SANG LINGKAR

0
1277

SANG LINGKAR

Nukilan : Pena Srikandi / Fara Aem
===================================

Hari ini.

“ Arghhhh…!!! Aku benci !! Aku benci tengok muka kau …!! Aku nak balik ! Nak balikkkk…!!”

Tiba-tiba Puan Linda yang lembut bertukar watak meninggikan suara menjerit-jerit. Aku terkejut dan saling berpandangan dengan rakannya Puan Hasnah yang datang bersama. Bimbang juga aku tersalah tutur kata dan menaikkan kemarahannya.

Spontan isyarat ku berikan kepada Puan Hasnah dengan menaikkan keningku. Dia menjungkitkan bahu seperti memahami apa persoalan yang bermain-main di fikiranku.

“Bodoh..!! Bawa aku keluar dari sini..! Panas tempat ni !! Panas !!!”

Puan Linda seperti hilang kawalan diri. Matanya meliar ke sana sini.

“Panas ?? La.. bukannya duduk dalam sauna pun.” Gumamku sendiri.

Perlahan-lahan aku membaca ayatul Kursi kerana merasakan ada sesuatu yang tidak kena sambil mataku tajam merenung mengawasinya.

“Jangan bacalah bodohhhh!!! Bisinglah…!! Arghhhhh…!!”

Kelihatan Puan Linda menekup kedua-kedua telinganya dengan tapak tangan sambil meliuk-liukkan badannya kiri dan kanan. Sekali pandang gayanya seperti heroin filem Hindustan “Nagina” yang ingin bertukar menjadi ular.

Sah!

Aku terus menerus membaca beberapa potong ayat Al Quran dan mula berdiri mendekatinya. Puan Hasnah yang sangat terkejut dan ketakutan terus melarikan diri ke sudut ruang hadapan premis perniagaanku.

“Aku kata jangan baca !! Jangan Bacaaa !!! Bodoh !!! Ssssssss…..”

Puan Linda bangun dari kerusi dan mula bertindak aggresif ingin menyerangku!

Matilanak!

*****

2 HARI SEBELUM ITU

Jam menunjukkan jam 11 pagi. Tugasan pagi semua telah aku selesaikan sambil menunggu pelanggan datang. Aku membuka perniagaan kesihatan seperti sauna, photon dan beberapa terapi lain bersama seorang rakanku. Aku bertugas solo memandangkan rakanku outstation.

Bosan dan mengantuk.

Laptop aku capai dan mula melayan video klip Anuar Zain.
Lagu “ Cinta takkan Berakhir” sangat menyentuh emosiku. Walau berkali-kali aku mainkan lagunya memang tidak pernah gagal menggugurkan airmataku.

Poyokan??

Hemm. Nuar.. walaupun orang gelarkan dirimu sotong, kunyit hatta serai sekalipun, karya dan suaramu tetap A+++

“Assalamualaikum…”

Aku sedikit tersentak. Kedengaran suara wanita memberi salam di muka pintu. Cepat-cepat aku lap airmata dan membetulkan tudung yang agak huru hara. Jatuh reputasiku nanti kalau orang lihat aku menangis melihat video klip! Sengal.

“Hai Zura.. Akak datang bawa kawan ni..”

Sapa Puan Hasnah yang berusia lewat 40′ an di pintu..

“Ini classmate akak masa sekolah menengah dulu. Baru dapat jumpa lepas majlis reunion sekolah minggu lepas..” Sambungnya ceria.

“Nama akak Linda..”

Ucapnya lembut sedikit gugup. Cantik dan putih orangnya. Ku agak ketinggiannya dalam 170cm. Ayu berbaju kurung biru. Wajahnya ditundukkan. Senyum tak lekang dari bibir. Manis. Kami saling bersalaman. Sejuk tangannya.

“Ha.. cepatlah bagitau Zura apa masalahnya..” Puan Hasnah memulakan mukadimah.

“Hasnahlah tolong bagitau.. Tiba-tiba jantung ni berdebar pulak tengok Zura tak tau kenapa..” Pintas Puan Linda.

Aku sedikit pelik tapi cuba berlagak biasa.

“Hai kak.. kenapa macam takut sangat ni ? Kepala saya ada keluar tanduk ke?” Gurauku.

“Errr…” Suaranya seperti tersangkut.

Menurut Puan Hasnah, rakannya itu sudah 3 tahun bermasalah kesihatan. Nafasnya selalu sesak seperti asma tetapi apabila follow up ke hospital, doktor mengesahkan dia tidak mengalami masalah itu dan yang berkaitan dengannya.

Sudah 3 tahun juga dia hanya mampu makan sedikit memandangkan perutnya sentiasa keras dengan angin dan dadanya sesak seperti dijerut dan bahu terasa berat.

“Ada buat full blood test, X ray dan test lain tak kat hospital?” Aku bertanya lanjut sambil mencatat butir-butir peribadinya.

“Ada. Doktor kata semua normal Cuma ada sedikit kolesterol..” Jawabnya perlahan. Aku mengangguk faham. Dia sepertinya tidak mahu bertentang mata denganku. Hemm..

Set BP aku capai untuk aku rekodkan bacaan sebelum aku proceed ke terapi yang bersesuaian.

“Makkk aiii…! 230/110 Pulse 105! Tinggi sangat ni kak. Kalau kat hospital kena tahan ni.. Dah makan ubat belum??” Aku sedikit risau.

“Err.. Ada.. ada..” Jawabnya gugup. Entah iya entahkan tidak.

“Takpala Zura.. Akak cuba kat sini dulu sebab akak dah selalu ulang alik hospital tapi masih sama.“

Aku menarik nafas panjang. Agak panjang lebar juga aku menerangkan tentang semua servis yang ada di tempatku. Sangat penting untuk memahamkan pelanggan dan sangat penting juga untuk aku tahu kondisi mereka melalui rekod hospital.

Hari itu, aku proceed terapi sauna infrared dengan audioterapi ‘heart and blood circulation’ untuk permulaan. Kemudian diikuti dengan ultrasonic. Harap semuanya lancar.

10 minit berlalu…

“Errkkkk…! Errkkkk..! Uwekk..!”

“Zura..! Tolong tengok Kak Linda ni…macam teruk ni..” laung Puan Hasnah dari dalam sauna.

Bergegas aku berlari-lari anak menjenguk ke dalam sauna yang boleh memuatkan kapasiti seramai 10 orang sekali masuk.

“Akak ok tak ni?“

Tanyaku sambil mengurut-ngurut belakangnya. Aku memeriksa perutnya yang kelihatan seperti mengeras. Serentak aku mengerling suhu dalam sauna. Hemm 42’c.

“Ok, Ok..” Jawabnya dengan mata separuh terbuka. Angin sendawa membuak-buak keluar melalui mulut seperti tiada kesudahan.

“Bunyi apa ni Zura? Akak rimaslah dengar bunyi ni..!” Tanyanya tak keruan.

“Ini audio untuk darah. Akak jangan keluar sehingga habis 30 minit tau“ Pesanku sebelum berlalu keluar setelah memastikan setting dan keadaan semua terkawal.

“Akak nak muntah!!” Ujarnya sambil berlari keluar ke tandas.

Habis sesi terapi hari itu..

Ku lihat wajah Puan Linda kemerah merahan. Senyum tak lekang dari bibirnya. Kali ini dia mampu bertentangan mata denganku sewaktu berbual.

“Alhamdulillah… Akak rasa lapanglah dada ni Zura. Rasa lapar pulak. Harap dapat makan laksa sampai habis hari ni..” Katanya tersenyum.

“Nanti akak nak datang lagi tau teruskan..”

Aku menarik nafas lega.

“Banyak ke muntah akak tadi?” Soalku sambil tepat merenung matanya.

“Takda. Angin aja yang keluar..”

HARI INI
========

Puan Linda agresif bangun dan ingin menyerangku. Tangannya ingin menolak dadaku dan entah dari mana datangnya kekuatan dapat ku tepis. Ayat Al Quran semakin lantang aku bacakan dan Puan Linda berlari ke depan dan ke belakang cuba menjauhiku.

Sebenarnya aku tidaklah begitu mahir mengendalikan kes seperti ini. Ini sudah dikira seperti bidan terjun. Entah mengapa Puan Linda bertukar karektor 360’ apabila aku menyentuh bab minyak kasturi untuk belian.

“Arghhh… Pergi kau ! Pergi..! Jangan ganggu aku la bodoh..!! Panas ! Panasssssss!!” Puan Linda terjerit-jerit seperti histeria.

Tiba-tiba aku teringat rakanku ada meninggalkan sodium berformula di kaunter.

“Rasa boleh guna kot. Hentamlah..” Bisikku sambil meluru ke kaunter. Puan Hasnah ku lihat ketakutan di ruang sudut.

“Kak..! Tolong saya dengan baca ayat Al Quran kak.. jangan berhenti..!” Arahku.

Bimbang Puan Linda meluru keluar ke pintu utama yang berhadapan tangga, aku terus membaling segenggam sodium berformula ke arahnya sambil membaca ayatul kursi. Dia terus jatuh terduduk.

Sepantas kilat aku mencalit minyak kasturi berformula kesemua sendinya dan membuatkan dia terlentang seakan lumpuh.

“Adoii… macam mana saya nak buat ni?? Kak Hasnah, lepas ni nak buat apa??!” Aku mati kutu.

“Manala akak tau..” Jawab Puan Hasnah dengan muka berkerut seribu.

“Selalunya kalau ustaz-ustaz tu buat macamana?” Sambungnya.

Aku menggaru kepala. Bercekak pinggang mencari idea sambil memerhatikan Puan Linda yang meliuk-liukkan badan seperti ular.

“Zura..! Kak Linda nak keluar tu..! Tarik kaki dia!” Jerit Puan Hasnah.

Spontan aku tarik kedua-dua kakinya ke dalam premis. Karektor Puan Linda seakan-akan ular besar yang menyusup mahu melarikan diri. Jika aku biarkan, sudah tentu puan Linda akan jatuh tangga dengan didahului kepala.

“Ssssss… aku nak balikkkk.. nak balikkk….” Rintihnya diselang seli dengan bunyi desiran.

“Ehh.. Kau ni ular ke beb?” Spontan aku bertanya seperti orang bodoh sambil memegang kakinya yang menggeletek ke kanan dan ke kiri.

“Ha’ah la Zura. Memang macam ular.” Puan Hasnah mula berani mendekat.

Aku cuba menelefon kenalanku seorang ustaz tapi malangnya nombornya tidak dapat dihubungi. Mahu tidak mahu aku terpaksa juga menyelesaikan sendiri. Kasihan aku lihat puan Linda yang berkeadaan seperti itu. Nafasnya seperti tercungap-cungap dan mulutnya tidak henti-henti mengatakan ingin balik.

Dengan lafaz bismillah dan ayat-ayat tertentu aku picit ibu jari kakinya. Puan Linda terjerit- jerit melolong kesakitan. Setelah mengharungi proses yang agak melelahkan selama 20 minit, alhamdulillah akhirnya ular jadian itu bersetuju juga meninggalkan jasad Puan Linda.

Agak lucu sebab aku membentak menyuruh si ular keluar tapi dia keluar dengan membawa sekali jasad Puan Linda. Aku tarik semula kakinya dari mendekati tangga. Seperti orang bodoh aku bertanya beberapa kali.

“Boleh ke kau keluar ikut mulut?? Aku nak kau keluar! Puan Linda tinggal! Jangan bawa! Aku ulang bagi kau faham..! Kau keluar..! Puan Linda tinggal..!”

Aku acah-acah mengeraskan suara sambil tidak henti membaca beberapa potongan ayat doa Nabi Sulaiman. Dalam hati terdetik, nasib baik tiada CCTV. Kalau tidak sudah tentu aku kena bahan dandiketawakan orang dengan cara aku yang agak “kekartunan.”

Kelihatan Puan Linda perlahan-lahan mengangakan mulut seperti menguap dan diikuti bunyi berdesir yang panjang sebelum dia sedar kelemahan.

“Sssssssrrrrr….”

Puan Linda yang kelemahan aku papah ke katil rawatan.

“Kesian…” Gumamku sendirian. Sambil menghulurkan segelas air aku melanjutkan pertanyaan.

“Akak tahu tak apa yang terjadi pada akak?” Soalku. Kepala katil aku tinggikan supaya memudahkan dia berehat.

“Akak tak ingat apa-apa la Zura..” Jawabnya lemah sambil meneguk air.

“Tahukah akak tadi akak jadi macam seekor ular? Cuba akak ingat betul-betul tentang pengalaman atau sejarah keluarga akak..” Aku cuba mencungkil rahsia.

“Akak betul-betul tak ingat la Zura.. Yang akak perasan akak suka tempat gelap dan sejuk. Sebab tu akak tido atas simen. Lampu bila malam pun akak tak suka pasang.” Terangnya.

“Habis, suami dan anak akak takda cakap
apa-apa ke?” Lanjutku lagi.

“Ada juga tapi diorang tak boleh buat apa. Lagipun selalunya akak sorang aja di rumah, suami kerja malam sebab dia nelayan dan anak tinggal di asrama.”

Seterusnya perbualan kami menyentuh pula perihal keluarganya. Menurutnya dia adalah keturunan diraja Thailand dan Filipina di sebelah ibu manakala bapanya adalah dari Banjarmasin Indonesia.

Apa yang didengar dari arwah bapanya bahawa atuknya dahulu dilahirkan berkembar dengan ular tetapi ular itu ghaib sejurus dilahirkan.

Puan Linda juga mendakwa selama beberapa tahun semasa umurnya belasan tahun, setiap malam akan ada seekor ular hitam menyusup masuk melalui tingkap biliknya untuk tidur bersama setiap malam. Ular itu akan keluar semula sewaktu azan subuh.

“Entah-entah yang kau rasa menjerut sesak kat dada tu sebab ular tu melingkar kat situ tak?” Tiba-tiba Puan Hasnah menyampuk.

“Hemm… Betul juga.. Begini la kak.. berusahala berubat dengan sesiapa yang mahir. Saya takut makin lama makin memudaratkan akak dan anak-anak pula nanti mangsa seterusnya” Terangku cuba memberi pendapat.

Diam.

“Kau jangan cuba pandai-pandai nak mengajar aku…!! Sial..!“ Bentaknya tiba-tiba.

Ahh sudah.. lagi sekali nampaknya. Aku bangun semula bergegas mendapatkan minyak kasturi.

-TAMAT-

By : Pena Srikandi

FB : Fara Aem

SHARE
Previous articleTEMAN MALAM
Next articleSATU BILION POUND

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here