PINTU PAGAR PULANG VI

1
412

Baca episod 1-5 di sini: episod 1-5

“Tak boleh jadi!” getus aku separa berbisik.

Sukar juga kalau begini. Memanglah benda tu tak masuk rumah, tapi semakin menyeramkan pula gangguannya. Takkan nak duduk hotel lagi? Sampai bila? Mana mampu asyik ke hotel. Motel pun belum tentu mampu.

Akhirnya kami ambil keputusan untuk keluar dari rumah setiap malam jam 12-2 pagi untuk beberapa hari, sementara aku mencari ikhtiar lain. Aku ada cuba nak hubungi Badrul semula, tapi isteri aku macam tak berapa berkenan.

Sejujurnya aku fikir apa Badrul usahakan tu tak salah pun. Secara teknikal, betullah dia usir benda tu keluar dari rumah, cuma secara praktikal, ia tak selesaikan masalah kami. Apapun, oleh kerana isteri aku tak mahu, maka aku turuti sahaja.

“Kita panggil ustaz ke imamlah, you! Buat bacaan Yaasin ke apa, ” cadang isteri aku.

Tiada bantahan, tiada debat, seratus peratus setuju. Dalam keadaan macam ni, aku tak mahu tambah serabut dengan berbalah. Lagipun aku tak ada alternatif lain untuk diusulkan. Maka aku pun bertamu ke rumah Pak Latip, AJK masjid taman perumahan kami.

“Oh, boleh! Boleh! Bila kamu nak buat?” kata Pak Latip setelah aku memberitahu hajat aku untuk buat majlis bacaan Yassin di rumah aku.

“Hujung minggu ni boleh?”

“Hujung minggu? Lagi 2-3 je tu. Sempat ke?” tanya Pak Latip.

“Tak apa Pak Latip. Mana yang sempat sahajalah. Itu saja waktu yang saya boleh,” kata aku. Sebenarnya aku nak buat secepat mungkin, tapi tak mahu cerita sepenuhnya. Malas nak jawab. Malas nak disyak bukan-bukan.

“OK. Jumaat, boleh? Lepas isyak?” soal Pak Latip.

“Boleh, Pak Latip!” jawab aku.

“OK, nanti aku beritahu jemaah masjid.”

“Terima kasih, Pak Latip” kata aku lalu hulur tangan untuk berjabat.

“Sama-sama!” jawab Pak Latip sambil sambut tangan aku. Kemas dan tegap genggaman dia.

2-3 detik berlalu, dia tak lepaskan jabat tangannya. Aku tunduk dan lihat tangan aku yang masih dalam genggaman Pak Latip, kemudian mengangkat muka untuk lihat wajah Pak Latip. Dia tenung aku seperti ada sesuatu yang hendak diperkatakan.

“Ada apa-apa lagi ke Pak Latip?”

“Ni, aku nak tanya.” kat Pak Latip.

“Emmmm…tanyalah.”

Berdebar-debar jantung aku tunggu soalan dia. Gedebak gedebuk!

“Kau buat majlis ni sempena apa, ya?” soalnya sambil lepaskan tangan aku.

Alamak! Pak Latip ni pergi tanya soalan ni pula! Apa nak cakap ni? Kenduri arwah? Arwah siapa? Kenduri doa selamat? Kenapa? Ah bantai sahajalah!

“Majlis kesyukuran sempena saya naik pangkat!” jawab aku.

Eh bodohnya jawapan aku ni. Aku kerja sendiri kot. Apa bendanya naik pangkat pula. Malunya kalau Pak Latip tahu! Rasa nak ambil kopiah ats kepala aku lepas tu tutup muka.

“Oooowh! Tahniahlah kalau macam tu!”

“Terima kasih!”

“Ingkatkan sebab dah berjaya halau ‘benda’ tu?” kata Pak Latip.

Aku jadi akan terperanjat dengar apa yang dia cakap. Macam mana Pak Latip tahu? Ramai ke orang tahu?

“Bukan apa, sejak kebelakangan ni, benda tu dah tak menjelma depan rumah kau. Kalau tak, setiap malam benda tu datang. Macam mana kau uruskan? Si Badrul tu ke yang halau?” tambah Pak Latip. Semakin rancak pula dia menyoal.

“Sekejap, Pak Latip! Pak Latip tahu pasal perkara yang terjadi di rumah saya ke?” soal aku curiga.

“Eh mestilah tahu!” jawab orang tua tu.

“Pak Latip tahu dari mana? Dari Badrul ke?”

“Eh tak lah! Semua orang sini tahu pasal rumah kamu.”

“Semua orang tahu? Semua orang?”

“Ye lah! Siapa yang tak tahu. Dulu, masa kes tu berlaku. Kecoh satu taman. Lama-lama orang dah terbiasa. TAPI! Kalau suruh aku lalu depan rumah kau jam 1-2 pagi, tak mahu aku! Silap-silap mengikut dia ke rumah,” kata Pak Latip.

“Eh kes apa Pak Latip?”

“Eh kau tak tahu ke? Habis tu macam mana kau tinggal dalam rumah tu? Tak kena ganggu ke selama 2-3 tahun kau duduk situ?”

“Baru sebulan dua ni ada gangguan. Eh kes apa dulu yang berlaku?”

“Patutlah! Hairan juga aku kau boleh bertahan sampai 3 tahun dalam rumah tu. Selalunya, 2-3 bulan dah lari dah orang.” bebel Pak Latip.

“Eh cepatlah, Pak Latip! Ceritalah pasal kes tu!” kata aku sambil perbetulkan posisi duduk.

“Jap, aku suh Mak Siti kau buat air jap!” kata Pak Latip.

Selepas dia suruh isterinya buatkan minuman panas, dia pun bercerita. Tak sabar aku nak tahu pasal sejarah rumah yang aku diami tu. Rumah tu aku beli dari ejen hartanah. Rumah subsale. Tak ada pula ejen tu cerita apa-apa. Yang aku tahu, rumah dah siap renovate. Cantik dan harga berpatutan. Memang perfect!

Bila aku dengar cerita dari Pak Latip. Ternganga aku dibuatnya. Banyak juga persoalan terjawab. Banyak juga persoalan baru yang timbul. Ia pencerahan yang sangat diperlukan oleh aku ketika itu.

Menurut Pak Latip, pemilik asal rumah ni lelaki dari Singapura. Dia tinggal di sini kerana ada perniagaan. Satu malam tu, jiran-jiran terjaga sebab kedengaran siren di perkarangan rumah lelaki ni. Bila mereka jengah dari tingkap ada ambulans dan beberapa kereta polis peronda.

“Aku pun pergilah ke pegawai polis tu, tapi dia orang tak nak beritahu apa yang berlaku. Siap halau aku balik ke rumah. ” cerita Pak Latip.

Menurut Pak Latip, malam tu, orang nampak kereta lelaki tu keluar dari rumah, dan semua orang tak pernah nampak mereka kembali semula ke sana. Tak ada siapa tahu apa yang jadi dalam rumah tu pada malam berkenaan.

“Tapi aku suspek ada kematian sebab tak lama selepas ambulans beredar, Landrover polis pun sampai. Biasanya, kalau Landrover datang, maknanya ada mayat untuk dipindahkan. Ambulans tak akan angkut mayat.”

“Siapa yang mati Pak Latip?”

“Masa tu belum tahu lagi!” jawab Pak Latip.

Keluarga tu tak bergaul sangat dengan orang setempat. Lagipun, rumah tu biasanya didiami oleh lelaki tu sahaja. Keluarganya datang bila hujung minggu. Jadi orang tak kenal sangat ahli keluarganya. Tak tahu pun dia tinggal dengan siapa.

“Bila dah penat berteka-teki, orang dah mula malas nak ambil tahu, dan lama-lama kes tu dah senyap. Orang pun dah lupa pasal kejadian malam tu,” kata Pak Latip.

“Aik? Gitu je ending dia?” ujar aku.

Hambar gila! Nak aja aku mencarut! Nasib baik yang bercerita ni orang tua. Kalau tidak, memang aku dah sembur dah ni. Hish!

“Eh, kau ni! Belum habis lagi!” jawab Pak Latip sambil mengambil secawan teh-O dari atas meja, dan menghirupnya.

Bersambung…

Ikuti FB Kamarul Ariffin Nor Sadan untuk ikuti lanjutan kisah ini

SHARE
Previous articleASPURI
Next articlePEMAKAN DAGING 2/2

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here