SIAPA?

0
283

SIAPA?
Karya: Suhana Azman @ Suhana Mat Lazim

===============

Kisah ini berlaku semasa arwah emak dan ayah aku masih ada lagi. Masa ni umur aku baru sahaja mengenjak 18 tahun. Selain aktiviti lepak dengan kawan-kawan hingga ke jauh malam dan berlumba motor masa itu, aku pun ada juga hobi lain. Hobi aku suka menangkap burung dan memburu haiwan dekat hutan berhampiran. Tapi bukan buru pakai senapang, cuma aku suka ikut arwah ayah aku pasang perangkap haiwan seperti landak dan kancil. Ada juga buru dengan kawan-kawan sekampung. Tetapi apa yang aku nak cerita ni bukan pasal berburu. Tapi aku nak cerita tentang pengalaman seram aku sewaktu menangkap burung pakai jebak. Kalau orang kaki burung pasti tahu jebak tu apa. Sesiapa yang nak tahu tu, boleh Google.

Ketika waktu sudah hampir petang selepas aku merayau tidak tentu hala dengan Din. Sambil itu aku bawa motosikal dengan kelajuan yang munasabah, tidak terlalu laju sebab nak ambil angin petang. Hendak di jadikan cerita, lalu sahaja kami di kawasan perkuburan tu, aku terdengar suara burung terkukur. Sedap pulak bunyinya. Aku fikir, ini mesti terkukur seladang jati ni. Asyik betul aku dengar suara burung tu. Lepas tu aku berhentikan motosikal betul-betul dekat dengan tepi jalan sebelah kubur. Din yang bawa motosikal dekat belakang aku pun turut berhenti sama.

“Kenapa berhenti?” Tanya Din hairan.

“Sedap suara burung tu. Aku ingat nak ambil jebak nak gantung dekat pokok tu. Mana tahu dapat.” Bersungguh betul aku nak tangkap burung tu. Tapi ada ke patut Din mencebek mulutnya dekat aku.

“Aku ingat apa! Lantak kaulah! Kau nak tangkap burung ke, nak tangkap kerbau ke, kau punya pasallah! Aku nak balik!” Bentak Din. Aku tergamam dia cakap macam tu dekat aku.

Selepas dia cakap macam tu, terus dia tinggalkan aku dekat tepi jalan! Berdesup dia bawa motor tinggalkan aku! Tak guna punya kawan! Panas saja telinga aku dengar kata-kata dia tadi. Aku pun apa lagi, teruslah aku kejar dia dengan kelajuan yang langsung tak munasabah. Baru dia tahu erti penyesalan hendak mencabar kelajuan motosikal aku!

Berbalik pada cerita aku tadi, sampai di rumah dengan tanpa membuang masa aku terus ambil jebak dan masukkan pikat burung terkukur aku dekat dalam jebak. Selesai segala apa yang patut, aku terus ke kawasan perkuburan tu pada masa itu juga. Walaupun masa tu dah lebih pukul 3.00 petang, tapi kawasan perkuburan tu redup je, sunyi. Sebab banyak pokok-pokok merimbun di kawasan perkuburan tu selain pokok bunga cempaka. Jadi aku teruslah gantungkan jebak burung aku bersama dengan burung pikat kesayangan aku dekat atas dahan pokok. Masa tu aku berharap sangat, dapatlah kiranya burung terkukur bersuara sedap tu termasuk dalam jebak aku nanti. Tetapi masa tu, aku langsung tak tunggu jebak tu. Aku terus balik rumah. Cadangannya dalam pukul 5.00 petang nanti baru aku ambil jebak aku balik. Aku harap-harap jebak aku selamatlah dekat situ sambil aku tidur dekat rumah. Hebat tak perancangan aku.

Sampai rumah, usai solat zohor aku pun tidur. Saja nak rehat-rehatkan badan. Tetapi sebelum aku dengan misi aku nak tidur tu, aku dah pesan awal-awal dekat adik aku. Mesti kejutkan aku pukul 4.30 petang, sebab aku nak solat Asar dulu kemudian nak ambil jebak semula. Tapi, kita hanya merancang Allah jua penentu segalanya. Entah macam mana, aku terbangun pukul 6.00 petang! Sudah macam singa aku nak terkam adik aku. Ada ke patut dia cakap, LUPA. Dengan riak mukanya yang tanpa bersalah. Aku apalagi terus capai kunci motor nak ambil jebak burung punya fasal. Tapi….

“Nak ke mana? Solat dulu!” Ayah aku dah sound setepek dekat aku.

Aku dengan perasaan risau dekat jebak burung aku tu, terpaksalah mengalah. Untuk tidak melengahkan lagi aku terus ambil wuduk dan solat.

Seusai solat, terus aku start motor pergi kat kawasan kubur tu sebab hendak ambil jebak burung punya pasal. Walaupun waktu itu dah lewat petang. Sudah namanya kawasan kubur, lagi petang lagilah dia sunyi. Tapi masa tu aku langsung tak rasa takut. Ya, memang aku tidak rasa takut langsung! Cuba bayangkan aku seorang masa tu. Jadi, nak dipendekkan cerita, aku terus panjat pokok untuk ambil jebak burung tu.

Tiba-tiba, sedang aku cuba nak turun dari pokok, aku ternampak ada seorang pakcik ni sedang duduk mengadap dekat satu kubur. Apa yang aku perhatikan, dia sedang mengutip daun-daun kering yang bertaburan atas kubur tu. Kusyuk pulak aku tengok orang tua tu. Cara dia kutip daun-daun tu macam tak puas hati je bila daun-daun tu berguguran dekat atas tanah kubur tu. Lagipun aku tak berapa nak nampak muka dia sebab dia membelakangi aku. Pakaian dia macam biasa, pakai baju melayu, kain pelikat dan bersongkok. Apa yang nak ditakutkan, betul tak? Mungkin pakcik tu nak pergi surau berhampiran. Lagipun sudah hampir waktu Maghrib.

Biarlah! Aku terus menuju ke motor aku setelah misi nak mengambil jebak burung tercapai. Sedihnya, aku langsung tak dapat burung terkukur yang bersuara sedap tu. Tadi bukan main sedap aku dengar bunyi suara burung tu. Tapi bila aku dah pasang jebak satu bunyi burung pun tak ada.

Tetapi, dalam aku masih terkial-kial nak letak elok-elok jebak burung kesayangan aku ni dekat raga motor, sempat jugaklah aku mengerling ke arah pakcik tu. Pakcik tu masih lagi khusyuk mengutip daun-daun kering dekat atas kubur dirembang senja ni.

Tapi hati aku sudah mula tertanya- tanya.

“Kubur siapalah agaknya pakcik tu beria benar nak bersihkan daun-daun tu?”

Tiba-tiba….

“Kubur pakcik nak!”

Astarfirullahalazimmm! Betul ke apa aku dengar tu. Jawapan yang tidak sepatutnya.

Terkejut aku dengar suara pakcik tu dari arah belakang aku! Entah bila pula dia muncul. Bukan tadi dia dekat dalam kawasan kubur tu ke? Sedang bersihkan daun-daun dekat kubur. Kenapa ada di belakang aku? Betul ke apa yang aku dengar tu? Dia sedang bersihkan kubur dia?

“Apa? Kubur dia?”

Dengar saja suara pakcik tu, terus aku start motosikal dan tinggalkan “pakcik” tu. Langsung tidak tergamak aku nak menoleh ke belakang. Biarlah dia dekat situ! Aku sendiri tak tahu, dia tu hantu atau orang kurang siuman! Kalau betul orang kenapa dia tiba-tiba boleh berada di belakang aku. Sedangkan kalau dia berjalan pun, pasti aku boleh nampak. Sebab laluan keluar dan masuk ke kawasan tanah perkuburan tu betul-betul dekat depan aku. Korang rasa benda apa tu? Siapa pakcik yang tegur aku tu?

#hasilkaryaazman
#kisahbenar

-TAMAT-

===============

Suntingan : Kucing Kelabu
Gambar : Nadey

SHARE
Previous articleKALUNG Bahagian 2
Next articleKAWAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here