REPTILIA

0
1208

REPTILIA (Bahagian 1)
Oleh: Kurator dan RC AAN
Penulis: Nil Kuhaku

=========

LAZULI, MUTIARA

Wanita itu menyelusuri puing-puing runtuhan di kota lama itu. Mencari anaknya yang hilang.

“Mutiara!” laungnya. Dia menggeleng kepala.

“Mutiara, kamu dimana nak!” laungnya lagi.

Wanita itu tinggal di bawah tasik. Di dalam sebuah kubah lutsinar yang besar, jauh di dasar Tasik Kenyir.

Seekor harimau melompat turun dari runtuhan batu, lincah. Harimau itu hampir sahaja sebesar kerbau dewasa.

“Aku lihat anak itu di sana, Kauthar. Di dewan besar sana.” Deramnya dengan ekor melibas-libas.

Geram barangkali, si Mutiara itu degil. Tidak mendengar kata.

Kauthar cuma tersenyum. Dia mengangguk, sebelum terhincut-hincut ke dewan tersebut. Harimau gergasi itu mengekori rapat.

Pintu dewan ditolak.

“Mutiara?” panggil Kauthar lembut.

Seorang gadis berambut putih salju separas pinggang, bermata kelabu gelap memikat berpaling ke arah Kauthar. Dia tersenyum manis, sedang duduk memeluk lutut.

“Kenapa tak sahut umi panggil?”

“Maaf umi. Tiara tak dengar.” dia berkata lembut.

Kauthar mendekat, mengelus rambut anaknya yang menginjak umur 13 tahun.

“Apa Tiara buat dalam ni?” Tanya Kauthar, turut duduk disisi anaknya.

Mutiara menunding. Kauthar mengangkat kening.

“Oh, mural ni?” ujar Kauthar.

“Ayah dah ceritakan belum?” sambung Kauthar, memaut anaknya dalam pelukan.

Mutiara menggeleng. Ya, dalam kota lama itu, ada hampir beribu mural. Karakter yang selalu muncul adalah makhluk aneh dengan wajah seperti bunga rafflesia, dan manusia seakan-akan cicak.

Sudah puas didesak ayahnya untuk bercerita, Lazuli diam sahaja. Tak membuka mulut.

Kauthar menghembus nafas lembut. Dia berpaling pada Raja Rimba yang duduk disisi Mutiara, merenung mural itu penuh dendam.

“Ini – pernah nenek moyangku ceritakan padaku.” katanya. Dia bangun, menghampiri mural tersebut.

“Kaum ini Kaum Tua. ” deramnya lagi.

“Kaum Tua?” getus Mutiara hairan.

Raja ketawa mengekeh.

“Apa yang kau lihat ini, wahai anak, adalah bangsa paling rakus. Paling dahagakan darah!” deram Raja garang.

Mutiara terkesima. Dia merenung ibunya yang cuma tersenyum.

“Maksud… Raja?” tanya Mutiara.

“Raja, aku sudah pesan bukan. Jangan kisahkan bangsa ini pada Mutiara.” satu suara lelaki terpacul di pintu dewan.

“Ayah!” jerit Mutiara.

Dia bangun meluru ayahnya yang berwajah murung. Kauthar turut bangun. Lelaki itu – berseluar ala Punjabi, berambut biru, bermata biru keemasan.

Raja cuma menyeringai.

“Kau sendiri lihat tanda-tandanya, wahai Naga yang gah. Ada bencana besar mendatang. Anak-anakku sendiri sudah mengkhabarkan, warga hutan semakin tidak keruan.” Raja itu menderam.

Lazuli mengelus rambut putih Mutiara. Kauthar memandang Lazuli bimbang.

Lazuli mengeluh. Dia mencapai tangan Kauthar. Digenggamnya erat.

“Aku faham, Raja.” Lazuli berkata berat.

“Ayah, kepompong yang kita jaga hari tu, apa cerita dia? Yang ada anak manusia didalam itu.” ujar Mutiara mahu bermanja.

Wajah Lazuli makin berubah. Kelam. Raja menderam.

Lazuli merenung Kauthar.

“Ada peperangan bakal tercetus di atas permukaan sana.”

Kauthar termengkelan. Mutiara memandang silih berganti ibu bapanya.

“Saya tak benarkan. Mutiara masih kecil, Lazuli!” bentak Kauthar, meraih Mutiara. Mutiara terpinga-pinga.

Lazuli merenung Kauthar sedih. Lama. Wajah Kauthar perlahan-lahan murung, dan dia menangis.

Dia faham. Sewaktu datangnya kepompong aneh ke dasar Tasik Kenyir itu hari, dia sudah faham. Semua diceritakan Lazuli kepadanya.

“Kenapa ni ayah? Umi?” ujar Mutiara hairan.

Pegangan kejap Kauthar perlahan terlerai. Dia mengangguk sayu.

“Terima kasih, Kauthar.”

Lazuli memaut dagu Kauthar lembut. Menyeka air mata isterinya yang jatuh. Mutiara cuma tersenyum, dia sudah biasa melihat kasih sayang ibu bapanya. Dia turut merangkul pinggang Lazuli. Manja.

“Ada apa ni ayah?” tanyanya lagi.

“Mutiara. Sekarang masa – untuk Mutiara belajar, asal-usul Mutiara.” Lazuli berkata perlahan.

============

PUTRA, AURORA, KAPTEN HASSAN

Area 53, Malaysia

Kapten Hassan menyeringai.

Tangki kaca yang terisi budak bersayap rama-rama itu bercahaya biru lembut. Budak lelaki itu diikat, dipasung tangan dan kakinya. Lelaki muda itu – Putra, memandang Kapten Hassan penuh amarah.

“Lepaskan aku!” jeritnya. Namun yang keluar dari mulutnya hanyalah buih-buih udara.

Kapten Hassan mendesis perlahan. Seperti ular. Buat seketika Putra lihat, mata Kapten Hassan berubah kuning, dengan mata hitam meruncing aneh.

PAK! PAK!

Bunyi kaca di tepuk kuat. Putra berpaling, dan dia tergamam.

Disisi tangki Putra – satu tangki berisi makhluk seakan duyung melekap di kaca tangki, sayu. Matanya yang besar memandang sedih ke arah Kapten Hassan, seakan merayu. Mereka berdua berada disebuah bilik yang besar, dindingnya besi, dipenuhi wayar-wayar berselirat.

Hassan ketawa sinis. Dia berpaling, melangkah keluar, dengan lidah terjelir-jelir seperti biawak. Tiada siapa nampak. Tiada siapa lihat lidahnya begitu.

Dia mencapai telefon dari dalam poketnya.
Punat ditekan-tekan.

“Hello. Tuan Abil, ini aku.”

Diam sebentar. Mata Hassan kejap meruncing tajam, kejap normal.

“Ya. Kaum Bersayap sudah bertelagah sesama sendiri. Area Dungun telah diisytihar darurat. Tentera sudah mengepung jalan keluar masuk sana.”

Diam. Lelaki berlidah biawak itu menyeringai.

“Aku serahkan makhluk yang bertapa di Gunung Jerai kepada kau. Yang di dasar Tasik Kenyir, aku ambil alih.”

Telefon diputuskan.

“Masa telah tiba untuk kami, reptilia dan pepohon – untuk memerintah.” desisnya.

=============

FEELIX – 187

“Rancangan lima ribu tahun kami telah mencapai klimaks. Kami sudah menghuni seluruh pelusuk tanah. Kini kami bersedia mengambil alih planet kamu. Inilah penamat tamadun manusia…Heheh! ” jerkah kucing gebu memegang senapang itu. Tuannya tergamam.

“Hiyarghhhhhhhh!” dia menarik picu senapang.

BANG!

Lelaki itu rebah. Kucing alien itu menyeringai, ekornya melibas ke sana ke mari seronok. Dia melangkah keluar, dan giliran Feelix pula tergamam.
Langit yang awalnya bersimpang-siur dengan cahaya laser – tenang. Diam. Seperti tiada apa-apa berlaku.
“ABORT MISSION! ABORT MISSION!”
Alat telekomunikasinya bergetar bising. Feelix berpaling ke arah tuannya – yang berdiri menyeringai. Feelix mendesis.
“Kau…!” gumam Feelix.
Tuannya menghampiri, terliuk-lentok kepalanya seperti ular. Matanya berubah kuning dengan anak mata meruncing tajam.

“Tak mungkin!” teriak Feelix.
“Kaum kau dah pupus!”

“Bumi untuk penduduk bumi.”

Tuannya mendesis dahsyat. Lidah biawaknya terjelir-jelir.
“Kau ingat 5000 tahun itu masa yang lama? Aku Firaun yang membela kau dulu. Aku yang menanam kau dulu, waktu kau berpura-pura mati!” seperti sesumpah, wajah tuannya berubah-ubah.

Firaun, tuannya yang pertama. Hamba yang mengutipnya selepas tuan pertamanya mati. Aristokrat Perancis yang pernah meribanya. Kanak-kanak perempuan yang membawanya pulang dari sekolah 70 tahun dahulu. Berubah-ubah seperti sesumpah bertukar warna!

“Tak mungkin! Tak mungkin!” teriak Feelix. Dia sedaya-upaya cuba menghubungi rakan-rakannya yang lain melalui telepati, namun gagal!

“Kami tahu apa agenda kalian. Kami yang membela kalian dari awal! Bumi – untuk penduduk asal Bumi. ”

Tuannya menyeringai, dengan kepala kanak-kanak perempuan bertubuh lelaki dewasa, sebelum ia berubah menjadi wajah sesumpah bergigi tajam.

Makhluk itu meluru ke arah Feelix – namun kucing alien itu lebih pantas. Dia mencakar ganas mata makhluk aneh itu, sebelum melarikan diri. Makhluk aneh itu berguling kesakitan.
“Kau tak akan dapat lari!” laungnya.
“Ingat tu!” suara makhluk itu bergema.
Senapang, peralatannya semua tercicir. Hanya alat telekomunikasinya masih utuh di gonggong di mulut. Telinganya terheret kebelakang resah. Keempat-empat kakinya berlari laju dalam gelap malam.

Dia kenal benar kaum ini. Kaum ini yang melata di bumi – sebelum wujudnya manusia.

Mereka sepatutnya sudah pupus!

“Kalian! Jawablah!” desak Feelix di alat telekomunikasi.

Yang ada cuma raungan, pekikan rakan-rakannya. Feelix nampak seekor kucing sedang berlingkar di tangga. Dia mendekati penuh harap, namun kucing itu cuma mendesis garang. Ah, bukan, ini kucing Bumi!

Apa sudah berlaku pada rakan-rakannya?

============

HAMZAH, HAURA, HORUS, SRIKANDI AMYNA, PUTERA HISHAMZ

Amyna menepuk-nepuk lembut Haura yang tidur dalam linangan air mata. Suaranya bergema gemalai, menyanyikan lagu dodoi bahasa Planet Suntoi. Hamzah duduk memeluk lutut, memikirkan ibu dan ayahnya.

Hishamz mengintai dari balik tingkap kapal angkasa.

“Kau pasti mereka takkan jumpa kami disini?” tanya Hamzah memecahkan suasana. Hishamz mengangguk.

“Tak sangka Putera Raja Planet Suntoi ada di Bumi.” senyum Horus.

Dia duduk tenang-tenang sahaja, memandang sekeliling kapal angkasa penuh minat. Hishamz cuma tersenyum lemah.

“Aku juga tak sangka pahlawan terhebat Planet Elernia ada di Bumi.” ujar Hisham. Horus menunduk, berterima kasih dengan pujian Hishamz.

Hishamz mengeluh. Dua bulan dia mencari si Amyna. Dua bulan dia kesana-kemari. Mujurlah Malaysia ni kecil. Kalau dia hilang di Russia? Allah mana dia nak cari. Dia meraup muka.

“Macam mana… Korang semua tahu kami sedang diserang?” tanya Hamzah teragak-agak pada Putera Hishamz. Amyna mendongak. Tersenyum sedih.

“Aku turun di sini atas sebab lain sebenarnya. Aku tak sangka ada berlaku pergolakan lain.” ujar Hishamz. Sempat dia menjeling Amyna yang sedang mengelus rambut Haura.

“Panjang ceritanya, Hamzah. Senang cerita, kami turun ke Bumi atas Misi Menyelamat. Kebetulan, waktu itu, kakak terjumpa makhluk lain yang menyamar jadi manusia. Kakak ekori mereka.” c

Cerita Amyna lembut. Hamzah diam. Sudahlah dengan kisah Kaum Bersayap ni belum habis. Sayap di belakangnya yang tumbuh tiba-tiba. Datang pula kisah lain!

“Maksud makhluk lain, Amyna? Makhluk planet lainkah?” ujar Hishamz.

Dia akhirnya dapat mengesan Amyna apabila gadis itu mengaktifkan alat kawalan jauh kapal angkasa. Kapal angkasa Amyna disorok dalam laut Kelantan. Ia terbang pantas dalam mod halimunan ke Terengganu.

Hishamz mengekori. Waktu itu, sedang berlaku pergaduhan antara dua puak Kaum Bersayap. Amyna kebetulan di sana, barangkali. Sewaktu di jumpai, Amyna yang memakai jubah hitam labuh, berpurdah rona sama – sedang meluru ke arah dua kumpulan besar Kaum Bersayap.

Amyna mengeluh kasar. Berat.

“Ada Raja Hadiedz ceritakan pada tuanku, mengenai makhluk asal yang melata di Bumi?” ujar Amyna.

Hishamz terdiam sebentar, sebelum mengangguk lambat. Dia sebenarnya mahu menghambur lahar kemarahan kepada Amyna. Tiba-tiba hilang tanpa berita. Entah kenapa bila jumpa berhadapan sebegini – dia diam.

“Makhluk itu belum pupus, tuanku. Mereka hidup di bawah Bumi.” Amyna berkata serius.

Sayap Horus mengepak-ngepak terkejut.

“Maksud kalian, makhluk Reptilia itu?” ucap Horus.

Amyna mengangguk. Hamzah terpinga-pinga. Wajah Hishamz bertukar mendung. Hilang amarahnya pada Amyna.

“Kita perlu sampaikan ini pada Ayahanda. Kau sudah tau agenda mereka, Amyna?”

Amyna mengangguk pantas.

“Mereka mahu menakluk kembali Bumi.” ringkas jawapan Amyna. Hamzah tersentak.

“Berapa banyak makhluk asing ni? Dah la dengan Kaum Bersayap tiba-tiba memberontak!” bentak Hamzah. Hishamz memandang aneh.

“Bukan kau pun Kaum Bersayap?” tanya Hishamz hairan. Hamzah mendengus. Horus tersenyum sedih.

“Tuanku masih ingat pergolakan menolak kuasa raja-raja di Planet Elernia? Waris Raja kami, rupanya dilarikan kesini.” cerita Horus.

Hamzah menyebak rambutnya kebelakang. Masih tak mampu menghadam semua ini.

Hishamz mengangguk, faham. Ya, planet Elernia terkenal dengan pahlawan gagah. Mereka ibarat ‘Viking’ udara. Raja mereka memerintah dengan pemerintahan kuku besi, dan rakyat memberontak.

Itu beberapa puluh tahun dahulu. Kini Planet Elernia kekal tidak beraja. Kaum Elernia diperintah oleh bekas Bendahara mereka. Dengar khabar, Bendahara yang diangkat menjadi Ketua itu adil dan saksama.

Pasti sebab itu Kaum Elernia di kerah ke Bumi. Mahu mencari pewaris yang hilang.

“Makhluk itu bukan makhluk asing, Hamzah. Mereka asal dari Bumi.” ujar Amyna lembut.

“Saya tak faham. Kalau mereka berasal dari Bumi, kenapa tiada yang langsung tahu akan kewujudan mereka?” Hamzah berkata.

Dia melembutkan tuturnya dengan Amyna, yang kini membuka purdahnya. Kulitnya biru muda. Kesan alat mekap yang menyerupai kulit manusia disapu Amyna lembut.

“Begini Hamzah. Setiap kelas spesies di planet kami, ada satu spesies yang berakal.” ujar Hishamz.

“Di planet kamu, dalam kelas mamalia, hanya kamu – Manusia, yang berakal.” terang Hishamz.

“Benar. Sebelum wujudnya manusia, makhluk seperti dinasour, cicak dan biawak besar melata di muka bumi.” sambung Amyna.

“Waktu itu, wujudnya satu kaum yang berakal dari susur galur binatang bersisik itu – namun mereka spesies Reptilia dan Tumbuhan.” cerita Amyna lagi.

“Tumbuhan?” Hamzah berkata aneh. Berkerut mukanya.

“Ya, tumbuhan.” angguk Amyna. Hamzah diam.

Ah, dia sudah jumpa kaum Bersayap, perempuan makhluk asing berkulit biru muda, dan mereka sedang berbual di dalam sebuah kapal angkasa. Semua ini tak logik di fikirannya beberapa jam lalu.

Nak tak nak, percaya sahajalah.

“Mereka ganas. Dahagakan darah. Sebelum adanya manusia, sesama mereka, waima keturunan sendiri – mereka berbunuhan.” ujar Hishamz.

“Apabila wujudnya manusia, mereka turut menyerang manusia. Namun apabila manusia diturunkan agama, mereka hilang punca. Manusia menyerang kembali, dan dikhabarkan – mereka pupus terus dari muka bumi.” Hishamz berkata.

“Nampaknya khabar itu salah.” Horus menyampuk perlahan. Amyna dan Hishamz mengangguk.

“Jadi sekarang, bagaimana?” ujar Hamzah berat.

“Aku akan sampaikan ke Ayahanda mengenai khabar ini. Buat masa sekarang, kita menyorok di dalam kapal ini.” tegas Hishamz.

“Tapi, ayah dan ibu saya…” Hamzah terhenti.

Ayah dan ibu? Tekaknya terasa kelat berpasir. Matanya panas.

“Ayah dan ibu saya. Takkan nak biar mayat mereka macam tu.” sambung Hamzah, air matanya menitik deras.

Amyna memandang Hamzah kasihan. Kemudian, dia merenung Hishamz.

Hishamz mengerutkan muka. Menggeleng.

“Tak boleh, Amyna.” tegasnya.

“Kasihanilah dia. Kita terbang ke sana dalam mod halimunan. Boleh kan?” pujuk Amyna. Hishamz mengeluh kasar.

“Yalah.” ujarnya, menuju ke kokpit pemandu. Horus cuma memerhati penuh minat.

============

JIDIN

Cendawan dikutipnya berhati-hati, diletakkan ke dalam bakul. Dipilihnya yang beracun dengan yang boleh dimakan.

Selepas mengutip cendawan di situ, Jidin beredar. Dia tidak mahu mengutip semua cendawan yang ada. Di kawasan lain pasti lebih banyak.

Dia menyelusuri jalan berselirat dengan akar pokok berbanir – sebelum dia terdengar sesuatu.

Deram nafas.

Lelaki bermata hijau itu meninjau.

“Siapa di sana?” ujarnya.

“Tunjukkan dirimu!” tegasnya garang.

Tubuhnya sasa, tinggi, dengan rambut hitam lebat bergaya mencecah pangkal tengkuk.

Pohon-pohon bergoyang. Jidin diam, memerhati. Dia memegang pisaunya, bimbang.

Keadaan diam. Waima cengkerik yang galak berbunyi tadi pun diam. Jidin menarik nafas, bersiap siaga mahu melawan.

BANG!

“Allahuakbar!” laung Jidin sebelum rebah. Perutnya terasa panas, sakit menggila.

Darah!

Dua makhluk aneh – dengan kepala berbunga dan bertubuh manusia muncul di balik pepohon merimbun.

“Bunuh dia, dan ambil matanya kan?” ujar makhluk rendah kurus. Makhluk tinggi itu mengangguk.

“Ya, korek matanya sahaja. Matanya kunci BahteraSakti, aku dengar.”

Jidin dengar mereka menghampiri, dan dia pantas mengaut segenggam tanah – sebelum dilempar pantas ke mata makhluk aneh itu.

“Arghhh!”

Jidin dengar mereka berteriak. Sedaya upaya, lelaki bertubuh sasa itu bangun melarikan diri.

BANG! BANG!

Makhluk itu melepaskan tembakanmembuta tuli. Jidin berpaling, dan satu tembakan tepat terkena mata kirinya.

“Allah!” seru Jidin.

Pantas, dia memanjat pokok merimbun. Tinggi dia memanjat, hinggalah dia hampir dipuncak. Dia tercungap-cungap. Perutnya sakit menggila. Mata kirinya langsung buta.

“Kenapa mereka perlakukan aku sebegini? Apa salahku?” rintih Jidin. Dia mendengar makhluk itu cuba memanjat pokok.

Jidin menekan lukanya yang masih berdarah, dan dia melompat dari dahan ke dahan. Seperti monyet. Langkahnya terbatas dek luka tembakan di matanya.

BANG!

Peluru itu tersasar, menghiris telinga Jidin. Lelaki itu mengulang-ulang nama Allah berkali-kali. Wajah ibu bapanya – Mohsen dan Maryam tiba-tiba menjengah fikiran.

Dia melompat ke dahan seterusnya – dan tersasar. Dia jatuh ke bawah, tinggi, melanggar dedahan pokok dan daun merimbun. Jidin jatuh terjelepuk di tanah.

Senapang di acu ke dahinya. Jidin menyeringai garang. Kekuatannya masih tersisa.

“Kenapa kalian perlakukan aku sebegini? Apa salahku?” bentak Jidin.

“Tak salah apa-apa.” makhluk aneh itu mengangkat bahu acuh tidak acuh.

“Kami cuma perlukan mata kamu sahaja.” sambung makhluk satu lagi, sinis.

Picu di tarik.

Tiba-tiba, ngauman harimau kedengaran. Jidin tergamam, dan senapang mereka terarah ke lain.

Bunyi sesuatu berlari kian menghampiri, dan dengan ngauman bergema garang – ibarat guruh yang berdentum, seekor harimau sebesar kerbau dewasa menerkam garang ke arah makhluk itu.

Makhluk satu lagi bertempik terkejut, lantas mengacukan senapang pada rakannya dan harimau gergasi yang sedang bergelut ganas. Belum sempat dia menarik picu, satu kelibat putih meluru, menerajang makhluk itu tepat di muka.

Anak gadis itu berambut putih salju, dengan mata kelabu berkilau, seperti perak.

Sempat dia memandang Jidin sekilas, tersenyum nakal.

Bahagian Akhir KLIK SINI

SHARE
Previous articleSAYAP
Next articleREPTILIA Bahagian Akhir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here