Rangka Ayam Faizal

0
2444

Rangka Ayam Faizal
Tulisan Faizal

Nota – Kisah yang anda akan baca ini merupakan kisah benar yang dialami penulis sekitar tahun 2004. Ini adalah rentetan dari kisah Misteri Penampakkan Tokong Siam Depan Rumah (MPTSDR )di salah sebuah forum terkenal di internet. Kisah MPTS telah dibaca lebih 204950 view dan seingat saya telah diplagiat sebanyak 12 kali , mengaku cerita sendiri. Hahahaha saja aku bubuh statistik. Ini adalah kisah yang tiada dalam forum tersebut.
====================================================
Awal pagi aku dah ke Pasar Besar Teluk Intan untuk mengambil stok rangka ayam yang dipesan. Syukur, perniagaan ayam rangka aku mendapat sambutan ramai. Mungkin resepinya yang berbeza dengan lain. Itu pun aku dapat inspirasi dengan mengunakan beberapa herba dari luar negara, antaranya chili flakes, basil leaves, oregano dan lain lain, ada lebih kurang 10 herba aku guna.

Usai mengambil stok, aku ke pasaraya Fajar untuk membeli beberapa perkakas untuk tujuan jualan rangka ayam. Minggu ini aku keseorang di rumah. Kakak tiada, ke Ipoh mengikut ibu dan bapa.
Jam 6 hingga 11 malam aku memang sibuk melayan pelanggan. Kira kira jam 12 tengah malam barulah aku bergerak balik ke rumah. Perjalanan mengambil masa kira kira 10 minit.

Entah kenapa rasa seram muncul kembali. Seingat aku mingu lepas aku terjumpa benda pelik di pokok tanjung depan rumah, ada perempuan elok sahaja berdiri di pohon, sambil menyanyi. Aku syak itulah orang panggil pontianak.

Sebaik masuk dalam rumah, aku terus mandi. Itu pesan Mak, kalau balik malam elok bergegas mandi, jangan berlengah.

Selepas mandi aku menuju ke dapur, dengan harapan nak jerang air, nak bancuh kopi. Jenis aku memang penat lepas berniaga, takkan boleh terus tidur. Peel aku tiap kali balik kerja, aku akan pasang kaset lagu kegemaran aku. Mak memang suka mendengar radio ketika di dapur. Lagu yang aku pasang malam itu, aku ingat lagi, dari kumpulan rock British, Oasis album What Morning Glory. Memang aku melalak sekuat hati waktu itu. Tak fikir orang .

Danggg! Bunyi dari atas. Aku terdiam. Terus aku matikan radio. Aku jeling ke atas, dari dapur boleh lihat sedikitlah anjung atas. Gelap. Memang aku tak pasang lampu pun. Jarang dah naik ke atas.

Aku malas nak ambil tahu bunyi itu pada mulanya. Aku tak nak paranoid. Tapi macam tahu tahu, makin galak pula bunyi.

Gangg! Gangg !

Bunyi macam lantai dihentak objek keras. Lantai bilik atas memang diperbuat dari kayu. Nak cakap kucing, kucing aku semua dah mati. Orang pecah masuk? Kenapa nak ketuk ketuk? Aku capai pisau kecil, perlahan lahan aku naik atas. Takut didengari, sebab andaian aku mungkin orang.

Aku jenguk dari tangga. Alamak, tiada apa yang terjadi. Bunyi pun dah senyap. Aku turun, setapak aku turun, bunyi kembali berlagu ! Aku terus berlari naik atas. Aku pejam mata, nak dengar bunyi itu dari arah bilik aku atau bilik sebelah.

Ganggg!

Bilik aku ! Pisau aku genggam rapi dan daun pintu diselak. Bukan main terkejut aku , di depan mata aku, kakak! Kakak aku mana ada. Kepalanya dihantuk beberapa ke lantai. Posisi meniarap.

Gang Gang !

Aku jadi macam patung. Terkejut campur takut. Pisau terlepas dari tangan. Kemuncaknya aku tengok ‘kakak’ kepalanya memaling ke tepi dan perlahan lahan melihat aku! Aduh, kepalanya berputar 360 darjah. Aku mencarut dalam hati sambil berlari turun tangga. Dalam hati aku menyumpah seranah. Patutnya aku tidur di masjid malam itu, tapi aku ingatkan gangguan dah tiada. Selalunya waktu kakak ada , gangguan makin kuat.

Malam itu aku tidur dalam bilik Mak . Kelakarnya aku tidur bawah katil, sebab takut. Mujur tiada bunyi pelik, tapi entahlah, kadang aku terdengar bunyi ketukan.

Pagi itu aku terjaga kira kira jam 6. Bukan main terkejut aku, buka mata, pisau yang aku pegang malam tadi, ada di tepi kepala aku. Aduh !

Jadual aku macam biasa. Jam 12 baru balik. Tapi malam ini aku balik awal, jam 11 malam dah sampai. Aku nak tidur surau, tapi entahlah, rasa tak sedap hati tinggalkan rumah macam itu. Lepas mandi, aku terus tidur dalam bilik Mak.

Entah apa yang jadi aku pada malam itu, aku tak boleh nak lelap mata. Telinga menangkap bunyi loceng. Lama sudah tak dengar di gegendang telinga.

‘Cing Cing Cing’

Diselang seli dengan suara orang membaca mantera. Aku lupa nak tutup pintu bilik. Emak tak pernah tutup pun. Dia sendal dengan bata berbalut kain. Aku cuba kuis dengan tangan, tapi malang tak sampai. Aku dah rasa cuak, bayangkan umur aku waktu itu 18 tahun, mana lah aku berani nak hadap benda macam ini.

Dari bawah katil aku tengok ke arah ruang tamu. Berbalam balam dah pandangan. Aku rasa nak termuntah, sebab terbau colok. Entah tiba tiba mata terpandang sepasang kaki dekat ruang tamu. Ah sudah !
Cermin mata dicapai. Ya Allah ! Kaki siapa yang pucat lesi di ruang tamu. Aku dah merapat ke dinding. Makin lama kaki itu berjalan menuju ke bilik. Pintu bilik terkuak luas. Memang dari jauh aku jenguk, hanya kaki sahaja! Badan entah ke mana!

Tiba di depan pintu bilik, kaki misteri itu terangkat dari lantai! Lalu menghilang. Aku tak tahu kenapa aku boleh berani keluarkan kepala dari bawah katil. Menyesal sampai sekarang. Tahu tak apa yang aku nampak? Ada lelaki berkepala botak, berpakaian seperti sami diawang awangan! Masa itu aku rasa kepala aku macam ditekan dari arah atas. Seingat aku, sami itu menghadiahkan senyuman sinis pada aku.

Leher seperti dicengkam sesuatu, aku pengsan. Esok lebih kurang jam 10 pagi aku terjaga dalam bilik kakak! Satu rumah berbau hancing. Lagi teruk dari bau kencing musang!

Aku rasa cukup sampai sini cerita aku kali ini. Nanti aku selak catatan buku 555 aku, ada banyak lagi cerita yang tak pernah aku tulis. Dulu masa di forum aku main tulis apa yang aku ingat dan hentam keromo. Hahah!

Jumpa di cerita yang lain!

Tamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here