Sisi Lain – Histeria (Part 2)

1
686

Sisi Lain – Histeria (Part 2)
Karya: NiQiey ZenQiey

=========================

Aku terus masuk ke dalam surau tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang ke arahku, lalu aku terus menuju ke arah warden asrama yang duduk di sebelah tiga orang perempuan bertelekung dan berniqab hitam yang aku nampak petang tadi. Aku terus memberi salam kepada mereka sebelum bertanya akan tujuan aku di panggil ke situ. Perempuan berniqab itu membisikkan sesuatu di telinga warden asrama.

Kemudian, mereka serta warden asrama bangun dari bersila menuju ke luar surau sambil menggamit aku untuk mengekori mereka bersama. Aku hanya menurut arahan dan segera mengekori mereka.

“Tunggu di sini sebentar. Sekejap lagi sampailah mereka ke mari,” warden asrama meminta aku duduk di kerusi yang sememangnya telah pun disediakan oleh pihak sekolah di tepi padang astaka.

Lima minit menunggu, sebuah kereta memasuki perkarangan padang astaka. Silauan dari cahaya suluhan lampu kereta menyakitkan mataku. Setelah kereta itu berhenti, keluar dari perut kereta empat orang lelaki berjubah dan berserban putih yang sama sepertimana yang aku nampak petang tadi.

Mereka memberi salam kepada kami. Ketika itu hanya aku seorang yang tidak bangun untuk menyambut kedatangan lelaki-lelaki itu. Aku hanya melihat dari tempat aku duduk sahaja. Mereka tampak seperti sedang membincangkan sesuatu, sambil sekejap-sekejap menoleh dan melihat ke arah aku. Aku hanya diam membisu. Beberapa ketika, mereka semua melangkah menuju ke arah aku yang sudah mengelamun memikirkan masa untuk aku mengulangkaji pelajaran akan terlepas malam ini.

“Assalamualaikum, nak. Pakcik minta maaf kerana melibatkan anak untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakan-rakan anak sekarang ini,” ujar lelaki berserban yang janggut memutihnya lebih lebat dan panjang daripada lelaki-lelaki yang lain.

Aku melihat sekilas kepada lelaki tua itu sambil aku menjawab salam yang dihulurkan. Warden asrama mencerlungkan matanya melihat kepadaku. Wajahnya jelas kebingungan dan tertanya-tanya, mengapa aku yang terpilih untuk menolong kumpulan guru-guru yang mengajar di sebuah sekolah tahfiz, yang telah dijemput oleh pengetua sekolah setelah segala usaha sebelum ini tidak mendatangkan hasil.

“Insya Allah, kita akan mulakan semuanya pada pukul sebelas malam nanti. Saya hanya minta cikgu memastikan semua pelajar supaya tidur awal dan tidak keluar dari bilik asrama masing-masing pada ketika itu ye,” lelaki tua itu bersuara lagi.

Warden asrama hanya menganggukkan kepala tanda faham dengan apa yang telah diperkatakan oleh lelaki tua tersebut. Kemudian, kami sekali lagi berjalan menuju ke arah surau baru, yang mana telah kembali kecoh dengan jeritan semasa kami tiada tadi. Aku yang masih tidak memahami apa yang kumpulan guru-guru tahfiz itu maksudkan, meminta diri kepada warden asrama untuk ke dewan prep.

Warden asrama membenarkan aku pergi setelah mendapat persetujuan dari lelaki tua tadi. Tanpa berlengah masa, aku segera melangkah ke arah dewan prep yang terletak bertentangan dengan blok bangunan asrama junior itu. Manakala, mereka yang lain menuju terus ke arah surau untuk memulihkan semula pelajar junior yang histeria.

Sampai di dewan prep, rakan-rakanku menyerbu aku untuk mengetahui apa yang aku buat bersama kumpulan agama itu. Aku hanya mengabaikan sahaja pertanyaan mereka itu dan terus mengulangkaji pelajaranku. Sehingga pukul sepuluh setengah malam, arahan telah diumumkan supaya semua pelajar diminta pulang ke bilik masing-masing.

Semua pelajar segera mengemas alatan dan buku-buku mereka di atas meja. Kemudian semuanya mula berpusu-pusu keluar dari dewan prep menuju ke arah bilik masing-masing. Pukul sebelas malam, suasana di asrama yang bingit dengan gelaktawa dan senda gurau penghuni asrama semakin sunyi sepi kerana kebanyakkan dari mereka sudahpun lena diulit mimpi.

Aku dipanggil untuk ke surau baru dimana kumpulan guru-guru tahfiz serta warden-warden asrama telah pun menunggu. Sesampainya aku disana, kelihatan mereka semua telah pun duduk dalam bulatan di tengah surau. Tanpa melengah masa, aku segera mengambil tempat duduk yang telah dikosongkan untukku sambil memberi salam kepada mereka semua. Serentak mereka menjawab salam yang aku hulurkan.

“Semua ada di sini kan? Baiklah. Sebelum kita mulakan, eloklah kita baca dahulu Surah Al-Fatihah beserta surah tiga qul. Bismillahirrahmanirrahim...” ujar Ustaz Zamri yang tampak lebih tua dari yang lain, mengetuai kumpulan itu.

Aku hanya akur mengikut satu per satu arahan yang diberikan. Semasa kami sedang membaca Surah Qursi, tiba-tiba kedengaran satu suara garau di bahagian belakang surau. Kami berpandangan sesama sendiri, pucat kelihatan muka salah seorang warden asrama yang menyertai kami malam itu. Terus sahaja Ustaz Zamri yang mengetuai kami mengarahkan supaya warden tersebut serta mereka yang tidak sanggup meneruskan untuk pulang sahaja ke bilik sebelum berlaku perkara yang boleh merumitkan keadaan nanti.

Kini hanya tinggal guru-guru dari sekolah tahfiz seramai tujuh orang, dua orang warden asrama dan juga aku, menjadikan jumlah kami kesemua sekali genap sepuluh orang. Suara garau tadi semakin kuat kedengaran, malah kali ini semakin banyak jumlahnya. Di sudut hujung surau, aku ternampak seekor makhluk bermata merah yang pernah aku lihat sebelum ini sedang menyeringai kemarahan kepada kami.

Sekelip mata aku melihat makhluk itu sudahpun bertenggek di atas bahu salah seorang warden asrama, lalu dengan sekelip mata juga makhluk itu berjaya menguasai warden tersebut. Menggeletik badan Cikgu Halijah seperti ayam kena sembelih semasa makhluk itu meresap masuk melalui rongga hidung dan mulutnya setelah menjelma menjadi kepulan asap nipis. Semuanya berlaku dengan begitu pantas.

Cikgu Halijah yang sedang dalam keadaan menelentang, tiba-tiba sahaja mengangkat separuh badannya seperti patung, kaku dengan tangannya lurus kejung di kedua-dua sisi badannya pada ketika dia mengangkat badannya itu untuk duduk sambil melunjurkan kakinya. Dia menjeling kami seorang per seorang sambil tersengih menyeramkan.

“Kau bukannya tandingan aku lagi, orang tua!” Cikgu Halijah menempik dengan suara garau sambil menunding ke arah Ustaz Zamri yang mengetuai kami sebentar tadi.

“Mereka sendiri yang memanggil kami ke mari. Kami suka tempat tinggal baru kami di sini. Jadi, jaga urusan kau sendiri.” sekali lagi Cikgu Halijah bersuara dengan kasar.

Ustaz Zamri hanya tersenyum apabila diperkatakan seperti itu oleh Cikgu Halijah yang kerasukan. Terus dia melangkah setapak ke hadapan dan mula mengalunkan azan dengan suara yang lantang. Bergema suaranya di segenap ruang surau. Cikgu Halijah menjerit meraung kesakitan, tubuhnya mengeluarkan asap nipis.

“Cukup! Aku kata cukup! Aku panas! Aku panasss….!!!!” raung Cikgu Halijah sambil mngguling-gulingkan badannya di atas karpet surau. Segera beberapa orang dari kami cuba memegang Cikgu Halijah dari terus begitu. Manakala yang lain segera membaca ayatul Qursi berterusan setelah membaca surah-surah pendinding diri.

Cikgu Halijah terkulai lemah setelah makhluk bermata merah yang merasuki badannya keluar. Terus Ustaz Zamri mengarahkan agar Cikgu Halijah dihantar pulang ke biliknya, ditemani oleh ketua warden asrama dan dua orang guru tahfiz wanita. Kini hanya tinggal kami berenam sahaja di ruang dalam surau. Guru-guru tahfiz segera berzikir tanpa henti di tengah-tengah surau.

Aku menjadi bingung kerana terasa janggal apabila berada di dalam kumpulan ahli agama itu.Terasa kerdil diri ini jika ingin dibandingkan dengan mereka. Ustaz Zamri tiba-tiba menoleh memandang aku dan kemudian tersenyum.

“Tak perlu anak berasa segan dengan kami. Kami juga insan biasa yang bergantung hidup hanya pada Allah Yang Satu.” katanya.

Aku terkesima apabila Ustaz Zamri seakan tahu apa yang terlintas di hati aku. Aku menarik nafas panjang bagi menghilangkan gugup di hati. Kemudian aku terus menyertai mereka yang lain berusrah.

Tiba-tiba lampu surau terpadam satu per satu. Diikuti dengan bunyi sesuatu memanjat dinding surau. Debar di dada aku semakin kuat bergendang. Terasa gelisah hati ini apabila menanti sesuatu yang tidak kelihatan datang menghampiri hanya berpandukan pada bunyi sahaja.

Pap…pap…pap…pap…

Bunyi itu kedengaran merangkak perlahan. Sekejap kedengaran di kiri surau. Sekejap di hadapan surau. Sekejap di hujung surau. Seketika pula bunyi itu terdengar di atas kami pula. Bunyi itu kedengaran seakan-akan mengelilingi kami, seperti bermain lari-lari di atas siling surau juga pun ada.

Mata kami masing-masing liar memandang kesemua arah datangnya bunyi itu di dalam kegelapan surau sambil mulut kami tidak henti-henti berzikir. Lemah lututku dan semakin terganggu semangat aku, apabila bunyi itu kedengaran semakin lama semakin menyeramkan.

Pap..pap..pap..pappappap..

“Teguhkan hatimu dengan Ayatul Qursi wahai anakanda. Ingat! Tiada yang lain lebih berkuasa selain Allah Yang Maha Perkasa. Jangan khuatir lagi. Pasanglah pendinding dirimu, kerana sudah tiada rahsia lagi antara kamu dengan mereka.”

Aku terdengar suara yang tidak asing lagi padaku, di hujung cuping telingaku. Terus aku menarik nafas panjang sambil memejamkan mata. Dengan memusatkan bacaan Surah Qursi di dalam hati, aku memasang pendinding diriku. Aku semakin terasa seakan satu semangat juang baru meresap perlahan ke dalam badanku bermula dari pundakku.

Aku membuka mataku, penglihatan aku yang tadi gelap dek surau yang terpadam lampunya sebentar tadi, menjadi jelas. Aku terpandang muka Ustaz Zamri yang merenungku dengan berkerut kening. Kemudian dia tersenyum sambil mengangguk kecil.

“Alhamdulillah. Bantuan yang kita nantikan sudah tiba,” kata Ustaz Zamri kepada semua.

Rupa-rupanya semua yang ada di situ mempunyai kebolehan mereka tersendiri. Mereka juga boleh melihat dalam gelap. Masing-masing menganggukkan kepala melihat ke arahku. Walaupun aku ada terperasaan seorang dua beriak muka agak terkejut apabila melihat aku. Aku hanya tersenyum dan lega bila aku tidak perlu lagi merahsiakan keupayaan diriku lagi.

Pantas aku menoleh ke arah hujung surau apabila terdengar bunyi kekekkan yang nyaring. Terlihat olehku seekor makhluk berupa beruk besar menjerit-jerit seperti monyet ke arah kami. Sekejap-sekejap dia melompat ke kiri. Sekejap-sekejap dia melompat ke kanan. Sekejap-sekejap pula tingkahnya seperti mahu menerkam ke arah kami sambil mendesis dengan mulut ternganga luas menampakkan taring-taringnya yang runcing tajam. Spontan aku juga turut membalas desisannya itu.

Serentak kami menoleh pula ke arah hadapan surau apabila mendengar suara menderam yang keras yang terbit dari sana. Terlihat makhluk bermata merah yang merasuki Cikgu Halijah tadi, duduk menyangkung sambil menyeringai, mencerlung tajam dan marah ke arah kami.

Di siling surau pula terdapat seekor lagi makhluk merangkak seperti cicak. Badannya melekap di siling manakala kepalanya terbalik dengan matanya terjojol keluar serta sengihannya memanjang seakan mulutnya koyak hingga ke telinga.

Maka sedarlah kami bahawa kami telah pun di kepung di dalam surau itu. Ustaz Zamri segeramemagar keliling surau supaya makhluk-makhluk itu tidak terlepas melarikan diri lagi.

Ustaz Zamri segera mengarahkan guru-guru tahfiz yang masih tinggal untuk membaca surah-surah terpilih yang telah pun mereka bincangkan petang sebelumnya. Aku pula segera mengatur buah-buah silat yang telah aku pelajari. Bersiap siaga untuk menghadapi apa sahaja yang mendatang. Di sisi, aku diapit oleh dua ekor harimau putih kesayanganku.

Kuat terdengar jeritan demi jeritan bersilih ganti dengan raungan dan ngauman. Itulah pertarungan yang paling hebat dan besar yang pertama kali aku terlibat. Bukan kami berenam sahaja bertarung. Tetapi ayahanda dan juga saudara berdua beliau terlibat sama.

Selesai sahaja pertarungan, aku terus rebah. Segala kudrat dan semangatku terasa hilang. Apabila aku sedar, kelihatan Ustaz Zamri, kumpulan guru-guru sekolah tahfiz, warden-warden dan pengetua sekolah yang mengeliligiku.

“Berehatlah,nak. Kami ucapkan berjuta terima kasih di atas pertolongan anak. Ternyata kami tidak salah memilih orang,” Ustaz Zamri berkata kepada aku.

Warden-warden dan pengetua sekolah hanya berpandangan sesama sendiri, tidak memahami perkara apa yang dipertuturkan oleh Ustaz Zamri kepadaku. Aku tersenyum mendengar ucapan terima kasih yang diucapkan oleh Ustaz Zamri itu sambil mengangguk.

Hampir seminggu aku berkeadaan lemah. Walaupun begitu, sesi persekolahan tetap aku hadiri. Lemahku hanya dari dalaman. Semangatku seakan hilang terus. Namun begitu, Ayahanda selalu datang memberikanku ubat-ubat akar kayu untuk menguatkan badan dan mengubati luka dalamanku. Semangatku perlu dikuatkan kembali dengan segera kerana akan datang perkara-perkara yang lebih besar lagi selepas ini, menurut kata Ayahanda kepadaku.

Ustaz Zamri dan guru-guru sekolah tahfiz pulang ke tempat mereka setelah selesai memagar semula sekeliling sekolah kami. Sempat juga beliau menitipkan nasihat kepada kami semasa di dalam perhimpunan apabila pihak sekolah mengalu-alukan kedatangan mereka dengan jamuan kecil. Supaya kami tidak meninggalkan solat dan tidak membuat perkara yang menyekutukan Allah.

Perkara histeria yang telah terjadi di sekolah itu selama beberapa bulan itu adalah disebabkan ada pelajar junior yang memanggil ‘mereka’ dengan bermain permainan Spirit Of The Coin secara senyap-senyap.

Aku kerap termenung dan murung mengenangkan nasibku. Namun ini sudah ketentuan yang tertulis sejak di Luhmahfuz lagi. Hendak atau tidak, aku tetap kena mengharunginya dengan lebih tabah dan kuat.

TAMAT 

SHARE
Previous articleCATATAN SI PENAKUT
Next articleSISI LAIN – HISTERIA

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here