TRYPOPHOBIA: BUKAN GURAUAN

0
1142

TRYPOPHOBIA: BUKAN GURAUAN

Nukilan : Affieyza Isahak (Dari Penulis Affieyza Isahak)

=======================================

Fia terjaga daripada tidur apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat jam di skrin telefon, 1:20 minit pagi Dia membuka pesanan melalui aplikasi whatsapp yang dihantar oleh bekas kekasihnya, Qairy.

Matanya terbuka luas, terus terlepas telefon dari tangannya. Dia cuba untuk menenangkan dirinya. Telefon bimbit ditolak jauh menggunakan kaki. Tangannya menggeletar. Dia duduk di birai katil sambil kedua tangannya saling mengenggam kuat.

Fia beristighfar. Matanya dipejamkan. Ah, ia muncul pula! Kalut dia membuka mata semula. Nafasnya menderu laju. Kepalanya mula terasa mengembang. Meremang.

Qairy! Hati Fia mendongkol marah apabila nama itu meniti di bibirnya tanpa sedar. Dia geram, marah, sedih malah kecewa! Bukan Qairy tidak tahu tentang apa yang membuatkan dia fobia. Kenapa buat dia begini? Mereka sudah tiada apa-apa hubungan selepas Qairy tertangkap kerana curang.

Dari duduk, Fia bangun. Dia mula rasa lain. Bermula dari kepala, kemudian lengan, beralih pula ke leher, sekejap bahu kemudian kaki pula. Tidak berhenti dia menggaru. Silih berganti ke serata arah. Makin lama makin kuat dan yang pasti, dia belum puas! Serasa mahu disiat-siat kulitnya!

Air matanya bergenang. Sampai bila mahu begini? Fia hanya melihat kulitnya yang sudah kemerahan malah ada yang bercalar akibat cakaran kuat daripada kukunya, dia audah habis punca untuk menghentikan semua ini. Dia gelisah. Tak senang duduk! Gambar tadi terus jelas pada pandangan matanya meskipun sedaya mungkin dia cuba untuk tidak mengingatinya!

Allah.. Nafas Fia tersekat-sekat. Air mata diseka laju. Dia menjerit dalam hati. Melambakkan rasa. Tuala dicapai, dia berlalu ke bilik air. Sempat dia mencapai sesuatu di dapur sebelum masuk ke bilik air. Dingin malam sudah tidak dipedulikan. Dia sudah tidak sanggup untuk menyakiti tubuhnya secara halus. Bukan tidak berusaha mengawal diri tetapi makin cuba ditahan, makin teruk yang dirasakannya.

Air pancuran dibuka sehingga habis putarannya. Biar deras, biar sejuk! Fia masih menggaru kulitnya. Rambutnya juga berserabai akibat digaru dengan kasar. Air matanya semakin deras mengalir, sama deras dengan air pancuran yang mencurah. Garfu dicapai. Melihat tangannya yang kemerahan, tidak cukup membuatkan dia dapat menghindari rasa ini. Malah terbayang pula gambar tadi beralih ke tangannya!

Rasa marah, geram kembali menguasai dirinya. Garfu diletak pada tangan lalu ditarik kasar sehingga paras siku. Garis halus mula terukir. Pedih semakin terasa. Belum sempat dia menyelesakan torehan pada lengan, pahanya pula meminta untuk ‘dibelai’. Tanpa berfikir panjang, dia mencucuk garfu ke serata arah pahanya. Fia meraung dengan suara yang ditahan.

*****

Qairy senyum sinis. Telefon bimbit diletak atas dada. Dia baring sambil memandang kipas yang berputar laju. Puas hatinya dapat buat Fia menderita. Tidak perlu menyakiti sehingga berdarah tetapi menyeksa hanya melalui gambar!

Dia masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa hubungannya dengan Fia sudah tamat. Tahu salahnya tetapi puas dia meminta maaf dan berjanji akan berubah namun sedikit pun Fia tidak mengendahkannya! Sombong! Dari rasa cinta telah bertukar menjadi rasa benci!

Benci kerana gagal untuk terus berdampingan dengan Fia! Dia akan terus menyeksa Fia sampai Fia kembali kepadanya! Merayu agar dia menghentikan seksaan halus ini. Ya, dia akan setuju hanya dengan syarat, Fia kembali menjadi kekasihnya! Senyuman Qairy senget sebelah apabila memikirkan rancangan gilanya itu. Ini Qairy, Fia.. Dia akan dapat apa yang dia nak!

*****

Pagi ini, Fia ada mesyuarat bersama ketua-ketua cawangan yang akan berkampung di ibu pejabat tempat dia berkerja. Dari awal dia nampak Qairy dan sedaya-upaya untuk tidak duduk berhampiran dengan lelaki itu.

Hampir dua jam bermesyuarat, mereka ke ruang makan yang disediakan. Fia duduk bersama rakannya Ai yang baru sebulan bertugas di situ. Mereka berdua menikmati hidangan nasi lemak memandangkan perut masing-masing meminta untuk diisi dengan makanan yang berat.

“Boleh tumpang makan sekali?” pinggan plastik diletak atas meja besama segelas teh tarik.

Fia memandang. Dia tersedak melihat Qairy sudah duduk di sebelahnya. Tidak sempat mahu menghalang!

“Duduklah, kami berdua saja.” Ai membalas ramah. Dia tidak mengenali siapa Qairy.

“Nah air. Itulah makan kalut sangat!” usik Qairy sambil menghulurkan teh tariknya kepada Fia.

Fia mencapai teh kosong lalu meneguknya. Cuba untuk tidak mengendahkan lelaki yang tidak tahu malu itu.

“Awak rasalah kek ni, saya ambil lebih tadi,” pinggan ditolak ke hadapan Fia.

Fia memandang. Dia terpaku. Air liur ditelan lambat-lambat. Kek sarang semut!
Fia menggeleng kemudian mengalih pandangan. Ai yang memerhati mula merasakan lelaki di depannya ini mahu mendekati Fia. Muka seiras Khai Bahar! Ai tersenyum sendirian.

“Hmm.. Tak baik tau buat makanan macam ni. Sedih dia bila awak tak sudi nak jamah..” Qairy terus mencuba.

“Makanlah Fia. Rezeki jangan ditolak!” Ai pula memainkan peranan.

Fia menahan rasa. Bukanlah dia benci pada makanan. Tak! Tapi dia tak boleh tengok rupa kek itu! Allah..

“Nah, rasalah sikit..” Qairy meletakkan pula kek itu ke pinggan Fia dan spontan Fia bangun dan meninggalkan meja makan. Wajahnya merah menahan gelojak rasa.

Ai yang terkejut mahu mengikut langkah Fia namun ditahan oleh Qairy.

“Dia tak nak la.. Awak nak?” Qairy pandang wajah manis di depannya. Manis! Ai angguk. Malu-malu. Qairy meletakkan kek itu ke pinggan Ai.

“Nama saya, Qairy, awak?”

“Ai..” jawab Ai sopan.

“I? I love you?” Qairy ketawa kecil. Ai ikut ketawa.

“Bukanlah! A-I. Ai..” terang Ai.

“Ohh..” Qairy melemparkan senyum manis yang membuatkan hati Ai berbunga-bunga.

*****

Qairy senyum sendiri. Dia duduk di sofa melepaskan lelah setelah pulang dari tempat kerja. Seronok pula dapat mengusik Fia pagi tadi. Itulah, sombong sangat! Dan seronok dapat mengenali Ai yang ramah orangnya.

Dia masuk ke bilik setelah siap menyegarkan badan. Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam bilik, dia merasakan biliknya agak aneh. Matanya meliar memandang sekitar biliknya yang bercat putih kelabu itu. Tiada apa yang pelik.

Dia kemudian merebahkan badan ke atas katil. Kipas yang berputar ditenung lama. Qairy menggosokkan matanya beberapa kali. Betul ke apa yang aku lihat? Kipas yang tadinya berputar laju, kini semakin perlahan. Qairy melihat ada sesuatu yang berlaku pada siling biliknya.

Ada rekahan yang timbul membentuk lubang-lubang kecil. Berselang saiznya antara yang kecil dan besar. Warnanya coklat kehitaman. Kalau tengok, saling tak tumpah macam sarang lebah! Dari permukaan siling, ia merebak ke serata dinding.

Tubuh Qairy merinding! Dia bangun dari pembaringan. Dia berkhayalkah? Kini hampir keseluruhan biliknya sudah bertukar rupa! Dinding dihampiri. Dia cuba menyentuh. Lembik dan berlubang. Kemudian dia melihat seperti ada benda yang mahu keluar dari lubang-lubang itu! Qairy mula merasa geli dan jijik. Dia menjauhkan diri.

Merasakan tapak kakinya bagaikan dicuit-cuit, dia menundukkan kepala untuk melihat. Mata Qairy terbeliak! Lantai biliknya juga sudah dipenuh rekahan yang menjijikkan itu! Dia terjatuh akibat terkejut. Tubuhnya yang tidak berbaju mula dipenuhi lubang-lubang itu. Qairy menjerit kuat.

Apa benda ni? Hendak bangun, tubuhnya seperti ditekan kuat ke lantai. Tubuhnya sudah hampir dipenuhi rekahan yang menggelikan itu. Mahu menepis tetapi tangannya sudah tidak dapat digerakkan. Mulutnya terbuka luas. Matanya terus terbuntang. Suaranya sudah tidak kedengaran.

Qairy melihat, ada satu gerakan yang memanjang tergawang di depan mukanya. Benda itu membentuk seperti asap. Belum sempat Qairy menutup mulut, benda itu menerobos masuk ke dalam mulutnya! Qairy terbatuk kuat. Dia terkapai-kapai mencari ruang udara sebelum lemas dalam bilik sendiri!

*****

Sebulan berlalu..

Fia bersyukur kerana Qairy tidak lagi menganggu hidupnya. Dia juga melihat lelaki itu sudah banyak berubah. Jarang hendak menegur malah cuba mengelak daripada bertembung dengannya. Fia tidak tahu kenapa Qairy berubah. Syukur, hidupnya kini lebih tenang.

“Kenapa eh dengan Qairy tu? Dah lain aku tengok dia sekarang ni.” Ai menghampiri meja Fia.

Fia hanya menjungkitkan bahu. Tidak mahu memberi sebarang ulasan. Ai kembali ke mejanya sambil matanya melihat Qairy yang duduk termenung di biliknya. Ai sedikit kecewa. Hmm.. Tak sempat nak merasa ada pakwe muka seiras Khai Bahar!

-TAMAT-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here