SUNDEL BOLONG (Bahagian 1)

0
742

Tajuk: SUNDEL BOLONG (Bahagian 1)
Nukilan: Mohd Shahiri Abd Ghapar

================================

Angin malam bertiup kuat. Pohon-pokok di sekeling bergoncang, ada pohon yang renek kelihatan hampir tumbang. Semacam ribut yang melanda sedangkan keadaan di tempat lain sebenarnya tenang-tenang sahaja.

Mansur berlari sekuat hatinya. Gelap malam menyukarkan dia melihat arah tujuan. Beberapa kali tadi, dia terlanggar anak pokok dan akar pohon yang melingkar di tanah.

Hahahahahaha…

Kedengaran suara wanita mengilai kuat dari kejauhan. Mansur berhenti lalu memandang ke belakang. Dia jadi semakin takut. Dia lantas bersembunyi di sebalik sebatang pokok besar.

“Mansur… Mansur…” suara itu menyerunya pula.

“Pergilah… Pergi… Jangan kacau aku, pergi,” terketar-ketar Mansur merayu.

Hahahahahahaha… Mansur dongak ke atas, matanya membulat. Puas dia berlari daripada pemilik suara itu namun tetap juga dia gagal. Lalu, Mansur cepat-cepat membuka langkah seribu. Pemilik suara itu yang tadi berada di atas pohon tempat Mansur bersembunyi terbang mengikutnya dari belakang sambil galak mengilai.

Malang nasib Mansur, kakinya tersadung batang kayu yang melintang di tanah. Dia jatuh tersungkur. Tubuhnya rebah. Mansur meraung kesakitan. Dia meraba perutnya yang terasa pedih, darah mengalir laju. Perutnya tertusuk sesuatu, mungkin ranting atau batang pokok.

“Kau tak mungkin dapat lari lagi Mansur. Malam ini giliran kau. Kau akan mati, sama seperti kawan kau Zainal,” ucap wanita itu dengan suara marah. Dia berada betul-betul di belakang Mansur yang sedang mengerang kesakitan. Mansur cuba melepaskan diri daripada tusukan itu, namun semakin kuat dia bergerak, semakin sakit yang dia rasakan.

“Maafkan aku. Aku tak bersalah. Aku hanya ikut kata Dino. Dia yang salah. Kau bunuh dia. Kau bunuh dia,” bersungguh-sungguh Mansur membela diri walaupun kata-katanya itu sukar untuk dihabiskan. Kesakitan pada perutnya menjadi-jadi.

“Tolong… Aku minta maaf. Jangan bunuh aku, bagi aku peluang,” rayu Mansur lagi.

“Aku tak akan bunuh kau. Kau mati kerana ajal kau dah sampai.”

Dan tanpa diduga, dahan besar daripada pokok yang berdekatan patah digoyang tiupan kuat angin. Mansur tidak mampu menyelamatkan diri. Dia hanya mampu menjerit dan pekikannya hilang apabila dahan itu jatuh betul-betul di atas kepalanya. Kepala Mansur berkecai dan otaknya terpercik ke mana-mana.

Wanita dalam pakaian putih itu hanya memandang tubuh Mansur yang masih menggeletik di tanah. Dia kemudian beredar dari situ. Tubuhnya melayang laju. Kakinya tidak menjejak tanah. Belakangnya berlubang dan penuh ulat. Tidak tahu ke mana perginya, tiba-tibanya sahaja dia ghaib.

***

Dua hari selepas kematian Mansur.

“Ah… Tak guna! Tak guna!” pekik Dino sambil telefon dipukul-pukulnya pada stereng kereta. Dia bengang kerana panggilannya tidak dijawab. Dia hanya ingin meminta pertolongan tapi sejak kematian Zainal dan Mansur, Dino semacam sendiri. Tiada sesiapa yang ingin membantunya. Termasuk orang yang mengupahnya untuk melakukan tugas terkutuk pada malam berdarah itu.

Kereta terus dipecut laju. Hanya kereta Dino sahaja yang berada di atas jalan raya awal pagi itu. Dino bercadang untuk pulang ke kampungnya di Johor. Dia ingin menyembunyikan diri sambil mencari orang yang mampu membantunya daripada dihantui dendam hantu wanita itu.

Hahahahahahaha… Lembaga sundel bolong yang ditakuti muncul di depan kereta. Dino tersentak dan kakinya cepat menekan brek.

Strettt… Kereta Dino berpusing beberapa kali sebelum terbabas menghentam penghadang jalan di sebelah kiri. Kepala Dino terhantuk kuat ke stereng. Dahinya terasa sakit.

“Aduh.. setan!” Dino marah. Dia keluar daripada kereta. Dino memeriksa keadaan keretanya. Bahagian depan sebelah kiri keretanya remuk teruk dek hentaman pada bahu jalan.

Hahahahahahaha… Hilaian itu kembali lagi. Lembaga sundel bolong yang sama muncul tiba-tiba dan laju mendekati Dino. Dino jadi takut dan terus sahaja berlari. Hilaian sundel bolong tidak kedengaran membuatkan Dino berhenti berlari dan berpaling melihat ke belakang. Dia tercungap-cungap. Dia lega hantu itu sudah tiada.

“Kau nak ke mana Dino?” tiba-tiba Dino disergah. Dino berpusing memandang ke depan dan sundel bolong sudah berada betul-betul di depannya. Lembaga dengan wajah pucat lesi dan rambut panjang mengerbang itu memandangnya dengan renungan yang tajam.

“Jangan bunuh aku. Jangan. Aku dan kawan-kawan aku hanya menurut arahan orang. Ada orang yang upah kami untuk cederakan kau. Kami tak ada niat nak bunuh, kami tak sengaja,” tergagap-gagap Dino menerangkan perkara yang sebenar demi meminta simpati daripada lembaga yang ingin menuntut dendam itu.

“Giliran orang itu akan sampai tapi malam ini giliran kau.” Dino tergamam. Dia tahu dia perlu lari dari situ. Cepat-cepat dia berpatah balik dan lari menuju tempat asalnya tadi. Sundel bolong itu terbang mengejar dari belakang sambil ketawa mengilai. Lembaga itu seronok melihat Dino ketakutan. Perasaan takut Dino memberi kekuatan kepada sundel bolong itu untuk mengacau kewarasannya.

Dino jadi tidak tentu arah. Yang dia tahu, dia perlu lari sejauh yang boleh, semampu dayanya. Tanpa berfikir panjang, Dino lari melintasi lebuh raya. Akan tetapi perasaan takut dan rasa bersalah telah menutup deria Dino yang lain. Entah kenapa, Dino tidak nampak ada lori yang sedang laju di atas jalan raya. Lori tidak sempat mengelak. Dino ditabrak dan dia tercampak ke atas jalan raya sebelum sebuah lori lain datang laju dan terus menggelek tubuh Dino hingga terputus dua.

***

Atika menggenggam erat telefon. Dia serba-salah sebenarnya, sama ada untuk dia meneruskan niatnya ataupun tidak. Dia tidak pasti kalau-kalau waktu itu sesuai untuk dia bercakap tentang soal itu. Perkara berkaitan hati dan perasaan.

Sambil berkira-kira dalam hati, Atika terpandang foto di atas meja hiasan. Ada gambar dia dan rakan baiknya, Munira sewaktu hari graduasi mereka dI universiti. Atika tersenyum sambil merenung gambar itu dan tanpa diduga, ada air mata yang menitis.

Dua minggu lepas Atika mendapat khabar duka tentang Munira. Rakan karibnya itu mati selepas terjatuh dari balkoni rumah banglo tiga tingkatnya. Bahagian belakangnya cedera teruk akibat tertikam pancang kayu yang dijadikan agar taman mini rumahnya. Ikut kata polis, siasatan awal mendapati ada perompak yang memecah masuk rumah Munira dan Munira terjatuh sewaktu bergelut untuk lari menyelamatkan dirinya.

Gambar itu membuatkan Atika terimbau kenangannya sewaktu kali terakhir mereka berdua bertemu.

“Serius ke ni Mun? Wah… Congratulations, Mun, Khai. You berdua memang dah lama menunggu nak ada baby, kan?” Atika teruja dengan perkhabaran gembira yang disampaikan oleh rakan baiknya, Munira tadi. Suami Munira, Khairul hanya mengangguk dan tersengih kecil.

“You akan jadi aunty yang paling baik untuk baby ni, nanti,” ucap Munira, mengeyakan lagi berita tentang kandungannya itu, sambil jari kedua-dua mereka saling menggenggam.

“Yes, definitely I will,” ujar Atika.

Waktu itulah kali pertama Atika mengetahui tentang kandungan Munira. Kali pertama mendengar berita itu, dia tumpang gembira. Mereka terlalu akrab dan sudah tentu, apa-apa yang membahagiakan Munira, akan menggembirakan Atika. Namun, rasa gembira itu tidak lama. Entah kenapa, jauh di sudut hatinya, Atika turut berasa sedih. Dia cuba untuk memadamkan perasaan itu tetapi dia tetap kalah.

Tiba-tiba telefon di tangan berdering. Lamunan Atika lenyap begitu sahaja. Dia tersenyum melihat nama orang yang menelefon. Cadangnya tadi, dia dulu ingin membuat panggilan.

“Helo. Khai, you tahu-tahu je kan I nak cakap dengan you?” ayat pertama Atika sebaik menjawab panggilan. Suaranya sengaja dibuat-buat manja.

“Oh, ye ke? Kenapa Ika? Apa yang you nak cakapkan tu? Pasal majlis tahlil Mun hujung minggu ni ke?” tanya Khairul.

Atika diam. Soalan Khairul itu sesuatu yang tidak diharapkannya waktu itu. “Bukan pasal tulah. You ni, dah dua minggu Mun pergi, you masih tak boleh nak move on, kan?” suaranya membentak.

“Eh, you ni kenapa? You ingat senang I nak buat macam tak ada apa-apa yang berlaku? Isteri dengan anak I baru je mati, you tak ingat?” balas Khairul.

Atika menghela nafas dalam-dalam sebelum menjawab. “Pasal benda nilah yang I nak cakap dengan you tadi. I rasa I dah tak boleh sabar. Dah lama, hampir tiga tahun I bersabar,” jawab Atika.

Kedengaran Khairul mengeluh di hujung talian. “You ni kenapa Ika? You tahu, kan? Belum sampai masanya, sekarang waktunya tak sesuai. You kena faham keadaan I,” pujuk Khairul.

“Habis tu? Keadaan I? Perasaan I?” soal Atika, menuntut penjelasan daripada Khairul.

“You kena percaya pada I, Ika. Perasaan I pada you tak akan berubah. Cuma, bagilah I masa, sekarang my whole family sedang meratap kehilangan Mun. Jangan risau, sayang. Tak lama lagi, masa untuk kita pula.”

“Dulu you kata, tunggu you cerai dengan Mun tapi tiba-tiba dapat tahu Mun mengandung. You tak jadi ceraikan dia tapi you tetap minta I sabar. Sekarang, Mun, anak you, dua-dua dah tak ada lagi, kenapa you nak tunggu lagi? I dah puas menunggu, Khai,” bidas Atika. Dia meluahkan segala yang terbuku di hatinya. Dia tidak mampu sabar lagi.

“Kali ini penantian you pasti akan berbaloi. I janji, I tak tipu,” pujuk Khairul lagi.

“You jangan main-mainkan perasaan I, Khai. You tahu, kan? I sayangkan you,” ucap Atika, suaranya menghiba.

Khairul diam. Perbualan mereka terhenti seketika. “You tak perlu risau, Ika. I janji. Err… I got to go now. I have something to do. You datang ye majlis hujung minggu ni? Nanti I telefon lagi,” panggilan diputuskan Khairul.

Air mata menitis semakin deras ke pipi Atika. Hatinya pedih. Dia merasakan yang Khairul sedikit pun tidak memikirkan perasaannya. Adakah ini balasan sebab aku khianat rakan baik aku sendiri? Hatinya bertanya sendiri.

Sejak awal perhubungan lagi Atika mahu berterus-terang dengan Munira. Namun, Khairul yang menghalang dan mahu perhubungan mereka kekal rahsia. Kata Khairul, nanti suatu masa yang sesuai, perkara sebenar akan diceritakan kepada semua. Dia mahu Atika bersabar dan menunggu waktu itu tiba. Kerana sayang, Atika akur.

Sehinggalah sabar Atika sudah habis hadnya. Dia mula merencana usaha untuk mendapatkan Khairul. Walaupun rancangannya itu terpaksa mengorbankan orang yang tidak berdosa. Atika tidak peduli asalkan Khairul menjadi milik dirinya.

SHARE
Previous articleZARA II
Next articleSUNDEL BOLONG (Bahagian 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here