RAHSIA BUKIT JERNIH

0
1870

RAHSIA BUKIT JERNIH
Karya: Dikmang

===================

Gambar ni ditangkap semasa aku dan kawan-kawan aku (team paranormal Perlis) melakukan aktiviti paranormal di satu kawasan rekreasi yang agak terkenal di Perlis. Sebelum melakukan aktiviti, kami telah meminta kebenaran dan menulis surat kepada JKK kampung di situ.

Aktiviti kami bermula pada pukul 12 malam. Kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang rata-ratanya mempunyai 2 orang ahli. Ada yang jugak yang memilih untuk bergerak secara bersendirian.

Sepanjang penelusuran secara berdua, ada yang melihat bayang hitam. Ada yang mendengar bunyi seperti diikut dari belakang. Ada yang melihat dahan kayu besar bergoyang kuat. Manakala aku pulak melihat satu bayang hitam sebesar meja batu muncul secara tiba-tiba di depan aku.

Selepas 30 minit berkeliaran, kumpulan aku diikut oleh seekor kelip-kelip. Ada yang mengatakan langsuir boleh berubah menjadi kelip-kelip. Sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan yang tahu.

Kawan aku dah mula rasa tak sedap hati dengan kehadiran kelip-kelip tu. Yelah, ke mana kami pergi dia ikut. Akhirnya dengan sekali nafas, kawan aku tangkap gambar kelip-kelip tu dengan menggunakan kamera dari telefon bimbitnya.

Pada masa yang sama, kami melakukan ujian yang dipanggil uji nyali kepada seorang kru. Dia ditinggalkan seorang diri di belakang bangunan kecil yang kosong. Dia dibekalkan dengan kamera untuk merakam dan lampu suluh.

Bersama kami pada malam tu, satu team dari Kedah. Mereka juga melakukan uji nyali bersama seorang kru mereka. Lokasi mereka di dalam gua berhampiran.

Pada mulanya kami merancang untuk melakukan aktiviti di gua tersebut. Khabarnya di dalam gua tu, terdapat seekor buaya putih. Sedang kami mencari-cari tempat yang sesuai untuk dijadikan tempat uji nyali, secara tiba-tiba kami ‘dilarang’ oleh penunggu bukit tersebut. Satu suara kasar datangnya dari arah atas bukit seakan menyuruh kami pergi dari situ. Sesetengah dari kami menggelarkannya Badang.

Sewaktu kami berbincang tentang Badang, tidak semena-mena angin meniup kencang. Tahulah kami yang Badang tak suka dirinya diperkatakan. Kami memberi peluang untuk team Kedah menjalankan aktiviti di situ. Angin mula reda sebaik kami keluar dari kawasan bukit tu.

Hasil dari uji nyali tadi, kru berkata dia mendengar seperti bunyi angin dan beberapa helai daun bergerak. Padahal pada waktu tersebut tiada angin dan daun-daun pokok yang lain tak bergerak. Selain itu ada jugak bunyi seperti tapak kaki diseret dan dentuman kecil di atas bumbung.

Tak cukup dengan bunyi, dia melihat kelibat putih dan bayang hitam berada tidak jauh dari lokasinya. Dia tetap bertahan sehingga 1 jam 30 minit ; waktu yang ditetapkan oleh kami.

Bagi peserta yang berada di dalam gua pula, dia mendengar dengusan kasar. Air juga dikocak beberapa kali. Mulanya perlahan, kemudian menjadi kuat. Tidak lama kemudian peserta didatangi oleh satu sosok lelaki tua berjanggut dan berjubah putih. Sosok yang sangat tinggi tu menghampiri dari belakang. Yang selebihnya aku tak dapat keizinan untuk cerita. Maaf.

Di akhir aktiviti, kami semua berkumpul. Menghitung jumlah kru dan berehat seketika sebelum bergerak ke lokasi yang seterusnya, iaitu kedai mamak. Di sana kami mula membuka mulut tentang kejadian-kejadian yang berlaku semasa aktiviti dijalankan.

Itulah salah satu pengalaman aku ketika menyertai aktiviti paranormal. Terima kasih.

– TAMAT-

SHARE
Previous articleKELIRU
Next articleTangisan Perempuan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here