SUMPAH BIDAN KAMPUNG

0
1012

SUMPAH BIDAN KAMPUNG

Sejak hadirnya Salimah di Kampung Telok Rum, Mek Nab semakin rasa kurang senang.

Berkurun lama sudah Mek Nab memberikan khidmat kepada beratus keluarga di kampung tersebut. Dari zaman muda, hingga kini, nama Mek Nab menjadi sebutan dibibir masyarakat kampung yang sering menggunakan khidmatnya.

.

Salimah.

Gadis itu sudah lama menjadi jururawat masyarakat di suatu bandar. Kerana kegagalan dalam rumahtangga, dia meminta untuk ditukarkan ke klinik desa tersebut. Banyak telah didengar tentang cerita masyarakat kampung tersebut yang nampak terbelakang dari arus permodenan masa kini.

Niat Salimah hanya satu, memberikan khidmat dan jagaan menyeluruh kepada masyarakat sekeliling amnya serta ibu hamil secara khususnya.

.

Sedang leka Salimah menyiapkan kerja klinik yang dibawa pulang kerumah, kelibat seseorang di belakang kliniknya menghentikan sebentar kerja yang sedang disiapkan olehnya.

‘Eh, siapa pula datang tengah-tengah malam ni. Ada yang nak beranak ke?’ soal Salimah di dalam hati.

Susuk tubuh itu kelihatan samar dari pandangan Salimah. Perut membusungnya jelas kelihatan.

‘Haih, takkan datang sorang-sorang ke sini. Mana suaminya’

Ketukan dipintu mematikan lamunan Salimah.

“Misi. Misi. Saya sakit nak beranak misi. Tolong saya” ketukan tersebut semakin lama semakin kuat. Tidak tentu arah Salimah mengemaskan pakaiannya dan menyarung tudung sedia ada.

Bau harum semerbak hinggap di hidung Salimah. ‘Wanginya….’ ujarnya di dalam hati.

“Mari kak, kita ke klinik. Alatan lengkap disana. Nanti akak terberanak disini. Susah pula kalau tumpah darah” ujar Salimah sambil memapah wanita itu.

“Akak datang macam mana? Suami tak hantar?” soalnya lagi.

Tidak ada jawapan dari wanita itu. Perlahan, langkah mereka bersatu didalam gelap malam menuju ke klinik yang jaraknya hanya beberapa langkah.

Suis lampu dipetik. Satu lampu bernyala, yang lain-lain berkelip-kelip menimbulkan suasana seram.

‘Lampu ni pun. Siang tadi elok je dia menyala. Masa ni dia nak main kelip-kelip pula. Dah la ada orang nak beranak. Nanti salah conduct, macam-macam nak buat!’ bebel Salimah didalam hati.

“Misi, darah…darah.. Saya tak tahan ni” suara wanita itu membuatkan Salimah tidak keruan. Bebelannya terhenti, seperti lipas kudung Salimah menyarung apron plastik serta sarung tangan getah bagi menyambut kelahiran anak wanita itu.

“Akak teran bila rasa sakit ye. Jangan teran bila tak sakit. Kesian baby” ujar Salimah.

“Misi nak saya bantu?” bisik suara itu tiba-tiba. Muncul Mek Nab disebelah Salimah. Sudah siap dengan sarung bagi membantu kelahiran anak wanita itu.

“Sakit……” jerit wanita itu..

“Selawat kak. Selawat. La ilaha illa anta. Subahanaka inni kuntu minaz zalimin” ulang Salimah tanpa jemu.

“Masa ni nak suruh selawat segala. Sambut jelah bayi tu!” marah Mek Nab.

Tangis bayi menghentikan pergerakan tangan Salimah. Bayi itu disambut dengan cermat. Dipotong tali pusat. Baru mahu di serahkan kepada ibunya, Salimah perasan bayi yang dipegangnya pucat warna kulitnya, tersengih dengan gigi taring serta jemarinya kejap memegang tangan Salimah.

Dari ekor mata, Mek Nab yang hadir tiba-tiba tadi, kelihatan sedang enak menjamah uri yang segar dengan darah berselerak. Asyik dan menikmati juadahnya.

Antara sedar dengan tidak, kelihatan wanita itu berdiri perlahan-lahan dengan rambutnya mengerbang serta darah menjurai-jurai turun dari kainannya. Dirinya tidak jejak dibumi. Mengilai dan mengilai tanpa henti. Bayi yang dipegang Salimah semakin memberat dan memberat. Wanita itu menerkam ke arah Salimah…

Tidak…………..!!!!

Jerit Salimah dan terus gelap pandangannya.

.

“Puas hati aku. Kau kacau lagi tempat aku nak cari rezeki. Kau rasalah hidup kau aman atau tidak lepas ini” Ucap Mek Nab dihadapan bekas kemenyan yang diasapkan dirumahnya. Tuju-tujunya menjadi.

“Bodoh betul. Malam-malam orang datang tengah mengandung kau percaya. Sorang-sorang pula tu” kata Mek Nab lagi.

.

Rasa sejuk dimuka mengejutkan Salimah dari pengsan. Dia dikerumuni beberapa orang kampung yang mendengar jeritnya sebentar tadi.

Salimah diasak dengan pelbagai soalan hingga tidak satu pun mampu dijawabnya dengan baik. Kedua-dua lengannya kelihatan lebam. Alatan menyambut kelahirannya berselerak. Tetapi aneh, tidak ada kesan ada orang baru melahirkan pula diatas lantai

‘Aku khayal ke tadi?’ soalnya.

Setelah memberitahu bahawa dia tidak apa-apa. Orang-orang kampung bersurai bagi memberi masa kepada Salimah untuk berehat. Suara azan subuh berkumandang…..

Hari itu Salimah demam. Mahu lelap mata, wajah wanita itu, bayinya serta Mek Nab bermain-main di matanya. Seram sejuk terasa hingga ke urat. Terngiang-ngiang di telinganya suara mengilai serta tangis bayi semalam. Salimah semakin tidak keruan.

Sejak hari itu, sering sahaja Salimah terlihat kelibat entah sesiapa baik di dalam rumahnya ataupun diklinik tatkala berseorangan. Sering sahaja alatan di kliniknya beralih arah dan berselerak walaupun elok sahaja letaknya sebelum itu.

Salimah tidak mampu menyempurnakan kerjanya dengan baik kerana gangguan tersebut.

“Baik-baik misi. Ikutkan, misi ni orang keempat yang bertugas disini. Yang lain-lain pun tak lama berkhidmat diklinik ni. Lepas tu cabut lari minta tukar daerah lain. Mana tahan kena ganggu selalu. Mek Nab bukan suka orang kacau tempat dia” pesan seorang ibu yang datang untuk temujanji bagi memeriksa kehamilan.

“Kami ni bukan tak mahu terima perubahan. Tapi bila kami cuba untuk bertukar bidan contoh macam ni lah. Esok-esok ada sahaja ahli keluarga kami dirasuk atau paling-paling ada ibu yang tiba-tiba anaknya ‘hilang’ atau mati dalam perut” ujar seorang lagi.

“Misi hati-hatilah. Cuba buat baik dengan Mek Nab. Tapi jangan datang rumah dia seorang. Silap-silap misi dipilih jadi pewaris ilmu dia” ujar wanita yang pertama.

.

Beberapa bulan sebelum.

Salimah menggigil ketakutan. Wajah Mek Nab yang berang itu sungguh menakutkannya.

Salimah berjumpa dengan Mek Nab atas tujuan mahu merapatkan ukhwah memandangkan Mek Nab merupakan bidan kampung yang sudah lama memberikan khidmat di kampung itu. Selain itu, tidak bukan untuk mengajaknya bekerjasama agar tidak timbul salah faham di lain masa.

“Tak ingin aku kerja sama-sama dengan kau. Lama dah aku buat kerja aku. Kau baru setahun jagung apa kau tahu. Orang kampung ni kau tak payah nak manjakan. Mereka dah lama hidup dari kau. Pergilah balik tempat asal kau. Akar kayu aku lagi laku dari ubat hospital kau!” tengking Mek Nab.

“Aku beri amaran. Kau tak payah kacau kerja aku. Aku tak kacau kerja kau. Dan aku benci tengok muka kau. Sila balik” ucap Mek Nab terus menutup pintu rumahnya.

‘Nak kerjasama konon. Pantang aku orang muda nak ajar aku buat kerja. Siap kau nanti!”

.

Salimah kelihatan tidak terurus. Prestasi kerjanya semakin menurun. Entah kenapa rasa letih melampau menyebabkan Salimah culas dalam menjalankan tugas. Sering sahaja ‘dikacau’ sewaktu bertugas menyebabkan Salimah tidak cukup tidur dan rehat.

“Mah, abah dah pesan banyak kali. Azimat tu bawa tak. Abah dah ajar ilmu lama dah. Kenapa tak guna?” soal Pawang Ramli. Sakit sungguh hatinya melihat keadaan kusut anaknya. Terasa tercabar pula ilmunya dengan ilmu yang dikenakan terhadap anak gadis tunggalnya itu. Lupa sudah segala janji yang telah dimeterai dahulu.

“Kalau Mah tak mahu pulang balik apa dia dah bagi kat Mah. Abah pulang balik, tak kisahlah kalau langgar janji Abah sekali pun. Benda tu makan Mah sikit-sikit tahu tak!” ujar Pawang Ramli.

Bukan sedikit ilmu yang telah diturunkan kepada anaknya. Itupun tidak digunakan semenjak bergelar jururawat kerajaan. Sayang konon dengan kerja. Kena tinggal suami sebab kena ilmu, Pawang Ramli boleh sabar lagi. Tapi jika anaknya hilang kerja sebab iblis yang satu itu, maka perlu lawan balik!

Dulu janji dimeterai, setelah ilmu diturunkan, maka Pawang Ramli perlu cuci tangan dari merawat sesiapa pun hatta anak kandung sendiri. Kalau tidak, termakan sumpah. Nyawa galang gantinya.

.

Disudut rumahnya, Salimah memperasap kemenyan. Mantera yang terulis kemas diatas kain kuning itu dibaca satu-satu. Rasa bisa semakin terasa hingga ketulang. Satu demi satu segala bulu, miang rebung, kaca dan kuku keluar dari kulitnya. Rasa bisa itu tidak sesakit hatinya kerana kebenaran kata-kata abahnya bahawa Mek Nab ternyata telah menghantar santau dan gangguan agar Salimah keluar dari kampung dan berhenti dari memberikan khidmatnya.

Asal kau entah dari mana.
Asal kau mahu memberi derita.
Aku pulangkan kau kepada dia yang tidak bernama.
Agar dia merasa derita walau sedikit cuma.

Racun kau pilih, racun berbisa.
Menghancur lumat tanpa bersisa.
Ku seru engkau ambil semula.
Binasalah tubuh, musnahlah raga.

Dalam tangis, Salimah membaca mantera tersebut. Sungguh, dia tidak sanggup melakukannya tetapi sudah tak tertahan rasanya dirinya dimamah dalam diam. Namanya juga perlu dijaga.

Laju sahaja bola api itu pergi terus kerumah Mek Nab. Percikannya mengejutkan Mek Nab yang sedang leka menjamu khadamnya uri serta janin yang baru sahaja digugurkannya.

Aku kembali kepada tuan.
Aku bersatu dalam kerinduan.

Jelmaan tersebut berbisik dan menjunamkan taringnya ke leher Mek Nab.

.

Sejak hari itu, kelibat Mek Nab tidak kelihatan. Rumahnya rentung terbakar entah bila. Mayat Mek Nab tidak ditemui. Nama Mek Nab semakin dilupakan.

Salimah?
Semakin terurus. Berseri dan semakin disayangi masyarakat setempat. Arus permodenan yang dahulunya ditolak mentah-mentah kini telah diterima pakai.

Mantera berupa azimat itu disimpan kemas Salimah. Tidak ada sesiapa yang boleh menganggu tugas Salimah lagi.

*Tamat*

Suka Artikel Dari Kami?Jangan Lupa KLIK SHARE & Tinggalkan KOMEN Di Page Kami

Jangan Lupa Untuk Baca Artikel Artikel Lain DI SINI

Tulisan oleh Kurator:
Bel Nawhen

SHARE
Previous articleJIRANKU,SEBELAH RUMAH
Next articleJALAN PINTAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here