PINTU PAGAR PULANG IV

1
502

Baca episod 1-3 di sini →  episod 1-3

Beberapa hari selepas kejadian penampakan di bilik tetamu tu, isteri aku tanya satu soalan yang buat aku terpinga-pinga. Selesai sahaja solat Isyak, isteri aku tanya soalan ni— “Semalam, you keluarkan baju-baju I dalam almari bilik tetamu ke?”

Aku yang masih dalam keadaan bersimpuh tahyat akhir, mengusap muka dengan tapak tangan dan menoleh ke arahnya. “Tak. Tak ada. Kenapa?”

“Malam tadi, masa I tidur, macam terdengar orang geledah barang di bilik tetamu tu. I ingat you yang geledah, jadi I sambung tidur. Pagi ni, I rasa tak sedap hari, jadi I pergilah check bilik tu. Tengok-tengok, ada baju-baju I yang ada dalam almari bilik tu, ada atas katil.”

“Eh buat apa pula I nak keluarkan baju you?” kata aku lalu bangkit berdiri dan terus menuju ke bilik tetamu.

“Manalah tahu you nak beri girlfriend you ke? I nak pakai, memang taklah. Dah tak muat,” sindir isteri aku.

“Hish! Merepek je ah you ni,” balas aku.

Selepas kahwin, memang isteri aku semakin berisi, tapi tidaklah gemuk. Dulu dia kurus keding, lepas kahwin berat dia naik kepada berat badan unggul. Apapun, pedih juga kata-kata isteri aku tadi. Dia tak tahu ke, hanya dia di hati aku. Hmm…

Aku pun bangkit dari sejadah dan terus menuju ke arah bilik tetamu, tetapi langkah aku terhenti bila isteri aku kata— “Tak payah check, saya dah masukkan semula dalam almari. Baju gaun putih entah siapa punya tu sekali.”

Aku toleh pada isteri aku dan bertanya— “Gaun putih?”

“Erm! Gaun putih renda-renda. Bukan saiz saya tu. Abang beli untuk siapa? Seksi bukan main pula tu.”

Aku buat tak endah apa yang isteri aku cakap. Soalan dia tu aku boleh jawap kemudian. Boleh tangguh. Namun, gaun putih tu aku kena pergi lihat sekarang. Deras langkah aku ke bilik tetamu. Masuk sahaja, terus selak pintu gelungsur almari. Aku periksa baju-baju yang tergantung di dalamnya.

“Yang! You letak mana gaun putih tu?” soal aku kerana aku tak jumpa gaun berkenaan.

Sunyi. Tak ada jawapan. Mungkin dia tak ingin jawab.

Aku bergegas semula ke bilik tidur aku. Isteri aku masih di atas katil, memeluk tubuh.

“Gaun yang you cakap tu, dia warna putih, renda-renda, lepas tu lebih kurang sampai paras lutut, kan?” soal aku.

“Erm!” balas isteri aku. Mukanya menghadap ke tingkap, tidak memandang aku.

“You ingat tak, kelmarin dulu, I kata I nampak perempuan diri depan pagar rumah kita? Perempuan tu pakai gaun yang sama,” habis sahaja ayat itu dari mulut aku, terus aku terimbau kelibat yang aku nampak tergantung dalam bilik tetamu. Gaun yang sama. Kelibat itu pun memakai gaun putih yang sama.

“I rasa, ada sesuatu yang tak kena berlaku di rumah ni,” tokok aku.

“Rumah ni tak kena? I rasa, YOU tu yang ada tak kena!” balas isteri aku.

Aku terdiam.

“Sejak kebelakangan ni, perangai you dah makin pelik. Malam-malam tidur lambat. Asyik mengintai di tingkap tu sampai 1-2 pagi. I perasan, tau! You jangan ingat I tak tegur, I tak perasan. I perasan sebenarnya!”

Ah sudah! Parah macam ni. Benda aneh yang aku alami ni pun dah cukup rumit nak terangkan, tambah pula lagi masalah salah faham macam ni. Memang jadi jadi semakin mencabar lah jawabnya.

Aku dekati dia yang masih duduk di atas katil. Seribu satu ayat lalu di fikiran aku. Tak tahu mana satu nak guna sebagai ayat pemula pujukan. Silap pilih, boleh bikin situasi jadi lebih buruk. Bila aku rasa aku dah jumpa ayat yang paling sesuai, aku pun buka mulut.

Tak sempat suara aku keluar dari kotak suara, isteri aku terus menginjak ke sisi katil yang menjauhi aku, lalu bangkit dari berdiri dan berjalan menuju ke pintu bilik.

“You nak pergi mana tu?” soal aku terpinga-pinga.

Dia diam sahaja, dan meneruskan langkahnya. Pintu bilik dibuka, lalu dia keluar dan menutup pintu dengan perasaan marah. Gedegang! Berdentum bunyi daun pintu terhempas ke bingkainya. Selepas itu baru aku tersedar dari nanar, dan mengekori isteri aku keluar dari bilik.

“Yang! Dengar dulu, ya—-”

Tak sempat aku habiskan ayat aku, tiba-tiba kedengaran suara isteri aku memekik —-”aaaaAAAAA!”
Suaranya datang tangga, jadi aku pun bergegas ke arah tangga dan menjengah ke bawah. Kelihatan isteri aku berdiri di pertengahan tangga bawah sambil menutup mulutnya. Sedetik selepas itu dia berlari naik semula. 2 anak tangga setiap langkah.

“Kenapa? Kenapa? Kenapa?” tanya aku yang masih di puncak tangga.

Isteri aku terus berlari ke dalam dakapan aku dan tangannya menunjuk-nunjuk ke bawah. Aku jengah ke bawah. Tapi tiada apa-apa kelihatan. Tingkat bawah rumah aku gelap gelita. Hanya diterangi remang cahaya dari tangga.

“Ada apa? Awak nampak apa dekat bawah?” kata aku sambil mengumpil isteri aku dari tubuhku. Erat betul dia peluk aku. Mula-mula dia tak melepaskan, tetapi kemudian mula pasrah. Setelah tubuh kami terpisah, aku pun turun tangga beberapa langkah.

“You! Jangan!” bisik isteri aku. Gigi di mengetap. Tnagan dia terkepal.

“Kenapa?” tanya aku sambil mendongak ke arah isteri ku yang berada di atas.

“Perempuan tu…. ada dekat depan tangga bawah.” jawab dia terketar-ketar.

Aku terdiam.

“Perempuan gaun putih” tokok isteri aku, cuba perincikan jawapannya.

Aku telan air liur. Bukan sahaja kerana apa yang isteri aku ucapkan, tetapi juga kerana apa yang aku nampak di belakang isteri aku. Di belakang isteri aku tiba-tiba muncul perempuan bergaun putih itu, dan ia berjalan ke arah bilik tetamu. Anak mata aku mengekori kelibat itu.

Isteri aku berlari ke arah aku apabila dia sedar aku sedang lihat sesuatu di belakangnya. Kami berdua terus turun ke bawah. Habis semua lampu kami buka. Terang benderang. Tak tahu kenapa, tapi kami berdua terdiam untuk beberapa minit. Tak tahu apa nak kata.

Dalam pada masa yang sunyi itu, aku pandang jam dinding. Pukul 1.15 minit pagi.

Gedegah gedeguh gedegah gedeguh! Tersentak kami berdua bila bunyi itu tiba-tiba kedengaran memecah sunyi. Aku pandang ke tangga. Bunyi itu datang dari tingkat atas. Aku pasti dari ia dari bilik tetamu. Aku menoleh ke arah isteri, dia membalas pandangan aku, dan… walaupun tiada satu perkataan pun yang dituturkan, kami berdua setuju sesama sendiri.

Kami bersetuju untuk keluar meninggalkan rumah malam ni juga. Kami kena keluar untuk menjauhi apa jua yang sedang mengganggu ketenteraman rumah kami, serta untuk mencari jawapan.

Bersambung….

Ikuti FB Kamarul Ariffin Nor Sadan untuk ikuti sambungan cerita ini.

SHARE
Previous articleMADU
Next articleKARNIVAL KAMPUNG ALOR

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here