ZARA

0
2322

ZARA
Karya: Affieyza Isahak
https://web.facebook.com/ijafazliza.isahak

============================

Langit di luar sudah bertukar mendung. Guruh mula berdentum. Sesekali menyentakkan Zara yang sedang merenung ke arah luar tingkap dapurnya.

Zara mengambil pisau dan berdiri tegak di hadapan sinki. Ikan sardin masih bergolek tidak disiang. Perasaannya mula goyah. Dia mengenggam kemas pisau dengan tangan yang mula menggigil.

Perasaannya mula terbuai. Ada rasa yang melonjak dalam dirinya. Lengan kiri yang terdedah dipandang dengan berbaur. Air liur ditelan laju. Pisau di tangan kanan semakin menghampiri lengan kiri. Entah bagaimana dia berasa teruja ketika itu. Ya, teruja untuk melihat lengannya dihiris! Pasti darah yang mengalir itu mencantikan lagi lengannya yang mulus itu. Keinginannya semakin membuak-buak.

Dumm!!

“Allah!” Terpacul kalimah itu daripada bibir Zara. Bunyi guruh yang terlalu kuat itu, membuatkan dia memejamkan mata. Nafasnya menderu laju. Hampir beberapa minit kemudian, barulah dia membuka kembali matanya.

Dia melihat pisau di genggamannya sudah hampir mengenai lengan kirinya. Berdenting bunyi apabila pisau itu dicampak ke dalam sinki. Kedua-dua tangannya menggigil. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang. Bibirnya bergetar. Syukur, dia tidak menghiris lengan sendiri!

*****

“Macam mana duduk rumah kita tu? Selesa tak?” Saiful bertanya pada isterinya ketika mereka dalam pulang daripada makan malam di luar.

Zara hanya mengangguk. Romannya dimaniskan. Tidak mahu bercerita apa yang dia rasai semenjak mereka berpindah ke rumah itu hampir dua bulan yang lalu. Dia tidak mahu membebankan suaminya dengan perkara yang remeh. Sebolehnya dia mahu menjadi isteri yang menyenangkan suaminya.

Saiful mengangguk. Lega hatinya. Dia berharap perkahwinan yang dibina bukan atas dasar cinta itu, semakin mekar saban hari. Meskipun masih baru dalam mengenali isi hati masing-masing, dia cuba untuk membuatkan isterinya berasa selesa.

“Kalau ada apa-apa yang kurang, awak beritahulah saya. Saya tahu, awak pun masih menyesuaikan diri sebagai seorang isteri kan?” Mata Saiful merenung lembut wajah isterinya.

Zara mengangguk. “Saya pun harap kita boleh menyesuaikan diri. Kalau ada yang kurang pada pandangan mata awak, tegurlah saya. Bimbinglah saya.”

Saiful mengangguk. Lembut tutur isterinya membahagiakan dirinya. Zara mempunyai keistimewaan sendiri. Senyuman nipis menghiasi bibir Saiful. Matanya kembali difokuskan pada pemanduannya.

*****

Pagi itu, Zara menghantar pemergian suaminya ke tempat kerja dengan perasaan gembira. Dia bersyukur kerana mereka sudah boleh menyesuaikan diri sebagai suami isteri. Tidak rugi dia menerima pelawaan daripada ibu mertuanya. Bahagia kini menghiasi hidupnya.

Zara bergegas masuk ke bilik air apabila berasa mahu membuang air namun hampir lima minit di situ, dia terkebil-kebil seorang diri.

“Kenapa aku masuk bilik air?” Zara garu kepala. Dia memutarkan pandangan dan matanya terhenti pada satu sudut di dinding.

Dinding yang disaluti mozek itu sudah terkopek sebahagiannya dan menampakkan lumut yang melekat dicelahnya. Hitam. Zara geli melihatnya. Dia berpaling untuk keluar namun keinginan untuk melihat semula ke arah dinding itu membuatkan dia melihat kembali. Hati Zara jadi tak tentu arah. Perutnya terasa sebu. Kepalanya terasa mengembang. Matanya melihat lama ke arah lumut itu. Dia geli tetapi keinginan untuk terus memandang tidak dapat dibendung. Nafas Zara menjadi tidak teratur.

Air liur ditelan perlahan. Dia mula berasa kecur. Kecur air liurnya melihat lumut hitam itu. Zara mengetap bibir. Tidak tahu apa yang dia rasakan ketika ini. Dia sudah gilakah?

Dinding itu dihampiri. Jari telunjuknya menyentuh lumut itu dengan jari yang menggigil. Badannya meruap panas secara tiba-tiba. Lidah Zara bergerak-gerak dalam mulut. Kemudian bibirnya terbuka, lidahnya terjulur keluar dan mendekati dinding itu.

Bunyi deringan telefon menyentakkan Zara. Tubuhnya tegak. Dia menggeletar di dalam bilik air. Nafasnya tersekat-sekat. Deringan buat kesekian kalinya, sekali lagi mengejutkan Zara. Laju dia mencelup tangannya ke dalam kolah dan terus keluar dari bilik air. Kain yang disangkut pada pemegang peti ais dicapai. Dikesat kasar tangannya yang basah. Dia geli dan jijik. Air mata Zara mengalir laju apabila mengingatkan apa yang terjadi sebentar tadi. Deringan telefon telah menyelamatkan dirinya daripada menjilat lumut yang berada di celah rekahan dinding itu!

*****

“Awak, kenapa diam saja ni?” Saiful melihat isterinya tidak banyak cakap semenjak dia pulang daripada kerja. Selalunya isterinya akan berbual dan berusaha untuk menggembirakannya. Tetapi hari ini, isterinya tidak banyak cakap. Dia rindu mahu bergelak ketawa dengan isterinya itu.

Zara membetulkan duduk dan menatap wajah suaminya. Tangan suaminya diraih. Dia serba-salah.

“Ada yang tidak kena?” Saiful mengerutkan dahi.

“Saya.. Saya tak gila.” Air mata Zara mula bertakung.

Saiful tersentak. “Awak ni kenapa? Cakap yang bukan-bukan? Awak demam ke?” Dia menyentuh dahi isterinya. Panas sedikit. Senyuman nipis mula terukir di bibirnya.

“Tunggu kejap.” Saiful bangun menuju ke dapur dan kembali dengan panadol dan segelas air suam.

“Makan panadol dulu, kalau tak baik jugak kita pergi klinik.”

Zara hanya diam. Dia menyambut panadol yang dihulurkan. Air suam disuapkan oleh suaminya. Hati Zara masih berbaur. Dia yakin bahawa dia tidak gila! Tapi kenapa dia berkeinginan yang pelik-pelik?

“Rumah kita ni berhantu ke?” tanya Zara tiba-tiba.

Saiful yang baru bangun terus duduk di sisi isterinya semula. Dia semakin hairan melihat tingkah isterinya itu. Pasti ada yang hendak isterinya sampaikan kepadanya. Wajah isterinya diusap perlahan. “Ceritalah, saya dengar.”

Saiful beristighfar sebaik mendengar luahan isterinya itu. Sangkanya isterinya baik-baik saja di rumah tetapi lain pula yang terjadi.

“Awak jangan ikut sangat apa yang awak rasa. Awak kena lawan. Nanti saya bawa awak jumpa kawan saya. Dia ada mengubat orang. Kita ikhtiar ye?”

Zara hanya mengangguk. Dia berasa lega kerana akhirnya dapat juga dia meluahkan pada suaminya.

“Saya tak gila kan?” Sewaktu mahu melelapkan mata, Zara bertanya lagi. Lirih suaranya.

Saiful menggeleng. “Tak. Awak sihat. Tidurlah..” Dia tahu isterinya tidak senang hati dengan apa yang menimpanya. Dia berharap isterinya dapat mengawal keinginannya yang pelik itu.

*****

Lebar senyuman Puan Wahida apabila melihat anak dan menantunya tiba di depan rumahnya. Seingatnya ini kali kedua menantunya datang ke rumahnya semenjak mereka berkahwin. Dia hanya ada seorang anak dan pastinya Zara adalah menantu kesayangannya. Lagipun dia sudah lama mahu Zara yang yatim piatu itu menjadi menantunya. Dia bersyukur kerana anaknya tidak pernah membantah cakapnya. Melihat kebahagiaan yang terpamer di hadapannya itu membuatkan dia berasa lapang hati. Pilihannya tidak salah.

“Kamu berdua dari mana ni?”

“Kami dari rumah kawan tadi, bawa Zara beru…”

Belum sempat Saiful menghabiskan ayatnya, Zara mencelah. “Dari rumah kawan tadi, saja ziarah.”

“Ohh.. Minumlah.. Nanti kita makan malam sama-sama.” Puan Wahida senyum melihat keduanya.

Zara mengangguk. Dia tahu suaminya sedang merenung ke arahnya. Zara tidak mahu ibu mentuanya tahu apa yang mereka alami. Masalah mereka, biarlah mereka saja yang selesaikan. Dia tidak mahu membebankan ibu mentuanya itu.

*****

Dua hari di kampung, Zara kembali ke rumah mereka dan kali ini ibu mertuanya turut ikut sekali. Suaminya beria mahu ibunya duduk di rumah mereka. Tambahan pula ibu mertuanya duduk seorang diri.

“Mak ada nak makan apa-apa tak? Zara buatkan untuk mak..” Zara bertanya ketika mereka baru pulang dari pasar.

Puan Wahida mengusap lengan menantunya. Tersentuh hatinya melihat layanan menantunya itu. Dia senyum. “Zara buatkan laksa boleh? Dah lama mak tak merasa laksa Zara. Kali terakhir mak makan, masa sebelum Zara kahwin dulu.”

Zara tergelak kecil. “Aduhh, kesiannya mak!”

Puan Wahida turut ketawa.

“Mak pergilah rehat. Biar Zara masak. Nanti siap Zara panggil.”

Puan Wahida mengangguk dan berlalu ke luar rumah. Dia mahu melihat bunga-bunga yang ditanam oleh menantunya. Segar-segar semuanya.

Puas melihat bunga yang pelbagai warna itu, Puan Wahida berjalan di sekeliling rumah anaknya. Kawasan yang luas membuatkan dia berasa selesa. Dia juga sudah merancang mahu menanam pelbagai anak pokok di sekeliling rumah itu. Biar halaman rumah teduh.

Tiba di belakang rumah dan menghampiri dapur, Puan Wahida mendengar sesuatu. Perlahan-lahan dia menghampiri tingkap yang terbuka luas itu. Entah mengapa hatinya berdebar. Bau ikan mula menusuk hidungnya. Tahulah dia bahawa menantunya itu sedang menyiang ikan. Bau laksa direbus juga menaikkan seleranya. Tidak sabar dia mahu menjamah laksa daripada air tangan menantunya itu. Terus kecur air liurnya.

“Ermm.. Sedapnya..”

Langkah Puan Wahida terhenti. Bunyi pisau mengilukan telinganya. Dia menghampiri tingkap dan menjengukkan sedikit kepalanya.

Mata Puan Wahida terbuntang. Dia menekup mulut dan segera meninggalkan dapur. Tergesa-gesa dia masuk ke dalam rumah dan terus mengunci pintu biliknya. Dia termuntah di dalam bilik air. Tubuhnya menggeletar. Dia mengurut dada. Langkahnya perlahan menuju ke katil. Dia terhenyak di situ.

Masih jelas terbayang di matanya, menantunya sedang tunduk ke arah sinki. Tangan kirinya memegang seekor ikan manakala tangan kanannya memegang pisau yang dipenuhi darah ikan. Yang memeranjatkannya adalah menantunya itu rakus menjilat darah yang ada pada mata pisau! Bau hanyir kembali menusuk rongganya. Sekali lagi Puan Wahida masuk ke bilik air. Dia tidak dapat menahan loya yang terus membuak.

*****

Puan Wahida gelisah di dalam bilik. Dia serba-salah. Kalau pagi tadi dia melihat menantunya menjilat pisau yang dipenuhi darah ikan tetapi pagi tadi lebih teruk dia lihat. Sungguh tidak dapat diterima oleh akalnya.

Dari tingkap bilik dia dapat melihat menantunya membuang sampah ke dalam tong besar di belakang rumah. Dia melihat Zara menghampiri paip air dan mengandaikan tentulah menantunya itu mahu mencuci tong yang terlekat sisa sampah. Namun sangkaannya meleset apabila melihat Zara mengutip sisa-sisa yang terlekat di dalam tong sampah dan memasukan ke dalam mulutnya! Kemudian barulah tong sampah iti dicuci.

Puan Wahida mengurut dadanya. Sungguh dia tidak percaya apa yang terhidang di hadapan matanya. Sudah gilakah menantunya itu? Hampir setengah hari dia terbaring dalam bilik akibat muntah beberapa kali. Tubuhnya letih. Panggilan dan ketukan pintu langsung tidak disahutnya. Dia sudah tidak peduli jika menantunya itu mahu berkecil hati.

*****

Zara termenung di meja makan. Kenapa dengan ibu mentuanya? Dia ada buat salahkah? Laksa yang telah siap dihidang itu pun belum dijamah oleh ibu mentuanya. Dia sendiri sudah hilang selera mahu menjamah laksa itu meskipun aromanya tersangatlah mengoda. Tengah hari tadi pun ibunya tidak menjamah nasi. Zara gelisah seorang diri.

Sejujurnya Zara berasa tenang apabila ibu mentuanya ada di rumah ini. Tiada lagi keinginan pelik pada dirinya. Mungkin juga air penawar yang diberikan oleh rakan suaminya itu serasi dengan dirinya. Sungguh Zara berasa lega. Cuma kebelakangan ini dia kerap sakit perut. Pedihnya seperti jarum yang mencucuk.

“Berangan apa tu?” Teguran Saiful mengejutkan isterinya.

Zara menghela nafas. Romannya dimaniskan. “Tak ada apalah..” Zara menyalami tangan suaminya yang pulang dari tempat kerja.

“Mak mana?” Saiful mencari ibunya.

“Mak ada dalam bilik. Tak mahu keluar..” adu Zara. Takut-takut dia memandang ke arah suaminya.

Saiful terdiam. Kenapa pula dengan ibunya?

“Kenapa tak beritahu pada saya? Kalau apa-apa terjadi pada mak, macam mana?” Akibat risau, Saiful tanpa sengaja telah menguatkan suaranya.

Zara terkedu. Tidak terfikir pula dia sampai begitu.

Saiful menghampiri bilik yang dihuni oleh ibunya. Dia mengetuk perlahan.

“Makk… Mak tak sihat ke?”

Kelopak mata Puan Wahida terbuka sebaik mendengar suara anaknya. Dia bangun dan menapak perlahan ke arah pintu.

Saiful menerpa sebaik pintu dibuka dari dalam. Melihat wajah pucat ibunya, terus dia memapah ke ruang tamu.

“Mak kenapa ni?”

Mata Puan Whida beralih arah. Melihat wajah sugul menantunya, Puan Wahida dihuni rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia mengurungkan diri dalam bilik. Pasti menantunya itu risau dengan keadaannya.

“Mak cuma tak larat sikit.”

“Kita pergi klinik ya, mak?” ajak Saiful.

Puan Wahida menggeleng. “Tak payahlah. Kejap lagi mak makan, sihatlah ni.” Wajahnya diceriakan. Tidak mahu anak dan menantunya susah hati.

“Jom mak, kita makan. Nasi semua Zara dah hidangkan. Laksa pun ada..” Zara membeli jiwa ibu mertuanya.

Puan Wahid senyum namun senyumannya tawar. Tiada manisnya.

*****

Puan Wahida tekad untuk balik ke rumahnya hari ini juga! Dia sudah tidak betah melihat perangai menantunya itu. Terasa nyawanya dalam bahaya ketika anaknya keluar bekerja. Zara dilihat semakin pelik kelakuannya. Bila ditanya, Zara seperti kebingungan.

Puan Wahida buntu. Beg pakaiannya sudah dikemaskan. Anaknya sudah dimaklumkan. Dia hanya menunggu anaknya habis kerja kemudian menghantarnya pulang ke rumah.

Tubuhnya berasa seram-sejuk. Peristiwa tadi berterusan bermain di mindanya.

Selepas menjamah hidangan tengah hari, dia dan menantunya duduk di luar rumah sambil berbual kosong. Tiba-tiba dia perasan sesuatu pada lantai di tepi pintu rumah. Dia mendekati untuk melihat dengan lebih dekat.

“Isyhh.. Kucing siapa yang muntah dekat sini pula?” Puan Wahida merungut sambil memandang sekeliling. Mana tahu kucing yang meninggalkan muntahnya itu ada di sekitar rumah anaknya.

“Entahlah mak, ada saja kucing masuk ke sini..” Hidung Zara kembang-kempis. Tubuhnya merinding. Kepalanya terasa mengembang.

“Kejap mak ambilkan mop.” Puan Wahida masuk ke dalam rumah. Bukannya tak ada paip air di luar rumah tetapi dia lebih berpuas hati jika dapat menyucikannya dengan bersih.

“Zaa..” Puan Wahida menekup mulutnya. Nafasnya seakan mahu berhenti. Tangan yang memegang batang mop itu menggeletar. Dia terundur ke belakang. Matanya menyaksikan menantunya itu sedang menjilat muntah yang ada di situ dengan lahap.

Segera dia menuju ke biliknya dan mengunci pintu rapat-rapat. Air matanya berhamburan keluar. Apa kena dengan menantunya itu? Gilakah?

*****

Zara memejamkan matanya rapat-rapat. Kalau boleh tidak mahu matanya melihat lagi. Dengkuran suaminya di sebelah membuatkan dia seakan diberi kekuatan. Tadi, sewaktu dia terjaga daripada tidur, kelibat hitam itu muncul lagi. Kelibat itu hanya tegak di belakang pintu, mengadap dia dan suaminya. Meskipun tidak dapat melihat sepenuhnya rupa kelibat itu, dia sudah diburu ketakutan.

Dia perasan, semenjak hari pertama ibu mentuanya pulang, dia kerap melihat kelibat hitam itu. Bukanlah mahu mengesyaki yang bukan-bukan tentang ibu mentuanya tetapi kenapa kelibat itu ada di rumahnya semenjak ibu mentuanya kembali ke rumahnya? Zara tahu, ibunya bukanlah jenis yang melakukan perkara yang dilarang agama itu.

“Hmmfff…”

Mata Zara terbuka mendengar bunyi nafas itu. Keras dan menggerunkan. Terasa dekat dengan telinganya. Dia menelan air liur. Dia pasti, suaminya tidak pernah bernafas sampai menerbitkan bunyi seperti itu ketika tidur. Deruan nafasnya pula berubah laju. Zara berdebar-debar saat memalingkan wajah ke arah suaminya. Telefon bimbitnya juga dibuka untuk membiarkan cahaya terus membantunya untuk melihat.

Zara tergamam sebaik menyuluh wajah suaminya. Telefon bimbit terlepas dari tangannya. Tubuhnya menggigil kuat. Wajah suaminya kosong! Zara menginjak ke belakang, cuba menjauhi dan mahu segera turun daripada katil.

“Awak kenapa ni?”

Tubuh Zara terangkat sebaik dia disapa dari arah belakang. Jantungnya masih berdegup laju. Dia memberanikan diri dan cuba menoleh. Matanya terbuntang. Zara terus dihimpit rasa takut yang tinggi.

“Aw.. Awak siapa?” Bergetar suara Zara ketika itu.

“Suami sendiri pun dah tak kenal ke?” Saiful pelik melihat kelakuan isterinya. Mengigau ke apa? Dia memetik suis lampu dan bilik yang separuh gelap itu kini terang-benderang.

Sebaik lampu dinyalakan, Zara menoleh ke sisi. Tiada sesiapa di sebelahnya!

“Awak dari mana?” Zara memandang suaminya dengan was-was.

Saiful tergelak. “Saya baru balik kerjalah. Awak kenapa ni? Tidur awal sampai lupa basuh kaki eh?”

Baru balik kerja? Zara bungkam. Habis siapa yang balik petang tadi dan tidur di sebelahnya?

*****

Saiful perasan, semenjak kebelakangan ini isterinya sudah tidak banyak berbual. Lebih suka menyendiri. Kadang-kadang isterinya seperti takutkan sesuatu. Dan paling dia berasa pelik, setiap kali isterinya masuk ke bilik air, pasti lama. Hendak kata mandi, tidak pula dia mendengar air mencurah dengan kerap.

“Awak..”

Zara memanggung kepala. Mereka berdua sedang menikmati makan malam. “Kenapa?”

“Awak ada masalah ke?”

Zara diam. Dia sendiri bingung memikirkan keadaan dirinya. “Tak tahu..”

Saiful mengeluh perlahan. Seketul ayam goreng dicapai lalu digigit isinya. Tiba-tiba Saiful meluahkan kembali. Matanya tertancap mata ketulan ayam di tangannya. Ayam itu masih ada darah dan isinya tidak dimasak dengan sempurna. Malah lembik seakan masih mentah.

“Ada darah pula. Isi dia pun belum masak sepenuhnya. Awak angkat awal sangat ni!” Saiful cuba berseloroh kerana tidak mahu isterinya berkecil hati.

Zara tiba-tiba berasa teruja mendengar perkataan darah. “Bak sini.” Dia meminta.

Saiful menghulurkan. Sangkanya isterinya itu mahu melihat tetapi apa yang berlaku di depan matanya ini membuatkan dia menahan rasa mual. Ketulan ayam yang dikira masih mentah dan berdarah itu diratah dengan rakus oleh isterinya.

“Eh awak, sakit perut nanti!” Saiful menegah. Bimbang isterinya sakit perut pula nanti.

Zara tayang sengihan panjang. “Sedaplahh!”

Saiful meneguk air liur. Kenapa dengan isterinya? Lain benar perangainya. Dalam diam dia memasang rancangan untuk membawa isterinya untuk pergi berubat. Dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada isterinya atau mungkin memang benar rumah mereka duduk ini ada yang tidak kena? Tubuh isterinya juga semakin hari semakin susut.

*****

Petang itu, Saiful menuangkan air penawar yang diberikan oleh kawannya itu untuk isterinya mandi. Menurut rakannya, isterinya itu mungkin diganggu sesuatu. Kawannya itu turut memberi beberapa kuntum bunga untuk diramas ke dalam air penawar tadi.

“Duduklah, saya tolong awak.” Saiful menyuruh isterinya duduk di atas kerusi kecil di dalam bilik air. Bilik air di sebelah dapur itu, jarang dia gunakan. Dia lebih selesa menggunakan bilik air yang tersedia di dalam bilik tidur mereka sahaja.

Zara hanya menurut. Masuk saja ke dalam bilik air itu, dia sudah terasa lain. Keinginannya mula bergelora. Dia cuba menahan segala rasa memandangkan suaminya turut ada bersama.

Semasa menjiruskan air ke arah isterinya, Saiful perasan, mata isterinya bergerak liar ke sana sini. Kemudian terhenti lama ke arah lantai yang mula kehitaman akibat tidak dicuci itu. Dia pelik. Setahunya semenjak mereka berkahwin, isterinya seorang yang rajin tetapi kenapa tiba-tiba seperti tidak mengendahkan urusan rumahtangga? Saiful menarik nafas, salahnya juga kerana tidak membantu isterinya di rumah. Disebabkan penat bekerja, Saiful kurang mengambil peduli hal sebegitu.

Sebaik selesai mandi, Saiful ke bilik untuk mengambil tuala buat isterinya. Melihat suaminya tiada di sisi, tidak semena-mena Zara menundukkan dirinya ke arah lantai. Keinginannya sudah sampai ke kemuncak. Zara dihanyut oleh satu rasa. Dengan kedudukan merangkak, Zara menjulurkan lidahnya ke arah lantai.

Saiful yang melihat terus terperanjat besar. Dia ingin mencegah tetapi sudah terlambat. Isterinya dilihat sudah menjilat lantai itu dengan asyik. Langsung tidak mengendahkannya. Saiful tiada daya untuk melihat. Air mata yang bergenang, dikesat kasar.

“Awakk..” Saiful memanggil perlahan. Loya di tekak cuba ditahan.

Zara masih memenuhi keinginannya. Dia sudah lupa apa yang ada di sekelilingnya.

“Zara!” Serentak dengan itu, Saiful menarik kuat tubuh isterinya keluar dari bilik air.

Zara terkebil-kebil di hadapan bilik air. Dia kesejukan. Bibir yang terasa melekit, disapu perlahan. Zara bingung. Dia tidak dapat mencerna apa yang sedang berlaku.

“Awak..” Zara memandang suaminya.

Saiful tidak menjawab sebaliknya berlalu meninggalkan isterinya dengan sebak yang sarat di dada.

*****

Zara menangis seorang diri di dapur. Wajahnya disembamkan ke permukaan meja makan. Dia penat untuk berfikir, kenapa semua ini terjadi pada dirinya? Gilakah dia kerana berkeinginan yang pelik-pelik?

“Zaaraa….”

Zara panggung kepala. Dia mendengar namanya disebut. Sekali imbas. Matanya meliar di sekitar dapur dan pandangannya terhenti pada pintu dapur. Kelibat itu!

Zara bangun mahu memanggil suaminya di bilik. Dia mahu suaminya melihat kelibat yang dia ceritakan pada suaminya sebelum ini. Suaminya tidak percaya dan menganggap itu hanya khayalannya. Bukan! Dia masih dalam keadaan sedar.

Langkahnya terbejat di pintu dapur. Kelibat itu sedang menghalang laluannya. Zara terundur beberapa tapak ke belakang. Dia tidak tahu dengan siapa dia berhadapan sekarang ini. Rasa takut semakin menguasai dirinya.

“Zara? Awak kenapa?”

Zara melihat suaminya sedang berdiri di belakang kelibat itu. Dada Zara berombak. Dia berdoa agar suaminya tidak diganggu.

“Awak.. Awak tak nampak ke apa benda depan awak tu?” Zara bertanya dengan suara yang bergetar. Kini, kelibat itu berdiri di antara mereka berdua.

Tanpa di duga, Saiful mara ke hadapan dan tubuhnya bersatu dengan kelibat itu. Zara terkejut bukan kepalang. Matanya terbeliak.

“Aw.. Awakk?”

Kelibat yang sudah sepenuhnya menjadi suaminya itu menyeringai lebar. Zara memegang kepalanya. Suami sendiri? Apa benda ni??

“Ya saya! Kenapa, awak tak percaya?” Saiful ketawa besar.

“Kenapa buat saya macam ni? Apa salah saya? Saya kan isteri awak?” Zara mula menjauhkan dri.

“Sebab aku tak cintakan kau! Aku kahwin dengan kau pun sebab kesian pada mak aku! Kau ingat kita di zaman bila sampai kahwin pun kena orang carikan jodoh? Bodohlah kau ni!” Saiful melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Wajahnya tegang.

“Tapi awak baik saja selama kita kahwin ni? Saya ingat awak..”

“Kau ingat apa? Aku sayang kau? Hahaha.. Kau memang bodohlah Zara!” Saiful menghina.

Air mata Zara semakin laju mengalir. Sedih merenggut dirinya. Rasa takut semakin hilang.

“Ohh.. Aku terlupa. Kawan aku yang aku bawa kau berubat kononnya tu sebenarnya aku yang rancang untuk seksa kau! Aku nak buat sampai kau gila! Jadi tak adalah mak aku salahkan aku kalau aku ceraikan kau!”

Zara terduduk di kerusi meja makan. Kepalanya pusing. Perkahwinan yang diharapkan bahagia rupanya mengundang sakit pada dirinya.

“Zara sayang.. Aku nak tanya sikit boleh?” Saiful menghampiri.

Zara diam membisu. Tubuhnya menggigil. Sungguh dia berasa takut. Di fikirannya cuma berfikir bagaimana cara untuk dia melarikan diri.

Saiful duduk berdiri lutut di hadapan isterinya. Rambut isterinya dibelai. “Zara sayang.. Sedap tak jilat benda-benda kotor tu? Seronok tak bila rasa nak kelar tangan sendiri? Lazat tak muntah kucing hari tu? Hahaha.. Zara, Zara.. Sedihnya hidup kau..”

Pangg! Tanpa di duga, Zara menampar pipi suaminya. Dari rasa takut, timbul rasa marah yang meluap-luap dalam dirinya. Dia benci melihat wajah di depannya itu! Suami tak guna!

Saiful meludah. “Kurang ajar kau eh?” Tapak tangan Saiful pula yang mendarat pada pipi isterinya. Bukan sekali tetapi berkali-kali sehingga lembik Zara dibuatnya.

Nafas Saiful termengah-mengah. Pedih di tapak tangan tidak diendahkan. Matanya mencerlung tajam ke arah isterinya. Dia puas dapat menyakiti isterinya itu. Kelopak mata Saiful terkelip-kelip sebaik melihat darah yang mengalir dari tepi bibir dan menitis ke dagu isterinya. Dia menghampiri.

Zara yang lemah hanya memandang suaminya. Dia melihat suaminya mendekatkan wajahnya. Saiful menjulurkan lidahnya dan menjilat darah yang menitis pada dagu isterinya. Dia pula berasa teruja.

“Hmm.. Manis darah kau. Tapi sayang, kau bukan pilihan aku. Aku dah ada pilihan aku sendiri tetapi disebabkan kau, dia terpaksa menunggu aku!” Kepala Zara ditolak kuat. Berpinar mata Zara menerima hentakan secara tiba-tiba itu.

“Okey Zara, cukuplah sampai sini aku seksa kau. Selamat tinggal Zara sayang..” Saiful bangun kemudian mengambil sebilah pisau dan meletakkannya diriba Zara. Dia senyum penuh makna dan berlalu pergi sambil bersiul.

*****

Zara mengambil pisau diribanya. Keinginan itu merasuk dirinya kembali. Matanya dihalakan padan lengan yang terdedah kemudian beralih pada bajunya. Senyuman meniti di bibirnya. Bajunya diselak sehingga menampakan perutnya. Mata pisau di biar menari di sekitar perutnya.

Zap! Zap! Dua kali tususkan membuatkan tubuh Zara kaku setelah menggeletik beberapa kali. Pisau masih terbenam dalam perutnya.

Tidak lama kemudian, Saiful masuk ke dapur dengan gaya kanak-kanak bermain cak-cak di sebalik dinding. Melihat tubuh Zara sudah tidak bergerak, dia tersenyum puas.

“Hmm. Mati pun!” omel Saiful.

Entah mengapa dia melihat mata Zara seperti tidak tutup rapat. Separuh terbuka. Saiful mencebik.

“Apa? Kau jangan nak salahkan aku eh? Kau yang bunuh diri tau, bukan aku yang bunuh kau!”

Melihat Zara terus kaku, Saiful ketawa puas hati.

TAMAT

SHARE
Previous articleDOKTOR PLAYBOY
Next articleOps Burung Hantu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here