THE SLEEPING FREEKI

0
946

THE SLEEPING FREEKI (PART 1)
KARYA: Dikmang

================
Di sebuah negara yang tidak diketahui nama, ada sebuah pekan kecil yang bernama Blackwood. Penduduknya hidup aman dan makmur. Sehinggalah pada suatu hari, datang sarkas bergerak membuat persembahan di pekan Blackwood. Dan tragedi bermula dari saat itu.

———————

Stuart merenung kosong di hadapan. Fikirannya melayang, mencungkil kembali memori-memori silam. Di mana ketika dia masih muda. Di mana ketika ramai orang masih muda. Di mana ketika pekan Blackwood masih muda dan meriah.

Satu persatu memori dicungkil. Dari keriuhan pekan, percintaan yang manis bersama isterinya sehinggalah ke menebang pokok.

Menebang pokok. Lelaki tua berumur 70an itu tersenyum seorang diri apabila mengenang tentang pekerjaannya kembali. Bukan pekerjaan dia seorang sahaja. Malah hampir separuh lelaki-lelaki dari pekan itu mempunyai perkerjaan yang sama.

Tetapi semua itu sudah berubah. Remaja-remaja lelaki sekarang tidak sama dengan remaja-remaja dahulu. Mereka tidak memilih kerja. Tapi sekarang.

“Hmmppp..” Stuart menghela nafas.

Kebanyakan anak muda sudah mula berhijrah ke bandar. Untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih bagus. Begitu juga dengan anak perempuannya, Sharon yang kini sudah berkahwin. Dia dan pasangannya kini tinggal di bandar. Sesekali pulang ke Blackwood menjenguk Stuart dan Martha.

“Ke mana kalian pergi bermain tadi?” Suara Puan Julia dari rumah sebelah mengejutkan lamunan Stuart.

“Err.. kami pergi ke tasik.” Jawab Jack perlahan.

“Tasik? Kalian pergi dengan siapa?” Puan Julia menyoal lagi.

“Kami pergi dengan Michelle dan Peter.” Katie memotong.

“Kenapa main di tasik tu? Situ tak ada orang. Nanti kalau apa-apa terjadi, susah.” Puan Julia menggelengkan kepala.

“Situ ada orang la ibu. Kami nampak seorang lelaki muda dan sebuah khemah kecil.” Jack menjawab.

“Ya ibu. Khemah kecil. Berwarna kuning putih. Tapi khemah tu dah buruk betul.” Katie mengayakan tangannya seperti bentuk khemah.

“Sudah, sudah. Jangan merepek lagi. Pergi masuk mandi. Lepas tu tolong ibu siapkan makan malam.” Puan Julia menghilangkan diri di dalam rumah.

Stuart yang sejak tadi mencuri dengar perbualan mereka mula memanggil Jack dan Katie.

“Tadi kamu cakap kamu nampak lelaki muda dan khemah kecil di pinggir tasik, bukan?” Stuart menyoal.

“Ya pakcik. Kami nampak tu. Tapi ibu tak percayakan kami.” Katie menunduk sambil bermain dengan gaun hijau mudanya.

“Tak apa nak. Pakcik percaya. Kalian nampak wajahnya?” Tanya Stuart dengan penuh minat.

“Kami tak nampak. Lelaki tu berdiri membelakangi kami. Dan dia terus masuk ke dalam khemah.” Jawab Jack.

“Jack, Katie. Buat apa lagi tu? Cepat pulang. Tolong ibu.” Panggil Puan Julia dari tingkap.

“Okay ibu. Pakcik, kami pulang dulu ya.” Jack dan Katie meminta izin sebelum berkejaran ke rumah.

“Maaf ya pakcik Stuart kalau-kalau mereka menganggu.” Puan Julia tersenyum di tingkap.

“Tak apa lah. Mereka masih kecil lagi.” Balas Stuart sambil bangun dari kerusi malas.

Malam itu..

Sambil berbaring di katil, Stuart merenung kosong siling bilik tidurnya. Memikirkan cerita anak-anak puan Julia petang tadi.

“Tak mungkin yang mereka nampak itu adalah…”

“Sayang. Kenapa belum tidur lagi? Ada masalah kah?” Martha menyoal sebaik sahaja melihat suaminya masih mencelik mata.

“Saya sedang fikiran sesuatu. Atau seseorang.” Stuart menjawab sambil menarik selimut menutupi dada.

“Fikirkan apa?” Martha mengiring menghadap suaminya.

“Tiada apa lah. Mari tidur. Sudah jauh malam ni.” Stuart berdalih. Matanya dipejam. Martha tidak berpuas hati. Tapi dia menurut juga kehendak suaminya.

——————

“Hei! Pulangkan basikal aku! Budak nakal!” Holmes menjerit di seberang jalan, sambil sekumpulan kanak-kanak nakal merampas basikalnya.

“Tengok tu! Dia dah marah. Hahaha.” Seorang kanak-kanak berbadan gempal menunding jari ke arah Holmes sambil ketawa.

“Biarkan dia, Rudy. Dia tak boleh lakukan apa-apa. Dia sudah tua.” Tambah seorang budak lagi. Yang lain hanya ketawa geli hati melihat Holmes.

“Hei. Pulangkan semula basikal pakcik Holmes.” Tegas Jack dari satu sudut. Katie bersembunyi di belakang abangnya kerana takut.

“Kalau kami tak pulangkan, apa yang kamu akan lakukan?” Rudy mengejek.

“Saya akan lawan kamu.” Jack menggenggam penumbuk.

“Kawan-kawan. Nampaknya kita ada hero di sini.” Kata-kata Rudy disambut dengan gelak ketawa dari yang lain.

“Mari lah. Kamu tunggu apa lagi.” Sambung Rudy. Lengan bajunya dilipat hingga menampakkan ketiak.

“Ohhh. Di sini kamu ya. Sudah. Mari pulang. Budak bertuah. Siap lah kamu di rumah nanti.” Entah dari mana, puan Mickie muncul lalu menarik telinga Rudy.

“Aduh ibu. Sakit. Ampun ibu.” Rudy memegang tangan ibunya.

“Kalian pun, pergi balik. Jangan asyik mengganggu orang.” Puan Mickie menjeling ke arah kawan-kawan Rudy. Katie tersenyum melihat Rudy diheret pulang oleh ibunya.

“Terima kasih nak. Kalau tak ada kamu, entah macam mana basikal pakcik ni.” Holmes tercungap-cungap di samping Jack dan Katie.

“Tak apa pakcik. Kami sekadar menolong. Kami tak suka kepada pembuli.” Jack tersenyum.

“Kepada penduduk pekan Blackwood! Anda bosan? Tiada yang menarik dalam aktiviti harian anda? Jangan risau. Datang dan luangkan masa anda di Cirque d’Nuit Arc en Ciel kami di pinggir hutan sana. Kami akan ceriakan hidup anda dengan aksi-aksi badut, pertunjukan manusia pelik, aksi-aksi haiwan, dan makanan-makanan yang sedap serta banyak lagi! Anak-anak, ajak ibu bapa kalian turut serta!”

Suara dari pembesar suara di van kecil yang melintas di hadapan menarik minat Jack dan Katie. Begitu juga dengan orang awam.

“Orang luar datang. Sarkas. Ini petanda yang tidak bagus. Malapetaka akan berlaku.” Holmes berwajah sungul. Jack dan Katie tidak mempedulikan orang tua itu.

“Abang, jom balik. Bagitahu ibu.” Katie menarik lengan abangnya.

“Jom. Pakcik, kami pulang dulu ya.” Jack meminta izin sambil berjalan pantas diikuti adiknya. Holmes hanya membatu memandang dua beradik itu sehingga lenyap dari pandangan.

“Abang, nanti kita ajak ibu pergi ke sarkas tu ya.” Katie menyanyi riang. Jack yang mengangguk dan tersenyum memandang adiknya. Mereka meneruskan jalan sehingga sampai ke rumah.

“Dari mana ni?” Tegur puan Martha sambil menyiram pokok-pokok bunga.

“Dari pekan. Puan ada dengar tak tadi?” Tanya Jack.

“Dengar apa?” Puan Martha menyoal kembali.

“Sarkas. Ada sarkas di pinggir hutan sana.” Sampuk Katie dengan nada riang.

Stuart yang sedang bermalasan di beranda menjegilkan kedua matanya.

“Sarkas? Adakah lelaki muda yang mereka nampak tu adalah dia? Ah, tak mungkin!” Stuart bermonolog sendirian.

“Kami pulang dulu ya. Saya dah tak sabar nak pergi ke sarkas tu malam ini.” Katie melambai sambil menuju ke rumahnya. Diikuti Jack. Puan Martha melambai kembali.

“Abang nak ke mana?” Tanya puan Martha sebaik sahaja suaminya melintasinya dan keluar dari halaman rumah.

“Saya nak ke pinggir hutan. Saya akan balik sebelum makan malam.” Jawabnya pendek.

——————–

“Ibu, boleh kami pergi ke sarkas malam ni? Boleh tak?” Katie teruja.

“Ibu tak rasa nak pergi la. Kamu pergi dengan abang kamu ya. Nanti ibu bagi wang saku.”

Katie melonjak keriangan. Segera dia naik ke bilik, memilih pakaian yang paling bagus untuk malam ini.

——————

“Siapa pengurus tempat ini?” Soal Stuart kepada seorang gadis.

“Tuan Philip Anglois. Beliau ada dalam khemah hujung sana. Pakcik ni siapa?”

Tanpa menjawab soalan dari gadis itu, Stuart menjalan pantas menuju khemah berwarna ungu. Pintu khemah diselak kuat.

“Siapa Tuan Phillip? Di mana dia?”

“Saya Philip Anglois. Pakcik ni siapa?” Jawab Yohann. Dia agak terkejut dengan kehadiran Stuart secara tiba-tiba.

“Saya Stuart. Penduduk pekan Blackwood ini.”

“Pakcik Stuart. Silakan duduk dulu.” Phillip mempelawa. Tetapi tidak diendahkan oleh orang tua itu.

“Sebelum khemah-khemah ini dibina, kalian ada membacakan doa? Memohon restu atau meminta pertolongan?” Stuart serius.

“Apa tu? Doa? Memohon restu? Meminta restu? Dari siapa? Kepada siapa?” Phillip menjawab sinis.

“Dari sesuatu yang tak elok. Dari sesuatu yang memudaratkan.” Stuart bertambah serius.

“Maaf pakcik. Saya tidak bermaksud untuk biadap, tapi kami di sini tidak percaya kepada itu semua.” Phillip tersenyum.

“Kalian sombong! Tunggu lah bencana yang akan terjadi nanti!” Stuart membentak keras.

“Pakcik bertenang saja lah. Jangan risau. Tiada apa-apa yang buruk akan berlaku. Pakcik pulang dulu. Malam ni datang bersama keluarga dan hiburkan hati di sini.”

“Kamu akan menyesal!” Stuart melangkah keluar dari khemah, berjalan pantas pulang ke rumah.

——————

“Makan dulu ya sebelum keluar.” Pelawa puan Julia kepada kedua anaknya. Jack dan Katie menurut saja.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Angin bertiup kencang. Sungguh kencang. Pekan kecil Blackwood seakan dilanda ribut. Beberapa helai pakaian yang belum sempat dikutip melayang-layang ditiup angin. Anjing-anjing belaan tidak berhenti menyalak.

“Tadi cerah. Sekarang ribut pula tiba-tiba.” Puan Julia menjenguk dari tingkap dapur.

“Hmm tak ada harapan la kami pergi ke sarkas malam ni.” Katie sedikit kecewa.

“Tak apa lah dik. Esok kan ada lagi.” Jack cuba memujuk sambil menyuap dumpling ayam serta beberapa biji kacang hijau ke dalam mulut. Katie hanya tersenyum tawar.

Setelah dilanda ‘ribut’ kira-kira 34 minit, langit di pekan Blackwood kembali cerah. Penduduknya kembali melakukan aktiviti seperti biasa. Anjing-anjing belaan kembali tenang.

Begitu juga Stuart. Orang tua itu berehat di beranda, memerhati kejiranannya.

“Dia sudah kembali! Dia sudah kembali! Dia sudah kembali!” Jerit Holmes sambil mengayuh basikalnya di jalanan. Orang ramai keluar dari rumah masing-masing dengan hairan.

“Siapa yang sudah kembali?” Tanya seorang lelaki sambil menjinjing beg sampah.

“Dia! Setelah 65 tahun dia tidur, akhirnya dia bangun juga.” Dahi Holmes berkerut. Lelaki tadi hanya menggelengkan kepala lalu kembali ke dalam rumah masing-masing. Tapi tidak Stuart. Dia kelihatan berminat.

“Holmes, awak pulang saja lah. Awak tu pelupa, bukannya gila.” Ujar seorang perempuan tua dari seberang jalan.

“Aku tak gila! Aku cuma bagitahu apa yang betul. Aku dengar suara dia!” Holmes mempertahankan ceritanya. Namun hampa. Perempuan tua itu terus menutup tingkapnya.

“Holmes, datang sini.” Stuart menggamit dari beranda. Holmes mengayuh dengan susah payah.

“Betul ke dia sudah kembali? Dan apa yang kau dengar?” Soal Stuart dengan serius.

“Betul! Dia sudah kembali. Aku dengar suaranya. Suaranya seperti sedang ketawa di dalam hutan. Berhampiran sarkas tu.” Cerita Holmes bersungguh-sungguh. Stuart menyapu mukanya.

“Siapa yang kembali ni?” Tanya puan Martha dari belakang. Stuart menoleh ke arahnya. Kemudian dia memandang kembali Holmes.

“Freeki. Freeki sang badut.”

Bahagian 2 KLIK SINI

SHARE
Previous articlePenghujung Fobia
Next articleTHE SLEEPING FREEKI (PART 2)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here