PINTU PAGAR PULANG III

1
577

 

episod 1 episod 2

Pada suatu malam, aku sedang menaip di meja kerja aku di rumah. Jika dulu aku tak gemar bawa pulang kerja dan siapkan di rumah, kini tepat jam 9 malam aku pulang. Kerja yang tak sempat disiapkan, akan aku sambung di rumah sahaja.

Di ruang rehat di tingkat atas, kipas siling di atas kepala aku berputar ligat. Fokus aku tertancap pada skrin komputer riba aku. Keletap-keletup bunyi papan kekunci ketika aku menaip. Tiba-tiba sayup-sayup aku dengar bunyi seperti besi berkeriuk kerana bergeser dengan besi.

Aku berhenti menaip. Mata aku meliar kiri dan kanan tanpa menoleh. Bunyi deruman bilah kipas membelah udara dan dengungan lampu kalimantang bermain di telinga. Setelah beberapa detik, aku sambung semula kerjaan aku kerana tidak mendengar apa-apa yang pelik.

Kreeek! Kreek! Kreek!

Kali ini bunyi itu lebih jelas. Bunyi geseran besi dengan besi itu bagai menyiat gegendang telinga, sungguh mengilukan, sehingga seluruh bulu roma di tubuh aku berdiri. Ia melumpuhkan aku daripada meneruskan kerja aku, jadi aku berhenti.

Gedegah gedeguh gedegah gedeguh!

Kedengaran pula seperti seseorang sedang meronta-ronta di atas katil. Mendengar bunyi itu, aku bingkas bangun dari kerusi dan bergegas ke bilik aku. Aku buka pintu dengan pantas. Cahaya lampu dari ruang rehat menerjah masuk ke dalam bilik yang gelap. Kelihatan susuk tubuh isteri aku sedang tidur di atas katil.

Tenang dan nyenyak.

Aku beritahu diri aku supaya jangan terlalu selesa. Aku kena periksa keadaan isteri aku dengan lebih dekati. Namun sebelum sempat aku melangkah masuk ke dalam bilik, sekali lagi kedengaran bunyi tadi. Kali ini aku dah tahu ia datang dari mana. Aku toleh ke belakang.

Rumah ni ada 3 bilik, satu di bawah dan dua di atas. Bilik di bawah itu agak kecil, jadi kami jadikan ia bilik solat. Di atas tu, bilik utama dijadikan bilik tidur aku dan isteri, kemudian bilik kedua tu dijadikan bilik tetamu. Bunyi mencurigakan itu datang dari bilik tetamu.

Kreeek! Kreek! Kreek!

Aku pun ke berjalan menuju ke bilik tetamu, dan mencapai batang monopod kamera DSLR aku dalam perjalanan ke sana. Bukan senjata yang baik, namun cukuplah untuk mempertahankan diri atau menggugat keberanian penceroboh.

Kreeek! Kreek! Kreek!

Bunyi itu sangat mengilukan. Seolah-olah ia mempunyai gigi-gigi halus yang menggerit tempurung kepala aku. Bunyi apa tu? Ada pencuri cuba umpil jeriji tingkap untuk masuk ke? Sambil berdiri di hadapan pintu bilik tetamu, aku pasang telinga. Aku perkemaskan genggaman tangan kanan aku pada monopod keluli itu.

Kreeek! Kreek! Kreek!

Klik! Aku pulas tombol pintu bilik tetamu, pintunya terkuak. Bunyi yang menjengkelkan itu menjadi semakin jelas dan tajam. Terdengar juga bunyi seperti orang mengerang. Tiba-tiba aku keberanian yang ada dalam diri aku tadi, hilang entah ke mana. Aku mengundur sedikit. Berfikir semula tentang pilihan yang aku ada.

“Lebih baik aku pergi dari sini. Aku ada senjata!” bentak aku.

Ia konfrontasi yang tak dapat dielakkan. Jika aku tak berdiam diri, dia akan masuk ke dalam rumah dan tetap akan bersemuka dengan aku. Jadi, dengan menggertak, aku harap penceroboh ni akan membatalkan niat dia.

Kreeek! Kreek! Kreek!

Oleh kerana tidak apa-apa jawapan, aku rasa ada keperluan untuk aku tunjuk aku tidak takut berkonfrontasi. Namun begitu, aku tidak mahulah terjah kepala dulu, serah leher aku. Itu bodoh namanya.

Aku panjangkan monopod teleskopik yang ada pada aku, dan menggunakannya untuk menguakkan pintu dengan lebih luas. Jika penceroboh itu juga bersenjata, sekurang-kurangnya aku berada pada jarak yang membenarkan aku lari ke dalam bilik aku tanpa sempat diserang oleh penceroboh tu.

Jantung aku berdegup bagai paluan gendang. Pintu itu terkuak perlahan-lahan. Aku ternampak sesuatu yang sepatutnya membuatkan aku berhenti meninjau, tetapi tetap aku buka pintu itu untuk pastikan aku benar-benar lihat benda yang aku sangka aku lihat.

Kreeek! Kreek! Kreek!

Tersekat nyawa aku di kerongkong bila aku terlihat apa yang menghasilkan bunyi itu. Tubuh seorang perempuan terapung di dalam bilik itu. Seolah-olah berdiri tak menjejaki lantai. Mukanya tertunduk, tetapi masih menampakkan wajahnya yang herot, kulitnya putih, kebiruan-biruan di hidung dan bibir, mata terjegil, anak matanya yang besar memandang aku.

Ktang!

Terlepas monopod dari tangan aku. Dalam tak sedar aku melangkah menjauhi pintu itu, renungan mata perempuan itu beralih ke sisi. Bukan anak mata sahaja yang beralih, tapi seluruh tubuhnya berputar sekali, serentak, pada paksi yang sama.

Kemudian aku baru sedar, ia bukan terapung, tetapi tergantung. Tangannya terkulai di sisi. Jari kakinya terlunjur ke bawah, menunjuk ke lantai. Ia tergantung dari kipas. Bunyi geseran itu adalah bunyi komponen kipas bergeser semasa berpusing sambil menampung beban yang tidak sepatutnya.

Sekilas terdetik tubuh itu bilik isteri aku, namun sangkaan itu tersangkal sebaik sahaja kedengaran sapaan dari belakang— “You buat apa ni? Ketang ketung malam-malam ni?”

Aku menoleh ke belakang,  ke arah suara itu. Isteri aku menggelengkan kepala. Matanya sepet, kerana kesilauan.

“Errr…” cuba aku bersuara tapi tak keluar apa-apa perkataan, lantas aku menoleh semula ke arah bilik tetamu yang pintunya kini ternganga luas, dengan harapan isteri aku akan terlihat apa yang ada di dalam bilik itu.

Malangnya, sekujur tubuh yang aku lihat tadi, tak kelihatan lagi.

“Err, tadi I dengar macam ada bunyi ada orang nak umpil grill. Jadi I pergi periksalah.” kata aku.

“Ish! Biar betul you ni? Bahayalah!” ujar isteri aku kemudian bergegas ke bilik.

Aku mengekorinya.

Isteri aku masuk ke bilik, pergi ke meja di sisi katil, ambil telefon dan mendail.

“Eh jap! Jap! Awak nak telefon siapa tu?” tanya aku.

“Polislah!” jawabnya tegas!

“Eh tak payah, tak payah! Saya dah periksa. Tak ada apa! Apa! Mungkin tikus ke kucing je tu dekat bumbung de kat tingkap tu.” ujar aku sambil menahan dia daripada membuat panggilan.

Setelah berjaya pujuk isteri aku supaya tak buat panggilan polis, aku keluar semula dari bilik untuk simpan kerjaan aku. Aku pergi ke laptop, save dokumen, matikan laptop, matikan lampu ruang rehat, kemudian melangkah ke bilik tidur semula.

Sebelum masuk bilik tidur, aku toleh bilik tetamu. Pintunya masih ternganga. Berkira-kira juga aku nak pergi tutup atau tidak. Setelah 2-3 saat tercegat di situ, akhir aku nekad nak pergi tutup. Aku pun pergi ke bilik itu, dan sebelum tutup, aku rasa elok aku buat tinjau sekali lagi dalam bilik tu.

Aku hulur tangan ke dalam, capai suis lampu di dinding dan petik. Tap! Lampu menyala. Cahaya lampu menerangi bilik tetamu. Aku tinjau setiap sudut. Atas katil, tepi meja solek, atas almari, di kipas, dan terakhir sekali, di sebalik pintu. Tak ada apa-apa yang aneh.

Jadi, aku tutup lampu dan menarik tombol pintu. Beberapa detik sebelum pintu tertututp rapat, aku rasa aku terdengar bunyi— Kreeek! Kreek! Kreek! Bulu roma di lengan aku berdiri.

“Itu semua khayalan kau sahaja!” bisik hati aku, kepada diri sendiri.

Ternyata sangkaan itu salah. Beberapa hari kemudian, isteri aku pula mengalami peristiwa aneh.

bersambung…

baca sambungan di sini: episod 4

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here