Tadi dah naik kan?

0
1652

Tajuk: Tadi dah naik kan?
Penulis: Norizwan Azlan

===

Baru-baru ni aku ada naik Grab kat Ipoh. Aku dari hospital KPJ masa tu. Malas nak bawa keluar kereta dari tempat letak kereta kat sana sebab nanti datang balik dah tak ada kosong, jadi aku putuskan untuk tempah Grab ke Tesco Kinta.

Bila kereta Grab sampai, aku pun masuk dan beri salam kepada pemandunya. Pemandunya menjawab salam berserta dengan senyuman.

Walaupun jarak hospital KPJ dengan Tesco Kinta tidaklah jauh mana, tapi aku sempat juga bersembang panjang dengan pemandu grab ni. Tambahan pula dia ni seorang yang agak mesra, jadi memang mudahlah nak bersembang apa apa topik.

Entah macam mana, sembang punya sembang, terbuka pula pasal cerita seram. Aku pun beritahulah abang Osman, yakni pemandu Grab tu yang aku ni penulis buku cerita seram. Bulan 9 ni akan keluar buku terbaru aku iaitu #Dejei

Nampak muka abang Osman jadi teruja bila dia tau aku penulis cerita seram. Lepas tu dia pun bukalah satu cerita seram yang pernah terjadi kepada dia. Dia kata bolehlah aku kongsikan dengan pembaca aku tentang kisah seram dia.

Abang Osman ni pemandu Grab sepenuh masa. Dia akan bekerja mula dari pukul 7 pagi sampai 2 petang. Kemudian dia balik rehat kejap dan sambung semula 5 petang sampai 10 malam.

Abang Osman ni juga persara kerajaan. Jadi bila dah pencen ni dia jadi bosan duduk rumah. Anak-anak pun dah besar dan berkeluarga. Jadi rumah dia memang sunyi sepilah sebab tinggal dia dengan isteri.

Isteri dia pula jenis aktif bercucuk tanam, jadi kat rumah memang dia tak bosanlah. Abang Osman pula tak minat bercucuk tanam ni, sebab tu dia buat Grab untuk hilangkan kebosanan.

Satu hari tu, jam dah menunjukkan pukul 10 malam dan abang Osman dah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pusing. Tiba-tiba telefonnya menunjukkan ada orang telah menempah keretanya menerusi aplikasi Grab.

Masa tu abang Osman mengeluh sebab dia terlupa tutup aplikasi Grab. Tak pasal-pasal dia dapat pelanggan yang perlu dihantar. Mujurlah pelanggan dia tu tinggal di tempat yang akan dia lalu untuk pulang ke rumah.

Jadi abang Osman pun terimalah tempahan tu dan terus bergerak ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk mengambil pelanggannya.

Sampai saja di kawasan hospital, abang Osman terus ke tempat menunggu penumpang, tempat biasa dia mengambil penumpang. Ini bukan kali pertama abang Osman ambil penumpang dalam hospital, sudah beberapa kali jugalah dia datang ke hospital.

Kawasan menunggu tu kelihatan tidak ada orang langsung. Malah pelanggan abang Osman pun tak nampak tubuh badannya di situ. Pelik juga abang Osman masa tu. Biasanya pukul 10 malam patut ada orang lagi. Walaupun tak ramai, sekurang-kurangnya mesti ada orang. Tapi ni orang tak ada, pengawal keselamatan hospital pun tak nampak.

Setelah 5 minit menunggu, kelibat pelanggan abang Osman masih belum kelihatan. Dalam hati dah terdetik yang pelanggan ni dah tipu dia.

Entah macam mana, tiba-tiba abang Osman terbatuk dan rasa macam kahak nak keluar. Jadi dia pun buka pintu dan ludah kahak keluar.

Bila abang Osman tutup je pintu, dan mata dia memandang cermin pandang belakang, masa tu abang Osman rasa macam nak gugur jantung dia.

Tiba-tiba, di tempat duduk belakang muncul seorang wanita yang dia nanti-nantikan daripada tadi iaitu penumpangnya.

“Astaghfirullah hal azim! Terkejut saya. Bila cik masuk? Saya tak sedar pun,” kata abang Osman sambil matanya memandang penumpang di belakang menerusi cermin pandang belakang.

Wanita itu tidak menjawab pun pertanyaan abang Osman. Dia hanya memandang abang Osman dengan renungan yang tajam. Renungan itu menyebabkan bulu roma abang Osman serta-merta meremang.

“Ish, lain macam ni!” Bisik hati abang Osman.

Tidak menunggu wanita itu menjawab, abang Osman mengalih pandangannya ke telefonnya untuk menekan apa-apa yang patut di telefonnya memandangkan penumpangnya sudah sampai.

Sekali imbas, abang Osman dapat lihat wajah wanita di belakangnya sama dengan foto di dalam telefonnya memandangkan aplikasi Grab kali ini, pelanggan juga perlu meletakkan foto muka mereka.

Sedang abang Osman menekan-nekan telefonnya, tiba-tiba telefonnya terjatuh disebab pemegang telefonnya tertanggal dari cermin.

Terus dengan pantas, abang Osman tunduk ke bawah sambil tangannya teraba-raba mencari telefonnya. Sebaik sahaja tangannya berjaya mendapatkan telefonnya, abang Osman pun bingkas duduk tegak semula seraya berkata, “Maaf cik, telefon jatuh pula,” sambil kepalanya berpusing ke belakang.

Sekali lagi abang Osman rasa macam nak gugur jantung dia. Kali ni, wanita yang tadinya ada di belakang tiba-tiba sudah hilang. Ke mana pula budak perempuan tadi? Tak dengar pun bunyi pintu kereta terbuka? Macam mana dia keluar? Pelbagai soalan bermain-main di dalam kepala abang Osman dan menyebabkan peluh dingin mula merembes keluar di dahinya.

Kemudian, tak sampai beberapa saat, pintu keretanya terbuka dan masuk seorang wanita yang mukanya memang sama dengan wanita yang sudah masuk awal tadi. Abang Osman melongo melihat wanita yang masuk ke dalam keretanya.

“Maaf bang lewat. Singgah bilik air jap tadi,” kata wanita yang baru masuk itu.

Abang Osman masih ternganga dan hanya memerhatikan wanita itu saja. Gelagat abang Osman akhirnya disedari wanita itu.

“Bang! Kenapa tengok saya macam tu?” Tanya wanita itu sambil wajahnya mula terpamer kerisauan.

Soalan wanita itu menyebabkan abang Osman tersentak daripada lamunannya. “Err, tadi bukan ke cik dah masuk dalam kereta saya?” Tanya abang Osman.

“Masuk dalam kereta? Bila pula bang? Saya baru je masuk ni sebab tadi ke toilet,” balas wanita itu dengan nada suara yang kedengaran bimbang.

Osman kelu. Tiada apa dia boleh katakan lagi. Tapi memang dia nampak dengan matanya sendiri, pelanggannya itu sudah masuk ke dalam kereta. Cuma memang pelik sebab masa dia masuk dan keluar, tidak terdengar pun bunyi pintu dibuka dan ditutup.

“Err… Takpleh cik. Saya je kot yang fikir cik dah masuk. Mungkin sebab penat. Hehehe,” kata abang Osman untuk menyedapkan hatinya dan hati pelanggannya.

Namun begitu, abang Osman tetap bersyukur sebab sepanjang perjalanan pulang menghantar pelanggannya dan juga ketika pulang rumah ke rumah, dia tidak lagi menerima sebarang gangguan.

Tapi dia tetap tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang berada di dalam keretanya? Jika bukan manusia, pastinya ia adalah makhluk yang setiap manusia tak ingin jumpai dan malangnya, malam tu abang Osman telah berjumpa dengan makhluk tersebut.

Pastinya, ini adalah dugaan dan ujian yang perlu dihadapi oleh mana-mana pemandu Grab. Bila-bila masa saja, mungkin ‘dia’ akan naik kereta anda.

SHARE
Previous articleMISTERI KALSOM
Next articleTRIVIA AAN: BUNIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here