PINTU PAGAR PULANG VII

2
409

Baca episod 1-6 di sini: episod 1-6

Orang dah lupa, dan meneruskan hidup masing-masing. Namun, pada suatu malam, beberapa bulan selepas peristiwa berkenaan, penduduk taman digemparkan dengan jeritan seorang perempuan. Datangnya dari rumah berkenaan.

Terpekik terlolong sehingga jiran-jiran semua menjadi risau, dan ketakutan. Rumah tu dah kosong, jadi suara siapa yang menjerit tu? Ada orang telefon polis, tak tahu siapa. Mungkin salah salah seorang yang kerisauan tu. Orang yang ketakutan pula, mula syak yang bukan-bukan, berspekulasi ia ada kaitan dengan kematian sebelum ni.

Bila polis tiba, jeritan tu masing berterusan. Pasa ketika itu dah hampir 1 jam perempuan tu menjerit-jerit. Tak ada sesiapa berani pergi periksa, sehinggalah polis datang. Ketika polis umpil pintu utama rumah, di hadapan pagar rumah berkenaan dikerumuni jiran-jiran yang curiga.

2 kereta peronda berkumpul.

Pintu terpaksa di umpil sebab ia berkunci dan tiada orang yang membukanya dari dalam, walaupun sudah berkali kali di ketuk. Pegawai polis juga gunakan pembesar suara untuk memaklumkan pada penghuni perkara itu— “Jika pintu tidak dibuka, kami akan masuk dengan cara paksaan.”

Makluman itu tidak diendahkan, tiada respon, jadi mereka teruskan rancangan mereka. Namun, langkah berjaga-jaga telah dia ambil. Beberapa orang pegawai polis tiba dengan kenderaan biasa, tanpa lencana. Polis bantuan barangkali. Beberapa pegawai kepung rumah. 2 orang pegawai masuk ke dalam.

Kedengaran suara pegawai yang masuk itu memekik arahan dan amaran. Namun, ia disusuli dengan suasana sunyi. Lampu suar merah dan biru sahaja yang mencemari suasana malam itu. Semua orang jadi berdebar-debar apabila sayup-sayup kedengaran suara orang menangis teresak-esak.

“Argggghhhh!”

Jeritan pula memecah kesunyian, dan senyap semula. Tak lama lepas tu, salah seorang seorang pegawai polis yang masuk ke dalam rumah tu, keluar dari pintu utama dan memberi arahan pada rakan setugasnya yang berada di luar, — “Panggil ambulans! Panggil ambulans! ”

Ada dua orang perempuan mengekorinya keluar. Pegawai itu membawa mereka ke arah kereta peronda. Pintu belakang kereta peronda dibuka. Perempuan itu masuk ke tempat duduk belakang. Kedua-duanya kelihatan ketakutan. Pegawai itu tunduk, jengah di bukaan pintu dan berkata sesuatu. Mungkin mententeramkan mereka. Seusai itu, pintu kereta ditutup.

“Dekat atas ada seorang lagi, dia tak sedarkan diri! Tuan Mazlan dekat atas dengan dia.” kata pegawai tu pada rakannya.

“Ada berapa orang dalam rumah tu?” soal rakannya pula.

“Dua.”

“Dua? Macam mana boleh dua? Satu dekat atas! Dua kau bawa keluar. Tiga lah!”

“Aku bawa seorang je.”

Mereka saling berpandangan. Pintu belakang kereta peronda tadi dibuka semula. Mereka periksa. Seorang. Ternyata ada seorang sahaja. Pada mulanya, mereka anggap ia kesilapan salah seorang dari pada mereka. Hakikatnya, ada lagi saksi nampak pegawai yang keluar dari rumah tadi, bawa dua orang perempuan keluar.

Meremang aku dengar.

“Siapa lagi nampak?” soal aku pada Pak Latip.

“Aku nampak. Beberapa lagi orang yang berkerumun di luar pagar pun nampak.”

“Semua orang nampak, kecuali pegawai yang bawa keluar tu?”

“Tak juga. Bukan semua. Ada juga yang nampak seorang je.”

“OK OK, sambung balik cerita. Apa jadi pada perempuan dalam rumah tu?” kata aku.

Rupa-rupanya, rumah ni disewakan pada 2 orang perempuan ni. Mereka baru masuk dalam 2-3 hari. Pada malam tu, salah seorang daripada penyewa tu turun ke dapur, tiba-tiba masa nak semula ke atas, dia menjerit-jerit.

Kawan dia tanya kenapa, tapi dia terus-terusan menjerit. Kawan dia jadi ketakutan, dan tak tahu nak buat apa. Kawan dia, masuk dalam bilik dan mengurung diri di dalam tu. Apabila pegawai polis masuk, mereka lihat perempuan yang menjerit tu sedang duduk di tangga sambi menekup muka dan menangis.

Pegawai polis tegur perempuan di tangga tu.

Perempuan itu dongak dan terus menjerit apabila terlihat dua orang pegawai polis berkenaan. Lepas itu perempuan tu terus pengsan. Salah seorang polis pergi lihat keadaan perempuan tu. Nampak tak ada kecederaan yang nyata, cuma nafas dia laju.

Lepas tu dia orang dengar ada orang nangis dalam bilik. Masa periksa bilik itu, mereka jumpa penyewa kedua dengan duduk atas katil sambil menangis.dengan mulut ditekup dengan tangan. Perempuan yang di di dalam bilik ni terus diiring keluar oleh salah seorang pegawai, manakala seorang lagi pegawai sambung pantau keadaan perempuan yang pengsan tadi.

“Penat pula bercerita. Panjang sangat dah ni. Aku pendekkan boleh?” kata Pak Latip.

“Elok juga tu,” kata aku.

Berlegar khabar angin perempuan yang terjerit-jerit ni jadi begitu kerana diganggu oleh roh orang yang mati dalam rumah tu. Bila polis datang, benda tu keluar dari badan perempuan berkenaan, dan apabila pegawai tadi bawa keluar salah seorang perempuan yang ada dalam rumah, benda tu ikut keluar. Sebab tu ada orang nampak dua orang perempuan yang keluar.

“Jap, semua cerita yang Pak Latip cerita ni, berdasarkan khabar anginlah?” soal aku.

Pak Latip diam.

Aku angguk.

“Entah-entah semua orang kata nampak, tapi sebenarnya tak nampak…” gumam aku.

Aku sebenarnya ragu-ragu nak berkata begitu, tapi entah kenapa terlepas juga.

“Wallahualam, tapi semua orang yang mengaku nampak dua orang tu sebut bendqa yang sama. Seorang perempuan pakai baju t-shirt dan seluar track, dan seorang lain pakai baju gaun putih yang pendek. Aku pun nampak begitu, tapi…” jelas Pak Latip.

Tergamam aku.

Keraguan aku terus hilang. Gaun putih yang pendek. Tiga perkataan ini sudah cukup buat aku percaya. Perincian itu cukup selari dengan apa yang aku dan isteri aku nampak. Kami pula tak ada cerita pada sesiapa perkara ini kecuali pada Badrul.

“Tapi khabarnya perempuan yang dibawa keluar tu kata tak ada orang dalam rumah tu yang pakai gaun putih.”

“OK, lepas tu apa lagi jadi?”

“Lepas tu, perempuan yang pengsan tu di bawa ke hospital. Tak pasti apa jadi pada perempuan satu lagi. Yang aku tahu, dua-dua berhenti menyewa di rumah tu. Peristiwa itu menguatkan lagi desas-desus pasal misteri di rumah puaka tu,” kata Pak Latip.

“Pak Latip ni panggil rumah aku ‘rumah puaka’ ke? Itu ke orang sini panggil rumah aku?” bisik hati aku.

“Lepas-lepas itu ada lagi orang menyewa. Selalu tak lama. Seminggu dua aja. Paling lama, kalau tak silap aku, bangla yang kerja dekat potong rumput kawasan sini. 5 orang, lelaki semua. Bertahanlah 2-3 bulan,” sambung Pak Latip.

“Dia orang keluar sebab kena kacau ke?” soal aku.

“Tak pernah pula tanya, tapi rasanya sebab gangguanlah kot,” sambung Pak Latip.

Aku angguk-angguk.

“Itulah yang aku pelik macam mana kau bertahan lama. Lagi-lagi, bila kau masuk, tiba-tiba benda tu selalu muncul depan rumah kau! Sampai lenganglah jalan ni kalau pukul 1 pagi,” ujar Pak Latip.

“Tapi bagus juga. Kalau tak, pukul 1-2 pagi, budak-budak ni masih merempit. Nak tidur pun tak boleh. Ni benda tu dah tak ada, nanti merempit balik ah dia orang tu,” tokok dia.

“Maksud Pak Latip, memang sebelum ni semua orang pun nampak perempuan gaun putih depan rumah saya?”

“Tak semua orang, tapi ramai nampak. Jadi semua orang tak beranilah lalu situ malam-malam. Ha, kau belum jawab lagi macam mana kau halau benda tu dari depan rumah kau!” soal Pak Latip.

“Sebenarnya Pak Latip, kami tak berjaya halau pun. Benda tu dulu di luar pagar, tak pernah masuk rumah. Sekarang ni dah masuk rumah,” jawab aku jujur.

“Ish! Maksudnya benda tu tak ada di jalan raya tu sebab dia masuk rumah dan sebab itu kau nak buat bacaan Yaasin?” tanya Pak Latip.

“A’ah!”

“OK. Boleh, tapi…”

Aiseh,ada tapi pula si Pak Latip ni.

“Tapi, biar aku beritahu kau siap-siap. Dulu dah pernah cuba buat majlis bacaan Yasin dalam rumah tu. Masa tu salah seorang penyewa tu yang nak buat. Tapi itulah, lepas seminggu, penyewa tu pindah keluar,” katanya.

Itu berita yang aku tak bersedia untuk dengar. Hancur harapan aku. Kalau cara tu tak boleh, apa lagi yang boleh?

“Tak apa, kita ikhtiar sekali lagi. Manalah tahu kali ni menjadi” kata Pak Latip. Memujuk aku barangkali.

Hari Jumaat tiba, sangat ramai yang hadir. Sebagai tuan rumah, gelabah juga aku nak layan semua tetamu. Apapun, majlis berjalan lancar, namun sepanjang majlis berlangsung, aku tak henti-henti doa agar diberi perlindungan dan mengharap perkara ini akan selesai.

Pak Latip ada jemput seorang ustaz. Beliaulah yang mengetuai majlis. Di penghujung majlis itu, ustaz berkenaan beri sedikit tazkirah. Katanya, ada perkara menghantui kita kerana kita berpegang padanya.

“Ada perkara, ia sentiasa mengikuti kita kerana kita sendiri pikul dia di pundak kita. Jika ia perkara perkara yang menjauhkan kita dari Tuhan, maka buanglah perkara itu. Jangan bawa lagi. Buang jauh-jauh. Lupakan.” katanya.

“Ia akan mengejar kita, menyuruh kita gendong ia semula, tapi jangan turuti. Itu sifat dia, sentiasa ingin bebankan kita, terutamanya jika kita menuju jalan kepada Tuhan.”

Panjang juga tazkirahnya.

“Saya mahu, semua orang lupakan apa sahaja syak wasangka kita yang timbul hasil dari fitnah, dari khabar angin, dari desas-desus! Semua itu hanya berdasarkan andaian, kan?” katanya dalam sebahagian ucapannya.

Aku rasa Pak Latip ada beritahu hal sebenarnya padanya, tapi ustaz ni cuba sampaikan pesanan dia secara berhikmah dan subliminal. Aku yakin ramai boleh tangkap hal itu, sebab Pak Latip kata hampir semua orang tahu perihal “rumah puaka” aku ni, dan mereka semua tahu perkara itu dari cakap-cakap orang.

Apapu, debaran yang aku alami memuncak apabila jemaah sudah menjamu selera, dan seorang demi seorang beransur-ansur pulang. Tetamu terakhir yang meninggalkan aku adalah Pak Latip. Ketika itu jam 10 malam.

“InsyaAllah, perkara ni boleh selesai” katanya sebelum meminta diri.

Gelisah. Tak senang duduk aku menunggu jam berdetik ke pukul 1 pagi. Isteri aku banyak kali suruh aku duduk sebab aku asyik mundar mandir di ruang tamu. Butir-butir peluh menitis dari pelipis.

Akhirnya, masa yang digeruni pun tiba. Jam 1 pagi.

Angin menderu-deru di luar rumah. Kersik kersik bunyi daun-daun bergeser pohon ditiup angin turut kedengaran. Bersama angin itu, bau hujan pun bertamu. Aku hanya berdiri, isteri aku duduk di sofa dengan kakinya dia naikkan, paha rapatkan ke dada.

Deruan angin kedengaran, masuk melalui celahan tingkap dan pintu. Aku rasa macam aku dengar suara, tapi isteri aku kata itu hanya bunyi deruan angin. Mungkin aku sahaja yang anggap yang bukan-bukan, atau minda aku bermain helah dengan aku.

Hujan rintik-rintik mula turun. Detak hujan menderu di bumbung dan lantai. Masa berdetik melepasi jam 1.30 pagi. Suhu mulai turun. Tiada perkara tidak diingini berlaku. Selain hujan dan angin, semuanya tenang sahaja. Maka debaran hati aku pun mulai larut bersama hujan malam itu.

Alhamdulillah. Segala dah selesai. Semoga kali ini, untuk selamanya.

Isteri aku akhirnya mampu tersenyum setelah beberapa bulan berkerut dahi. Walaupun begitu, tak pernah tak cantik. Apatah lagi jika tersenyum. Cuma, wajahnya seperti… lain sedikit. Muda. Terlalu muda.

TAMAT!

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here