang tanpa sedar menyerlahkan lagi kewibawaannya sebagai orang kuat agama di mata Kamal. Terkumat-kamit mulutnya membaca wahyu Tuhan. Dibacanya tanpa henti sehinggalah akhirnya kelihatan lembaga itu mengintai dari jendela bilik orang tua Kamal. Badannya terapung rendah sambil matanya yang hampir tersembul keluar itu merenung ke arah Pak Daud. Kamal masih tidak dapat melihat makhluk itu dengan jelas. Lampu rumahnya kembali berkelip-kelip. Tambahan pula, disekeliling rumahnya tiada satu pun tiang lampu elektrik terpasang. Asap mengelubungi bilik meskipun tiada api kelihatan.

Keadaan mula tidak terkawal apabila lembaga itu terbang laju mengejar orang kampung yang hadir bersama Pak Daud. Hanya kain lusuh yang membaluti lembaga itu jelas kelihatan mengejar mereka disamping cahaya kecil yang seakan-akan api yang mula membakar lembaga itu. Kamal awal-awal lagi sudah berdamping dekat dengan Pak Daud. Serangan makhluk itu sudah berada dalam perkiraannya. Setidak-tidaknya Pak Daud ada untuk melindungi jika makhluk itu menyerang. Berlarilah penduduk kampung yang beberapa orang itu mengelilingi rumah Kamal. Rumah itu sebenarnya terletak dihujung kampung, jauh dari rumah penduduk yang lain. Sekelilingnya pula hutan. Tiada yang sanggup berlari masuk ke hutan waktu malam-malam begini. Lebih baik mereka berada dekat dengan Pak Daud. Mungkin itulah tujuan Pak Daud mengajak mereka datang bersama, untuk dijadikan umpan sementara Pak Daud menyempurnakan ritualnya.

Pak Daud mengulang-ngulang bacaannya. Semakin lama, semakin jelas api membakar makhluk itu. Hairan Kamal mengapa tidak makhluk itu menyerang Pak Daud sedangkan beliau lah yang sedang berusaha mengusirnya. Rupa-rupanya baru Kamal perasan disekelilingnya ada taburan garam yang memagar Pak Daud dan dirinya daripada dikejar makhluk itu.

“Kreatif gila pakcik!” jerit Kamal namun tidak diendahkan oleh Pak Daud.

Seumur hidupnya, dia hanya pernah mendengar upacara memagar itu hanya dilakukan pada rumah, bukan pada orang. Tetapi ternyata Pak Daud berfikir di luar kotak. Dia memagar dirinya sendiri. Mujur Kamal juga berdiri dalam bulatan garam yang ditabur. Maka dengan itu keselamatannya terjamin.
Penduduk kampung yang berlari itu mula keletihan. Makhluk itu pula sudah hampir hangus terbakar keseluruhannya. Cuma kelihatan cebisan kainnya sahaja. Anggotanya yang lain sudah hitam tidak berupa. Penduduk kampung melakukan pecutan akhir ke arah Pak Daud dan Kamal. Barangkali kerana terlalu letih dan tidak tahu kemana lagi harus dituju, sepakat mereka berlari ke arah Pak Daud. Kamal sudah mula tak senang berdiri. Fikirnya dia sudah selamat kerana berdamping dengan Pak Daud, tetapi penduduk kampung pula mengumpan makhluk itu kepada mereka.

* * * *
“Alhamdulillah” seru Pak Daud.

Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Semua yang berada disitu terbaring kelelahan. Tidak terkecuali Kamal walaupun dia hanya sekadar berdiri. Melihat adegan-adegan pembasmian makhluk halus itu melelahkan jiwa dan emosinya. Mujurlah sebelum sempat makhluk itu menghampiri Kamal, ia sudah pun bertukar menjadi abu. Terbatuk-batuk lah Kamal akibat terhidu abu makhluk halus itu.
Setelah beberapa ketika berehat, Pak Daud dan Kamal masuk ke rumah dan menuju ke bilik ayah dan ibu Kamal. Segala yang berlaku menuntut penjelasan.

“Kenapa nama ayah yang disebut? Adakah makhluk itu bertuankan ayah? Mana mungkin ayah terlibat dengan ilmu hitam, bukankah ayah rajin ke surau?” Pelbagai persoalan bermain di mindanya.
Kamal menolak daun pintu bilik orang tuanya. Puas dia menyelongkar segala barang untuk mencari petunjuk terhadap apakah yang sebenarnya terjadi. Usahanya terhenti apabila terjumpa sebuah kotak berisi surat dibawah katil.
* * * *
“Tak sangka kan pak cik, Mak Jemah sanggup buat macam tu kat ayah”. Keluh Kamal.

“Itulah, pakcik tak sangka pula sejauh itu dia mengikut perasaan. Tak padan dengan tua” Sambung Pak Daud bersahaja.

“Apalah yang Mak Jemah nampak pada ayah sehingga sanggup menggunakan sihir untuk memisahkan ayah dan ibu. Bukankah dia telah tua? Masih bernafsu kah dia pada ayah? Nafsu apa? Mak Jemah gaya pun dah macam menopause dah tu” luah Kamal kerana geram dengan alasan tak masuk akal Mak Jemah menggunakan sihir.
Surat-surat itu menjadi bukti bahawa Mak Jemah cuba menyihir ayah Kamal kerana perasaan cintanya yang tidak berbalas Namun, usahanya gagal kerana pegangan agama ayah Kamal yang teguh telah menjadi tembok yang utuh untuk ditembusi oleh makhluk itu. Segala isi surat itu Kamal baca. Bermula daripada luahan perasaan sehinggalah kepada ugutan untuk mengganggu ketenteraman rumah tangga mereka sekeluarga.
Pak Daud dan Kamal membawa surat-surat itu ke rumah Mak Jemah. Disoalnya dengan keras sehingga menangis perempuan tua itu. Mak Jemah tinggal sebatang kara. Suami dan anak-anaknya semua meninggal disebabkan oleh kemalangan. Mungkin sebab itu jugalah ayah Kamal tidak mengambil sebarang tindakan kerana kesian akan kehidupan Mak Jemah.

“Apapun alasannya, syirik tidak akan pernah menjadi jalan penyelesaian, moga Mak Jemah bertaubat daripada dosanya. Benarlah nafsu tak pernah tua” Pak Daud menyambung bicara. Riak kesal jelas terpapar di wajahnya mengenangkan hal sebegini terjadi di kampungnya.

Kamal mengangguk laju tanda setuju.
“Ya, nafsu memang tak pernah tua”. Spontan Kamal mengajuk bicara.
-TAMAT-

SHARE
Previous articlePOKOK BESAR
Next articleROGON PORING

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here