ZARA II

0
1669

ZARA II

Penulis: Affieyza Isahak
Facebook Penulis: Dari Penulis Affieyza Isahak

Syura tersenyum manis di kerusi sebelah. Malam ini mereka makan malam di luar bagi meraikan perkahwinan mereka yang genap sebulan.

Senyuman terus meniti di bibirnya sebaik masuk ke dalam perut kereta. Bahagia kerana akhirnya dia dapat menjadi isteri Saiful yang sah. Tak sangka pula si Zara tu boleh meninggal secara tiba-tiba. Bunuh diri pula tu! Mental agaknya. Itulah rampas lagi kekasih orang!

Syura merumus sendiri kerana tidak mengetahui kisah di sebalik kematian bekas isteri suaminya itu. Dia bersimpati meskipun sebelum ini dia benar-benar marah kepada Zara kerana mengahwini kekasih hatinya.

Lama mereka mendiamkan diri. Masing-masing melayan perasaan sendiri sementara sampai di rumah.

“Awakk..”

“Ya sayang?” Saiful menoleh dengan senyuman yang masih tak lekang dari bibir.

Melihatkan isterinya yang sudah memejamkan mata itu membuatkan senyumannya mati. Saiful menelan air liur. Dia pasti dia tidak salah dengar. Melalui cermin pandang belakang, tiada sesiapa di kerusi belakang. Kosong.

“Awak cari saya ke?” bisik suara halus di belakang telinga Saiful. Akibat terkejut, Saiful menekan brek secara mendadak.

*****

“Kita di mana ni?” Syura bersuara sebaik membuka mata.

“Hospital.” jawab Saiful pendek.

Riak wajah Syura ternyata terkejut. “Kenapa?”

Saiful meraih tangan isterinya. “Kita kemalangan tadi. Maaf sayang, sebab saya, dahi awak luka.” Saiful memohon maaf.

Syura hanya terseyun tawar. Dia meraba dahinya yang rasa berdenyut.

*****

Saiful meraup wajah. Tubuhnya berbahang. Isterinya sudah lama masuk ke alam mimpi. Dia tidak pasti dengan apa yang dirasainya. Entah mengapa dia teringatkan Zara. Wajah Zara mula terbayang di matanya semenjak malam itu. Bodoh! Perempuan tu dah matilah! Saiful merenggus. Dari berbaring, Saiful bangun dan duduk bersandar di kepala katil.

“Aawakkkk..”

Laju Saiful mengangkat wajah ke arah pintu bilik dengan riak terkejut. Suara itu dari luar bilik. Tanpa berlengah, dia turun dari katil dan menapak ke arah pintu. Berdiri di tengah pintu dengan penuh debaran. Belum sempat dia memetik suis lampu ruang tamu, pintu bilik tertutup kuat dan Saiful yang tidak bersedia tersembam ke hadapan.

“Arrghh!” jerit Saiful. Tubuhnya tersembam kuat di lantai ruang tamu.

“Abang! Kenapa ni? Buka pintu!” panggil Syura dari dalam bilik tidak lama kemudian. Dia terjaga apabila pintu bilik terhempas kuat. Laju dia menerkam ke arah pintu namun pintu tidak dapat dibuka meskipun ia tidak berkunci dari dalam!

Saiful bangun sambil menyeringai kesakitan. Dagu, hidung, semua sakit! Bodoh! Tak pasal-pasal dia dapat sakit! Sebelum dia berpaling untuk memetik suis lampu, dia dapat menangkap satu susuk berdiri di hadapannya. Susuk itu hanya tegak. Air liur ditelan rakus. Pencurikah?

“Siapa?” Saiful kemudian memarahi dirinya. Boleh pula tanya soalan macam tu?

“Dah tak kenal ke? Hehehe.”

Dahi Saiful mula berpeluh. Dia kenal suara itu. Kepalanya digeleng perlahan. Mustahil! Matanya dikecilkan untuk melihat dengan jelas susuk itu. Jantungnya semakin berdegup laju.

“Za.. Zara ke tu?” Entah mengapa, nama itu terpacul jua dari mulut Saiful.

“Abang! Buka pintu ni!” panggil Syura dari dalam bilik. Dia mendengar suaminya menyebut nama Zara ketika menekapkan telinga pada pintu bilik. Hatinya mula berasa panas.

“Ya, Zara datang!” Tanpa di duga, susuk itu menerpa laju ke arah Saiful dan Saiful terhenyak ke pintu bilik. Kepalanya kuat mengenai pintu bilik yang diperbuat daripada kayu iu. Dia mendengar jeritan isterinya sebelum matanya tertutup.

*****

Bunyi suara orang bercakap menganggu tidur Syura. Terpisat-pisat dia menggosok mata. Daripada terbaring, dia terus bangun duduk. Arghh, kepalanya berat tiba-tiba. Kedua-dua tapak tangannya memegang erat kepala. Itulah, bangun mengejut lagi! Syura memarahi dirinya.

Eh, kenapa aku tidur kat sini? Syura berasa pelik melihat dia berada di belakang pintu. Dia menoleh ke arah katil. Suaminya tiada di situ. Perlahan-lahan dia bangun dan sebaik pintu bilik dibuka, dia mendengar suara suaminya seperti sedang berbual. Mereka ada tetamukah?

Tiba-tiba mata Syura terbuntang. Dia menekup mulut. Tubuhnya menggigil di muka pintu. Air liur terasa tersekat. Bau yang tidak enak semakin menusuk ke hidungnya.

“Hmm, kan aku dah kata, jangan masuk dalam rumah aku. Kan dah mampus. Sia-sia saja kau mati. Meh sini aku kerat kau, senang sikit aku nak kunyah!”

Jantung Syura sudah laju degupannya. Suaminya yang sedang membelakangkannya itu sedang memegang bangkai tikus dan mengeratnya di atas lantai ruang tamu. Darah memercik sana sini. Dia menahan loya. Bukan seekor tetapi tiga ekor!

Baru saja Syura berpaling ke belakang untuk masuk kembali ke dalam bilik, dia mendengar suara suaminya yang mulutnya sedang mengunyah itu.

“Isyhh, panjang pula ekor kau ni, nasib baik aku tak tercekik!” Saiful mengeluarkan ekor tikus lalu mengerat di bahagian tengah. Dia mengangkat tinggi salah satunya dan membuka luas mulutnya. Dia mendongak sedikit.

“Eemmm.. Dapnyaaa!” Sekali masuk saja, hilang ekor tikus itu ke dalam mulut Saiful.

Syura yang sudah tidak tahan melihat terus masuk semula ke pintu bilik dan menutupnya perlahan. Dia mengunci dari dalam dan segera ke bilik air. Serta-merta dia muntah dengan banyak bersama air mata yang laju mengalir.

*****

Syura membuka mata apabila terasa rambutnya dibelai. Kemudian pipinya pula diusap perlahan.

“Zara sayang..” bisik Saiful betul-betul di telinga Syura.

Terus Syura membuka matanya. “Awak sebut apa tadi?”

Saiful yang terkejut melihat isterinya bangun hanya senyum. “Tak ada apalah..”

Syura merengus. Ingat aku tak dengar dia sebut nama Zara tadi? Hati Syura meruap panas meskipun dia tahu bahawa Zara sudah meninggal. Dia kemudian mencari kepastian di wajah suami. Lama dia meneliti wajah insan yang dicintainya itu. Matanya terhenti pada bibir yang masih merekah dengan senyuman. Dia melihat ada kesan darah kering pada hujung bibir suaminya. Terus Syura terbayang peristiwa tadi. Tubuhnya diinjak ke tengah katil.

Mengenangkan peristiwa tadi, Syura jadi takut. Tubuhnya mula seram-sejuk. Dia mula meremang memandang suami sendiri.

“Kenapa ni, hmm?” Saiful memandang pelik dengan kelakuan isterinya.

“Bibir awak kenapa?”

Saiful menggerutkan dahi. Kenapa dengan bibirnya? Jari telunjuk dihalakan ke arah bibir. Seperti ada sesuatu yang melekit di situ. Dia bangun menuju ke cermin besar di belakangnya. Melihat darah kering itu, dia kelihatan tersentak. Darah apa pula ni? Dadanya mula berdebar.

“Awak?” panggil Syura setelah lama suaminya berdiri di hadapan cermin.

“Adalah ni, saya tercium apa-apa sampai berdarah!” Saiful ketawa lepas meskipun dia berasa gusar.

Syura hanya mengangguk. Dia tersenyum tawar.

*****

Malam itu, Saiful ke rumah rakannya.

Yi duduk di hadapan rakannya yang baru tiba itu. Dia melihat wajah Saiful keruh. Pelik pula dia. Dah kahwin dengan kekasih hati pun masih ada yang tidak kena?

“Kau kenapa?”

“Aku pelik ah..”

Dahi Yi berkerut. “Pelik apa?”

“Kenapa sekarang aku macam dah tak ada apa-apa yang boleh lindungi aku?”

“Maksud kau?”

Saiful mengeluh kasar. “Zara ganggu aku!”

“Dengan orang yang dah mati pun, kau goyang ke?” Yi terus melambakkan tawa.

Saiful menjeling. ‘Kau ada ilmu, bolehlah ketawa!’

“Aku nak balik apa yang kau bagi dulu. Aku tak nak Zara terus ganggu aku. Syura pun dah macam pelik dengan perangai aku. Entah apa yang terjadi pada aku!”

Yi terdiam. Fahamlah dia apa yang membuatkan rakannya itu tidak keruan.

“Kau lupa ke? Kan aku dah beritahu, semua tu akan berakhir sebaik saja Zara mati! Automatik terbatal. Lainlah kalau kau perlukan lagi khidmat aku.” Yi senyum penuh makna

Saiful mengangkat wajah. Memandang tepat ke arah rakan subahatnya. Dahi Saiful mula berpeluh.

“Kau kenapa pula ni?” Yi merenung tajam ke arah Saiful.

“Aku guna tandas kau kejap. Perut aku ni, dari siang tadi buat hal!” Saiful terus menghilangkan diri ke arah dapur. Dia tahu selok-belok rumah itu.

Bunyi deraman di belakang, membuatkan Yi bangun berdiri. Hidungnya mula menangkap bau busuk sekali lalu.

“Aku tahu kerja aku. Tak payah nak ajar aku!” Yi berkata perlahan namun berbaur amaran. Dia terus menuju ke luar rumah. Panas!

*****

Dahi Saiful berkerut. Lenanya rasa terganggu. Berkelip-kelip dia membuka mata. Dia mengetap bibir menahan rasa. Lengannya seperti digaru. Perlahan kemudian kasar. Satu keluhan dilepaskan. Pasti isterinya mengigau! Dari pergelangan tangan membawa ke siku. Saiful mula merasakan lengannya bukan digaru tetapi dicakar! Pedih mula terasa.

Saiful menoleh ke sebelah namun dalam keadaan gelap sebegitu, dia tidak dapat melihat wajah isterinya. Mimpi apalah sampai lengannya pula yang menjadi mangsa!

“Awakk.. Bangun. Awak mengigau ke ni? Pedih lengan saya ni!” Saiful cuba menyedarkan isterinya. Dia mengangkat sedikit tubuhnya mengadap ke arah isteri.

‘Cakaran’ itu terhenti. Fuhh.. Saiful menarik nafas lega. Dia kembali berbaring kemudian menguap panjang. Bersedia untuk tidur kembali.

Tidak lama kemudian, Saiful membuka matanya semula. Wajahnya pula diusap! Saiful menahan ketawa. Comel isterinya mengigau! Saiful hanya membiarkan. Rasa selesa apabila rambutnya pula diusap. Dia mula berasa lali.

Belum sempat Saiful memejamkan matanya kembali, dia mula perasan, kuku isterinya seperti panjang dan tajam. Setahunya isterinya amat menitik beratkan soal penjagaan diri.

Kuku itu mula menjalar di wajahnya semula. Keningnya diusik. Saiful mula tidak keruan, dia berasa tidak sedap hati. Mata Saiful terbuka dalam gelap. Dia menanti apa yang bakal berlaku dengan nafas yang laju.

Kuku itu mula melingkari kelopak matanya, kemudian tanpa sempat dia menutup mata, kuku itu bergerak seperti mahu mengorek isi matanya!

“Hey!!” tempik Saiful lalu bingkas bangun. Laju dia menghampiri suis lampu bilik. Pedih di hujung mata membuatkan dia menekan dengan jari bagi mengurangkan rasa pedih.

Tap!

Serta-merta bilik itu terang-benderang. Nafasnya laju turun naik. Gila! Mengigau apa sampai nak korek matanya?

Katil dipandang, kosong! Mana isterinya? Saiful meraup wajah. Apa benda yang berlaku ni?

“Awak kenapa?”

“Arghhh!” Bahu Saiful terangkat akibat terperanjat. Melihat isterinya di muka pintu bilik, dia mula curiga.

“Awak dari mana?”

Syura memandang pelik ke arah suaminya. “Dapur. Haus tadi.”

Saiful meneguk air liur. Habis siapa bersamanya tadi? Takkan aku pula yang mengigau?

“Bukan awak mengigau ke tadi? Cakar tangan saya?” tanya Saiful dengan harapan isterinya mengakui.

“Hah? Awak cakap apa ni? Sejak bila pula saya mengigau dalam tidur?” Syura menghampiri katil.

Saiful ikut duduk di birai katil. Dia melihat lengannya. Berbirat kemerahan!

“Awak tengok ni, kalau bukan awak, siapa lagi? Kita berdua saja dalam bilik ni!” Suara Saiful mula meninggi.

“Yang awak nak tuduh saya kenapa?” Syura turut meninggikan suara. Sudahlah mengantuk, tak pasal-pasal di tuduh pula! Dia terus merebahkan diri dan pejamkan mata. Malas mahu bertekak malam-malam begini.

Mata Saiful mencerlung ke arah isterinya. Habis kalau bukan isterinya, siapa?

“Zara yang buat…” bisik suara itu di telinga Saiful.

Saiful tersentak sehinggakan terjatuh ke lantai. ‘Zara?’

“Ya, Zara datang…” Bersama dengan itu, belakang leher Saiful diusik.

Saiful kalut menepis jari-jari yang berada di belakang lehernya. Dia tahu, dia pasti akan dicekik pula!

“Tak.. guna kau.. zara!” Suara Saiful mula tersekat. Dia tercungap-cungap mencari nafas.

“Saya nak awak rasa apa yang awak buat pada saya!”

“Awak! Kenapa ni?” tempik Syura yang melihat suaminya seperti terkapai-kapai itu. Terus dia menghampiri suaminya.

“Allah!” Saiful melafazkan kalimah suci itu sebaik lehernya terlepas dari cengkaman jari-jari yang merangkul lehernya.

Suara ketawa sinis menerjah gegendang telinganya. Wajah Saiful meruap panas. Malu! Pandai pula dia menyebut kalimah itu!

“Tengok, awak yang perangai pelik-pelik. Entah-entah lengan awak ni, awak sendiri yang garu sampai macam tu dalam tidur. Mimpi apalah agaknya!” Syura membebel geram kemudian menapak ke dapur mengambil air suam. Dia kembali tidak lama kemudian.

Air suam dihulurkan buat suami. Saiful menyambutnya tanpa memperdulikan bebelan isterinya.

‘Aku kena jumpa Yi secepat mungkin!’ rumus Saiful dalam hati. Peluh yang merembes, diseka kasar.

*****

Bau aroma sesuatu digoreng menusuk hidung Syura yang baru turun ke tingkat bawah. Pagi ini dia terlewat bangun. Bersyukur dia apabila suaminya tolong buatkan sarapan untuk mereka berdua pagi ini.

“Selamat pagi awakkk..” ucap Syura sebaik masuk ke ruang dapur. Suaminya masih memakai apron dan menyiapkan hidangan.

“Pagi sayang.. Awak duduk kat depan. Kita makan sama-sama.” Saiful senyum memandang isterinya.

“Nak saya tolong?” Syura mempelawa.

Saiful menggeleng dan meminta isterinya ke ruang makan menggunakan isyarat mata.

Syura terus menunggu di meja makan. Air teh sudah bersedia di atas meja. Syura menuangkannya ke dalam dua biji cawan. Tak sempat pula dia menjenguk apa yang dimasak oleh suaminya. Dia sebenarnya bukanlah seorang yang cerewat dalam bab makan. Asalkan sedap sudah memadai.

“Okey, jom kita makan?” Saiful duduk berhadapan dengan isterinya bersama mangkuk sederhana besar.

Hidung Syura sudah kembang-kempis menerima bau yang menyelerakan itu. Air liur ditelan laju. Tak sabarnya nak makan!

“Nah, untuk isteri tersayang.” Saiful menghulurkan pinggan kepada isterinya. Kemudian dia mengisi ke dalam pinggannya pula.

“Wow, meriahnya mee goreng basah ni! Penuh dengan sotong, udang, bebola, sayur. Mesti sedap!” Syura sudah terliur.

“Mestilah, siapa yang masak?” Saiful mengangkat kening. Ada tanda riak di situ. Saja mahu bergurau dengan isterinya selepas kejadian malam tadi.

“Yelah, awak memang pandai masak..” Syura menghadiahkan senyuman manis buat suaminya.

Saiful terlebih dahulu menjamahnya. Perutnya sudah berkeroncong. “Makanlah, sedap ni!”

Syura mula menjamah. Asap nipis masih teroleng-oleh di udara. Dia menyuap sesudu ke mulut. Matanya dipejamkan bg menikmati rasa yang memenuhi mulutnya. Sedap! Tapi mee ini sedikit lain rasanya.

“Sedap tak?” tanya Saiful.

Syura membuka mata dan mengangguk kemudian dia melihat sesuatu bergerak di sudu suaminya. Belum sempat sudu itu masuk ke mulut suaminya, Syura menepis dengan tangan yang menggigil. Ini bukan mee tetapi cacing! Ada yang masih hidup! Dia sudah mahu termuntah. Matanya mula berair.

“Awak kenapa ni? Tak baik buat makanan macam ni! Sayang mee ni!” tengking Saiful.

Syura menggeleng. “Ini bukan mee…” Dia melihat pinggannya. Geli-geleman dan jijik melihat cacing-cacing itu melingkari bahan lain. Teringatkan dia juga menjamahnya tadi terus dia berlalu ke singki, dia muntah di situ. Melihat ada cacing yang keluar semula membuatkan Syura mengalirkan air mata.

“Teruk sangat ke sampai awak termuntah?” tanya Saiful dari arah belakang.

Syura mengambil kain bersih dan mengelap bibirnya. “Tak…”

“Jomlah sambung makan.” ajak Saiful.

Tubuh Syura tegak. Dia menggeleng. “Saya tak nak!”

“Kenapa?” Saiful memandang tajam ke arah isterinya.

“Awak bagi saya makan apa ni?”

Saiful menggerutkan dahi. Dia menarik lengan isterinya ke ruang makan.

“Ini kan mee? Kesukaan awak.” jawab Saiful sambil mengambil sedikit mee lalu memakannya.

Syura memejamkan mata. Dia sempat melihat cacing itu meronta sebelum berjaya Saiful masukkan ke dalam mulut. Sungguh dia berasa loya!

“Ini bukan mee..” Syura bersuara perlahan. Dia berkalih ke arah lain. Sebahagian cacing sudah bersepah di atas meja makan.

“Sudahlah. Kalau ya pun tak sedap, tak payah mengada sampai macam ni! Pergilah kerja. Makanlah kat luar tu!” Saiful menolak tubuh isterinya agar segera keluar pergi berkerja. Hatinya sakit dengan kelakuan isterinya. Melampau! Penat-penat dia masak, ini yang dibalas oleh isterinya? Memang isteri tak tahu dek untung!

Syura terus keluar dan meninggalkan rumah. Tidak mahu terus bertekak. Suaminya bukan jenis dengar pendapat orang. Dia saja yang betul. Hanya doa dipohon agar tidak berlaku apa-apa pada suaminya.

*****

Saiful terjaga apabila terasa perutnya memulas. Dia tidak masuk kerja hari ini. Masih sakit hati dengan kelakuan isterinya. Tambahan pula semenjak tengah hari tadi, berulang kali dia keluar masuk ke bilik air. Dia melihat ke luar balkoni, remang senja mula kelihatan. Isterinya masih belum pulang. Selimut ditolak ke sisi dan terus bangun menuju ke bilik air. Serasa sudah tiada apa untuk membuang lagi. Tubuhnya lemah.

Selesai memerut, dia kembali ke katil untuk merebahkan tubuhnya. Tidak sampai seminit dia menutup mata, dia membukanya semula. Dia seperti perasan ada seseorang di atas katil. Isterinya kah? Bila dia balik? Saiful menoleh perlahan-lahan. Zara? Kalut dia bangun dan menjauhkan diri.

“Zara! Tolonglah, jangan ganggu aku lagi. Aku minta maaf!”

Kelihatan ‘Zara’ bangun dari pembaringan dengan wajah pucat. Air matanya mengalir. Air mata darah!

“Selagi kau tak terima balasan, selagi itulah hidup kau, aku ganggu!” Suara Zara memetir.

Saiful tergamam. Zara sudah berada di hadapannya secara mendadak. Dia berundur ke belakang namun tersekat pada penghadang balkoni.

“Nak lari mana? Tak ada siapa dapat selamatkan kau! Aku nak kau mati!”

Saiful memegang kuat penghadang balkoni di belakangnya. “Tak! Aku tak nak mati! Pergi!!”

Wajah Zara mula berubah. Amat menggerikan pada mata Saiful. Saiful panik. Tidak tahu mahu buat apa. Ketakutan lebih menguasi dirinya. Sempat dia memarahi Yi dalam hati. Ada rakan pun, tolong tak habis!

Sekali cakaran saja di muka, Saiful terteleng ke sisi. Arghh. Pedih!

“Sakitlah bodoh!” Saiful merenggus marah. Dia menerpa laju namun Zara hilang dari pandangannya.

Saiful berpusing untuk mencari kelibat Zara. Tapak tangannya menekup sebelah mukanya. Pedih.

“Kau cari aku ke?” Suara serak itu muncul betul-betul di belakang Saiful. Di luar balkoni. Ketawa halus pula diselitkan.

Saiful meremang, tubuhnya menggigil. Tegaknya sudah tidak gagah. Dalam menanti apa yang bakal berlaku, saiful gagal mempertahankan dirinya apabila lehernya dipaut dari belakang lalu ditarik jatuh ke bawah. Tangannya terkapai-kapai untuk memaut sesuatu yang boleh menyelamatkan dirinya namun tiada. Terus tubuhnya menjunam ke bawah.

Tubuhnya terhempas kuat dan kepalanya terhentak tanpa alas ke lantai. Darah terus memancut dari serata arah. Mata Saiful terbeliak memandang ke atas.

Dia memandang Zara yang menyeringai dari balkoni. Dalam hati dia sempat mengungkap kata maaf sebelum nafasnya terhenti.

Zara hanya melihat. Dendamnya sudah berbalas. Nyawa harus dibalas dengan nyawa!

Sebulan kemudian..

Syura menerima kehadiran rakan suaminya dengan tenang. Walaupun masih bersedih dia sudah boleh menerima ketentuan bahawa suaminya sudah tiada.

“Maaflah saya datang ni, menganggu awak.” Yi duduk setelah dipelawa.

“Tak apa..”

“Saya datang ni nak ucap takziah ya. Ma tak dapat hadir tempoh hari. Ada urusan di luar.”

Syura hanya mengangguk.

“Sebenarnya saya datang ni nak sampaikan hajat arwah..” Yi menatap wajah manis Syura.

Syura terkedu. Hajat? “Hajat apa ya?”

“Macam ni, arwah ada jumpa saya beritahu dia tidak sihat. Dia bimbang andai terjadi apa-apa pada dia. Arwah ada minta saya jagakan awak sebab dia percayakan saya. Tapi terpulang pada awak, saya cuma sampai hajat arwah. Mana yang baik, kita teruskan. Awak jangan risau, saya tak memaksa.”

Syura yang terkejut terus mendiamkan diri. Dia kenal Yi sebagai rakan suaminya sahaja. Tidak lebih daripada itu.

“Mak rasa, Syura penuhilah hajat arwah tu. Mak yakin, arwah tahu apa yang terbaik untuk kamu.” sampuk Puan Wahida dari arah dapur. Dia menatang dulang berisi air dan kuih-muih.

Yi memaniskan romannya. Dia kenal ibu Saiful sejak mereka memasuki alam perkerjaan. Namun mujurlah segala kegiatannya Saiful rahsiakan.

Memandangnya dia yatim piatu, maka Syura terus mengangguk sebagai jawapan.

Senyuman Yi dan Puan Wahida bersatu. Puan Wahida hanya mahu melihat ada yang menjaga menantunya ini.

Yi kemudian memandang ke luar rumah dan pandangannya bersatu dengan sesuatu yang sedang menyeringai ke arahnya. Hatinya terus berbisik.

‘Hahaha, berjaya juga lakonan aku. Terima kasih Saiful kerana tinggalkan isteri kau untuk aku. Tak sia-sia usaha aku untuk buat kau rasa apa yang kau buat pada Zara dulu! Terima kasih kawan!

-TAMAT-

SHARE
Previous articleTEKAD 
Next articleSUNDEL BOLONG (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here