SUNDEL BOLONG (Bahagian 2)

0
617

Tajuk: SUNDEL BOLONG (Bahagian 2)
Nukilan: Mohd Shahiri Abd Ghapar

==============================

Khairul tergamam melihat sosok wanita yang sedang berdiri di depannya itu. Ada iras Munira tetapi wajahnya pucat. Riak sebal jelas terpancar pada air mukanya. Munira memandang tepat ke arah Khairul.

Apabila melihat Khairul diam, Munira yang seolah-olah sedang terbang di awangan berpusing menampakkan belakangnya yang berlubang dan berdarah busuk. Munira kini bukan Munira yang sama, dia sudah bertukar menjadi sundel bolong.

“Kau bukan isteri aku lagi. Pergi. Jangan kacau kami di sini,” akhirnya Khairul bersuara.

“Aku tak akan tenang selagi dendam aku belum terbalas!”

“Aku tidak mungkin akan maafkan orang yang telah mengkhianati kepercayaan dan kasih sayang aku,” sundel bolong itu tegas meluahkan amarahnya.

“Siapa? Siapa yang khianati kau?”

“Kau tahu siapa yang aku maksudkan!” secara tiba-tiba sundel bolong itu menjerit.

Serta-merta Khairul tersedar daripada tidur. Dia bangun lalu bersandar pada kepala katil. Seluruh tubuhnya berkeringat. Bajunya basah dengan peluh.

Mimpinya tadi sangat mengerikan, apatah lagi apabila melihat Munira dalam keadaan yang sangat menyeramkan. Amaran sundel bolong dalam mimpinya itu juga terasa sungguh nyata. Khairul sendiri masih terfikir-fikir akan mimpinya itu.

Sehinggalah khayalannya terganggu dengan deringan telefon. Dia pelik kerana jam sudah menginjak dua pagi tapi masih ada orang yang menelefon. Nama Atika terpapar pada skrin, Khairul langsung menjawab kerana dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena terjadi kepada Atika.

“Helo. You tak tidur lagi, Ika?” soalnya dulu. Yang kedengaran hanyalah suara seseorang sedang menangis.

“Ika… Are you okay, Ika? Kenapa you menangis ni?” tanya Khairul apabila soalannya tidak dijawab oleh Atika. Matanya bertukar segar dan mungkin sahaja dia akan terus berjaga hingga ke pagi.

“I… I mimpikan Mun lagi, Khai. Mun nampak menderita sangat, I kesian pada Mun,” Atika menjelaskan sebab dia menangis. Memang beberapa hari kebelakangan ini, tidur Atika sering diganggu mimpi tentang Munira.

Kebiasaannya Munira akan muncul dalam sosok sundel bolong dan bertanya soalan yang sukar untuk Atika jawab. Munira bertanya, mengapa dia yang menjadi mangsa?

“You tahu, kan? Mimpi tu semua mainan tidur. You jangan percaya sangat. I yakin, Mun tenang-tenang saja dekat sana,” pujuk Khairul. Dia sendiri tidak yakin dengan ayatnya itu kerana dia juga selalu bermimpikan Munira dalam wujud yang menyeramkan.

“Tapi, I takut, Khai. I rasa Mun tahu pasal kita.”

“You jangan fikir yang bukan-bukan. Itu semua perasaan you, tak ada apa-apa yang you perlu takutkan. You dengar sini, sekarang I nak you pergi bilik air, basuh muka dan lepas tu, you tidur, okey? Esok kita lunch sama-sama,” Khairul cuba menenangkan diri Atika.

“Erm… okey, I try. Thanks Khai.” Khairul menghela nafas panjang sebaik panggilan ditamatkan. Dia pula yang runsing memikirkan keadaan Atika. Kemudian, kata-kata amaran daripada sosok sundel bolong dalam mimpinya kembali bermain-main dalam minda.

***
Sementara itu di rumah Atika.

Atika segera bergegas ke pintu kerana dia mendengar bunyi loceng ditekan berkali-kali. Ada seseorang yang datang ke rumahnya. Apabila dia membuka pintu, Atika terperanjat. Dia tidak percaya melihat gerangan yang berdiri di depan pintu. Munira!

Atika terus menangis. Entah kenapa dia berasa sangat sebak tetapi dia juga gembira melihat rakan baiknya itu ada di depannya. “Mun, maafkan I, Mun. Maafkan, I. I rindukan you,” ucapnya bersungguh-sungguh walaupun dalam esak. Dia ingin memeluk tetapi Munira terlebih dahulu melangkah masuk ke dalam rumah.

Atika kesat air matanya dengan tangan. Dia senyum sambil mengikut Munira dari belakang. Munira hanya diam. Atika perasan wajah Munira agak pucat tetapi tidak begitu menyeramkan seperti yang selalu dilihatnya dalam mimpi. Belakang Munira juga tidak berlubang.

“I tak sanggup lagi, Mun. I tak peduli, walaupun I tahu you akan marah tapi I tetap nak beritahu perkara sebenar. I tak nak berahsia lagi, tipu you lagi, Mun,” Atika mula berterus-terang.

“Sampai hati you buat I macam ni, Ika,” tiba-tiba Munita bersuara. Nadanya merintih. Dia mengucapkannya sambil tepat melihat ke wajah Atika. Atika pula tergamam kerana Munira seolah-olah sudah mengetahui kebenaran yang dia ingin ceritakan.

“Apa salah I, Ika? Apa salah anak I yang tak berdosa nI?” sambung Munira lagi, membuatkan Atika kembali menangis. Kepalanya tergeleng-geleng sambil dia menekup kedua-dua telinganya dengan tangan.

“I tak niat nak sakiti you, Mun. I sayang you, tapi I sayang Khairul juga. I cuba buang perasaan ni, tapi I tak boleh. Maafkan I, Mun. Maafkan I…”

” You pentingkan diri sendiri, Ika. You pentingkan diri. You khianati persahabatan kita.” Munira bergerak ke balkoni.

“You jangan cakap macam tu, Mun. I sayangkan you, I sayangkan persahabatan kita. I sanggup buat apa saja untuk tebus kesalahan I pada you, Mun. Tapi tolong jangan tuduh I macam tu,” teresak-esak Atika menjawab tuduhan Munira.

“Semuanya dah terlambat Ika. Tak mungkin you boleh kembalikan masa yang dah berlalu. Selamat tinggal, Ika. Mungkin ini yang you mahukan,” kata Munira lalu dia terjun dari balkoni.

Atika yang melihat Munira melompat dari balkoni menerpa untuk mendapatkan Munira, “Mun, tunggu Mun. Tunggu I, Mun,” jeritnya sebelum dia ikut sama memanjat penghadang balkoni dan melemparkan tubuhnya ke bawah.

Tidak lama selepas itu, tubuh kurus Atika terhempas menjejak lantai lobi kondominium. Badannya terasa sangat sakit seperti tulang-belulang di seluruh badannya retak seribu. Darah mengalir keluar dari hidung dan telinga. Penglihatan Atika semakin kabur. Nafasnya tersekat-sekat. Atika mati di situ juga. Munira yang datang dan bercakap dengannya tadi hanya bayangan dalam fikirannya.

***
Sehari selepas kematian Atika.

Khairul belum berjaya melelapkan mata meskipun malam sudah terlalu lewat. Dia tidak percaya apabila mendapat tahu tentang kematian Atika.

Apatah lagi apabila semua berita dalam televisyen dan surat khabar melaporkan Atika mati kerana menbunuh diri dengan terjun dari balkoni rumahnya sendiri. Khairul tahu fikiran Atika sedang kusut tetapi dia tidak menduga langsung Atika akan bertindak sebegitu.

Perkara itu menyebabkan Khairul teringat akan amaran daripada sundel bolong dalam mimpi-mimpinya. Sundel bolong itu tidak akan berhenti selagi dendamnya belum terlunas. Kini Khairul mengerti maksud pengkhianatan dan orang yang melakukannya. Atika, pada fikirannya.

“Khairul… Tak tidur lagi? Kau tunggu aku datang?” suara wanita dari tingkap biliknya membuatkan Khairul bingkas bangun. Dia memandang ke luar dan serta-merta dia melompat ke belakang. Sundel bolong seperti yang ada dalam mimpinya kini berada di luar.

“Mun…” tegurnya takut-takut.

“Jangan panggil aku dengan nama tu! Kau tak berhak selepas apa yang kau buat pada aku! Pada anak aku!”

“Aku minta maaf Mun, aku minta maaf bagi pihak Ika sekali. Maafkan kami, kami tahu kami salah…” Khairul panik, dia mula mengambil beberapa tapak ke belakang.

“Aku dah lama tahu pasal kau dengan Atika. Cuma aku diamkan diri selama ini sebab aku tunggu kau sendiri yang berterus-terang. Tapi, kau pengecut!” bentak sundel bolong.

Khairul terpanar, “jadi, sebab tu kau bunuh Atika? Aku tahu kau yang bunuh Atika,” jerit Khairul.

Sundel bolong mengilai. Hahahahahahaha… Marah Khairul terbantut, dia semakin ke belakang. Kakinya menggeletar ketakutan.

“Kau takut, Khairul? Kau takut dengan aku tapi kau tak takut berkawan dengan jin?”

Khairul tergamam lagi. “Apa… apa maksud kau?” tanyanya.

“Aku tahu rahsia hidup kau yang dulu susah, tiba-tiba boleh jadi kaya-raya. Kau kata kau pandai bisnes, kau main saham, tapi itu semua menipu. Kau jadi kaya sebab kau amal ilmu hitam. Kau jadi kaya dengan bersyarat! Kau kena mengabdi diri pada jin, kau kena sediakan korban!” jawab sundel bolong, membongkar rahsia Khairul.

“Kau tak tahu apa-apa!” nafi Khairul.

“Tiga tahun kau kahwin, tapi kau kata kau belum sedia nak ada anak. Tapi sebenarnya, kau takut, kan? Kau takut kalau kau ada anak, kau terpaksa korbankan anak kau tu kepada jin yang dah tolong kau jadi kaya!”

Muka Khairul berubah. Sundel bolong itu seolah-olah mengetahui semua perkara tentang perbuatan serongnya selama ini. Benar, antara janji yang perlu Khairul tunaikan ialah menyerahkan anak pertamanya kepada Dukun Taji, untuk dijadikan persembahan kepada jin yang diseru. Sebab itulah, Khairul sengaja mencari jalan supaya dia dan isterinya tidak dikurniakan anak.

Sampaikan apabila dia mendapat tahu Munira mengandung, Khairul tanpa berfikir panjang telah mengupah Dino, Mansur dan Zainal untuk mencederakan Munira sehingga isterinya itu keguguran.

Namun, mungkin sudah ajal, malam itu Munira mati. Khairul jadi takut. Perasaannya bercampur-baur. Rasa bersalah, rasa gelisah, takut dan berdosa datang bersilih ganti menguasai dirinya. Khairul menangis apabila dia tersedar perbuatannya selama ini sungguh terkutuk. Dia terbayangkan Munira, bayi mereka dan Atika yang tidak berdosa.

“Maafkan I, Mun. Maafkan, I,” ucap Khairul sambil menangis.
“Kau salah, Khairul. Walaupun manusia macam kau ni dikurniakan akal, tapi manusia jugalah yang selalu lupa, selaluI lalai. Mungkin kau lupa, aku boleh wujud dalam apa-apa bentuk yang aku nak, tapi aku tetap sama. Aku boleh jadi Munira. Aku boleh jadi hantu yang kau takut-takutkan. Aku boleh jadi apa sahaja, Khairul,” ucap sundel bolong itu dengan wujudnya yang berubah menjadi Munira, kemudian bertukar semula menjadi sundel bolong dan akhirnya menjadi satu lembaga hitam berbulu serta bertanduk.

“Tapi… kenapa kau perlu bunuh mereka semua?”

“Sekali lagi kau silap, Khairul. Yang membunuh manusia, selalunya manusia yang lain. Aku tak berkuasa untuk membuatkan nyawa manusia terpisah daipada badan,. Aku hanya mengganggu pemikiran dan emosi manusia sehingga manusia sanggup untuk saling berbunuhan,” jawab lembaga itu. Selepas itu, dia mengilai.

“Jadi… apa lagi yang kau nak daripada aku? Bini aku, anak aku dah mati sekarang!”

“Janji tetap janji, Khairul. Aku mahu aku tunaikan janji kau!” keras lembaga itu menggesa.

Khairul semakin ketakutan. Dia berlari ke bawah dan terus mencapai kunci kereta. Khairul mahu pergi dari situ. Lembaga hitam yang selama ini mengambil sosok sundel bolong itu jin yang didampingi oleh Khairul untuk mendapatkan kekayaan dunia dengan cara yang mudah.

Enjin kereta dihidupkan dan Khairul terus memandu laju. Dia memandang melalui cermin pandang belakang untuk melihat kalau-kalau dia diekori oleh jin itu. Tiada. Khairul mula lega.

“Kau tengok apa?” Khairul terkejut apabila jin itu berada di tempat duduk penumpang, kini dalam rupa Atika.

Stereng kereta dibelok kuat ke kiri hingga keretanya terus jatuh ke dalam gaung. Kereta Khairul jatuh di celah pokok-pokok hutan di sepanjang lereng bukit.

Nasibnya malang, dahan dan ranting pokok yang berceracak bukan setakat memecahkan cermin serta badan keretanya, tapi tubuh Khairul sendiri. Lehernya tembus tercucuk sebatang ranting pokok. Darah menyembur ketika nafas Khairul semakin terhenti. Hayat Khairul berakhir di situ juga.

Rahsia Khairul kekal rahsia. Munira dan Atika mati sebagai mangsa sikap tamak dan haloba. Zainal, Mansur dan Dino terkorban kerana kealpaan mereka yang ingin segera mendapat kesenangan. Jin yang menuntut janji, tidak akan rugi kerana ramai lagi manusia, yang mulai gelap hati.

=TAMAT=

Mengamalkan khurafat dan menyekutukan Allah ialah dosa besar di sisi Islam.
Sesiapa yang telah melakukan kekhilafan, hendaklah kembali bertaubat.

Tiada hantu dalam dunia ini, melainkan manusia yang berperangai hantu akibat terpedaya hasutan syaita dan terlalu mengikutkan hawa nafsu.

Suntingan & Gambar (google): Nadey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here