TUMPANG

0
1302

TUMPANG
Karya: Khairul Aswad Ramli

===============

Suatu malam, waktu itu hujan sedang turun renyai-renyai. Kereta Perodua Myvi Baharu milik Shahrul sedang berjajaran tenang di atas lebuhraya PLUS menuju ke utara. Ketika itu jam di dashboard menunjukkan sekitar jam 3 pagi. Perbualan panjang antara dia dengan Ah Keong, sahabat baiknya semenjak di universiti yang tamat sekitar jam 2 pagi tadi masih lagi berlegar-legar di medula kepalanya. Banyak peluang-peluang business yang mereka bincangkan. Itulah seronoknya berkawan dengan lelaki Cina yang otak mereka sentiasa memikirkan tentang cara-cara nak buat duit.

Disebabkan itulah pertemuan seawal jam 9 malam tadi akhirnya berlarutan hingga ke dinihari. Ah Keong mengusulkan supaya dia mengikut lelaki itu balik ke rumah dan berehat sebelum bergerak pulang ke Ipoh keesokkan harinya.

Tapi beberapa tuntutan kerja yang perlu dilaksanakannya seawal pagi esok membuatkan dia terpaksa menolak ajakan itu dengan lembut supaya tidak menghampakan sahabat baiknya itu dan juga isterinya, Mary yang ikut sekali.

“You tak payah susah-susah mau balik ini malamlah lengchai. Jom tidur di rumah saya, esok pagi you gerak baliklah. Tak payah bimbang, kami tak makan babi, anjing pun kami tak pernah bela. Rumah tu bersih maa. Nak solat pun saya boleh tunjuk you arah kiblat.”

Shahrul ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengerling sekilas ke arah Mary yang juga turut sama tersengih-sengih.

“Bukan itu macamlah Keong. Aku ni nak tak nak kena balik jugak malam ni sebab esok pagi-pagi aku nak kena jumpa dua tiga orang supplier aku, then aku nak kena hantar mee aku tu masuk pasar-pasar lagi sebab stok banyak yang dah habis.”

Ah Keong sengih lalu mengangguk-anggukkan kepalanya.

“You ni daripada dulu saya kenal, memang jenis kuat kerja. Eh, kalau semua orang Melayu rajin macam you, kami orang Cina susah mau cari makan you tau tak.”

Shahrul ketawa lagi.

“Orang Melayu bisnes tetap kena guna orang Cina jugak. Mana boleh semua orang Melayu nak buat sendiri? Itu rezeki kita kongsi-kongsi la, takkan nak makan sorang-sorang.”

Ah Keong ketawa kecil sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Seketika dia membelek jam Rolex emas di pergelangan tangannya.

“Sekarang sudah dekat pukul 2 pagi. You berani ke nak balik Ipoh time-time macam ni?”

Soalan Ah Keong mematikan seketika sengihan Shahrul. Dia membelek jam di pergelangan tangannya lalu menepuk dahi.

“Ya Allah. Dah pukul 2 rupanya. Aku ingatkan baru pukul 12 lebih. Itulah, kalau berbual dengan korang berdua ni, masa tu rasa berjalan cepat sangat. Too many ideas yang keluar. Semuanya cara-cara buat duit.”

Mary dan Ah Keong ketawa lagi.

“Lepas ni saya ingat nak tulis satu buku dalam bahasa Cina, Cara-Cara Bikin Duit. Nanti you translate ke Bahasa Melayu. Kasi jual satu Malaysia.”

Shahrul menyambung ketawa.

“You see.. Idea lagi. Well, minggu depan saya datang sini kita lepak lagilah ye. Hope balik Ipoh esok saya boleh apply idea-idea tu mana tau boleh jadi jutawan macam you berdua.”

Mary tersengih. Ah Keong menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Better you jangan jadi jutawan, susah. Hari-hari orang datang mintak duit. Penat loh. Kita fikir cari duit sampai gugur rambut, mereka senang-senang datang mintak duit.”

Shahrul menggeleng-gelengkan kepalanya. Sengihan masih bersisa di wajahnya. Perbualan panjang tadi terus menerus bermain di kepalanya. Dia memandu kereta tersebut dengan tenang. Sesekali dia mengerling jam di dashboard. Pukul 3.05 minit pagi. Tiada apa yang perlu dikejarkan untuk segera sampai di Ipoh pun.

Dia baru saja melepasi Plaza Tol Jalan Duta. Lebuhraya yang luas terbentang di hadapan mata. Kalau dengan kelajuan pemanduannya ketika ini, lebih kurang 2 jam setengah lagi sampailah dia ke destinasi. Elok juga kalau begitu, sampai saja azan Subuh sudah berkumandang. Selesai solat dia dah boleh terus bersiap-siap dan keluar bersarapan sebab pukul 7.30 pagi dia sudah berjanji untuk bertemu dengan dua orang supplier bahan mentah di sekitar kawasan pasar. Boleh dia hantar sekali bekalan mee kuning buatannya yang dipesan pemborong dan peniaga di sekitar pasar tersebut.

Shahrul berkira-kira di dalam hatinya. Selesai semua barulah hatinya akan tenang untuk balik ke rumah dan berehat. Masa itu barulah boleh tidur puas-puas. Dia tersengih lebar. Tapi sengihannya tak berpanjangan bila perbualannya dengan Ah Keong dan Mary tadi masuk kembali ke medula kepalanya. Hujan turun renyai-renyai membuatkan dia memperlahankan Myvi yang sedang dipandunya. Suis viper cermin hadapan dihidupkan dan perlahan-lahan kedua bilah bergetah itu mula bekerja dengan cemerlang.

“Eh Shahrul, saya mau tanya you satu bendalah.”

Ah Keong yang begitu rancak bercerita, tiba-tiba saja berwajah serius. Isterinya Mary yang duduk di sebelahnya bingkas lalu meminta diri ke tandas. Lelaki Cina berkacamata itu membetulkan duduknya. Sebelum menyambung kata-katanya, matanya membelingas ke kiri dan kanannya.

Shahrul mengerutkan dahinya. “Tanyalah apa yang you nak tanya. You ada dapat amoi baru ke? I bagitau Mary siap you Keong.”

Usikan Shahrul membuatkan Ah Keong ketawa lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia kemudiannya tersengih.

“You percaya hantu tak?”

Soalan Ah Keong membuatkan dahinya berkerut. “Percaya macamana tu maksud you?”

Ah Keong menelan liur. Dia menghela nafas panjang lalu menyalakan sebatang rokok dan menyedutnya dengan panjang. Dia membetulkan kacamatanya sambil merenung Shahrul di hadapannya.

“I dengan Mary sekarang hidup dah tak tenang. Setiap malam ada hantu kacau kami.”

Shahrul tergelak. Tapi bila dia nampak wajah Ah Keong yang serius, dia meraup wajahnya dan pura-pura berdehem sambil mencapai kotak rokok dari atas meja di hadapannya. Dinyalakan rokok tersebut sambil matanya memandang Ah Keong yang tiba-tiba saja berubah riak wajahnya.

“Saya rasa, rumah baru yang kami beli tu ada hantulah. You ada kenal ustaz-ustaz ke yang boleh kasi halau itu hantu?”

Shahrul telan liur.

“You kena ganggu macamana Keong?”

“Benda tu datang depan muka saya maa.. Ada satu malam tu, dia lompat-lompat atas katil kami masa Mary ke toilet. You tahulah kan perempuan tengah pregnant, sejam sekali nak buang air. Benda tu pulak asyik lompat sebelah saya.”

Shahrul rasa bulu romanya tiba-tiba saja menegak. Perasaan seram tiba-tiba saja menyelubungi dirinya. Ruang parking di hadapan kedai mamak di mana mereka sedang duduk ketika ini terasa sepi walaupun berpuluh meja yang di susun di sini semuanya berpenghuni. Suasana sesekali riuh kerana ada siaran langsung Piala Dunia di Russia yang sedang ditayangkan.

“Apa benda yang lompat-lompat tu Keong? You nampak jelas ke benda tu?”

Ah Keong tarik nafas panjang. Namun belum sempat dia hendak menjawab, Mary yang tiba semula di situ terus menyampuk.

“Hantu bungkus. Kalau orang Melayu panggil itu apa ha, pocong kan?”

Shahrul menganggukkan kepalanya. Dia meraup bulu roma di lengannya yang meremang.

“Ha ah. Kalau yang berbungkus kain kapan tu orang panggil pocong. Tapi betul ke benda tu yang ganggu you berdua ni Mary? Are you sure?”

Soalan tersebut pantas disambut anggukkan Ah Keong dan Mary.

“Shahrul, I bukan nak cakap yang I ni moden sangat. I pun asal kampung jugak. Tapi I tak pernah percaya sama itu hantu you tau ke. Tapi bila I dengan Keong dah kena macam ni, now I percaya yang benda tu memang betul-betul ada.”

“Macamana benda tu boleh start ganggu you all? I rasa you dah pindah rumah tu dah setahun lebih kan?”

Soalan Shahrul buat Mary dan Ah Keong saling berpandangan.

“Itu hantu bungkus tu start ganggu saya dengan Mary lepas kami punya maid mati. Benda tu jadi lebih kurang sebulan yang lepas.”

Shahrul mengangguk pendek. Dahinya masih berkerut.

“Maid you mati sakit apa? Dia mati kat rumah you tu ke? So maksud you, hantu bungkus tu jelmaan maid you yang dah mati tu?”

Ah Keong pantas menggelengkan kepalanya. Mary bersuara menjawab persoalan tersebut.

“Maid kami tu orang Indonesia. Kami syak dia yang bawak benda tu masuk ke dalam rumah kami.”

Shahrul mengangguk-anggukkan kepalanya. “Normallah tu kalau orang sebelah sana selalunya dia tak datang dengan tangan kosong. Mesti ada isi. Err.. I mean, ada ilmu atau benda-benda halus yang dia bawa sebagai penjaga semasa dia di negara orang.”

Mary mengeluh lalu tunduk. Ah Keong menganggukkan kepalanya.

“Itulah masalahnya. Tapi kenapa bawa benda tu masuk rumah kami? Saya dengan Mary layan dia dengan baik you tau tak. We treat her like our sister. Tapi lepas Mary jumpa macam-macam benda pelik dalam bilik dia, saya dah mula rasa tak sedap hati.”

“Macamana dia boleh mati?”

Mary angkat kepala lalu pandang wajah Shahrul.

“Dia bunuh diri. Malam tu semasa kami sampai ke rumah, satu rumah tu penuh dengan asap kemenyan. Bila Keong bukak pintu bilik dia, tengok dia dah mati tergantung dalam bilik tu.”

Shahrul telan liur. Kes berat ni. Hatinya berbisik.

“Saya rasa keluarga kami kena khianat sebab kami layan dia dengan baik, tapi you tengoklah apa yang dia balas kepada saya dan Mary? Dia bunuh diri dalam rumah kami. Rumah tu saya beli cash you tau tak. Saya kumpul duit 10 tahun nak beli itu rumah.”

Shahrul raup wajahnya sekali lagi. Puntung rokok yang masih berbara ditenyeh ke dalam ashtray di hadapannya. “You tak ada cari bomoh Cina ke mintak diaorang halau benda tu?”

Soalan Shahrul membuatkan wajah Mary jadi murung.

“Susah Shahrul. Kami dah try macam-macam. Bomoh Cina, India, Melayu, orang asli semua dah cuba. Semua angkat kaki balik. Mereka cakap setan tu kuat sangat. Susah nak lawan.

Shahrul mengangguk-anggukkan kepalanya. “Nantilah bila sampai Ipoh, I try tanya kawan-kawan I kot-kot diaorang tahu mana-mana ustaz yang boleh selesaikan benda ni.”

Ah Keong angguk sambil melepaskan nafas lega.

“You try ah Shahrul. Saya betul-betul mintak tolong sama you. Saya dah tak sanggup nak tengok muka hantu bungkus tu setiap malam. You tau tak, kadang-kadang dia duduk depan muka saya. Bila saya terjaga, buka mata saja nampak muka itu hantu. Kalau saya ada heart attack, sudah lama mati you tau tak.”

Shahrul senyum nipis. “Insya-Allah, I akan cuba tolong. Tapi buat sementara waktu ni, apakata you jangan balik ke rumah tu dulu. You carilah mana-mana rumah, tumpang rumah family Mary ke buat sementara waktu.”

“Memang sekarang kami tinggal di rumah Mary di Rawang. Saya dah tak lalu nak balik rumah tu lagi. Hari-hari kena usik, siapa yang tahan maa..”

Shahrul meraup bulu roma yang meremang di lengannya. Stereng Myvi tersebut dikawalnya dengan tenang. Hujan yang tadinya hampir renyai mula menjadi lebat. Sesekali dia menggunakan lampu tinggi bila air hujan yang tiba-tiba melebat mengganggu pandangannya hinggakan viper yang sedang bekerja keras tidak mampu menyapu air hujan dari cermin hadapan keretanya dengan sempurna.

Dia menghela nafas berat. Jam di dashboard menginjak ke pukul 3.15 minit pagi. Kereta yang sedang dipandunya tiba-tiba saja menjadi perlahan. Ditekannya pedal minyak untuk melajukan sedikit kereta tersebut, bimbang kalau-kalau ada kenderaan yang sedang laju merempuhnya daripada belakang. Shahrul memberi isyarat lampu ke sebelah kiri dan berada di laluan yang paling kiri. Hujan masih lagi lebat. Di hadapannya terpampang signboard memberitahu hentian terdekat yang akan ditemuinya di hadapan adalah Hentian Jejantas Sungai Buloh.

Dia mengeluh dalam hati. Takkan tayar pancit kot? Tolonglah jangan buat hal hujan-hujan lebat macam ni. Dia berdoa sambil mengetap bibir. Stereng digoyangkan ke kiri dan kanan. Tak rasa macam pancit pun. Dahi Shahrul berkerut. Dia menekan lagi pedal minyak. Berderam enjin Myvi tersebut seketika, namun kelajuannya semakin menurun. Isyarat lampu diberikan dan dia menyusuri masuk ke Hentian Jejantas Sungai Buloh dengan harapan dapat memeriksa masalah keretanya di situ.

Ketika dia mendaki laluan berbukit menuju ke ruang parkir di bahagian atas hentian berbukit itu, keretanya tiba-tiba saja terasa ringan kembali. Terhenjut-henjut Myvi tersebut bila dia menekan-nekan pedal minyak sebagaimana yang dia lakukan tadi.

Takkan brek sangkut kot? Agak-agaklah, kereta ni baru 2 bulan keluar kedai takkan dah start problem. Dia berdesis dalam hati.

Tak apa, apa-apa pun, aku nak ke toilet dulu. Lepas tu baru aku nak fikir pasal kereta ni. Banyak pulak cekadaknya time-time macam ni. Shahrul mendengus kecil. Dia mengerutkan dahi sambil memicingkan matanya mencari ruang parkir yang paling hampir dengan kawasan tandas.

Ketika dia tiba di situ, ada 3 buah kereta yang diparkir di kawasan tersebut.

Tandas

Tandas-tandas di seluruh R&R highway PLUS ini, dari Bukit Kayu Hitam sampailah ke Kempas, kedua-dua arah utara mahupun ke selatan, memang terkenal dengan kebersihannya yang sangat terjaga.

Rekabentuk tandasnya juga unik. Di beberapa R&R besar, tandasnya berbentuk petak empat segi tepat. Sebelah kanannya tandas lelaki, sebelah kirinya pula tandas wanita. Di tengah-tengah tandas tersebut, ada taman mini yang cantik landskapnya. Taman mini tersebut dipenuhi dengan pokok-pokok yang subur menghijau. Tenang mata memandang bila di siang hari. Tapi bila waktu malam, tambah-tambah pula jam 3.00 pagi sebegini, keadaannya sedikit menyeramkan, ditambah pula kalau tandas itu kosong.

Shahrul menghela nafas panjang. Ketika melangkah masuk ke dalam tandas tersebut, bulu romanya tiba-tiba saja terasa meremang. Bunyi deruan angin kencang dan tempias hujan yang sedang menggila di luar membuatkan bulu tengkuknya turut sama berdiri.

Tapi disebabkan pundi kencingnya yang semakin meronta-ronta minta dilepaskan segala isinya, maka dia cekalkan hati juga untuk masuk ke dalam tandas tersebut. Selesai saja kencing, dia tergopoh-gapah keluar, dengan niat mahu segera keluar meninggalkan tandas tersebut. Tapi ketika dia sedang membasuh tangan, masuk seorang pemuda India sambil bersiul-siul riang. Shahrul menarik nafas lega. Perasaan takut dan seram yang membelenggu jiwanya semenjak tadi, serta merta hilang.

Lelaki itu masuk lalu berdiri di sebelahnya. Pandangan mereka bertemu di dalam cermin di hadapan mereka. Shahrul mengukir senyum. Lelaki India itu membalas senyuman tersebut dengan sengihan. Dia mencapai tuala putih good morning yang disidai di lehernya lalu mengelap mukanya yang kebasahan. Mungkin sebab meredah hujan yang masih lebat di luar. Bisik hati Shahrul.

“Abang sorang saja ke?”
Soalan lelaki itu membuatkan Shahrul sengih lalu mengangguk. Dia menekan keluar cecair sabun pencuci tangan daripada bekas di sebelah kirinya lalu dilumurkan ke tapak tangannya. Pili air yang sedang terbuka dibiarkan saja buat seketika.

“Sorang je. You?”

“Samalah kita bang. Hujan-hujan macam ni, tak best nak drive. Sebab tu saya berhenti sini.”

Shahrul mengangguk. “Itulah pasal. Hujan lebat sangat. You nak balik mana?”

Dia membilas sabun di tangannya sambil membelek wajahnya di cermin. Lelaki India sebelahnya itu membasuh mukanya beberapa kali.

“Saya bawak lori bang. Mahu hantar barang ke Bukit Kayu Hitam.”

Lelaki itu menjawab ringkas. Shahrul mengangguk-anggukkan kepalanya. dia mencari-cari ayat perbualan yang boleh dibualkan dengan lelaki India di sebelahnya itu. Matanya masih di cermin dan tiba-tiba dia tersentak dan hampir tersembam ke sinki. Matanya membulat. Daripada pantulan di cermin yang sedang dipandangnya, dia nampak satu lembaga yang sedang tergantung di bahagian atas tandas betul-betul di belakangnya.

Maaf. Bukan lembaga, tapi hanya kepala. Ya, hanya kepala yang teroleng-oleng dengan sepasang mata yang begitu merah merenung ke arahnya. Rambutnya panjang, kusut dan mengerbang. Siung yang kekuningan sedang menyerigai dengan ukiran senyuman misteri yang sangat menakutkan.

“Allahuakbar!”

Kata-kata itu spontan keluar dari mulut Shahrul. Wajahnya pucat. Sepantas kilat dia berpaling ke belakang namun kepala dengan wajah yang mengerikan itu lenyap dari pandangannya. Wajahnya yang pucat membuatkan lelaki India di sebelahnya mengerutkan dahi.

“Abang ok ke? Muka abang pucat macam nampak hantu..”

Shahrul menelan liur lalu membasuh mukanya. Dia segera menggeleng dan bergegas untuk keluar daripada tandas tersebut namun tiba-tiba kunci kereta yang diletakkan di sisi sinki yang cuba dicapai untuk dimasukkan ke dalam kocek seluar jeansnya terjatuh ke lantai.

Shahrul mengeluh pendek. Sepantas kilat juga dia mencangkung untuk mendapatkan semula kunci tersebut. Ketika tangannya mencapai kunci tersebut barulah dia perasan yang kaki lelaki India di sebelahnya itu sebenarnya sedang terapung, tidak jejak langsung ke lantai. Tapak kakinya lurus dengan hujung ibu jari kedua belah kakinya menghala ke lantai.

Allahurabbi! Shahrul pejamkan mata beberapa ketika. Ujian apa pulak kali ni? Hatinya merintih. Sedar yang lelaki India di sebelahnya itu bukanlah manusia biasa sebagaimana sangkaannya, dia bingkas bangun lalu dimasukkan kunci tersebut ke dalam kocek seluarnya.

Tanpa berani menoleh ke belakang, dengan wajah yang menunduk, dia segera melangkah dari situ. Dadanya berdebar kencang. Jantungnya terasa menendang-nendang tak keruan.

“Abang.. Saya tak ada kacau abang kan. Tak payahlah takut.”

Tiba-tiba lelaki India di belakangnya bersuara. Shahrul meraup bulu tengkuknya yang berdiri tegak. Tak menunggu lama dia terus berlari keluar daripada tandas tersebut. Suara ketawa lelaki India tadi masih kedengaran walaupun ketika itu dia sudah pun berada di luar tandas. Suara ketawa itu seolah sedang mengekorinya.

Ketika itu barulah dia sedar yang hentian tersebut memang kosong. Hanya kereta Myvi kepunyaannya saja yang diparkir di situ. Gerai-gerai banyak yang sudah gelap. Kalau pun ada yang masih dibuka, tidak kelihatan langsung sesiapa pun di situ.

Masalah! Shahrul tahu yang dia perlu segera meninggalkan hentian tersebut dan meredah hujan yang masih lagi lebat dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti itu.

Highway

Dahinya basah. Samada peluh ataupun air hujan, dia sendiri tak pasti. Pendingin hawa dibuka ditahap yang paling minima. Viper hadapan Myvinya terus bekerja keras. Sesekali matanya terkebil-kebil memerhatikan jalur putih di atas permukaan jalan, takut kalau-kalau pemanduannya tersasar dari lorong yang sepatutnya.

Shahrul menghela nafas panjang. Sesekali dia meraup-raup tengkuknya yang masih terasa meremang. Tapi dia bersyukur kerana masalah keretanya sudah pun selesai. Tayarnya juga masih elok dan langsung tidak kempis. Malah, masalah stereng dan keretanya yang tiba-tiba menjadi berat sebentar tadi juga telah hilang begitu saja. Alhamdulillah.

Hampir 15 minit juga dia perlukan untuk menenangkan kembali dirinya. Radio dihidupkan. Hujan semakin kurang lebatnya. Lebuhraya yang terbentang luas di hadapannya nampak kosong. Cuma sesekali dia berselisih dengan kenderaan di laluan bertentangan dengannya. Itu pun hanya beberapa kali. Pelik. Sunyi benar lebuhraya malam ini. Shahrul hela nafas berat. Mungkin sebab hujan lebat kot. Dia cuba menyedapkan hatinya.

Suria FM yang sedang didengarnya sedang mendendangkan lagu-lagu slow rock era 90-an yang memang disukainya. Bibirnya bergerak-gerak menyanyikan setiap bait-bait lagu yang sedang berkumandang.

Namun tiba-tiba ketenangannya diragut sekali lagi dengan rakus. Ketika itu dia baru saja melepasi kawasan Bestari Jaya. Seat belt reminder mula menjerit-jerit secara tiba-tiba. Shahrul mengerutkan dahi lalu merenung ke arah lampu reminder tersebut di dashboard.

Sebelah tangannya memegang tali pinggang keledar yang sedang dipakainya. Ditarik-tariknya seat belt tersebut kalau-kalau ada klip yang longgar yang menyebabkan reminder tersebut berkelip-kelip dan menjerit-jerit ketika ini. Tapi keadaan masih sama. Dibukanya klip seat belt tersebut lalu dipasangkannya semula. Plak! Kemas masuknya. Memang ketat.

Tapi lampu reminder di dahsboard tersebut tetap juga menjerit-jerit. Shahrul mendengus geram.

“Kereta baru 2 bulan takkan dah buat hal kot? Ini yang aku malas nak beli kereta Malaysia ni.”

Dia merungut-rungut seorang diri. Dalam otaknya, dia berkira-kira untuk membawa Myvi baharunya ini ke pusat servis di Ipoh keesokkan harinya. Biarlah dia tak sempat berehat pun asalkan masalah kereta ini selesai semuanya.

Dia menekan pedal minyak untuk melajukan sedikit pemanduannya memandangkan hujan mula reda. Tapi ketika itu barulah dia sedar yang lampu reminder selt belt yang sedang menyala di dashboard keretanya itu menunjukkan tempat duduk di bahagian belakang. Bukannya tempat duduk pemandu sebagaimana sangkaannya tadi.

Maksudnya ada penumpang di belakang yang tidak mengenakan seal belt. Wajah Shahrul pucat semula. Ah sudah! Bulu tengkuknya kembali meremang. Dia perhatikan kiri dan kanannya yang gelap. Langsung tiada kawasan berlampu yang membolehkan dia berhenti dan melompat keluar daripada kereta ini.

Seluruh badannya terasa meremang. Sumpah inilah saat paling menakutkan yang dia pernah lalui. Ya Allah.. Berat sungguh ujianMu kepadaku hari ni. Shahrul menarik nafas panjang. Cermin pandang belakang di hadapannya dialihkan ke atas. Sumpah dia tak sanggup untuk melihat apa-apa saja yang sedang menumpang di belakang keretanya ketika ini.

Yang dia pasti, makhluk yang sedang menumpang itu mungkin beratnya sama seperti manusia kerana reminder tersebut tidak akan berbunyi kalau kanak-kanak yang duduk di situ kecuali orang dewasa dengan berat yang tertentu. Seat belt reminder tersebut berfungsi dengan mengesan benda berat yang duduk di atas kusyen kereta tersebut.

Shahrul memperlahankan radionya. Mulutnya terkumat kamit, cuba membaca ayat Qursi, namun bacaannya mula jadi berterabur. Perasaan seram yang menguasai dirinya sukar untuk digambarkan. Kalau boleh dia nak melompat saja keluar daripada kereta tersebut yang sedang bergerak.

Dia menghela nafas yang rasa tersekat-sekat. Tiba-tiba terlintas untuk dia melaungkan azan. Tanpa berlengah, dengan suara yang terketar-ketar dia melaungkan azan sekuat-kuat hatinya sambil matanya tepat memandang ke arah jalan yang terbentang di hadapannya.

“Allahuakbar Allahuakbar…”

Semasa melaungkan azan, bahagian belakang tubuh dan tengkuknya terasa panas. Seolah ada longgokan api di situ. Disebabkan tangannya yang menggeletar, kereta Myvi tersebut terhoyong-hayang ke kiri dan kanan seketika. Shahrul menekan pedal brek. Dia memperlahankan pemanduannya dan menekan butang hazard light supaya pemandu ataupun penunggang motosikal dari belakang dapat melihat keretanya dengan jelas di lorong kecemasan tersebut.

Beberapa buah kereta muncul dan memotong kenderaannya yang sedang dipandu perlahan di lorong tersebut. Ada yang membunyikan hon dan ada juga yang mengangkat lampu tinggi daripada belakang.

Shahrul beristigfar beberapa kali seusai melaungkan azan. Sebaik saja dia menghabiskan istigfarnya, reminder yang semenjak beberapa minit tadi menjerit-jerit dan berkedip-kedip lampunya itu berhenti tiba-tiba.

“Alhamdulillah..”

Shahrul mengesat peluh yang membasahi wajahnya. Dalam hati dia melafazkan rasa syukur dan berdoa supaya kejadian tadi tidak berulang sekali lagi. Selamatkanlah perjalanan dia balik ke Ipoh. Dia menambah doanya dengan tangan dan dada yang masih bergetaran. Namun belum sempat sempurna nafasnya yang semenjak tadi tersekat-sekat, dia terkejut sekali lagi apabila telefon bimbitnya tiba-tiba saja berdering dengan lagu Chelsea Chelsea yang dijadikan ringtone.

Segera dicapainya telefon yang diletakkan di depan panel meter dashboard keretanya itu lalu dibeleknya sekilas nama pemanggil. Buat seketika dahinya berkerut.

Ah Keong ada masalah ke? Tetiba call pulak ni.

Dia bercakap seorang diri. Panggilan tersebut segera dijawabnya.

“Hello, Keong. You ok ke tak ni?”

Shahrul menghidupkan loud speaker telefonnya.

“Shahrul, you kat mana sekarang?”

“Owh, I on the way baliklah. Dah nak masuk area Tanjung Malim dah ni. Why brother? You kena ganggu lagi ke? Actually aku pun baru je lepas kena….”

“Ganggu? Ganggu apa bro? Bro, im sorry kita tak sempat jumpa malam ni. Saya dengan Mary baru je sampai KL ni. Saya ingatkan you stay di sini malam ni so ingat nak ajak you ngeteh kat mamak sekejap. Tapi you dah on the way balik, it’s oklah.”

Buat kesekian kalinya badan Shahrul rasa meremang. Dia menelan liur. Suaranya rasa tersekat bersama kahak di kerongkong.

“Next time you datang KL lagi you bagitaulah awal sikit. Boleh saya dengan Mary adjust time kami untuk lepak dengan you. Lagipun sekarang ni anak saya Susan dia dah….”

Ah Keong terus membebel di hujung talian. Shahrul tergadah. Dengan siapa pulak aku berbual berjam-jam tadi tu kalau bukan Ah Keong dan Mary? Mukanya terasa panas dan sebal.

Sesungguhnya saat ini dia tak pasti ujian apa lagi yang akan mendatanginya sepanjang perjalanan sebelum sampai di Ipoh. Di luar, malam masih lagi gelap, pekat dengan hujan yang masih lagi renyai-renyai…

-TAMAT-

SHARE
Previous articleDIARI WIRAKU
Next articleSANTAPAN TERAKHIR RAJA BERSIUNG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here