TOK MANG: KEHIDUPAN

0
642

= TOK MANG: KEHIDUPAN =

========================

“Tok Mang, apa itu kehidupan?”

Tok Mang tengok aku. Kami tengah duduk-duduk di beranda masjid usai bersolat Jumaat. Masih ada dua-tiga lagi tikar masjid yang belum digulung. Kami dan jemaah lain yang menolong mengambil angin sekejap. Walaupun tidak hujan, cuaca redup dan angin yang bertiup memberikan kedamaian.

“Kehidupan?” Tok Mang bersuara lembut, mengambil nafas dan menghembusnya tenang. Dah macam guru kung-fu ambil ‘moment’ nak sampaikan amanat aku tengok. Aku senyum pandang datukku yang seorang ini.

“Kehidupan adalah pinjaman. Kehidupan juga adalah persinggahan dan ia juga adalah titian.”
“Banyaknya maksud kehidupan ni Tok Mang.” Aku dah mula sengih. Kata Abah, Tok Mang banyak berfalsafah apabila ayahnya itu mula belajar agama di masjid. Belajar dengan seseorang. Inilah yang aku cuba korek.

“Iya. Kehidupan itu luas ertinya. Bergantung kepada pandangan individu. Ada yang menjadikan kehidupan itu untuk mengumpul kekayaan dunia, lalu lemas dan lelah di dalamnya. Ada pula yang menjadikan kehidupan itu destinasi sementara untuk mengumpul bekalan akhirat sebanyaknya.”

Aku mengangguk faham. Penjelasan Tok Mang mudah. Bila kita diberi nyawa, ianya pinjaman kerana nyawa itu pasti akan diambil kembali, kemudian terpulang bagaimana kita mahu menggunakannya.

“Tok Mang ni bijaklah.” Aku menebak.

“Semua manusia jahil Fath. Tidak ada yang sempurna. Kerana kejahilan itulah kita perlu berguru. Tok Mang juga tak sempurna. Ada masa dicemuh dan dihina. Tapi hidup bagaikan roda, Allah memberi hamparan jalan-Nya dan Tok Mang berguru.”

Aku pandang jemaah lain. Biasanya kalau waktu sebegini, mereka turut akan mendekati Tok Mang. Kata mereka, cakap Tok Mang berhemah dan ada isi. Buat masa ini, masing-masing sibuk mengira duit tabung Jumaat.

“Nak jugalah berguru.” Aku senyum pada Tok Mang.

“Mestilah kena berguru Fath. Sebagaimana Baginda Nabi SAW gurunya Jibril. Kamu juga mesti berguru. Pastikan gurunya itu mursyid. Jangan dipilih sebarangan guru. Takut terjatuh ke lembah fitnah. Ramai guru di luar sana, tapi belum tentu benar. Ada yang sesat.” Tok Mang menjelaskan panjang lebar.

“Guru yang mursyid? Nak cari dimana Tok Mang?”

“Ini tanganmu!” Tok Mang dah pegang tangan aku. Dia angkat ke atas kedua-duanya.

“Tadah tangan Fath ke atas. Minta dengan Allah azzawajalla. Minta guru yang mursyid, ilmu yang benar. Itu yang Tok Mang buat. Tok Mang doa sunguh-sungguh. Tok Mang menangis. Tok Mang tak mahu mati dalam kejahilan. Allah bagi Tok Mang berguru dengan guru yang benar. Yang hebat. Di masjid ini jugalah Tok Mang mendapat ketukan cahaya di pintu hati.”

Aku merenung kembali cerita abah. Abah cerita yang dulu Tok Mang tak ke masjid. Bukan kerana Tok Mang malas, tetapi kerana penduduk kampung tak suka. Aku tak bertanya lebih lanjut hal itu. Mungkin penduduk kampung tak suka kepada Tok Mang yang dah lama tinggalkan tempat kelahirannya? Itu fikir aku. Kemudian abah menambah; satu hari, datang seorang tok guru.

Namanya Kiyai Salleh. Penduduk asal kampung. Dialah yang mengambil abah menjadi menjadi murid. Asalnya kerana orang kampung segankan Kiyai Salleh, mereka menerima Tok Mang. Lama-kelamaan, Tok Mang diajak ke semua aktiviti kampung dan jadi orang kuat masjid. Tapi, Kiyai Salleh telah berpindah ke Siam selepas 10 tahun untuk membantu anak saudaranya membuka pondok di sana.

“Kiyai Salleh ke Tok Mang?” Aku bertanya bagi mendapatkan kepastian.

Tok Mang senyum tengok aku. Ditepuknya paha aku.

“Abah cerita ya Fath?”

Aku sengih. Mengangguk. Aku tanya lagi beberapa soalan pada Tok Mang. Macam biasa, Tok Mang menjawab dengan falsafah. Jenuh jugalah aku buat tafsiran satu-satu.

“Assalamualaikum.” Sekonyong-konyong satu suara lelaki memberi salam kepada kami. Serentak kami memandang kepada seorang lelaki yang berdiri di hadapan.

Orangnya kelihatan berusia 40-an. Berkepala botak. Memakai kain pelikat dan berbaju melayu hijau. Badannya nampak besar dan tegap. Persis seperti seorang ahli bina badan. Namun wajahnya, bertatu! Aku tengok lelaki ini atas dan bawah. Gengster mana pula bersolat Jumaat di sini.

“Waalaikumussalam.” Tok Mang dan aku menjawab serentak.

“Sulaiman?” Lelaki itu bertanya.

“Ya, aku Sulaiman.”

Tangan kami bersalaman tanda persahabatan.
“Aku Wajdi. Ingat lagi?”

Tok Mang merenung lelaki bertatu di muka. Kelihatan pandangan Tok Mang jauh tembus ke belakang memikir sesuatu.

“Wajdi si Harimau?” Tok Mang meneka.
“Iya Sulaiman. Akulah ni!”

Tak semena-mena Tok Mang bangun, memeluk Wajdi. Mulut Tok Mang tak berhenti menyebut Allah, Allah. Aku hanya terpinga-pinga memandang. Siapa pula si Wajdi ini. Tok Mang pernah join kumpulan gangster ke?

“Allah! Wajdi, aku hampir tak kenal kau! Dah berisi sedikit kau ya?” Suara Tok Mang jelas gembira. Aku masih lagi tertanya-tanya.

“Heh..Heh. Tak adalah Sulaiman. Hurm..Kau nampak seperti dulu ya Sulaiman. Tegap dan kuat.”

“Alhamdulillah. Nampak sahaja begitu Wajdi. Usia turut mencuri kekuatan aku. Bila kau keluar ya Wajdi?”

“3 tahun lepas, tapi dengan syarat. Aku masih lagi di bawah parol. Perlu melaporkan diri seminggu sekali di balai berdekatan.”

Tok Mang menggangguk-angguk kemudian memandang aku.

“Ini cucu aku. Nombor tiga. Manja sikit. Masa kecil selalu nak tidur dengan aku.” Tok Mang menunjuk aku. Aku hanya tersengih menunduk sedikit pada lelaki tersebut. Malu pun ada.

“Kau ada cucu? Kau tak pernah cerita yang kau ada anak.” Wajdi bertanya kehairanan.

“Ada perkara yang terlalu berat untuk diceritakan Wajdi. Kau tahulah di dalam sana. Kita perlu sentiasa kuat. Kesedihan kadangkala boleh menyebabkan kita hanyut.”

Kali ini giliran Wajdi pula mengangguk-angguk. Aku nampak kesefahaman disitu. Ada kisah silam yang masih aku tidak ketahui.

Mungkinkah kehadiran lelaki bertatu di wajah ini akan membuka kisah silam Tok Mang buat aku?

Aku meminta diri dari Tok Mang dan Wajdi apabila Imam memanggil aku untuk mengangkat karpet yang berat. Aku bersalaman dengan Wajdi dan dia mengusap-ngusap kepala aku. Macam aku budak kecil. Aku pun tidak mahu menggangguTok Mang dan rakan lamanya itu berbual-bual. Ada butiran yang aku tidak fahami seperti kisah jeriji besi dan perkara lain. Setahu aku, Tok Mang hanya mahir dengan laut. Tak sangka pengetahuan Tok Mang di darat juga luas.

*****

Selepas bergotong-royong malam itu, aku duduk di hadapan pokok mempelam di belakang kawasan masjid. Esok Tok Bilal akan mengadakan kenduri kahwin bertempat di padang di hadapan masjid. Anak sulung katanya. Berkahwin dengan orang Kelantan. Meriahlah kenduri Tok Bilal menyambut kedatangan orang jauh.

Aku pandang anak-anak muda lain yang duduk di kawasan tangga. Mereka baik dengan aku. Cuma sengaja aku duduk jauh sedikit sebab aku nak tengok mempelam yang masak jika ada. Tok Mang pula masih berbincang dengan AJK kenduri di dalam masjid. Lelaki bertatu di wajah, Wajdi juga ada menolong. Aku tengok dia sorang sahaja mengangkat meja-meja yang berat. Kalau aku, mahu patah riuk dibuatnya.

Kata Tok Mang, Wajdi ialah adik kepada Tok Bilal. Wajdi pernah terlibat dengan dunia kongsi gelap. Pangkat tinggi juga di dalam kumpulannya. Dia digelar Harimau Hitam di dalam penjara kerana tatu haiwan tersebut melingkari seluruh tubuhnya. Waktu aku dengar cerita Tok Mang yang Wajdi mahir membunuh dengan anak kunci sahaja buat aku rasa seram sejuk. Nampak Wajdi sentiasa tersenyum. Macam tak selari dengan cerita yang didengari.

Tok Mang macam dapat baca fikiran aku dan dia menjelaskan, manusia kalau Tuhan dah bagi hidayah, tiada satu kuasa pun di dalam dunia mampu menghalang.

Entah tiba-tiba, ada bau harum bagai dibawa angin masuk ke hidung aku. Wanginya lain macam. Aku pandang sekeliling. Pokok mempelam dimana aku duduk ini berlatarbelakangkan bukit. Datang mana pula wangian semerbak harum? Aku pandang sekeliling.

Hanya unggas memainkan bunyi masing-masing.

Aku tenung kegelapan malam dari kejauhan. Ada sehelai selendang terbang aku nampak di udara. Meliang-liuk di buai angin. Aku khayal seketika melihat ‘tarian’ selendang tersebut.
Tiba-tiba aku tersedar dan terus tampar pipi aku dengan kuat dan berselawat. Aku tak tunggu lama, terus cabut lari menyertai anak-anak muda yang tengah berborak di tangga. Aku pasti, tadi bukan mainan dari alam nyata.

*****

Sabtu, cuaca menyebelahi kenduri Tok Bilal. Awan melitupi permukaan bumi di mana masjid berada. Begitu redup suasana. Kami yang menjadi rewang tidaklah terlalu berpeluh sangat.

Aku sibuk mengangkat pinggan-mangkuk yang dipakai tetamu. Sesekali aku menyeka peluh di dahi.

DJ yang diupah Tok Bilal memainkan musik nasyid. Tidaklah terlalu janggal dengan suasana persekitaran di dalam kawasan masjid. Aku tengok begitu ramai tetamu yang datang. Memakai baju yang cantik-cantik belaka.

Menjelang pukul 6:00 petang aku dah tersandar di beranda masjid. Mujurlah kenduri Tok Bilal ramai yang menolong, ramainya kenalan beliau Allah sahajalah yang tahu. Riuh kenduri dengan sahabat-handai dan sanak saudara.

Makcik-makcik di situ macam biasa ada yang bertanya aku siapa. Bila diberitahu aku cucu Tok Mang ramai pula yang memperkenalkan anak gadis mereka. Naik pening kepala aku. Calonnya hanya lelaki seorang, gadis pilihan hampir melebihi sepuluh orang.

Tok Mang datang mendekati aku. Duduk di sebelah dan menepuk bahu cucunya ini.

“Penat Fath?” Tok Mang bersuara mesra.

“Biasalah Tok Mang. Kenduri. Malam ni tolong sapu minyak angin jap kat belakang.”

“Aku tengok kau angkat pinggan sahaja. Pun sakit belakang?”

“Err..berat Tok Mang. He..He..He.” Aku buat alasan paling tak logik pada Tok Mang.

“Hish..mengada-ngada.”

“Tok Mang..Fath tengok, masa masuk waktu solat tadi, ramai yang masuk ke masjid bila panggilan azan sudah dilaungkan. Jika di KL, kebanyakan tetamu buat tak tahu sahaja walaupun kenduri dekat dengan masjid.” Aku ubah tajuk. Bertanya persoalan yang kurang aku mengerti.

Tok Mang terdiam. Mengangguk dan menyambung,

“Bukan semua mengerti Fath. Jika mengerti ada pula yang tidak mengenali.” Berat keluhan Tok Mang.

“Mengenali Tuhan?”

“Iya Fath. Apabila tidak mengenali maka jadilah mereka seperti pepatah Arab, tidak kenal maka tidak arif.”

“Apa jadi bila tidak arif?”

“Bila tidak arif, maka disitulah kejahilan itu timbul. Dan disitulah manusia mula mengambil ringan. Panggilan solat diambil ringan, kelebihan sunat diambil ringan malah rukun Iman juga dipandang enteng.”

“Enteng tu apa Tok Mang?”

“Enteng tu ambil mudah.” Tok Mang tergelak kecil mendengar pertanyaan aku. Aku sengih balik pada Tok Mang.

“Kau tengok Solat Jumaat, ramai sahaja yang tidak arif walaupun tahu.” Tok Mang menyambung.

“Tahu kelebihan solat Jumaat ke Tok Mang?”
“Ya betul. Tahu solat Jumaat itu besar fardhunya. Tahu datang awal ke masjid besar pahalanya, tetapi kerana tidak kenal dan kurang arif, ramailah yang tidak mencintai kelebihannya.”

Aku terdiam. Sedikit kesedaran menyelinap ke hati. Abah pernah cakap, datang ke masjid untuk solat Jumaat pahalanya berbeza mengikut waktu kita mendatangi masjid. Awal permulaan waktu mendapat pahala seakan berkorban unta, masuk waktu kedua seakan berkorban lembu, masuk waktu ketiga seakan berkorban kambing dan masuk waktu keempat mendapat pahala seakan berkorban ayam jantan.

Bagi yang datang ke masjid pada waktu kelima pula kata abah seakan-akan berkorban sebiji telur dan jika datang ke solat Jumaat bila Imam sudah naik ke mimbar, maka tidak ada keutamaan pahala baginya.

“Tok Mang, orang yang lambat datang dapat kosong pahala. Sebab waktu itu buku catatan amal telah ditutup, para Malaikat yang bertugas mencatat amal telah berkumpul di sebelah mimbar untuk mendengar khutbah. Abah ajar.” Aku mengangkat sebelah kening pada Tok Mang. Senyum bangga memberitahu ada ilmu di dada.

“Ha..Ha..Ha..Bagus Lokman ajar kau. Yang angkat kening tu kenapa?”

Kami berdua tergelak besar. Masing-masing terasa lucu.

“Ingat Fath, kelak di hari kiamat, seseorang akan dapat melihat langsung kepada Allah SWT. Sedangkan jarak antara orang itu dengan Allah adalah tergantung dari jarak dia mendatang solat Jumaat sewaktu di dunia. Kalau datang solat Jumaat pada awal waktu, maka akan melihat Allah SWT dari jarak yang lebih dekat, demikian seterusnya. Kiyai Salleh yang turunkan pesanan ni dan Tok Mang titipkan untuk Fath.” Tok Mang pegang belakang aku. Mengijazahkan aku suatu bekalan yang tidak ternilai.

Aku sayu dengar pesanan macam tu. Seolah-olah Tok Mang akan pergi jauh. Aku tak suka memikirkan kemungkinan itu. Walaupun aku tahu usia Tok Mang bukan muda, tapi aku sayangkan Tok Mang. Biarlah aku berada di sisi Tok Mang. Masih banyak yang aku mahu belajar darinya.

Wajdi datang memanggil kami. Beradab sungguh lelaki ini. Dia tidak melaung dari kejauhan. Tapi menjemput kami secara dekat untuk ke balairong bagi minum petang. Anak-anak dara Tok Bilal yang cuti belajar memasak pisang goreng panas sebagai juadah.

Aku membontoti Tok Mang dan Wajdi yang berjalan di hadapan sebelum kelibat mata aku sempat menangkap seorang wanita memakai jubah serba putih dan berpurdah berdiri di bawah pohon mempelam, tempat aku duduk semalam. Dari kejauhan aku lihat dia memandang kami. Atau lebih tepat memandang aku. Dan aku nampak..selendang itu!

“Fath..cepat sikit.” Tok Mang melaung memanggil aku yang rupanya sudah ketinggalan jauh di belakang. Aku mempercepatkan langkah, namun memandang semula wanita tadi. Ternyata dia telah tiada lagi di situ.

=TAMAT=

SHARE
Previous articlePELARIS
Next articleWAYANG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here