REAPER II

0
521

REAPER II
Nukilan: Xander Xavier

==========================

Lokasi: Terowong bawah tanah, bawah Pejabat Pentadbiran Persekutuan.

Tor mengiringi pasukannya untuk bertemu dengan Wiz, setiausaha Perdana Menteri yang juga pentadbir utama Operasi 2000. Sebenarnya bukan dia ketua dalam operasi ini melainkan Perdana Menteri sendiri tapi semua orang di sini tahu bahawa PM hanyalah patung yang digerakkan Wiz. Wiz adalah ketua mereka. Siapa mereka?

Mereka adalah Reaper. Skuad yang dilatih khas sejak dari remaja dan berselindung di sebalik nama Tentera Remaja Jovipolis. Mereka yang masuk sahaja akan tahu betapa kerasnya latihan untuk menjadi seorang Reaper. Lebih hebat dari komando. Mereka diuji dengan pisau dan peluru sebenar. Hanya yang terkuat mampu bertahan. Bukan pintar atau rupawan. Hanya kuat. Yang mati akan dibiarkan mati, yang hidup harus bertahan hidup.

Memang gaji yang diberikan lumayan, tapi nyawa mereka menjadi ganti. Tugas mereka adalah untuk menjalankan misi-misi sulit kerajaan. Termasuk mencuri daripada kerajaan-kerajaan lain.

Kota Jovipolis yang selama ini disangka ‘bersih’ hakikatnya tak jauh beza dari bumi yang dulu. Hanya Reaper yang tahu semua ini. Mereka diikat dengan satu cip yang ditanam di dalam otak, sekiranya mereka ingkar atau cuba melawan kehendak sang penguasa, cip itu akan diletupkan dan menusuk otak mereka. Pendek kata, mati.

Semua Reaper dipanggil berkumpul hari ini kerana ada penentangan yang telah berlaku. Penentang senyap, bukan seperti yang membuat keriuahan di jalanan dengan demonstrasi mereka. Penentang ini berjaya meragut satu nyawa Reaper dan itu luar biasa. Dengan peralatan canggih yang serba moden yang mereka miliki, tidak mampu melindungi nyawa anggota mereka ini. Tor tertanya-tanya, siapa dia gerangan yang menjaya mengatasi sistem Reaper?

***

Lokasi: Ruang Dewan Bawah Tanah.

Tor masuk ke dalam ruangan dewan melalui pintu kaca utama. Dia ketua kepada 10 orang anggota. Mereka ditinggalkan di luar dewan. Hanya para ketua sahaja yang masuk ke dalam. Di tengah-tengah dewan, terikat di atas kerusi terapung dengan segala senjata berbahaya menghala ke kepala sasaran, duduk seorang pemuda dalam keadaan lemah. Kepalanya tertunduk ke bawah. Mukanya tak terlihat dek rambut panjang yang terjuntai ke bawah.

“Selamat datang para ketua sekalian. Petang kita dikejutkan dengan berita yang tak begitu indah. Kita kehilangan satu nyawa berharga yang dilatih dari kecil dan berpotensi besar untuk menjadi panglima perang yang hebat satu hari nanti. Fiz ada satu impian. Impian untuk melihat Jovipolis menjadi sebuah bandar yang lebih besar dari sekarang. Tapi… Impian itu diragut oleh budak hingusan ni!” Nada suara Wiz yang lembut dan sayu pada mulanya bertukar menjadi jeritan amarah.

Kerusi tadi bergerak ke bawah, memaksa pemuda tapu mengangkat wajahnya. Berderau darah Tor tatkala dia terpandang wajah yang dipenuhi dengan lebam itu. Teman baik Tor memandang Tor dengan pandangan keliru. Tor sekadar memberi isyarat mata menyuruh sang sahabat untuk berdiam diri. Itu Ray, anak sedaranya. Tor adalah adik bongsu kepada mak Ray. Adakah mereka tahu Tor bekerja sebagai Reaper? Tidak. Mereka hanya tahu Tor bekerja sebagai pelatih Skuad Tentera Remaja Jovipolis dan sekarang sedang dihantar ke kutub Antartika. Sebenarnya, dia masih di sini. Di bawah Jovipolis.

Dia tak boleh panik atau menunjukkan sebarang reaksi di dalam dewan ini. Walaupun sebenarnya hatinya sudah gelabah tak tenang. Sebarang reaksi yang ditunjukkan mungkin boleh mengundang curiga dan bencana kepada perkara yang sudah sedia parah ini. Apa-apa pun, dia harus cari jalan untuk bercakap dengan Ray.

***

Lokasi: LTMR (Lokap Tahanan Markas Reaper)

Ray sudah dipindahkan ke LTMR yang terletak di bawah tanah dasar Tasik Naga. Lokap ini merupakan antara yang tercanggih di dunia. Selain peralatan keselamatan yang menjamin tahanan untuk tidak melarikan diri, lokap ini juga tiada jalan masuk atau keluar. Hanya penjaga yang tahu cara untuk masuk dan keluar dari LMTR.

Tasik ini pula dihuni oleh pelbagai naga yang dilatih khas. Dari mana mereka dapat naga? Kejuteraan bioteknologi dan genetik telah berjaya menghasilkan gen serta kromosom tiruan yang dibiak dan dijaga menjadi seekor naga. Tapi seperti yang disangka, ciptaan manusia tak pernah sempurna. Naga-naga ini sangat liar malah ada yang belum siap sepenuhnya namun telah hidup dan mengganas. Jadi, mereka diletakkan sebagai pengawal LMTR untuk menutup salah satu kegagalan pihak kerajaan.

“Betul ke kau nak buat benda ni? Kalau kantoi, kau jangan bawa-bawa nama aku pula tau.” Oki, teman baik Tor, salah seorang ketua skuad Reaper dan juga penjaga LMTR inginkan kepastian dari mulut sahabatnya itu sendiri.

“Yelah. Pernah ke aku bohong kau? Kau bohong aku banyak kali ada lah. Aku nak jumpa budak tu je. Apa yang buat dia jadi berani macam ni? Keturunan aku tak pernah ada yang buat hal tau,” jawab Tor. Dia sudah ada perjanjian dengan Oki. Hanya dialah satu-satunya harapan Tor.

“Tengok pun tahu ‘dapat’ dari mana.” Oki tersenyum sinis sambil memandang Tor.

“Banyaklah kau! Cepat sikit.” Tor menolak bahu Oki. Mereka memang kasar. Al maklumlah, anggota skuad rahsia terlatih memang harus kasar.

Oki mara ke tepi tasik. Matanya tiba-tiba bercahaya memancarkan sinar biru. Tatkala sinar itu mengenai air tasik, dengan tidak semena-mena keluar satu bebola besi besar dari dasar tasik itu. ‘Pintu’ bebola terbuka. Oki menggerakkan tangannya untuk mengajak Tor masuk ke dalam bebola besi tadi. Tor agak ragu-ragu, namun tiada apa yang mustahil di Jovipolis lebih-lebih lagi aset tentera. Memang tiada yang mustahil. Dia pernah lihat antara aset terkini mereka adalah keju lahar. Sekali gigit boleh menghancurkan satu badan manusia.

“Mata kau ada apa?” Tor bertanya ingin tahu.

“Ni namanya cahaya cinta. Kau nak aku mati? Mana boleh bagi tahu. Kau tahu tak betapa susahnya aku ‘hack’ cip dalam otak kau supaya bos-bos tak dapat jejak kau masuk kawasan terlarang ni? Jangan banyak tanyalah.” Oki mula jengkel dengan Tor yang tak habis-habis mengomel dari tadi.

Sekali lagi mata Oki bercahaya dan Tor dapat merasakan bahawa badannya mengecil dan mengecil lalu hilang dari pandangan mata kasar. Dalam sekelip mata pintu bebola besi terbuka. Oki mengeluarkan kepalanya terlebih dahulu untuk melihat keadaan sekeliling dan memastikan tiada penjaga lain.

“Kita sekarang dekat sel tahanan paling bawah. Budak tu ada dekat hujung sekali. Aku dah hantar pesanan dekat penjaga-penjaga yang lain, malam ni aku jaga bahagian ni. Diorang takkan datang sini. Jadi, kau boleh pergi sekarang. Aku siapkan ‘ping’ ni untuk kau naik balik nanti. Jangan sampai orang lain nampak kau. Pasang alat halimunan kau.” Oki memberi pesanan. Bebola besi itu namanya Ping.

Alat halimunan di telinga Tor segera dipasang. Hanya para ketua yang memeliki alat ini. Sebelum Tor menghilang, sempat lagi Oki memberi kata-kata nasihat.

“Walau apa pun yang budak tu cakap, kau jangan terbawa emosi. Ingat kau datang sini, nak cakap dengan dia je. Bukan nak bawa dia lari.”

Tor mengangguk kecil. Dia terus hilang dari pandangan mata Oki. Dia turun perlahan dari bebola itu. Di hadapan mata Tor kini adalah sebuah lorong yang amat panjang. Kegelapan memakan penghujungnya. Dia tak pernah ke sini dahulu. Dia Reaper kelas atasan yang mampu bertahan walau diacukan pelbagai senjata, jadi dia tak pernah ke sini. Oki gagal ujian tong besi yang ditenggelamkan di dalam air sebab tu dia ada tugasan tambahan di sini.

Cahaya biru elektrik menjadi pintu di setiap sel tahanan. Pada saat Tor lalu di hadapan pintu-pintu mereka, dia dapat melihat pelbagai ragam penjenayah yang ditahan. Ada yang sedang tidur terbongkang di atas katil. Ada juga yang sedang menekan tubi di lantai dan bergantungan di gerigi atas sel tahanan mereka.

“Tuan nak pergi mana tu? Saya nampak tuan… Hihi!” Terkejut Tor mendengar suara itu.

Dia memeriksa alat halimunan. Masih menyala. Bagaimana pak cik tua yang sedang duduk memeluk lutut di hadapan pintu sel itu dapat melihat Tor? Macam mana pun Tor kena cepat selesaikan urusan ini. Takut pula dia kalau tertangkap. Di hujung koridor. Satu-satunya bilik yang dikelilingi oleh elektrik, Tor melihat anak saudaranya terbaring di tengah-tengah bilik. Dia meringkuk, menahan sejuk. Alat halimunan dimatikan.

“Ray! Ray! Bangun Ray!” Tor separa berbisik cuba untuk mengejut anak saudaranya itu untuk bangun.

Setelah beberapa kali percubaan, akhirnya Ray bangun dengan riak terkejut. Namun riak itu berubah menjadi amarah bila dia melihat seragam serba hitam milik Tor. Ray mahu menarik kolar baju Tor tapi sinar elektrik menjadi penghalang dan mengakibatkan tangan remaja itu tercedera.

“Sampai hati Pak Cu kan… Pak Cu Reaper! Pak Cu bohong kitorang. Pak Cu cakap Pak Cu kerja dekat negara sejuk. Kenapa Pak Cu ada dekat sini?” Ray bertanya sambil memegang tangannya yang cedera.

“Pak Cu minta maaf. Kamu… Macam mana boleh jadi macam ni?” Soalan Ray dijawab dengan soalan lagi oleh Tor.

“Pak Cu tahu Operasi 2000?”

“Tahu. Misi untuk hapuskan populasi manusia yang terkena penyakit. Virus. Pak Cu ketuanya. Oki pun sama.” Tor menjawab yakin.

“Pak Cu buta! Atok dah mati kena tembak. Atok salah seorang mangsa Operasi 2000. Atok sihat je. Pak Cu tak tahu kan? Pak Cu memang tak pernah ambil tahu. Pak Cu tanya Oki sendirilah. Pak Cu dah kena tipu hidup-hidup. Pelatih askar remaja konon.”

“Apa kau cakap ni? Kau tipu kan? Kau nak main-main dengan emosi aku kan?”

Ray hanya ketawa. Kemudian dia menangis. Ketawa lagi. Menangis lagi. Tor patah balik ke tempat Oki. Senyuman Oki disambut dengan penumbuk teat ke mukanya. Dia dibelasah sehingga lembik oleh Tor. Setelah dipaksa berulang kali baru Oki beritahu misi sebenar Operasi 2000. Mereka terpaksa merahsiakan semua ini daripada anggota yang ahli keluarganya akan ditembak mati. Oki diheret oleh Tor ke sel tahanan Ray. Dia memaksa Oki membukanya.

“Kau buka! Kalau tak aku korek biji mata kau! Kau buka sekarang!” Setelah ditumbuk dan dibelasah lagi, baru Oki mengambil keputusan untuk membukanya.

Tiba-tiba, pengera berbunyi. Ray, Tor dan Oki segera berlari kea rah Ping mereka. Saat Tor melintas di hadapan pintu tahanan pak cik tadi, dia tahu semua ini angkara siapa. Orang tua itu sedang ketawa terbahak-bahak melihat kegesaan mereka. Tor mengangkat pistolnya dan menembak tepat ke kepala orang tua itu. Walaupun dia nampak macam baik tapi dia tetap seorang Reaper yang boleh membunuh tanpa rasa ragu-ragu.

Ray dan Oki sudah berada di dalam Ping. Mereka masih memerlukan Oki untuk keluar dari sini. Hanya matanya yang tahu jalan keluar. Para penjaga lain sudah mula berlari dan memenuhi tingkat paling bawah LMTR itu. Tor berlari sekuat tenaga untuk sampai ke Ping. Oki menghulurkan tangannya. Tor mencapai tangan Oki dan melompat masuk ke dalam Ping, Oki melompat keluar sambil tersenyum. Pada saat pintu Ping tertutup, Tor dapat lihat Oki cuba menahan tembakan para penjaga daripada mengenai bebola besi itu. Dia juga melihat badan sahabatnya itu ‘bocor’ dan dipenuhi darah. Oki berkorban untuk mereka…

Pintu Ping tertutup dan mereka selamat berada di atas tasik.

***

Lokasi: Tepi Tasik (Pintu masuk LMTR)

Mereka berpijak pada tanah di tepi tasik. Ping tadi tenggelam semula. Pasti Oki telah mengarahkan Ping ini untuk pergi tanpanya. Tor melutut. Tak lama kemudian, muncul seseorang dari balik bangunan tinggal di tepi tasik itu. Far! Dia berlari memeluk Ray.

“Nasib baik kau hidup lagi Ray! Kalau kau mati memang aku salahkan diri aku sendiri. Wei, aku ‘track’ kau jumpa dekat tasik ni. Tasik ni ada naga, wei! Aku ‘scan’ sebelum aku nak selam semalam. Ada tiga benda besar gerak-gerak. Takut aku!”

“Nasib baik kau tak selam. Kalau tak mesti kau dah mati!” Ray memeluk Far. Tiba-tiba Far melepaskan pelukannya dan mengacukan pistol pada Tor.

“Reaper!” Cepat-cepat Ray menghalang Far.

“Dia Pak Cu aku. Dia akan tolong kita bunuh dalang semua ni. Kan Pak Cu?”

“Kalau kau tak nak ikut pun aku akan buat sendiri. Demi Oki…” Jawab Tor sambil merampas pistol dari tangan Far.

***

Lokasi: Kapsul Far.

Sudah 3 hari berlalu. Berita tentang kehilangan seorang pelatih skuad tentera remaja menjadi heboh di Jovipolos. Pelatih itu dikatakan lari dari kem akibat tekanan jiwa. Orang ramai yang melihat sang pelatih hendaklah melaporkan kepada pihak berkuasa sesegera mungkin. Pihak polis juga dikerah untuk mencari Ray, banduan yang lari.

Tor ketawa mendengar berita itu. Dari seorang Reaper kelas atasan kini dia menjadi orang gila yang diburu pihak tentera.. Selain itu, hari-hari dia mendengar bunyi tembakan. Pemberontakan di sana sini. Baru dia tahu ini dunia yang telah diciptakan oleh operasi 2000. Bukan ke arah Utopia yang diidamkan malah telah berubah menjadi sangat buruk.

“Kita selesaikan misi malam ni.” Arah Tor kepada Ray dan Far yang sedang makan mi segera.

***

Lokasi: Kapsul Wiz.

“Bodoh! Dah tiga hari, takkan tak jumpa lagi! Dekat mana dia sembunyi? Argh!”

Wiz memukul ketua-ketua Reaper di hadapannya. Mereka tak melawan. Dia marah. Dia takut. Takut rancangan yang disusun dari awal akan hancur begitu sahaja. Rancangan untuk mengambil alih Jovipolis dari tangan Perdana Menteri dan menjadikan negara ini sebuah negara tentera akan musnah.

Dia duduk di kerusi. Memerhati mata ketua Reaper yang akan menjadi ketua daerah bila dia menjadi penguasa Jovipolis nanti. Sedang dia memikirkan kata-kata yang harus dirangkai selanjutnya untuk menaikkan semangat tentera ini, tiba-tiba ada laser merah di kepala askar-askar itu.

‘BANG! BANG! BANG!’

Ada yang sempat menunduk dan merangkak. Ada juga yang sudah mengeluarkan senjata. Wiz segera berlari keluar dari kapsul. Dia meninggalkan tentera-tenteranya yang masih berlindung di dalam kapsul.

“Fire in the hole…” Bisik sebelum kapsul Wiz meletup. Dia telah menyusup dan meletakkan bom di dalam rumah Wiz sehari selepas dia berjumpa dengan Tor.

“I like this baby!” Far menjerit kesukaan. Otak ‘gamer’ memang begitu.

Sementara itu, orang dari kapsul atas dan bawah tingkat Wiz keluar serta berlari turun dari bangunan kapsul mereka. Far hanya tersenyum dari jauh kerana dia telah memastikan bahawa letupan itu terhad pada bahagian kapsul Wiz sahaja. Orang lain dijamin selamat.

Tor bersedia di tingkat bawah. Wiz yang sedang berlari tak tentu hala belum berjaya ditangkap. Lari, lari macam Aaron dalam ‘movie’. Tor melihat kelibat Wiz. Dengan segera pada saat Wiz melintas di hadapannya, dia menarik baju lelaki itu.

Tapi Wiz lebih cekap menanggalkan jaketnya dan kembali berlari. Tor cuba menyusul. Mereka kini berada di bahagian bangunan pelancongan Jovipolis yang memang jarang dihuni manusia. Ray yang sepatutnya kekal di bangunan tadi tiba-tiba melintasi larian Tor yang sedang mengejar Wiz. Pistol di keluarkan.

‘BANG!’

“Ini untuk atok!” Tepat di kaki kiri Wiz. Dia masih cuba berlari dengang mengheret kakinya.

‘BANG!’

“Ini untuk Oki!” Kaki kanan Wiz menjadi sasaran. Dia merangkak. Ray berdiri betul-betul di hadapan Wiz.

“Ini untuk Jovipolis.” Wiz mengangkat wajahnya memandang Ray.

‘BANG!’

Tepat di kepala. Ray melepaskan senjatanya. Dia jatuh melutut. Tor segera mendapatkan Ray. Dia memeluk anak saudaranya itu.

“Semuanya dah berakhir. Kita ada bukti. Kita ada bukti. Oki ada tinggalkan aku cip bukti masa dia tarik tangan aku dulu. Rakyat Jovipolis akan sokong kau. Percayalah. Kita berjaya… Selamatkan Jovipolis.”

Dari kejauhan Far berlari dengan beg drum dan gitarnya. Dia tersenyum senget melihat mayat Wiz. Dia pandang Tor dan Ray.

“Nak peluk juga!”

-TAMAT-

SHARE
Previous articleMAKHLUK JADIAN
Next articleSembelih 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here