SIRI H.E.R.O : LELAKI DARI LANGIT

0
805

SIRI H.E.R.O : LELAKI DARI LANGIT
Penulis: Muiz Robyn

=========================

Pagi Isnin.

Jam loceng berbunyi. Tapi bukan itu penyebab Cikgu Abraham bangun awal pagi ini. Lelaki yang sudah putih bulu-bulu di kepala dan kumisnya itu memang sudah merutinkan diri untuk bangun awal pagi sebelum jam loceng yang menjadi peneman hidupnya sejak 30 tahun lalu itu berdering.

Jam loceng itu bukan untuk dirinya tetapi untuk arwah isterinya, Seroja.

Walaupun Seroja sudah lama pergi, jam loceng itu masih setia dibiarkan hidup. Ada nilai nostalgik yang ingin dikekalkannya. Ah, orang tua dengan hal-hal nostalgik. Biasa lah tu. Dengan cara itulah dia dapat merasakan bahawa arwah isterinya masih lagi setia berada di sisi. Seperti tahun-tahun sudah. Sentiasa ada di belakang, menyokong dan membantu dia menguruskan SMK Pulau Bayang ini.

Abraham sangat sayangkan isterinya kerana wanita itulah satu-satunya yang dia ada di muka bumi ini. Abraham tidak berzuriat.

Dia melangkah menuju ke Dewan Bayangan. Dewan makan yang telah dibina hampir dua puluh tahun lalu. Lokasinya di tengah-tengah bangunan utama sekolah yang berbentuk segi empat sama ini. Ruang tengah ini dahulunya cumalah kosong dengan pokok-pokok bunga yang tumbuh meliar. Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah yang mengemukakan cadangan agar kawasan tengah-tengah bangunan ini digunapakai dengan mendirikan sebuah dewan makan yang kini dipanggil Dewan Bayangan. Lebih-lebih lagi sejak bilangan pelajar dan kakitangan di sekolah ini meningkat naik saban tahun.

Dewan ini mampu menempatkan 500 orang murid dalam satu-satu masa. Setakat hari ini, jumlah pelajar di sini sudah mencecah 437 orang. Mereka datang dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama dari seluruh pelusuk tanah air. Walaupun berbeza dari segi adat dan gaya hidup, namun mereka berkongsi satu sifat yang sama. Sifat yang tak ada pada orang kebanyakkan di luar Pulau Bayang ini.

6.30 pagi hingga 7.30 pagi – waktu yang sangat disukai oleh warga SMK Pulau Bayang. Waktu untuk bersarapan secara percuma. Tak kira pelajar mahupun para guru. All free. Manakala pada pukul 7.30 pagi, perhimpunan mingguan akan dilakukan (hanya pada hari Isnin) dan kelas akan dimulakan selepas itu.

Sekolah ini menempatkan pelajar dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5, sama seperti sekolah-sekolah biasa di luar Pulau Bayang ini. Sukatan pelajaran yang sama. Malah mereka juga perlu mengambil peperiksaan-peperiksaan besar yang sama seperti sekolah-sekolah lain (PT3 dan SPM). Tidak ada seorang pun yang akan ketinggalan. Bagi Cikgu Abraham, anak-anak ini juga perlukan masa depan yang sama seperti anak-anak lain di luar sana.

“Good morning Cikgu Hasnan.” Cikgu Abraham menegur Hasnan yang duduk di meja yang paling hujung.

Lelaki Fauna itu hanya bersendiri. Ada dua keping roti bakar yang telah disapu dengan mentega di dalam pinggan, sekali dengan selonggok scrumble egg, semangkuk sup cendawan, dua batang sosej berperisa lada hitam, beberapa kepingan bacon lembu dan secawan teh o strawberi. Aromanya memikat sehinggakan Cikgu Abraham sendiri rasa teruja. Ah, orang tua tu memang sentiasa teruja dengan makanan.

“Good morning Cikgu.” Hasnan sambut salam Abraham sambil mengangkat sedikit cawan yang berisi teh strawberi itu.

Cikgu Abraham duduk di meja yang sama dengan Puan Alvida, guru penolong kanan Hal Ehwan Murid yang sedang membaca sebuah buku tebal berjudul “How To Kill Your Boss in 7 Days”. Gayanya masih sama. Cermin mata yang terlorot sehingga ke hujung hidungnya yang mancung berserta rambut yang diikat sanggul tinggi ke belakang. Berkemeja merah. Hakikatnya, hampir setiap hari beliau akan pakai baju kemeja merah, seluar slack hitam dan kasut tumit tinggi, juga berwarna merah.

Same colour, same fashion style.

“Good Morning, Alvida,” sapanya. Title Cikgu didepan sengaja dibuang menandakan mereka cukup rapat dan jarak usia mereka tidak terlalu jauh.

“Good morning, Abraham.” Wanita itu membalas tanpa mengalihkan bukunya langsung. Buku itu sedang terapung di depan mukanya.

“Tuan nak makan apa?” soal si pelayan kepada Cikgu Abraham. Lelaki yang memakai kemeja putih dan seluar slack hitam itu hanya akan mengambil pesanan untuk para guru sahaja. Makanan berjadual yang sudah ditetapkan akan diberikan oleh para pelajar. Kalau mereka nak makan sedap ikut selera tekak sendiri, mereka boleh membeli di kafeteria. Di dewan makan ini, makan sahaja apa yang dihidang.

“Black Roast Coffee and French Toast.” Jawab Cikgu Abraham setelah memerhati seketika ke arah buku menu yang terdapat di atas meja.

“So, Alvida. Dah jumpa caranya?” soal Cikgu Abraham setelah pelayan itu beredar.

“Cara apa?” buku yang terapung tadi mendarat perlahan ke atas meja lalu tertutup dengan sendiri. menampakkan susuk rupa wanita seusia 50-an itu. Anak matanya berwarna merah. Uurrgghh! Semua nak merah.

“Cara nak bunuh your boss within 7 days.” Jawab Abraham.

Alvida tergelak kecil. “Ini novel je lah Abraham. Fiksyen. I baru beli semalam dekat bandar.”

“I tahu lah. Saja nak kacau you.” Abraham berterus-terang. “By the way, you tahu tak semalam Cikgu Khairul ada bagi I satu lukisan baru.”

“Lukisan apa?”

Abraham menghulurkan tangannya ke arah Alvida. Alvida sambut.

Serta-merta suasana di sekeliling Alvida bertukar. Dewan makan berubah menjadi bilik pejabat Abraham. Khairul masuk dengar tergesa-gesa. Ditangannya ada sepapan lukisan.

“Cikgu Abraham, saya ada lukisan baru nak ditunjukkan.” Khai berjalan menghampiri Abraham yang sedang duduk di kerusi ukiran kayu di ruang pejabatnya itu. Lukisan dihamparkan ke atas meja di depan Abraham. Lukisan seorang lelaki yang sedang jatuh dari langit.

“Saya ingatkan kamu dah berhenti melukis.”

“Sepatutnya..” Khairul cemas. “Just look at the drawing.”

Abraham meneliti. Lukisan Khairul tidaklah terlalu jelas tetapi memang boleh dilihat itu adalah gambaran tentang seorang lelaki yang turun dari langit.

“Without wings.” Ujar Khairul, seolah-olah faham apa yang terbuku di benak Abraham. “Kalau dia tak boleh terbang, saya yakin dia boleh mati.”

“Siapa tu pada pandangan Cikgu?” soal Abraham sambil mengusap-usap janggutnya.

“No clues.”

“Isa? Jesus?” Abraham tergelak. “Macam terlalu awal rasanya kalau dunia ni nak kiamat.”

“Pakaian dia nampak moden. Takkan lah Nabi Isa.”

“Nobody knows what he will wearing bila dia muncul suatu hari nanti.” Seka Abraham. “Persoalannya sekarang, kenapa awak bawa lukisan ini pada saya?” soal Abraham lagi.

“Cikgu Abraham..” raut wajah Khai tampak serius “saya dah berapa bulan tak melukis. And this is what I got after a long break. Dan cikgu tahu kan lukisan saya bukan sebarang lukisan.”

Abraham melepaskan tangannya. Mata dia dan Alvida saling membalas pandang.

“What do you think?” soal Abraham.

Sudu yang ada di dalam cawan, yang sedang mengacau teh hangatnya itu dengan sendiri, berhenti mengacau. Cawan itu terbang melayang ke mulutnya lalu satu cicipan dikenakan. “Actually, I pun tak berapa yakin dengan lukisan dia tu kononnya what he draw is what will happen in the future.”

Black Roast Coffee dan set French Toast tiba. “We’ll see.” Jelas Abraham, tak hiraukan langsung pelayan yang sedang menghidang.

Fikiran Abraham melayang ke hal semalam.

“Sepanjang saya kenal Cikgu Khairul, hanya satu lukisan sahaja yang pernah betul-betul terjadi.” Ujarnya perlahan.

Memori itu datang semula. Tak mungkin dia boleh lupa detik-detik cemas ketika dia dan isterinya mengalami kemalangan beberapa tahun sudah. Rumah yang mereka diami terbakar. Isterinya terperangkap di dalam. Seminggu sebelum kejadian, dia ada melihat Khairul melukis sebuah lukisan bertemakan kebakaran. Ada perempuan sedang hangus menjerit di dalamnya.

Tragedi itu membuatkan Abraham berjumpa semula dengan Khairul lalu diberikan jawatan sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah ini.

***

Semua pelajar berkumpul di Dataran Cendikia seperti hari-hari Isnin yang selalu. Lagu Negaraku dinyanyikan bersama-sama lagu sekolah. Beberapa perkara disentuh pada perhimpunan pagi itu. Mengenai pertandingan robotik yang akan dilancarkan minggu depan, mengenai larangan memiliki telefon bimbit dan juga pengumuman pertandingan esei Bahasa Melayu. Ada budak tingkatan dua memenangi hadiah utama.

Di hujung acara, seperti biasa Abraham akan membuat ucapan. Ucapan yang membosankan tak ubah seperti mana-mana ucapan pengetua di sekolah-sekolah lain. Lenggok bahasa, harkat nafas yang diambil ke paru-paru tuanya itu, sama sahaja. Dia menyentuh isu disiplin, hal prestasi pembelajaran, hal Tik Tok dan hal LGBT yang semakin menular dalam kalangan pelajar SMK Pulau Bayang.

“Weh, apa tu?” kedengaran suara seorang pelajar di tengah-tengah keramaian itu. Dia menuding jari ke langit. Semua turut memandang. Ucapan Abraham langsung tak diendahkan. Semakin lama semakin jelas kelihatan seorang lelaki sedang meluncur turun bersama-sama payung terjunnya.

Abraham tercengang. Jadi betullah lukisan Khairul bukan lukisan biasa-biasa.

Cepat-cepat dia melangkah turun dari astaka lalu bergerak menuju ke arah lelaki yang mendarat betul-betul di tepi tapak perhimpunan itu. Dia lantas bangun terpinga-pinga macam orang hilang arah. Memandang-mandang ke sekeliling dengan raut yang cemas dan berjaga-jaga.

“Aku kat mana ni?!” jeritnya kepada hadirin perhimpunan itu. Tangannya nampak berdarah.

Suasana bertukar hingar. Masing-masing mula berbisik dan menyatakan hal yang bukan-bukan. Cikgu Abraham segera memandang ke arah Khairul. Lelaki itu tersenyum sinis seolah-olah mengatakan “Told you!” kepada Cikgu Abraham.

Cikgu Abraham hairan. Macam mana lelaki itu boleh mendarat datang ke sini? Dia menyertai sukan payung terjun kah? Mustahil. Tiada kenderaan udara mampu menembus masuk ke langit Pulau Bayang. Semuanya sudah ditutup rapi. Mana mungkin ada kapal terbang boleh lepas masuk. Bukan setakat kapal terbang, kapal laut juga mustahil dapat menembus masuk ke perairan Selat Bayangan. Satu-satunya cara nak ke sini adalah menerusi keretapi bawah tanah yang hanya boleh diakses secara rahsia di pejabat Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

Jadi, siapa lelaki ini?

“Alvida, bawa budak tu ke pusat kesihatan.” Arah Abraham kepada Cikgu Alvida.

***

Lelaki itu teguk air putih dingin yang dihulurkan oleh Cikgu Abraham kepadanya. Rakus dan gelojoh. Nampak macam sudah lama dia tidak menikmati air yang segar sebegitu. Tangannya terketar-ketar. Entah sama ada dia sudah hilang banyak tenaga dek tangannya yang berdarah ataupun dia sekarang sedang takut memikirkan di manakah dia berada sekarang.

Air matanya mengalir tatkala titisan air sejuk yang diminum mengalir lega di alur tekak. Sesambil itu, dia memandang sayu ke arah luka di tangan kanannya yang sudah siap dibalut.

“Rafael dan Arisya.” Dua nama manusia terpacul dari mulutnya. Hiba.

“Tenang. Tenang. Ceritakan dari mula. Kamu ni siapa? Dari mana?” soal Cikgu Abraham. Cikgu Alvida hanya diam memerhati.

“Robyn.” Lelaki itu masih takut-takut. “Dari Shah Alam.”

“Oo..Shah Alam. Boleh Cikgu tahu, macam mana kau boleh sampai sini? Kamu sertai suka payung terjun ke?”

Lelaki itu, Robyn, menggeleng.

“Habis tu?”

“Saya..cari makanan..bekalan..kami..habis..cahaya..saya terbang..jatuh..” lelaki itu menangis lagi. Badannya terketar-ketar. Cikgu Abraham duduk di sebelahnya lalu dipeluknya lelaki itu, cuba untuk menenangkan.

“Cikgu. Saya rasa lebih baik kita biarkan dia berehat dulu. Malam nanti atau esok, cikgu berdua boleh datang semula.” Jelas Cik Miranda, jururawat yang dilantik khas untuk menjaga kesihatan para pelajar di sekolah itu.

Cikgu Abraham dan Alvida mengangguk setuju. Mereka berdua bangun lalu pergi meninggalkan Robyn dan Miranda dari pusat kesihatan itu.

“Adik boleh baring berehat dulu dekat atas katil ni. Sekejap lagi saya bagi adik makanan dan ubat.”

“Terima kasih cik..”

“Miranda. Panggil Kak Miranda je.”

“Terima kasih Kak Miranda.”

“Sama-sama.”

Miranda menuju ke arah rak-rak yang ada di tepi. Beberapa botol ubat dikeluarkan dari rak-rak tersebut. Dia baca butirannya yang ditulis dengan teliti.

“Saya tak sangka ada tempat yang selamat.” Robyn bersuara lagi.

“Kenapa? Tempat adik tak selamat ke?” soal Miranda tanpa memandang ke arah Robyn. Dia terus menerus menulis sesuatu pada buku laporannya.

“Tak ada yang selamat dah dekat rumah saya tu.”

“Akak dengar tadi adik cakap adik dari Shah Alam, kan?”

“Ye.”

“Akak pun dari Shah Alam juga. Dah lama akak tak balik. Akak dengar dekat ICT Seksyen 7 tu dah ada Zoo. Betul ke?”

“Bukan setakat zoo, satu bandar dah musnah.”

“Musnah?” kali ini Miranda terus memalingkan perhatiannya ke arah Robyn. Robyn mengangguk perlahan. Mukanya perit menahan rasa.

“Dah enam bulan lembah Klang lumpuh. Takkan akak tak tau?”

“Lumpuh enam bulan? Apa maksud Robyn?” soal Miranda. Dahinya berkerut tidak faham. “Akak baru je ke KL bulan lepas, ambil stok ubat.”

Kali ini muka Robyn pula berkerut tidak faham. Matanya kemudian dilarikan ke arah benda yang tergantung di papan kenyataan yang ada di belakang Miranda. Serta-merta dia bangun dari baringannya. Bulu romanya naik. Dia turun dari katil yang sedikit tinggi. Dengan berkaki ayam dia berjalan mendekati Miranda. Dia berhenti betul-betul di sebelah gadis awal 30-an itu.

“Ini kalender baru ke kak?” soal Robyn.

“Ye lah. Kalender baru. Akak order special dari Jep. Kau tau tak Jep, kucing femes tu?”

“2018?”

“Habis kau nak tahun berapa dik?”

Robyn laju memandang ke arah Miranda. Mukanya cemas. “Bukan sekarang dah tahun 2062 ke?”

Miranda mengkelan.

***

“Dah bangun?” Miranda menyapa Robyn yang nampaknya sudah mencelikkan matanya.

Dia letakkan dulang berisi makanan ke atas meja di kaki Robyn. Ada bubur ayam dan air teh o panas. Dia mendekati Robyn sambil melihat ke arah tangan lelaki itu yang berbalut. Nampaknya kesan biru lebam sudah pulih.

“Makan dulu, sekejap lagi saya buka balutan dekat tangan tu. Nampak macam dah elok.”

“Satu malam je luka ni dah sembuh?”

“Ini Sister Miranda lah.” Wanita itu mengangkat bakul, memuji diri sendiri. Robyn tersenyum melihat telatah comel wanita itu.

“Sedap bubur ayam ni.” Pujinya setelah menyuap dua tiga kali ke mulut. Lagaknya macam orang dah lama tak makan bubur ayam. Sebetulnya, memang Robyn dah lama tak merasa makanan sebegitu. Enam bulan dia asyik mengadap menu yang sama berasaskan kentang. Kalau bukan dia yang masak, Arisya lah yang akan jadi chef. Nak harapkan Rafael, mamat tu hanya tahu tidur sahaja.

“Bukan saya yang masak.”

“Alah..terus rasa tak sedap.”

“Mengada-ngada ye.” Miranda tersengih. “Makan cepat. Kalau awak larat, awak pergi mandi. Lepas mandi saya nak bawa awak jumpa Tuan Pengetua.”

“Lelaki jambang putih semalam?” soal Robyn.

“Iyalah. Siapa lagi.”

“Dia tu nampak menakutkan. Jarang saya tengok pengetua sekolah pelik macam tu. Dah macam Dumbledore dalam filem klasik Harry Potter tu.”

“Filem klasik? Tak tau pula saya Harry Potter ada version klasik.”

“Dah lama cik Miranda kerja dekat sekolah ni?” Robyn cepat-cepat mengubah topik. Dia sedar bahawa dia sekarang sudah berada di tahun yang dianggapnya cukup ‘klasik’ ini.

“Dah lima tahun. Lepas saya tamat Diploma Kejururawatan saya, saya terus masuk kerja ke sini.”

“Lama juga tu..”

“Tak adalah lama pun. Cikgu Abraham tu lagi lama dekat sini. Akak belum lahir lagi sekolah ni dah ada tau.” Miranda tersengih. “Sekolah ni dah lama. Tapi orang luar tak tahu. Pulau Bayang ni pun orang luar tak tahu.”

“Pulau Bayang?”

Miranda memandang ke arah Robyn yang nampaknya masih belum siap menjamu sarapannya.

“Robyn sekarang ni dekat Pulau Bayang. Pulau ni besar sikit je daripada Pulau Pinang. Dekat mana lokasi dia, kami sendiri pun tak tahu. Nak masuk ke sini bukan semua orang boleh masuk. Hanya orang-orang yang terpilih sahaja.” Jelas Miranda.

“Maksud akak?”

“Orang yang ada kelebihan.”

“Kelebihan? Kelebihan apa?”

Miranda merenyih. Dia letak semangkuk kecil air kosong ke atas meja di depan Robyn. “Minta tangan.” Serunya. Robyn hulurkan tangannya kepala Miranda. Miranda tarik kasar lalu dengan pantas dia menoreh tangan budak itu menggunakan pisau kecil.

“What the f….?!” Robyn menjerit.

Miranda celupkan tangannya ke dalam air di dalam mangkuk tadi. Entah bagaimana, air semangkuk itu seolah-olah melekat ke tangan Miranda ibarat ada magnet yang menarik. Miranda bawa air itu ke luka yang baru ditorehnya tadi. Dia tekup tangannya pada luka itu lalu air yang mengelilingi tangannya sedikit demi sedikit meresap masuk ke kulit tangan Robyn. Dalam beberapa saat, Miranda angkat tangannya semula. Luka torehan di tangan Robyn langsung hilang.

Robyn sekali lagi terkedu, bercampur meremang. “Macam mana…akak ni ahli sihir ke?” soalnya takut-takut.

“Merepek lah. Akak orang biasa je. Tuhan bagi kelebihan ni dekat akak. Dari akak lahir lagi. In fact, semua orang dekat sekolah ni, malah penduduk Pulau Bayang ni, semuanya ada kelebihan tersendiri.”

Robyn pula mengkelan. Susah dia nak percaya apa yang baru diberitahu oleh Miranda kepadanya.

“Kelebihan..like superpower?” soalnya.

Miranda mengangkat bahunya, “lebih kurang.”

Robyn turun dari katil. Dia meliar memandang ke sekeliling. Dia capai sebuah radio lama yang ada di atas meja di sudut tepi, tempat Miranda membuat laporan kerjanya. Radio itu selalu Miranda pasang tatkala bosan. Perlahan-lahan Radio itu bergerak-gerak lalu merubah bentuk menjadi sebuah pistol. Dia suakan pistol itu ke arah Miranda.

Miranda terkejut. “Macam mana..”

“Tuhan bagi kelebihan ni dekat saya. Dari saya kecil lagi.” Robyn tersengih.

“Akak rasa lebih baik kita jumpa Pengetua sekarang juga.”

***

“2062?!” Abraham terkejut. Dia memandang ke Alvida yang juga nampak kaget mendengar cerita yang disampaikan oleh Miranda.

“But how?” soal Alvida. Dia memandang hairan ke arah Robyn.

“Saya pun tak tahu. Kali terakhir sebelum saya tercampak ke sini, saya ada masuk dalam satu serombong cahaya dekat atas KL Tower. Saya melayang. Disedut macam alien. Sekeliling saya gelap. Bila sekeliling bertukar cerah, saya tengok saya sedang menjunam jatuh dari langit. Mujurlah saya ada beg payung terjun ketika itu. Pun saya tak tahu dari mana datangnya.”

“Abraham. Kita ada student yang boleh travel through time ke? Boleh jadi ada glitch di mana-mana, tanpa sengaja dia terbawa Robyn ke sini.”

“Mustahil. Terlalu melanggar hukum alam. Lagipun, kita tak ada student macam tu.”

“Dah terlalu banyak hukum alam yang kita langgar. Sebab tu Tuhan musnahkan dunia di zaman saya.”

Alvida dan Abraham memandang Robyn, tertanya-tanya.

“Pada tahun 2062 nanti, Malaysia akan menjadi gelap. Sama macam gambaran manusia tentang hari kiamat. Lebih mengharukan, gelap bukan sekadar gelap biasa. Negara kita diserang..” Robyn menghentikan kata-kata. Dia teringatkan nasib Rafael dan Arisya. Entah apa yang berlaku pada mereka sekarang.

“Diserang?”

“Virus.” Jawab Robyn sambil memandang tajam ke arah Abraham dan Alvida. “Zombie.”

Alvida dan Abraham pada awalnya terkedu mendengar, kemudian tawa mula memecah. Lucu betul cerita yang dibawa oleh Robyn. Tak ubah seperti sebuah fiksyen Inggeris.

“Jadi, kamu nak cakap Tuhan nak kiamatkan dunia dengan menghantar zombie ke dunia. Macam tu?” tawa Alvida masih berbaki.

“Tak. Saya rasa..tu bukan kiamat.” Jawabnya yakin. “Sebab masih ada saki-baki manusia yang tinggal. Saya..Rafael..Arisya..” muka Robyn sayu. “Kawan saya Arisya cakap, semua ni mungkin ada kena-mengena dengan seorang perempuan.”

“Perempuan? Siapa?”

“Tak pasti lah benda ni betul ke tak. Arisya yang rajin baca dekat Dark Web.” Jelas Robyn. “Orkid. Nama perempuan tu Orkid.”

Mendengar nama Orkid terpacul keluar dari mulut Robyn, tawa Abraham dan Alvida terus serta-merta berhenti.

“Kamu kenal Orkid?” soal Abraham.

“Tak..kenapa?” soal Robyn.

Abraham dan Alvida saling memandang.

SHARE
Previous articlePUKAU
Next articleMisteri Yurizawa (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here