POKOK BESAR

0
989

POKOK BESAR.
KARYA : ARIL NAJMI

Ini kisah benar yang diceritakan kepada aku dari kenalan aplikasi Wattpad. Kisah ini berlaku di salah satu daerah di utara Malaysia. Cerita yang dihasilkan ini mempunyai sedikit tokok tambah yang tidak logik untuk menghairahkan suasana penceritaan agar tidak bosan dan mungkin menyeramkan(?) Berlatarkan tahun sekitar 2011, ‘Aku’ dalam cerita ini merujuk kepada kenalan aku itu, Hana (Bukan nama sebenar).
***
Papa aku telah mengusahakan sebuah kedai makan. Dengan bantuan Maksu, adik papa, yang mahir dengan selok-belok tentang masakan ni, membuatkan kedai makan papa sangat laris. Setiap hari mesti ada pelanggan yang berpusu-pusu datang. Sampai papa tak menang tangan untuk melayan mereka.
Setahun lebih aku membantu papa di kedai itu. Tapi disebabkan terdapat kekangan masa sambung belajar, telah memaksa papa mencari penganti untuk menolongnya. Mudah untuk papa mencari pekerja baru, akan tetapi yang peliknya, pekerja baru papa bersilih ganti. Tidak pernah kekal. Bila sudah dapat pekerja baru, tidak sampai dua hari sudah meminta untuk berhenti kerja. Memang tak pernah hendak kekal. Mungkin paling lama bertahan pun dalam seminggu. Lepas itu terus lesap. Hilang. Lari.
Papa pun tak tahu nak buat apa lagi. Pening nak mencari pekerja baru yang boleh kekal lama. Pelanggan makin ramai, tapi kalau dia seorang sahaja yang uruskan mahu boleh pengsan gamaknya. Aku mula kesian dengan papa. Aku pun tak tahu kenapa boleh jadi macam tu.
Tapi, tak lama kemudian barulah aku tahu kisah sebenarnya. Itu pun aku curi mendengar perbualan papa dengan seorang pakcik tua berkopiah.
“Hang tau dak mansor, malam kemarin aku nampak pekerja baru hang tu, si Ali kelam-kabut lari keluaq dari belakang kedai hang tu. Sikit lagi nak eksiden dengan aku. Bila ditanya, mengah dia nak bagitau. Tapi bila pi toleh kedai hang balik, dia belah lagu tu ja. Tak dan aku nak tau apa masalah dia tu.”
“Haih.. jadi lagi. Patut tak mai haghi ni. Baru masuk dua haghi gheja dia tu. Jangan dia pun dok nak beghenti dahlah. Haiih.” Jawab papa lemah.
“Sebenaq-nya, apa yang ada belakang kedai hang tu sor? Habaq mai kat aku.” Pakcik berkopiah itu menghembus rokoknya ketepi sambil menunggu jawapan papa. Papa macam gelisah. Terasa berat hendak ceritakan.
“Lagu ni haji. Masa mula-mula saya beli kedai ni, dalam kedai ni banyak sangat kertas pemujaan nombor ekoq. Lilin, colok sampaikan bangkai ayam yang dah tinggai tulang pun ada dalam tu. Kotoq sangat. Lagi tambah pelik, hat mana bila ada satu patung pelik berwarna merah dekat situ. Macam bentuk setan! Saya syak ini mungkin patung yang depa puja. Saya teruih buangkan nya kat belakang kedai.” Papa menghela nafas sebelum menyambung. Pakcik tua berkopiah itu masih kusyuk mendengar sambil sibuk menyedut asap nikotin pada rokoknya itu.
“Saya buatlah sikit nnughi doa selamat sempena pembukaan kedai makan saya ni. Saya ingat lepaih buat kenduri tu semua dah okay dah. Tapi saya silap. Ya, hat awai-awai memang tak ada gangguan yang datang, tapi hat mana lepaih setengah tahun saya niaga, tiba-tiba benda tu muncul menganggu bisnes saya. Orang pertama kena gangguan, adik saya, si Som tu.” Papa berhenti sejenak. Memandang maksu yang sedang kyusuk memasak di dapur.
***
Kisah maksu.
Malam jumaat, macam malam biasa maksu akan mengemas dapur sebelum pulang ke rumah. Sedang sibuk menyapu sampah sambil menyanyi, terdengar suara orang ikut menyanyi bersama. Betul-betul di belakang kedai. Merdu. Lebih merdu dari suara maksu.
Dia cuba mengintai dari tingkap. Jelas kelihatan susuk perempuan berjubah putih sedang duduk di dahan pokok besar belakang kedai itu. Makhluk itu menyanyi sambil diselang-selikan bunyian ketawa darinya. Meremang!
Maksu dah menggeletar tapi badannya langsung tak boleh berganjak. Tiba-tiba kepala makhluk tersebut berpusing 180 darjah tersenyum memandang maksu yang sedang mengintainya. Wajahnya tersangat hodoh. Bernanah-nanah sana sini. Alis matanya berwarna merah penuh. Ngeri!
Mengilai-gilai makhluk itu melihat maksu yang masih tidak boleh untuk bergerak. Sampailah papa datang, tepuk bahunya barulah dia tersedar. Menggeletar teruk maksu waktu itu. Belum sempat berbuat apa-apa, maksu langsung pengsan. Demam seminggu.
***
“Seminggu dia demam, seminggu itulah saya tak bukak gerai saya. Yela, dialah satu-satunya tukang masak kat kedai makan ni. Kalau dia takdak, sapa lagi nak masak? Saya? Memang jahanamlah.” Kata papa mengekek ketawa. Entah apa yang menghiburkan.
“Jadi, hang ada buat apa-apa dak?”
“Nak buat lagu mana? Semua benda saya dah buat. Panggil ustaz tak jalan. Bomoh tak lut. Yassin beramai-ramai pun dah. Hasilnya? ‘Dia’ ada jugak duduk hat belakang tu.” Papa menggelengkan kepala. Nyata kekusutan pada wajah tuanya itu. Pakcik itu masih menghembuskan asap rokoknya. (‘Dia’ merujuk pada makhluk ngeri tersebut.)
“Hmm.. hat nilah. Aku ada sepupu. Dia bukan ustaz bukan juga bomoh. Tapi kalau nak berubat dia mungkin boleh tolong.” Pakcik itu memberi cadangan. Papa tenung lama memandang lantai seramik di bawah.
“Ikut suka hajilah.”
***
“Tang bila makhluk tu selalu mai sor?” Pakcik tua berkopiah putih bertanya. Saat ini kami semua berkumpul di meja kedai makan. Lebih kurang pukul 9.00 malam kami sudah berada di situ.
“Dalam pukui 12 lebih kot haji. Sebab Som dengan yang lain pun terkena gangguan waktu-waktu tu.” Papa memadang maksu dan para pekerja lain. Mereka hanya mengangguk setuju.
“Boleh hangpa suma habaq kat ceq dak lagu mana hangpa boleh kena kacau?” Sepupu pakcik tua bernama Amran itu bertanya lembut. Papa menyuruh maksu bercerita dulu. Beria maksu menceritakan pengalaman dia sewaktu kena gangguan. Pakcik Amran hanya mengangguk tak menyampuk. Tamat cerita maksu, Ali menyambung pasal pengalamannya pula.
“Waktu tu saya hisap rokok dekat belakang kedai.” Ali memulakan kisahnya.
***
Kisah Ali.
Jam dah merujuk pukul 1 pagi. Pelanggan sudah berkurang. Ali mengambil kesempatan menghisap rokok di belakang kedai. Sambil-sambil menghirup udara malam yang menyegarkan.
Sedang enak menyedut nikotin, dia terdengar bunyi seakan daun kering yang dipijak. Dia memandang ke arah bunyi tersebut. Tidak jauh dari tempat dia berdiri, Ali ternampak jelas kelibat berbaju putih berhampiran pokok besar tersebut.
Makhluk itu berjalan mengelilingi pokok besar itu beberapa kali. Dan kemudiannya dia berhenti. Badannya berpusing menghadap posisi keberadaan Ali lalu terus menghilang.
Ali kaku. Otaknya sudah sedikit mereng. Tak pasti apa yang dinampaknya itu benar atau bayangan. Tiba-tiba telinganya dibisikkan sesuatu.
“Tengah intai kita ye bang? Hik hik!”
Ali menoleh ke kanan. Berderau darahnya pabila melihat gerangan suara tersebut!
***
“Masya-Allah tok! Muka dia.. muka dia bernanah teruk. Sama macam hat Maksu habaq tadi. Meleleh-leleh nanahnya. Dah lagu tu saya teruih belah balik ke rumah. Tak dan nak habaq kat bos. Sorry bos. Saya takut sangat. Ngeri!” Panjang lebar Ali bercerita. Aku yang mendengar ni pula yang terasa takut.
“Saya dua kali dah jumpa. First kena takdaklah seriau sangat. Saya cuma nampak hat bayang dia ja kat pokok nun. Itu pun saya ingat khayalan saya ja. Tapi, hat kedua nilah yang buatkan saya lemah. Seram nokharom. Heww!” Manaf, pekerja yang paling lama bekerja dengan papa mula bercerita.
***
Kisah Manaf.
Manaf suka stayback sampai kedai tutup. Selalunya memang dia yang akan tutup kedai. Sekitar kedai itu banyak kucing berkeliaran. Manaf sukakan kucing. Jadi, dia selalu berikan makanan seperti nasi dan sedikit lauk ikan lebihan makanan hari itu pada kucing di belakang kedai.
Waktu dia sedang menutup pintu dapur belakang, dia terdengar bunyi seperti seseorang sedang makan dengan gelojoh.
Gaupp.. Krup.. Ngap..
Manaf fikir mungkin ada kucing besar yang sedang makan. Dia cuba intai dari tingkap, tak nampak apa-apa. Manaf pun keluar ikut pintu belakang. Dilihatnya lauk ikan dan nasi berterabur di lantai.
Tidak jauh dari situ, kelihatan sosok tubuh wanita berambut panjang sedang mencangkung membelakanginya. Perlakuan wanita itu seakan sedang memakan sesuatu. Sesuatu yang bertulang. Dengan rakus!
Krup.. Krap..
Berbunyi-bunyi tulang apabila digigit wanita beramput panjang itu. Manaf jelas nampak meleleh-leleh darah jatuh ke lantai. Banyak.
Manaf memberanikan diri menegur. “Err.. awak siapa? Makan apa tu?” Wanita itu tidak menjawab. Malah makin kuat bunyi kunyahan tulangan.
“Err.. awak..?”
“Huh!” Wanita itu berpaling sedikit. Manaf masih tidak nampak jelas wajahnya sebab masih ditutupi dengan rambutnya yang panjang. Tapi rambutnya itu juga ada lelehan darah. Mungkin darah terpancut terkena pada rambutnya sewaktu sedang makan tadi.
“Awak makan ap.. apa tu? Lapaq..? Sa.. saya boleh bagi makan.”
Wanita berambut panjang itu berhenti mengunyah. Dicampaknya sesuatu ke kaki Manaf. Mungkin makanannya tadi. Manaf melihat makanan itu. Seperti bangkai haiwan. Terbelah badan bangkai tersebut. Isi dalamnya hilang, mungkin sudah dimakan. Berkaki empat siap berekor. Cuma kepalanya tiada. Mungkin sudah disembelih. Manaf berfikiran positif. Tapi bangkai haiwan apa?
Perlahan satu objek bergolek kemudian berhenti tepat di kasutnya.
Ohh my…
Ke.. kepala kucing!?
Manaf menggeletar. Perlahan dia mendongak melihat sosok wanita mencangkung itu. Ditelan air liurnya. Payau.
Wanita itu ketawa mengumam. Perlahan-lahan kepalanya berpusing 180 darjah memandang Manaf. Manaf mahu menangis. Tidak tertahan melihat muka hodoh wanita itu. Nanah memenuhi ruang wajahnya. Bercampuran nanah dan darah meleleh jatuh ke lantai.
“Tadi abang kata nak belanja kita makan kan..? kita nak makan abang boleh..? Hik hik hik!” Wanita itu mengilai kuat. Manaf mengambil kekuatan berlari masuk ke dalam kedai semula. Dikunci lalu bersandar pada pintu tersebut.
Dia tertunduk memeluk kedua lutut. Menangis dia ketakutan. Mulutnya tidak mampu mengucapkan sepatah pun ayat suci Al-Quran. Cuma boleh menangis sahaja. Diintainya pada tingkap. Makhluk itu berulang-alik melintasi di tingkap tersebut.
“Abang janganlah menyorok.. keluarlah.. Hik hik!” Ucap wanita itu deselang-seli dengan hilaian seramnya. Manaf tidak tahu hendak berbuat apa. Kakinya tidak mampu hendak melarikan diri.
Tidak lama kemudian, hilaian tersebut berhenti. Jeda seketika. Manaf sedikit lega. ‘Mungkin sudah hilang.’ Fikirnya.
Tiba-tiba, pintu diketuk kuat. Kuat sangat. Seakan mahu tercabut pintu papan itu. Diketuk bertalu-talu dari luar. Kedengaran lagi suara makhluk berambut panjang itu menjerit. Seakan marah!
“Buka! Buka kau sekarang! Aku mahu makan..! Aku lapar..! Buka..!”
Jerkahan wanita itu membuatkan Manaf terkencing di dalam seluar. Bertambah hebat getaran badannya. Basah mukanya bercampuran peluh dan air mata ketakutan. Tidak pernah dia ketakutan seperti ini. Dalam fikirannya hanya muncul ayat ‘Mampuihlah aku!’.
Pintu berhenti mengetuk. Jeda lagi. Manaf tahu mungkin ‘dia’ akan mucul lagi. Dia menekap mukanya ke lutut.
Hembusan nafas betul-betul di tepi telinga kirinya. Manaf tersentak. Dia tidak mahu menoleh. Tapi kepalanya tidak mengikut kata hati. Dipusingnya ke kiri.
What th…
Betul-betul mukanya berhadapan dengan wajah bernanah itu. Lelehan nanah itu jatuh ke muka Manaf. Wanita itu menyeringai.
“Kau memang akan mati nanti.. hik hik!”
Kelam dan gelap.
***
“Esoknya sedar-sedar saya dah ada kat surau. Depa habaq saya meracau-racau masa jumpa saya. Tapi saya betui tak sedaq-kan diri. Memang pengalaman yang tak dan saya nak lupakan sampai mampuih.” Manaf tertunduk ke bawah. Dipejam mata kuat cuba menghilangkan memori itu.
“Hang tak pernah kena pula?” Pakcik Amran memandang papa. Papa menggeleng kepala.
“Tak pula, itu yang saya pelik tu. Depa kena tapi saya tak pernah.”
Saat berbincang, kedengaran alunan nyanyian muncul dari belakang kedai.
Sayu. Pilu. Syahdu. Dan menyeramkan.
“Malam ini..
sunyi sepi..
kau terlena..
dalam mimpi..

kau tersenyum..
kedamaian..
menikmati..
cinta kita..”

Aku mengosok belakang leher. Meremang mendengar suaranya. Kami bertujuh bergerak ke dapur kedai. Cuba mengintai dari tingkap. Kelihatan susuk wanita rambut panjang berjubah putih sedang duduk di salah satu dahan pada pokok besar tersebut. Berayun-ayun kakinya menyanyikan lagu seram itu.

“malam ini..
sunyi sepi..
bermimpilah..
tentang cinta..

ku ingin selalu..
bersamamu..
di sisimu..

slamat malam..
oh cintaku..”

(Selamat Malam ; Vina Panduwinata)

Habis lagu itu, ‘dia’ terdiam. Dan ya, 180 darjah kepalanya berpusing memandang kami yang masih lagi memerhatikannya di tingkap. Kemudian lembaga itu mengilai ketawa.
Ya! Mukanya bernanah teruk. Ngeri! Seram! Geli!

Aku rasa nak pitam bila melihat makhluk itu menyeringai. Ya Allah! Lagi hodoh dari apa yang aku bayangkan
.
“Apa yang kalian mengintai? Mengintai kitakah?”

Terkumat-kamit mulut pakcik Amran membaca sesuatu. Dia keluar ke belakang kedai berhadapan dengan pokok besar. Kami mengikutnya dari belakang. Pakcik Amran mengenggam kuat tasbih.

“Assalamualaikum hamba Allah. Sedap hangpa nyanyi naa. Lagu apa tu? Hehe..” Nampak mengarut bukan? Tapi itulah permulaan dialog antara pakcik Amran dengan makhluk berambut panjang itu.

“Sebenarnya kalian mahu apa? Beramai-ramai datang ke mari. Mahu musnahkan kita?” Balas makhluk itu sinis. Dijelingnya tajam pada pakcik Amran.

“Eh dak aihh.. Saja mau berteguq sapa dengan hang.” Pakcik Amran masih lagi tenang berbasi basa. Cuba mengambil perhatian hantu tersebut padanya.

“Kalian ingat kita tak tahu. Kalian nak hapuskan kita dan nak ambil alih tempat ini bukan?” Kepalanya berubah seperti sedia kala semula memandang ke depan.

“Sampai hati kalian buat kita begini. Kita tak pernah kacau kalian. Kita cuma mahu menumpang duduk saja di sini. Adakah salah?” Lembaga itu menangis. Mendayu-dayu.

“Tapi bukan hang ka yang ganggu depa suma ni dulu? Hang yang saja sakat depa kan? Pasaipa hang kata kami pula yang kacau hang?” Jerkah pakcik Amran. Makhluk itu masih menangis.

“Haa jawablah! Teriak pasaipa? Hang yang sakat depa dulukan? Baik hang keluaq dari sini. Kalau tak teruk aku pelangkung hang. Jangan cari pasai ngan aku naa..!”

Lembaga itu menoleh. Tajam merenung muka pakcik Amran. Seakan marah.

Dia terapung. Memandang kami semua. Maksu dah memeluk aku kuat. Ali dan Manaf berlindung di belakang papa. Pakcik Amran dan pakcik tua berkopiah itu masih kekal berdiri tegak di depan.

“Mereka yang ganggu hidup aku dulu! Mereka yang buat aku muncul untuk sakat mereka! Bukan salah aku. Arghhh!!” Lembaga itu terbang menyerang kami. Berterabur kami melarikan diri masuk ke dalam kedai semula. Aku menangis ketakutan. Maksu peluk aku dengan erat. Cuba untuk menenangkan aku. Ali dan Manaf sudah menyorok di bawah meja. Hanya papa, pakcik tua berkopiah dan pakcik Amran sahaja yang ada diluar. Cuba untuk menumbangkan kebongkakkan hantu itu.

Aku mengintai dari tingkap. Ayah sudah tertiarap kesakitan. Bercalar-calar mukanya dicakar pontianak tersebut. Pakcik tua berkopiah sudah terlentang kepenatan. Hanya pakcik Amran masih berdiri membaca sesuatu. Pelik sebab pontianak itu langsung tak boleh hendak mendekati pakcik Amran.

“Mungkin aku tak boleh dekati kau. Tapi aku boleh kacau dia kan? Hik hik!” Dia menjeling padaku. Aku gugup. Mata merahnya tajam memandang aku.

“Hana! Pergi pada maksu!” Jerit papa. Aku tersentak. Tapi kaki aku tidak boleh digerakkan. Seakan digam. Makhluk itu mendekati aku. Perlahan-lahan sambil tersengih. Aku cuba untuk memejamkan mata. Tapi mata aku tetap berkeras untuk terus memandangnya. Saat semakin hampir, lembaga itu hilang. Lega sekejap.

Tapi malangnya kelegaan aku hanya sementara. Saat aku hendak menoleh pada maksu, wajah pontianak itu muncul berdepan dengan wajah aku. Sangat hampir. Hangat terasa hembusan nafas busuknya mengena di wajah aku. Bising keadaan dalam dapur waktu itu dengan jeritan.

Badan aku hebat menggigil. Adrenalin bergerak laju. Air mata makin hebat merembes. Saat dia menyergah, kaki aku lembik. Aku jatuh. Akhirnya semua jadi gelap.

***

Muka dibasahi air. Cuba membuka mata perlahan-lahan. Kepala sedikit pening. Setelah celik, aku lihat semua orang berkumpul disekeliling. Papa terus memangku kepala aku. Dipeluk sekuat hati.

“Syukur hang dah sedaq. Ada luka dak? Sakit?” Papa bertanya cemas. Aku hanya menggeleng.

“Kita ada dimana? Mana hantu tu?”

“Kita semua dah selamat nak. Hantu tu dah hilang dan takkan ganggu kita lagi sayang.” Bertalu-talu papa mencium dahi aku. Sayang sungguh papa pada anak daranya ini.

“Lepaih ni, hangpa jangan buat naya lagi naa.. Jangan bangkitkan dia lagi. Jangan kacau tempat dia lagi. Dia buat gheja dia, hangpa buat gheja hangpa. Paham dak?” Serius pakcik Amran berkata. Matanya tajam memandang Maksu, Ali dan Manaf. Mereka hanya mengangguk kesal.

“Ceq balik dulu naa.. Kalau jadi lagi, hangpa roger-roger ja ceq. Insya-Allah ceq akan tolong mana yang mampu. Assalamualaikum.” Pakcik Amran beredar bersama dengan sepupunya itu. Kami hanya menghantarnya dengan pandangan.

Selepas kejadian itu, kedai kami berjalan seperti sedia-kala. Tiada lagi gangguan yang muncul. Pekerja papa juga makin bertambah. Tiada lagi yang hanya bekerja sehari dua, kemudian berhenti. Sudah tidak ada. Aku kadang-kadang kalau pulang bercuti, aku akan tolong papa di kedai.

Hantu itu betul-betul hilang ke? Oh tak. ‘Dia’ masih ada menghuni di pokok tersebut. Menurut papa, sebenarnya pakcik Amran sudah buat perjanjian dengan hantu itu.

‘Jangan kacau tempat kami mencari rezeki lagi jika kami tak menganggu tempat hangpa.’

Itu sahaja. Mudah kan?

Kata pakcik Amran, kita memang tidak boleh buat perjanjian dengan syaitan. Tetapi itu memang tempat ‘dia’ dari dulu, kita tidak boleh menghalau. Biarkan ‘dia’ di tempatnya, kita ditempat kita. Jadinya, tiada masalah akan berlaku jika kami tidak melanggar perjanjian tersebut.

Kenapa dia kacau sebelum ini? Semuanya disebabkan sikap kami sendiri yang menganggunya dahulu. Eh bukan kami. Maksu, Ali dan Manaf yang menggangu tempatnya dulu.
Maksu pernah membuang plastik yang sarat dengan sampah berkali-kali di pokok tersebut. Habis kotor persekitaran pokok besar itu.

Ali pernah membuang air kecil di pokok itu. Papa kata selamat hantu tu tak buatkan si Ali punya ‘tut’ jadi bentan teruk. Kalau tak naya tak boleh nikah.

Manaf pula? Haihh boleh pula dia menurun nombor ekor di situ. Patutlah pun kena gangguan paling teruk. Padan muka. Buat kerja khurafat tu lagi. Tapi Alhamdulillah lah dia dah sedar. Mereka pun dah berjanji bersaksikan Tuhan tidak akan buat perkara-perkara itu lagi dihadapan pakcik Amran, papa, pakcik tua berkopiah, hantu itu dan diri mereka sendiri.

Sekarang, kami masih lagi berniaga di situ. Pokok besar itu juga masih ada lagi di belakang kedai. Teguh berdiri di situ. ‘Dia’ pula tidak pernah menganggu kami. Mungkin dia patuhi perjanjian itu. Tapi dah nama pun syaitan kan? Bukan boleh percaya sangat dengan kata-katanya tu!

Mungkin suatu masa nanti, ‘dia’ sendiri yang akan melanggar perjanjian tersebut. Wallahualam.

-END-

SHARE
Previous articleDI TASKA ITU
Next articleNAFSU TAK PERNAH TUA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here