TERPILIH

0
2066

TERPILIH
Karya: Shaha Rahman

===============

‘’Wargghhhhh..!!! Wargghhhh..!!! Warghhh..!!!’’

Jeritan nyaring jelas kedengaran dari rumah Dollah Ayam. Rumah kayu yang bercat pudar itu gegak gempita. Jiran-jiran yang berkerumun terjengguk-jengguk di muka pintu, cuba menyiasat apa yang sedang berlaku.

‘’Keluar kau dari jasad cucu cicit Nabi Adam ini wahai syaitan laknatullah. Jangan ganggu keturunan kami!!!’’ Pekik Ustaz Salleh. Wajahnya basah berkeringat akibat terlalu lama berlawan dengan Ishak, anak teruna Dollah Ayam yang sedang kesurupan.

Letih akibat mengubati Deraman Cendol pada petang tadi masih bersisa, malamnya mengubati anak Dollah Ayam pula. Walaupun lelahnya bukan kepalang, namun Ustaz Salleh tetap menguatkan semangat. Menolong yang memerlukan selagi bernyawa, walau terpaksa bertongkat sekalipun.

‘’Kahh kahh kahh. Kau bukan lawan aku orang tua,’’ ujar Ishak sinis, suaranya halus persis suara perempuan tua. Ekor matanya menjeling sekilas ke wajah lelaki berserban yang sedang berhadapan dengannya.

‘’Jangan kau cabar aku syaitan. Aku bakar kau hidup-hidup nanti.’’ Gertak Ustaz Salleh. Wajah lelaki separuh abad itu merah padma menahan marah, matanya mencerlung tajam wajah Ishak.

Dollah Ayam dan isterinya tidak bersuara, hanya menyaksikan adengan menghalau puaka yang meresapi ke dalam batang tubuh anak tunggalnya. Kassim, Ajis dan Kamal berdiri siaga di belakang Ustaz Salleh, cuba menolong jika Ishak bertindak di luar kawalan.

‘’Cuba lah orang tua kutuk, dasar tak sedar diri. Hahaha.’’ Sindir Ishak lagi. Dia ketawa terbahak.

‘’Mat. Kau azan.’’ Arah Ustaz Salleh pada Rahmat, anak buahnya. Remaja belasan tahun itu pantas mengangguk seraya bangkit berdiri. Udara disedut perlahan mengisi kantung paru-paru, lalu azan dilaungkan dengan sekuat hati.

‘’Allahu Akbar Allahu Akbar..’’

‘’Bukkk..!!!’’ Belum sampai ke pertengahan azan, satu tumbukan padu hinggap ke pipi Rahmat. Remaja itu terhuyung hayang cuba menstabilkan langkah, namun akhirnya dia tetap rebah ke lantai. Semua yang berada di ruang tamu ketika itu terperanjat, tidak menyangka Ishak akan bertindak agresif sebegitu.

Ustaz Salleh segera mendapatkan anak buahnya yang tertiarap di lantai. Mulut lelaki separuh abad itu terkumat kamit, lalu dihembuskan perlahan kepada wajah Rahmat.

‘’Kassim, Ajis, Kamal. Kau pegang budak ni. Jangan bagi terlepas…’’ arah Ustaz Salleh. Matanya menatap tajam wajah Ishak, bagai singa yang menunggu masa untuk menerkam mangsa. Kasim, Ajis dan Kamal memandang satu sama lain. Masing-masing menelan liur.

‘’Jangan takut. Kau tu lelaki, kena berani,’’ ujar Ustaz Salleh lagi. Ketiga-tiga pemuda itu pada mulanya teragak-agak untuk menghampiri Ishak, namun selepas diherdik Ustaz Salleh, mereka cuba memberanikan diri.

‘’Paappp.. Pappp.. Pappp..’’ Tiga pasang tangan memegang kejap batang tubuh Ishak, menahan jika pemuda itu bertindak kasar lagi.

‘’Hihihihi..’’ Ishak ketawa halus, sinis mengejek. Kepalanya dimiringkan ke kiri dan kanan silih berganti. Ustaz Salleh segera berdiri setelah menyandarkan anak buahnya pada dinding, kakinya dipasakkan ke lantai sekukuh mungkin. Mulut lelaki berserban putih itu mula bergerak-gerak membaca sesuatu. Kain pelikat yang sedari tadi diletakkan diatas bahu, dicapai lalu digenggam erat.

Secara tiba-tiba, Ishak menarik kasar tangan kanannya, membuatkan Kamal terpelanting ke depan-terdorong oleh kudrat Ishak yang maha kuat.

Gungg!!! Kraakkkk.. Bukkkkk…

Kamal merempuh dinding lalu jatuh ke lantai. Pemuda itu memejam erat kelopak matanya, dunia serasa berputar laju. Dia memegang rusuk kanannya yang sakit tidak terkata, barangkali sudah retak ataupun patah.

Kassim dan Ajis terperanjat, mulut mereka hampir ternganga. Wajah kedua pemuda itu mula berubah pucat. Peluh dingin semakin laju merembes.

‘’Takut ke? Hihihihi.’’ Sindir Ishak. Bebola matanya yang bulat tersembul bertentang dengan anak mata Ajis. Ajis segera memejamkan mata, renungan Ishak seperti merentap segala semangatnya. Tubuh pemuda itu mula melemah, kakinya terasa longlai tidak bertenaga. Dia menggeletar ketakutan. Pegangan tangannya pada lengan kiri Ishak juga sudah mula longgar. Ishak yang kerasukan tidak mensiakan peluang, tangan kirinya direntap laju hingga cengkaman jemari Ajis terlepas dari memegangnya.

‘’Fuhhhhhhhhhh..’’ Ishak meniup lembut ke arah wajah Ajis. Dengan tidak semena-mena, Ajis membeliakkan biji mata. Mata hitam pemuda itu mula membesar dan seluruh badannya menggeletar hebat. Ajis rebah ke lantai. Urat hijau jelas menonjol di dahi dan leher pemuda itu, menandakan dia menahan kesakitan yang tidak terperi.
H

“Bismilla…” Belum sempat Kassim menghabiskan bacaan Basmallah, satu tamparan hinggap di pipinya. Kassim yang sedikit berisi itu jatuh tersembam, pipinya merona merah. Pandangan pemuda itu berpinar, kabur. Dia menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali sebelum pandangannya kembali normal.

‘’Jangan kau nak cabar aku. Hahahaha..’’ ujar Ishak lalu ketawa. Jelingan matanya yang tajam mencerlung tepat ke wajah Kassim. Kassim hanya menunduk. Tangan kanannya menggosok perlahan pipinya yang sakit bukan kepalang, pedih menjalar ke segenap wajah.

‘’Hahh.. Hiahhh..!!! Hiaahhhh..!!! Keluar kau syaitan. Kembali ke tempat asalmu!!!’’ Pekik Ustaz Salleh sambil tangannya melibas-libas kain pelikat yang dilipat memanjang-ke arah Ishak. Jubah lelaki separuh abad itu lencun akibat keringat, wajahnya jelas terpamer riak keletihan.

Ishak berundur beberapa langkah ke belakang, cuba menjauhkan diri. Sesekali terdengar pemuda itu berdesis perlahan apabila kain pelikat yang dilibas mengenai badannya. Mata anak sulung Dollah Ayam itu berkelip-kelip beberapa kali, menandakan dia terasa sakit apabila diperlakukan demikian.

“Hahh..!!!” Ishak tangkas menangkap kain yang dilibas kepadanya lalu direntap sekuat hati. Ustaz Salleh terdorong ke depan beberapa langkah, dia hampir rebah. Mujurlah lelaki tua itu sempat mengukuhkan langkah.

Bukkkkkk..

Satu tendangan padu tepat mengenai dada Ustaz Salleh, membuatkan lelaki tua itu jatuh terlentang. Pemuda yang kesurupan itu menyerang balas. Dia tersengih umpama kerang busuk menatap Ustaz Salleh yang tersungkur di lantai.

‘’Aduhhhh..’’ Ustaz Salleh mengaduh perlahan. Mata lelaki tua itu dipejam rapat, dahinya berkerut menahan kesakitan. Setelah beberapa detik, dia membuka kembali kelopak mata. Dadanya yang ditendang diurut perlahan.

‘’Kau masuk tempat orang, kau buat onar. Kau mahu main kasar ya, kau tunggu,’’ ujar Ustaz Salleh, matanya bertentang dengan mata Ishak.

“Kassim.. Kau pergi panggil Lebai Hasyim, kau pergi mintak tolong dia.” Kassim mengangguk laju lalu menapak langkah beredar. Pipi kanannya masih memerah akibat ditampar Ishak sebentar tadi.

‘’Panggil yang hebat sikit yaaa.. Hihihihi..’’ ujar Ishak sinis. Bicaranya tinggi melangit, bagai tiada yang mampu menewaskan dirinya.

* * *

Preennggggg.. Preennggggg.. Prenngggg..

Kassim menunggang motor kapcainya dengan laju merempuh kepekatan malam. Rumah Lebai Hasyim terasa jauh dari kebiasaan. Masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya suara ketawa Ishak yang dirasuk. Dengan serta merta, roma pemuda itu merinding umpama direnjat elektrik.

Kassimmmmmm.. Kassimmmmm.. Kassimmmmm..

Tiba-tiba, pemuda itu terasa namanya dipanggil berkali-kali. Suara perempuan mendayu-dayu umpama meminta tolong, sedikit memujuk. Kassim memberanikan diri, mengintai melalui cermin sisi motorsikalnya.

Kelihatan kelibat seseorang sedang mengekori, wajahnya tidak kelihatan kerana diselubung dengan kain berwarna hitam. Perempuan itu terbang melayang, kakinya tidak berjejak tanah.

Tubuh Kassim menggeletar ketakutan, wajahnya berubah pucat. Pendikit minyak dipulas habis, halaman rumah Lebai Hasyim menjadi sasaran.

* * *

‘’Sekarang, buah lapan.. Uppp..!!!’’ arah Aduka kepada berbelas pasangan pesilat yang berada di hadapannya.

“Hiaappp, hiapp hiaappp..!!!” Buah nombor lapan disempurnakan dengan baik oleh hampir setiap pasangan, hanya beberapa orang kelihatan masih kekok. Dua orang pesilat yang bertali pinggang merah membetulkan gerakan pasangan yang sedikit kekok sebentar tadi.

‘’Baik.. Sekarang, lanjutkan dengan buah sembilan. Sedia..’’ arah Aduka lagi. Semua pasangan pesilat mengukuhkan kuda-kuda, tangan setiap pasangan dalam keadaan bersedia menyerang dan menyambut serangan..

‘’Uppp..!!!’’ laung Aduka.

‘’Hiaapp, hiapp, hiaappp…!!!’’ Buah sembilan dilakukan dengan sempurna. Setiap penyerang rebah ke tanah, gerakannya turut dikunci. Aduka mengangguk kepala, tanda berpuas hati.

Preennggggg..!!! Prennggg..!!! Preenngggg..!!!

Aduka mengalihkan pandangannya pada motorsikal yang semakin menghampiri gelanggang silat. Pemuda yang berusia 27 tahun itu berasa hairan dengan tingkah penunggang motorsikal yang kelihatan tergopoh gapah, hampir-hampir melanggar tunggul kayu di bahu jalan.

Srekkkkkkk..

Brek ditekan sekuat hati sehingga meninggalkan kesan geseran tayar di atas tanah. Kassim tercungap-cungap, udara disedut laju memenuhi kantung paru-paru. Wajah pemuda itu berkeringat halus.

‘’Assalamualaikum..’’ sapa Aduka lalu menghampiri Kassim.

‘’Wa.. Wa’alaikummussalam..’’ jawab Kassim tergagap-gagap, dia terpinga.

‘’Kenapa ni Sim?’’ Soal Aduka seraya menghulur tangan untuk bersalaman. Pelik benar dia dengan kelakuan rakan seusianya, kawan sepermainan ketika kecil.

‘’Lebaai.. Lebbaii Hasy..Hasyyimm aada?’’ soal Kassim, suaranya masih menggeletar. Tangan kanannya menyambut tangan Aduka yang dihulur sedari tadi. Aduka terperanjat apabila merasa tangan Kassim sejuk umpama membeku. Mata pemuda itu merenung tepat ke anak mata Kassim.

‘’Pak Hasyim takde la Sim. Dia pergi kampung sebelah.’’

‘’Bila dia balik Aduka?’’

‘’Aku pun tak tahu Sim. Allahu a’lam. Kenapa Sim?’’ Dahi Aduka berkerut, perasaan ingin tahu terus menerpa.

‘’Anak Dollah Ayam dirasuk syaitan. Ustaz Salleh dah cuba rawat, tapi tak jalan. Ni Ustaz Salleh suruh aku datang panggil Lebai Hasyim.’’ Terang Kassim. Badannya masih menggigil perlahan.

‘’Tadi masa datang sini pun, aku nampak kelibat perempuan tua kejar aku sambil panggil-panggil nama aku.’’ tambah Kassim lagi. Peluh dingin masih mengalir di wajah pemuda itu. Sosok kelibat hitam yang mengejarnya tadi bermain-main di benak.

‘’Ohhh. Patut la kau jadi sampai macam ni,’’ ujar Aduka sudah dapat menduga. Kassim hanya mengangguk, mengiakan kata-kata Aduka.

‘’Macam mana sekarang ni Duka? Nak buat macam mana?’’ Kassim pula menyoal, dia kini buntu.

‘’Ermmm. Aku pun tak tahu Sim.’’

‘’Kau tak tahu ke siapa yang berkebolehan dalam bab-bab hantu ni Duka? Kau sendiri boleh tak?’’ desak Kassim lagi. Matanya terpancar sinar pengharapan.

‘’Aku tak berapa pandai la bab-bab makhluk macam ni Sim. Kejap erh.’’ ujar Aduka. Kassim hanya mengangguk.

‘’Abang Megat.. Abang Megat..’’. Aduka melaung beberapa kali.

Terdengar namanya dipanggil, Megat mendongakkan kepalanya ke arah suara tersebut terbit. Aduka melambai-lambaikan tangannya, sebagai isyarat memanggil. Megat bangkit dari sila, kerja membaiki orang kayu dihentikan untuk seketika. Pemuda itu mengorak langkah, menuju ke arah Aduka dan Kassim.

‘’Assalamualaikum warohmatullah,’’ Sapa Megat apabila dia berdiri berhadapan dengan Kassim dan Aduka. Pemuda itu berdiri tegap sambil bibirnya menyimpul senyuman manis.

‘’Wa’alaikummussalam,’’ jawab Aduka dan Kassim hampir serentak. Megat menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Kassim. Pemuda itu menyambut, tangan mereka bertaut.

Kassim terkejut, mulutnya sedikit ternganga. Dia terasa bagai ada suatu aura hangat mengalir ke dalam tubuhnya melalui tangan Megat yang sedang berjabat dengan tanggannya. Perlahan-lahan, tubuh badannya yang terasa sejuk bagaikan membeku mula hangat, wajahnya yang pucat lesi juga mula berubah sawo matang.

‘’Panggil hamba ke?’’ Soal Megat selepas meleraikan jabat tangan. Wajah pemuda itu jernih berseri disentuh cahaya rembulan yang menyimbah bumi.

‘’Ya. Kassim ada hajat sikit ni Abang Megat. Harap Abang Megat tidak keberatan,’’ jawab Aduka menyatakan tujuan. Walaupun usia Megat lebih muda dari dirinya, dia tetap membahasakan Megat dengan panggilan abang, sebagai penghormatan ke atas Megat selaku orang kepercayaan Lebai Hasyim, di samping pemuda itu memiliki ilmu persilatan dan ilmu agama yang lebih tinggi dari dirinya.

Kassim menceritakan segala yang terjadi, bicaranya sudah tidak tergagap-gagap. Sesekali Aduka menyampuk, menambah perihal yang Kassim terlupa. Megat hanya memasang telinga, mendengar bait-bait bicara kedua orang pemuda di hadapannya. Sesekali dia mengangguk tanda faham. Dia tidak bersoal walau sepatah sehingga Kassim mengakhiri bicaranya.

‘’Macam mana Abang Megat? Sudikah kiranya menolong?’’ soal Aduka.

‘’Harap Megat tolong la. Aku tak tahu dah nak cari siapa lagi ni.’’ tambah Kassim. Kata-katanya mengandungi pengharapan yang menggunung tinggi.

Megat masih tidak memberi kata putus. Dia sedang berkira-kira, perasaannya berbelah bahagi. Matanya manatap wajah Kassim yang sedang menanti jawapan.

‘’Hamba tidak pandai bab-bab macam ni. Namun kerana undangan Ustaz Salleh, hamba akan pergi sebagai wakil Pak Hasyim.’’ tutur Megat perlahan, dia hanya tersenyum kelat. Sememangnya dia tidak suka menjadi tumpuan, melainkan keadaan benar-benar mendesak, terpaksa.

‘’Fuhhh. Alhamdulillah.’’ Kassim melepaskan keluhan lega, wajahnya sedikit ceria.

‘’Jagat. Ambik alih untuk malam ni. Abang dengan Abang Megat ada urusan sebentar.’’ Arah Aduka meninggalkan pesan.

‘’Baik Abang Aduka,’’ sahut Jagat seraya mengangguk faham.

‘’Baik. Jom.’’ Ajak Aduka. Kassim mengangguk laju lalu menghidupkan motor kapcainya. Megat yang memboceng di belakang Aduka tidak bersuara. Fikiran pemuda itu mula menerawang, mengharapkan urusannya dipermudahkan oleh Allah.

* * *

‘’Panas..!!! Panas..!!! Celaka. Siapa yang datang?’’ Gumam Ishak bicara sendiri. Dia berjalan mundar-mandir di ruang tamu, lagaknya umpama cacing yang kepanasan. Ustaz Salleh hanya tersenyum, tidak menjawab pertanyaan jin yang merasuki jasad Ishak. Kamal, Ajis dan Rahmat bersandar pada dinding. Mereka sudah sedarkan diri, cuma menunggu tenaga untuk kembali pulih.

‘’Prenngggg.. Prenngggg.. Prenngggg..’’

Kassim, Aduka dan Megat tiba di halaman rumah Dollah Ayam. Seusai menongkat motor, mereka terus bergegas ke pintu rumah yang sudah terkuak luas. Jiran-jiran yang membanjiri muka pintu rumah Dollah Ayam terus berundur, memberi ruang untuk mereka masuk.

‘’Assalamualaikum.’’ Kassim memberi salam, mewakili mereka bertiga.

‘’Wa’alaikummussalam.’’ jawab Ustaz Salleh yang sudah sedia menanti tetamu yang diundangnya.

‘’Maaf Ustaz. Pak Hasyim ke kampung sebelah, tak tahu bila balik. Kami datang mewakili Pak Hasyim, jika ada apa-apa yang boleh ditolong.’’ ujar Aduka setelah bersalaman dengan Ustaz Salleh.

Ustaz Salleh tidak menjawab, dia hanya tersenyum manis sambil mengangguk beberapa kali. Megat bersalaman dengan Ustaz Salleh, tangan lelaki separuh abad itu dikucup penuh sopan. Ustaz Salleh melebarkan senyumannya, bahu Megat ditepuk beberapa kali. Kenal benar dia akan pekerti pemuda itu, anak arwah Kiyai Saidi, salah seorang gurunya sendiri.

Ishak sudah tidak mengganas, dia hanya duduk di penjuru dinding sambil memeluk betis. Mulutnya masih bergerak-gerak menyebut sesuatu, wajahnya disembam ke lutut. Semua yang ada terasa hairan, kelakuan Ishak persis seperti anak kecil yang merajuk dengan ibunya.

‘’Maaf menyusahkan anak-anak kesini. Ustaz dah tua, dah tak larat nak lawan syaitan-syaitan ni. Jin pun dah tak takut. Tak lama lagi dah nak pencen. Hehehe.’’ ujar Ustaz Salleh berjenaka. Wajah lelaki tua itu kelihatan ceria, namun urat-urat penuaan jelas terpamer di segenap wajahnya.

‘’Harap anak-anak la yang akan menyambung perjuangan ini.’’ tambah Ustaz Salleh lagi. Matanya memandang tepat ke wajah Megat. Pemuda itu hanya tersenyum tawar.

‘’Ermmmmm. Abang Megat. Di sana Ishak, anak Dollah.’’ bisik Aduka di telinga Megat. Megat menoleh lalu mengangguk, namun wajahnya kelihatan serba salah, dia teragak-agak.

‘’Kassim.. Pergi tutup pintu.’’ arah Ustaz Salleh. Dia seperti mengerti resah yang sedang bermain di fikiran Megat. Kassim mengangguk perlahan lalu bangkit menghampiri pintu.

‘’Maaf ya pakcik, makcik. Ustaz Salleh suruh saya tutup pintu.’’ ujar Kassim serba salah. Jiran-jiran yang berdiri di muka pintu mengangguk, lalu berbisik sesama sendiri. Bunyinya seperti dengungan kumpulan lebah yang mencari madu.

‘’Krekkkkkkkk.. Ktappp..’’. Pintu ditutup lalu dikunci rapat.

‘’Pergilah Megat.’’ ujar Ustaz Salleh, bibirnya masih menguntumkan senyuman.

‘’Baik. Hamba cuba ya.’’ balas Megat seraya bangkit berdiri. Ustaz Salleh dan Aduka mengangguk hampir serentak.

Megat menapak langkah, menghampiri Ishak yang masih duduk membatu. Pemuda yang berambut ikal separas bahu itu mula melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran di dalam hatinya.

‘’Panas..!!! Panas..!!!’’ laung Ishak secara tiba-tiba. Kedua belah tangannya menarik-narik rambut sehingga ada yang tercabut dari kulit kepala. Megat mematikan langkah, dia berdiri tercegat berjarak beberapa langkah dari Ishak.

Pemuda yang kerasukan itu mengesot ke belakang, menyandarkan badannya ke dinding. Kakinya menunjal-nunjal lantai sehingga tikar getah terkopak. Kepalanya pula ditolehkan ke kiri dan kanan silih berganti, mencari jalan untuk melarikan diri.

Bakul rotan, majalah, bantal dilempar kepada Megat. Apa saja yang mampu dicapai oleh tangannya, Ishak akan membaling kepada pemuda yang berdiri tidak jauh dari dirinya itu. Semua barang yang dilontar mampu dielak mudah oleh Megat, tiada satu pun yang mengenai dirinya.

‘’Warrggghhhhh..!!!’’. Ishak menjerit lantang, suaranya bergema memenuhi ruang tamu. Semua yang berada di situ menutup telinga mereka kecuali Megat dan Ustaz Salleh. Dollah Ayam, Rahmat, Ajis, Kassim dan Kamal menekup kuat kedua belah tangan mereka ke telinga. Wajah mereka merah padma, urat-urat jelas menonjol di wajah akibat menahan gelombang berfrekunsi tinggi yang menujah keras ke gegendang telinga. Isteri Dollah Ayam pula rebah ke lantai, pitam tidak sedarkan diri.

Aduka menongkatkan sebelah tangannya ke lantai, manakala sebelah lagi menutup telinga. Kepalanya terasa pening akibat suara raungan Ishak yang nyaring bergema manakala dadanya terasa sesak seperti ingin meletup..

Rumah kayu itu bergoncang kuat bagaikan dilanda gempa bumi. Beberapa keping bingkai gambar yang digantung di dinding jatuh ke lantai, penutup kacanya pecah berderai.

Megat mula mengambil tindakan. Dia mengangkat tangan kanannya ke hadapan, dihalakan ke arah Ishak. Mulut pemuda yang tinggi lampai itu mula bergerak perlahan membaca sesuatu.

Ganggggg!

Badan Ishak melekap ke dinding, bagai ditolak oleh sesuatu yang tidak kelihatan. Wajah pemuda yang kerasukan itu terkejang-kejang, air liurnya tumpah berjejeran.

Semua yang berada di ruang tamu ketika itu menyedut pantas udara, bagai baru terlepas dari jerutan maut. Tindakan yang dibuat oleh Megat membuatkan mereka terlepas dari azab raungan Ishak. Masing-masing mengatur kembali pernafasan yang tidak keruan seperti ombak yang sedang mengganas.

‘’Anas.. Panasss..’’ gumam Ishak perlahan, wajahnya berkerenyok menahan sakit. Setelah beberapa detik, Megat menghentikan perbuatannya, tangannya diturun ke bawah.

Ishak rakus menghirup oksigen, dia seperti orang yang hampir lemas. Wajah pemuda itu menyeringai marah, dia menoleh pantas, mencari jalan untuk melarikan diri.

Sedang bebola matanya mencari ruang untuk meloloskan diri, pandangannya tertancap pada pandangan mata Megat.

‘’Argghhhhh.. Sakittt..!!! Aduhhh. Tolong..!!! Sakit..!!!’’ Ishak menggelupur di atas lantai, tangannya menggosok-gosok laju kedua biji matanya yang terpejam rapat. Dia menggeletis umpama dipanggang hidup-hidup. Jiran-jiran Dollah Ayam mula riuh-rendah, jeritan Ishak menimbulkan tanda tanya. Ada di antara mereka yang mengintai di sebalik lubang sebesar duit syiling sepuluh sen di dinding kayu rumah tersebut.

‘’Sakit..!!! Tuan jangan sakiti aku. Tolong tuan. Aku mengalah. Aku mengalah…’’ ujar Ishak meminta belas kasihan. Dia duduk sambil separuh tubuhnya dibongkokkan menghadap Megat. Semua yang berada di ruang tamu ketika itu tergamam melainkan Aduka dan Ustaz Salleh. Lelaki tua itu masih tersenyum, dia sepertinya sudah dapat menduga situasi ini.

‘’Bangun. Jangan melakukan perkara seperti itu. Jangan tunduk kepada makhluk.’’ ujar Megat serba salah. Dia tidak selesa diperlakukan begitu.

‘’Bangunlah wahai hamba Allah.’’ tambah pemuda itu lagi. Ishak bangkit perlahan, dia menangis teresak-esak. Tidak disangka keangkuhannya lebur sekelip mata, hancur berkecai kepada pemuda yang masih hijau umurnya.

‘’Hamba tidak suka menyakiti sesama makhluk. Hamba tidak suka berkasar. Cuma hamba minta, kamu keluar dari jasad ini. Jangan kembali lagi dan jangan menganggu bangsa kami lagi. Boleh?’’ ujar Megat tenang, dia cuba menyelesaikan secara aman. Ishak mengangguk, dia tidak menjawab. Pemuda itu tersedu sedan, sisa esakan masih berbaki.

‘’Sekarang, kamu keluar ya.’’ Pinta Megat memujuk.

Ishak mengangguk perlahan. Dia mendongakkan kepala lalu menganga mulut seluas-luasnya. Kelihatan seperti asap hitam berkepul-kepul keluar dari mulut Ishak, lalu berlegar-legar di atas atap. Pemuda itu hampir jatuh, mujurlah Megat sempat menyambutnya dengan gerakan sepantas kilat.

Asap hitam yang berkepul-kepul tadi terus keluar dari tingkap kayu yang sedikit terbuka. ‘’Ktappp.. Ktapp.. Ktaapppp..’’. Tingkap kayu tersebut terbuka dan tertutup berulang kali bagaikan dilanggar deruan angin kencang.

Suasana sunyi sepi, masing-masing masih tergamam umpama tidak percaya. Hanya kedengaran bunyi kipas sedang berputar laju, menyejukkan sedikit sebanyak udara yang membahang. Megat memapah Ishak menghampiri Ustaz Salleh, pemuda itu masih belum sedarkan diri. Dia dibaringkan lalu wajahnya disapu air yang telah dijampi dengan ayat-ayat suci Al-Quran oleh lelaki separuh abad itu.

‘’Kenapa jadi macam ni ustaz?’’ soal Aduka membuka bicara setelah lama berdiam diri sedari tadi.

‘’Ayah dia cakap, dia jadi macam ni lepas pergi mandi air terjun kat negeri sebelah. Benda tu menumpang kat badan si Ishak ni, mungkin berkenan. Hehehe.’’ Terang Ustaz Salleh diakhiri dengan ketawa kecil. Aduka mengangguk faham, tidak lagi bersoal.

* * *

‘’Kamu memang berbakat dalam hal dunia ghaib Megat, sama seperti leluhurmu yang terdahulu. Kamu mewarisi bakat mereka turun temurun. Kamu yang terpilih.’’ ujar Ustaz Salleh apabila menghampiri Megat yang sedang memakai capal berwarna coklat. Matanya merenung wajah pemuda berambut panjang separas bahu itu.

‘’Tidak ustaz. Hamba hanya orang biasa,’’ jawab Megat melarikan diri dari kenyataan kata-kata Ustaz Salleh sebentar tadi. Lelaki tua itu tidak membalas, hanya menggariskan sejalur senyuman.

‘’Jangan sia-siakan bakat kamu ya Megat.’’ Pesan Ustaz Salleh lagi. Megat teragak-agak untuk mengangguk, dia hanya tersenyum kelat.

‘’Hamba balik dulu ustaz. Aduka sudah menunggu. Assalamualaikum,’’ ujar Megat memberi salam setelah bersalaman dengan Ustaz Salleh.

‘’Baik. Hati-hati. Wa’alaikummussalam.’’ Balas Ustaz Salleh. Dia menghantar pemuda itu dengan pandangan sehingga motorsikal yang ditunggang mereka hilang di dalam kepekatan malam. Lelaki tua itu masih setia tersenyum. Dia tahu, pemuda itu akan menjadi orang yang hebat suatu masa nanti.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleMEMORI BULAN
Next articleHUTAN 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here